Wednesday, January 11, 2012

Manhaj - Pendahuluan

Bismillah. Walhamdulillaah was solaatu was salaam 'alaa man laa nabiya ba'dah, wa 'alaa aalihi wa sohbihi wa manit taba'a hudaah,
wa ba'du.

Sidang pembaca yang budiman, kebelakangan ini umat Islam mendapatkan berbagai maklumat dan hukum serta pendapat berkenaan agamanya dengan terutamanya berleluasanya penggunaan internet atau teknologi maklumat serta media pantas lainnya. Keadaan ini menjadikan sebahagian ummat terdedah kepada berbagai pendapat, fahaman dan aliran, yang benar, lurus mahupun yang menyeleweng dan menyimpang atau membahayakan keislamannya.


Apakah ini yang dimaksudkan oleh Rasulullah (sollallaahu 'alaihi wa wassallam):
Akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh penipuan, si penipu dipercayai, yang benar didustakan, pengkhianat diberikan amanah, yang amanah dianggap berkhianat dan berbicaranya al-Ruwaibidhoh. Apa itu al-Ruwaibidhoh? Seorang yang remeh (insignificant) berbicara tentang perkara yang umum/besar (as-Sahihah: 1887)
Akan ada pada akhir zaman, gempa, tohmahan dan perubahan rupa, iaitu bila berleluasanya alat nyanyian (muzik), wanita penyanyi dan dihalalkan arak (Sahih alJami‘: 3559)

Oleh itu, sama-samalah kita pelihara diri kita daripada golongan Ruwaibidhoh, apatah lagi diri kita sendiri menjadi golongan tersebut, samada dalam percakapan, mahupun tulisan kita dengan berbagai saluran seperti weblog, Facebook dan sebagainya.

Mari kita mengambil pengajaran daripada keterangan berikut agar tidak menyesal pada Hari Akhirat:
1. Firman Allah(Subhaanahu wa Ta'alaa):
و لا تقف ما ليس لك به علم إن السمع و البصر و الفؤاد كل أولئك كان عنه مسؤولا
Ertinya: Dan janganlah engkau mengikut/mengatakan apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan. [1]
Maka kita telah dipesan oleh Allah agar berkata yang baik berdasarkan ilmu dan mengikuti sesuatu juga atas dasar ilmu. Begitu pula dalam mendengarkan (membaca) berbagai perkara, atau melihatnya, sehingga disemat dalam hati, semuanya atas penilaian ilmu yang pasti daripada sumber yang diyakini.
2. FirmanNya (Subhaanahu wa Ta'alaa) lagi:
و لا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين إنما يأمركم بالسوء و الفحشاء و أن تقولوا على الله ما لا تعلمون
Ertinya: ...dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.[2]
Betapa ayat ini amat jelas mengingatkan kita suatu bahaya yang amat besar, iaitu Syaitan sentiasa berusaha menjadikan kita, manusia-manusia yang berkata tanpa ilmu, apatah lagi yang berkenaan Allah, agama Allah dan hukum-hukum Allah.
Dengan itu, lebih utama kita berdiam daripada berkata dengan sesuatu yang menjerumuskan kita kepada ikutan syaitan. Kita hanya menyampaikan apa yang kita pasti. Bilamana kita bukan pakar bidangnya, usahlah kita sewenangnya mengemukakan sesuatu kerana yang bukan ahlinya akan mendatangkan berbagai perkara pelik yang mengelirukan dalam bidang yang ia bukan pakarnya atau ahlinya.

Dalam bidang agama ini, bukan asal sahaja seorang bergelar Ustadz atau Ustadzah, Maulana, atau Habieb, Syaikh atau Mursyid, ia layak diikuti tanpa sandaran keterangan yang meyakinkan. Kalau sekadar menggenggam sijil B.A. bidang agama, masih ramai lagi Masyayikh (Mahaguru) yang menjadi guru-guru kepada para pensyarah Universiti bergelar Dr berkelulusan PhD, yang selayaknya dijadikan rujukan. Inikan pula kalau anak-anak muda tiada kelulusan tetapi berbicara seperti alim dunia terhebat hari ini?

Semoga Allah memberi petunjukNya kepada kita agar menjadi manusia yang mempunyai penilaian yang tepat dan sentiasa ikhlas mencari kebenaran sehingga tiada ruang bagi Syaitan untuk menyesatkan.

Baginda Rasulullah (sollallaahu 'alaihi wa wassallam) juga telah mengaitkan di antara iman yang benar pada Allah dan Hari Kiamat dengan sikap "Berkata yang baik atau diam" dan "lidah menjadi antara punca utama seseorang ke Neraka". (sila lihat kitab Hadis 40 karangan Imam Nawawi - wafat 676H )

Kata Imam al-Bukhariy (wafat: 256H): “Al-‘Ilm qabla al-Qaul wa al-‘Amal” ertinya “Berilmu sebelum berkata/menyampaikan dan beramal”[3].
Wallahu a‘lam.

[1] Al-Qur’an: al-Baqarah; 2:168-169
[2] Al-Qur’an; Surah al-‘Isra’: 17:36.

[3] Kitab Sahih al-Bukhariy, Kitab:3; Kitab al-‘Ilm, Bab: 10; Bab al-‘Ilm qabla al-Qaul wa al-‘Amal. Fath al-Bari: 1/192
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts