Tuesday, December 30, 2014

12 hari pertama sebelum Hari Maulid (Bhg. 2)

Seterusnya kita ambil daripada Syeikhul Islam Ibn Taimiyah[1] yang telah mengarang kitab beliau Iqtidho as-Siraat al-Mustaqiem dengan panjang lebar untuk menjelaskan keburukan sambutan Maulid. Beliau menyatakannya sebagai bid‘ah munkarah.

Kata beliau:

"و من المنكرات في هذا الباب: سائر الأعياد و المواسم المبتدعة، فإنها من المنكرات المكروهات، سواء بلغت الكراهة التحريم أو لم تبلغه ، و ذلك أن أعياد أهل الكتاب و الأعاجم نهي عنها لسببين:
أحدهما: أن فيها مشابهة للكفار


و الثاني: أنها من البدع ، فما أحدث من المواسم و الأعياد فهو منكر، و إن لم يكن فيه مشابهة لأهل الكتاب لوجهين:
أحدهما أن ذلك داخل في مسمى البدع و المحدثات، فيدخل فيما رواه مسلم في صحيحه، عن جابر....(ذكر الأدلة حديث خير الهدي، حديث عائشة ، حديث العرباض)...هذه قاعدة قد دلت عليها السنة و الإجماع (ثم ذكر قوله تعالى: أم لهم شركاؤا شرعوا لهم من الدين ما لم يأذن به الله – الشورى: 21 ...سورة التوبة: 31 ....ذكر تفصيل ذلك مطولا ثم...و إنما يفعل مثل هذا النصارى...و كذلك ما يحدثه بعض الناس – إما مضاهاة للنصارى في ميلاد عيسى عليه السلام ، و إما محبة للنبي صلى الله عليه و سلم و تعظيما و الله قد يثيبهم على هذه المحبة و الإجتهاد ، لا على البدع – من اتخاذ مولد النبي صلى الله عليه و سلم عيدا مع اختلاف الناس في مولده ، فإن هذا لم يفعله السلف مع قيام المقتضى له و عدم المانع، و لو كان هذا خيرا محضا أو راجحا لكان السلف رضي الله عنهم أحق به منا فإنهم كانوا أشد محبة لرسول الله صلى الله عليه و سلم و تعظيما له منا و هم على الخير أحرص. وإنما كمال محبته و تعظيمه في متابعته و طاعته و اتباع أمره و إحياء سنته باطنا و ظاهرا، و نشر ما بعث به و الجهاد على ذلك بالقلب و اليد و اللسان ، فإن هذه هي طريقة السابقين الأولين من المهاجرين و الأنصار ، و الذيبن اتبعهم بإحسان، و أكثر هؤلاء الذين تجدونهم حرصاء على أمثال هذه البدع، مع ما لهم فيها من حسن القصد و الإجتهاد الذي يرجى لهم به المثوبة تجدونهم فاترين في أمر الرسول ....

Maknanya:

Daripada kemungkaran dalam bab ini: musim-musim dan perayaan lainnya yang berupa bid‘ah. Sebab segalanya itu daripada bid‘ah yang dibenci, samada sampai pada tahap haram ataupun tidak sampai haram.

Yang demikian sebabnya adalah, perayaan Ahli Kitab dan kaum selain Islam terlarang kerana 2 sebab:
Pertama: penyerupaan dengan orang-orang Kafir
Kedua: kerana ia daripada perkara-perkara bid‘ah. 

Maka apa sahaja perayaan atau musiman yang diada-adakan maka ia adalah suatu kemungkaran, walaupun tiada padanya penyerupaan dengan Ahli Kitab kerana 2 sudut:

Pertama: Ia termasuk dalam perkara yang bergelar bid‘ah dan rekaan baru dalam urusan agama 

dan ia termasuk daripada apa yang dinyatakan dalam Sahih Muslim daripada Jabir – (ertinya) 
"Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Firman Allah dan sebaik-baik panduan adalah panduan Muhammad manakala seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan dalam urusan agama dan setiap yang direka-reka dalam hal agama adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah kesesatan"
dan dalam riwayat an-Nasa –i 
"Setiap yang sesat tempatnya di Neraka…"
dan Hadis ‘A-isyah: 
“Barangsiapa yang mengadakan sesuatu yang baru dalam urusan agama kami ini apa yang bukan daripada ajarannya maka ia tertolak” 
dan Hadis al-‘Irbadh: 
"Sesungguhnya, sesiapa di antara kalian yang masih hidup selepas kewafatan ku, pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka kewajipan kalian berpegang kuat dengan Sunnah ku dan Sunnah Khualafa Rasyidien yang diberi petunjuk dan Waspadalah daripada segala rekaan baru kerana setiap rekaan baru adalah bid‘ah."

Kaedah ini telah sedia ada petunjuknya daripada as-Sunnah dan juga al-Ijma‘ begitu juga ayat-ayat al-Quran menjelaskannya (kemudian beliau utarakan sebahagian ayat-ayat tersebut: (ertinya) 
“Apakah mereka ada sekutu-sekutu (tuhan) selain Allah yang menetapkan bagi mereka sesuatu dalam Syari‘at (urusan agama Islam) apa yang tidak diizinkan oleh Allah” – (asy-Syura: 21) 
dan 
“Mereka mengambil pendita-pendita paderi-paderi dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah” (at-Taubah:31)
…(kemudian menjelaskan dengan panjang lebar kemudian kata beliau lagi): Yang melakukan perkara-perkara ini (mengambil sempena tertentu menjadi perayaan dan musiman tanpa ada keterangan daripada amalan Nabi dan Salaf) adalah sikap/perbuatan Nasrani…demikian juga apa yang direka-reka oleh sebahagian pihak: samada sebagai suatu penentangan (menandingi) terhadap Nasrani yang menyambut Hari kelahiran ‘Isa (salam Allah ke atasnya) ataupun sebagai rasa cinta kepada Nabi صلى الله عليه و سلم dan mengagungkan baginda, yang mana kemungkinan Allah memberi ganjaran kepada mereka atas rasa cinta mereka dan kesungguhan mereka ini, dan tentunya bukan (menerima ganjaran atas perbuatan) bid‘ah-bid‘ah itu, iaitu mereka menjadikan sambutan waktu kelahiran Nabi (Maulid) sebagai suatu perayaan walaupun dalam pada itu terdapat perselisihan tentang (tarikh) kelahiran baginda. 

Sebab (perayaan/sambutan) ini tidak pernah dilakukan oleh Salaf sedangkan tiada apa yang menghalang mereka daripada melakukannya dan selayaknya mereka telah melakukannya (jika ia daripada ajaran Syari‘at Islam) dan seandainya (perayaan) ini suatu kebaikan yang nyata dan tiada keburukannya, pastinya Salaf, semoga Allah meredhai mereka, telah melakukannya terlebih dahulu dan utama daripada kita kerana mereka adalah orang yang paling mencintai Rasulullah dan paling mengagungkan baginda dengan pengagungan yang hakiki dibandingkan dengan kita (yang datang selepas zaman Salaf) serta mereka adalah golongan yang paling menitikberatkan soal mencari kebaikan.

Kecintaan dan pengagungan yang sesempurnanya kepada baginda sebenarnya adalah (dibuktikan dengan dan ada pada) ikutan tehadap baginda, ketaatan kepada baginda dan kepatuhan dan ikutan kepada ajaran baginda, menghidupkan Sunnah baginda secara batin mahupun zahir, penyebaran risalah utusan/ajaran baginda memperjuangkannya dengan hati lidah dan tangan, kerana yang demikian itu cara dan petunjuk golongan yang awal generasi pertama Islam, daripada golongan Muhajirin dan Ansar dan mereka yang mengikuti golongan ini dengan sebaik-baik ikutan.

Seringkali kamu tentunya dapati bahawa kebanyakan daripada mereka yang mengambil berat terhadap bid‘ah-bid‘ah seperti ini, meskipun mereka mempunyai maksud yang baik dan kesungguhan, yang dengannya diharapkan mereka ada mendapat ganjarannya, kamu akan dapati mereka ini bersikap sambil lewa terhadap ajaran Nabi…. (panjang lagi yang beliau sebutkan)

----------------------

Cukuplah kiranya dengan pembentangan daripada 2 alim terkemuka umat ini yang unggul pada zaman mereka masing-masing, kita mendapat pemahaman berikut:

1. Sambutan Maulid adalah bid‘ah. Mustahil ia Wajib atau Sunnat kerana hukum bid‘ah adalah Haram. Adapun Bid‘ah Hasanah adalah perbahasan ‘ulama namun menghindarkan diri daripada perselisihan adalah lebih utama dan berada di bahagian yang jauh daripada yg Haram dan Makruh adalah lebih selamat.

2. Bilamana ia adalah Bid‘ah yang tidak pernah disambut kurun yang awal antaranya para Sahabat, yang tidak menyambutnya telah berhukum dengan hukum Islam yang asal. Tiada siapa daripada ‘ulama yang mencela sikap dan perbuatan “tidak menyambutnya”. 

Manakala yang menyambutnya pula berada dalam keadaan;
a. Masih diperbolehkan sebahagian ‘ulama (bid ‘ah hasanah dengan syarat2 yang ketat) dan
b. Dicela oleh sebahagian ‘ulama lainnya secara mutlak kerana ia bid‘ah dan tiada bid‘ah yang baik.

3. Begitu juga dengan kesimpulan tadi (2), semua riwayat yang didakwakan sebagai berasal daripada baginda atau para Sahabat bahawa mereka menyambut atau menggalakkan sambutan maulid adalah dusta belaka. Sebab kedua-dua imam terunggul bidang riwayat pada zaman masing-masing iaitu al-Hafiz Ibn Hajar dan Syaikhul Islam Mahaguru kepada ramai ‘ulama hadis zamannya telah menyatakan, sebagai ahli dan pakarnya bidang hadis dan riwayat, bahawa ia tidak pernah disambut, maka tiada riwayat berkenaan maulid daripada mereka.

Oleh itu, jika diketemukan “riwayat2” dalam tulisan “yang bukan ahlinya” walau bergelar Ustadz/Ustadzah atau Maulana sekalipun, kononnya ada riwayat-riwayat seperti itu, maka ia adalah dusta belaka. Misal kepada riwayat dusta yang didakwakan oleh bukan ahli riwayat adalah:

قال أبو بكر الصدیق رضى الله عنھ : من أنفق درھما على قراءة مولد النبى صلى
الله علیھ وسلم كان رفیقي في الجنة.
Telah berkata Saiyidina Abu Bakar As-Sidiq R.A:
Barangsiapa menaja satu dirham bagi menggalakkan bacaan Maulid Nabi saw , adalah si penaja itu menjadi temanku di syurga.

Telah berkata Saiyidina Umar R.A:
Barangsiapa mengagungkan ( sambut ) maulid Nabi SAW maka sesungguhnya dia telah menghidupkan Islam

Telah berkata Saiyidina Usman R.A :
Barangsiapa menaja satu dirham bagi menggalakkan bacaan Maulid Nabi saw maka seolah-olah dia telah berjuang dalam peperangan Badr dan Hunain

Telah berkata Saiyidina Ali R.A & K.W :
Barangsiapa mengagungkan (sambut maulid Nabi SAW) dan menjadi sebab bagi bacaannya, tidak akan keluar dari dunia melainkan dalam keimanan dan akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.

Kata al-Hasan al-Basri:
Aku bercita-cita jika aku mempunyai harta emas sebesar bukit Uhud akan aku nafkahkan untuk membaca Maulidur Rasul.

Justeru itu, Tuan tidak selayaknya bersama mereka kerana ia adalah sesuatu yang tidak diajarkan. Walaubagaimanapun, kita faham tujuan mereka inginkan yang baik. Semoga Allah kurniakan peunjukNya kepada kita dan kepada mereka agar sentiasa mengusahakan yang baik dengan cara dan jalan yang betul yang diredahi olehNya. Sebab untuk mendapatkan keredhaan Allah kita wajib mengikut Rasulullah dan mengikuti juga panduan para Sahabat selaku manusia-manusia yang Allah jadikan contoh bagi kita untuk mendapatkan keredhaan Allah kerana merekalah golongan yang dengan pasti telah mendapat keredhaan Allah.

Wallahu a‘lam.

Segalanya ini dijelaskan sebagai memenuhi tuntutan baginda agar menyampaikan nasihat sesama muslim dan juga dorongan Allah dalam Surah al-‘Asr, agar berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran. Apatah lagi pada perkara yang membantu menyelamatkan saudara Islam daripada azab api Neraka kerana Rasulullah telah bersabda:

" من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار"


Barangsiapa yang berdusta atas namaku (mempergunakan nama baginda untuk berdusta – apa yang bukan ajaran Nabi didakwakan sebagai ajaran baginda) dengan sengaja maka ia telah menempah tempatnya di Neraka

[Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam-imam Ahmad, Al-Bukhariy, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa-i, Ibn Majah, al-Hakim, at-Tabaraniy dan selain mereka yang keseluruhannya diriwayatkan daripada 63 orang Sahabat – sebuah hadis mutawaatir yang tiada keraguan lagi padanya].

Mustahil para Imam Ahli Taqwa akan melakukan atau menggalakkan perkara yang bukan daripada ajaran Nabi yang tertolak dan telah pun dibuktikan dengan penjelasan al-Hafiz Ibn Hajar bahawa sambutan Maulid tidak pernah ada pada zaman Salaf.



[1] Syaikh al-Islām Ibn Taymiyah, Taqiyuddin Ahmad bin ‘Abdul Halim al-Harrānī ad-Dimasyqī (w.728H), Mahaguru yang mendidik dan melahirkan bagi ummat ini, ‘ulama terbilang zamannya seperti Ibn Qayyim, al-Hafiz Adz-Dzahabi, al-Hafiz Ibn Katsier dan ramai lagi. Ahli berbagai bidang ilmu Syari‘ah dan selainnya dan karangannya yang terlalu banyak untuk disebutka, namun antara yang termasyhur adalah Majmu‘ Fatawa. Kata al-Hafiz adz-Dzahabi, aku tidak pernah lihat seorang ‘alim seperti beliau dan aku percaya beliau juga tidak pernah bertemu dengan seorang seperti diri beliau (dalam kehebatan ilmu dan ketajaman akal serta kekuatan hafalan)
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts