Thursday, February 23, 2012

al-Aqeedah al-Wasitiyah (002_Syarah)

Kata beliau : “الْمَنْصُورَةِ إلَى قِيَامِ السَّاعَةِ” ertinya yang dibela (dengan bantuan dan kemenangan dari Allah). Berdasarkan sabda Rasulullah :

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق حتى تقوم الساعة

“Akan tetap ada satu golongan daripada umat ku tegak dan menzahirkan kebenaran sehingga berlakunya Kiamat”


Dalam lafaz-lafaz lain (7287-7296 dalam Kitab “Sahih al-Jami‘”):

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين، حتى ياتي أمر الله و هم ظاهرون
لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق ، لا يضرهم من خذلهم حتى ياتي أمر الله و هم كذلك
لا تزال طائفة من أمتي قائمة بأمر الله ، لا يضرهم من خذلهم و لا من خالفهم ، حتى ياتي أمر الله و هم ظاهرون على الناس
لا تزال طائفة من أمتي قوامة على أمر الله، لا يضرها من خالفها
لا تزال طائفة من أمتي منصورين ، لا يضرهم خذلان من خذلهم ، حتى تقوم الساعة
لا تزال عصابة من أمتي يقاتلون على الحق...حتى يقاتل آخرهم المسيح الدجال

Hadis Sahih sila rujuk: Silsilah al-Ahadiets as-Sahihah: no: 270, 1956, 1955, 1957, 1962, 1960, 1959, 1108 daripada segolongan Sahabat: Ibn ‘Umar, al-Mughierah (riwayat Muttafaq ‘alaih), Tsauban, Mu‘awiyah (Muttafaq ‘alaih), Abu Hurairah, Qurrah bin Aiyas, Jabir, ‘Imran bin al-Husayn, ‘Uqbah bin ‘Amir.
@@@@@@@@@@@@@@
Kata beliau : “أَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ” ertinya Ahli as-Sunnah wa al-Jama‘ah” yang menjadi gelaran untuk mengenali puak yang Nabi sebutkan di dalam kedua-dua hadis itu tadi. Ungkapan ini “Ahli Sunnah wal Jama‘ah” telah digunakan oleh para Imam pada zaman Sahabat.
Kata Imam Ibn Sirien[1] :
“Menurut pendapat mereka (para Sahabat dan Tabi‘ien yang awal) bahawa seseorang itu berada di jalan yang lurus/benar selama ia berpegang dengan al-Atsar (peninggalan Nabi dan para Sahabat iaitu as-Sunnah dan pegangan Salaf)” [2]
Kata beliau lagi : “Sesungguhnya ilmu itu adalah agama. Maka perhatikanlah daripada siapa kamu ambil agama mu.” “Mereka (para Sahabat) tidak pernah bertanya tentang al-Isnad (rangkaian para perawi), tetapi bila tercetusnya fitnah, mereka mula mengatakan: Sebutkan siapa-siapa perawi (yang telah menyampaikan kepada) kamu. Maka periwayatan Ahli Sunnah diperhatikan dan diterima dan begitu pula periwayatan Ahli Bid‘ah diteliti dan ditolak.”[3]
Ungkapan ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi :
“Maka sesungguhnya, barangsiapa di antara kalian yang masih hidup (selepas kewafatan ku), maka ia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh itu menjadi kewajipan kalian berpegang kuat dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ Rasyidien yang diberi petunjuk dan gertaplah ia (sunnah-sunnah) tersebut dengan gigi geraham kamu (berpegang kuatlah dengannya)” [4]
Erti as-Sunnah[5];
Bahasa: as-Sunnah dari segi Bahasa bererti: as-Sierah (السيرة) iaitu suatu perjalanan, tidak kira baik atau buruk. Diertikan juga dengan maksud: at-Tarieqah (الطريقة); diambil daripada as-Sanan iaitu (الطريق) suatu jalan.
1.2 Istilah: Adapun dari sudut Istilah, maka ia telah diertikan dengan berbagai pengertian oleh ‘ulama’ menurut bidang kajian masing-masing.
Walaubagaimanapun, sebelum dijelaskan pengertiannya menurut berbagai bidang yang berbeza, ada baiknya dijelaskan maknanya menurut kefahaman generasi awal umat ini (Sahabat dan Salaf al-Ummah):
Apabila perkataan as-Sunnah disebut dalam ucapan Rasul atau ungkapan para Sahabat dan at-Tabi‘ien, dalam bentuk yang baik (bukan celaan); maka tiada lain yang dimaksudkan dengannya kecuali maknanya menurut Syara‘ yang bermaksud umum yang merangkumi hukum-hukum: I‘tiqadiyah (berkaitan dengan ‘Aqiedah/kepercayaan), al-‘Amaliyah (amalan), samada wajib mahupun mandub ataupun mubah/harus.
Kata al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Fath: …Telah tetap bahawa lafaz as-Sunnah apabila disebutkan di dalam hadis, tidak dimaksudkan dengannya apa yang berlawanan dengan al-Wajib…[6]
Kata Ibn ‘Allan dalam Daliel al-Falihin: mengenai hadis “فعليكم بسنتي”: yakni Tarieqatie (jalan ku) dan jalan ku yang lurus yang aku berjalan atasnya (peganganku) daripada apa yang telah aku perincikan berupa hukum-hukum I‘tiqad, amalan yang Wajib, yang Mandub dan lainnya. Pengkhususan maknanya yang diertikan oleh para ahli Usul sebagai: “yang dituntut dengan tuntutan yang tidak berat” (yang sunnat hukumnya) adalah istilah baru, yang mereka maksudkan adalah untuk membezakannya daripada perkara fardu.[7]
Jumhur Ahli Hadis:
ما أُثر عَن النبي مِن قَوْل أو فِعْل أَوْ تَقْرِير أو صِفَةٍ خَلْقِيَّةٍ و خُلُقِيَّةٍ أَو سِيْرَة بَعْدَ الْبِعْثَة وَ قَبْلِهِا
Segala yang diwarisi daripada Nabi baik dari segi kata-kata (ucapan), perbuatan dan taqrier[8] serta sifat-sifat baginda , baik dari segi akhlaq (keperibadian) atau perawakan (rupa kejadian), juga riwayat hidup baginda baik sebelum atau sesudah kenabian.
Ahli Usul: segala yang ditukil atau diambil daripada Nabi , baik ucapan, perbuatan mahupun taqrier.
Ahli Fiqh: segala hukum yang bukan wajib yang sabit (berasal) daripada Nabi . Iaitu sepertimana yang kita ketahui di dalam 5 Hukum Islam; Wajib, Haram, Harus (Mubah), Makruh dan Sunnat.
Oleh yang demikian, dapat difahami erti as-Sunnah menurut berbagai bidang kajian ilmu itu tadi.
Namun, bilamana kajian kita ini tertumpu pada makna ungkapan “Ahli Sunnah” dan siapa “Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenarnya, kita tumpukan pada kata-kata Imam Ibn Sirien itu tadi (nota kaki no: 3)
Kata al-Hafiz Ibn Rajab[9] : “As-Sunnah ialah satu jalan yang mesti dilalui (atau disusuri). Maka dengan sendirinya, ia merangkumi satu pegangan, yang berpegang-erat dengan apa yang ditunjukajarkan oleh Nabi dan ke-empat-empat Khalifah ar-Rasyidien dalam segenap persoalan I‘tikad (kepercayaan), amalan dan tingkahlaku. Inilah pengertian serta pengamalan as-Sunnah yang sempurna. Oleh kerana itu, para Salafussolih pada zaman dahulu, tidak mengertikan perkataan as-Sunnah secara mutlak (umum), kecuali sebagaimana yang telah dirangkumkan tadi.” [10]
Sebab itu para Imam terdahulu zaman as-Salaf dan yang mengikuti mereka memberikan judul kitab mereka dengan judul “as-Sunnah” sedangkan kandungan kitab-kitab tersebut adalah perkara-perkara yang disebutkan tadi iaitu “I‘tikad (kepercayaan), amalan dan tingkahlaku”. Sebagaimana Ibn ‘Abbas ketika ditanya mengapa Solat Qasar tidak dilakukan ketika seseorang musafir bermakmum kepada seorang Imam yang muqim yang solat 4 rakaat, jawab beliau: “Itulah as-Sunnah” maknanya itulah ajaran ataupun amalan yang diajarkan oleh Nabi[11].
Di antara kitab-kitab tersebut adalah “as-Sunnah” karangan al-Imam Ahmad bin Hambal (w: 241H), oleh anak beliau “Abdullah bin Ahmad (213-290H), karangan al-Hafiz Ibn Abie ‘Asim (w: 287H) dan “Usul as-Sunnah oleh Imam Abu Bakar ‘Abdullah bin az-Zubayr al-Humaidi (w: 219H), “Syarh as-Sunnah karangan Imam Isma‘iel bin Yahya al-Muzaniy (w: 264H – murid terkemuka asy-Syafi‘ie), Imam al-Barbaharie (w: 329H), “Sorieh as-Sunnah” oleh Imam Abu Ja‘far Muhammad Ibn Jarier at-Tabariy (w: 310H – pengarang kitab Tafsir at-Tabariy, kitab tafsir pertama yang lengkap) dan lainnya.
Maka daripada pengertian Ahli Sunnah itu tadi, dapatlah difahami bahawa Ahlis Sunnah yang sebenar adalah golongan umat Islam yang menuruti ajaran Nabi dan para Sahabat dengan sebaik-baik ikutan. Mereka beri‘tiqad pada kepercayaan mereka berkenaan yang Ghaib, Rukun Iman, Ruh, Wahyu dan segenap persoalan kepercayaan yang bersesuaian dengan I‘tiqad Rasulullah dan para Sahabat . Mereka berusaha beramal dengan apa jua amalan, sesuai dengan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad dan para Sahabat sehingga solat, zakat, puasa, zikir, tilawah al-Qur’an yang mereka laksanakan, mereka usahakan sedaya upaya mereka agar ibadah itu semua bersesuaian dan sepadan dengan Sunnah Nabi dan ajaran Sahabat . Begitu juga akhlak dan sikap mereka dalam pergaulan sesama umat Islam dan sesama manusia lainnya.



[1] Abu Bakar, Muhammad bin Sierien al-Anri (w:110), Tābi‘ie tsiqah. Ada juga riwayat daripada ‘Abdullah bin Mubārak (w:181H) yang berpesan agar bergantung dan bersandarkan pada al-Atsar (1448) dan daripada Sufyan bin ‘Uyainah (107-198H): “Agama itu hanyalah dengan al-Ātsār” (1447)
[2] Sahih Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fadlihi, hlm.416 (1444)
[3] Sahih Muslim di dalam bahagian Muqaddimahnya.
[4] Diriwayatkan daripada ‘Irbad bin Sariyah oleh Imam-imam Abu Dawud, at-Tirmidzi dan menurut at-Tirmidzi: Hasan Sahih dan ia dipersetujui oleh para Ahli Hadis lainnya.
[5] Ali ‘Abdil Kariem, ‘Abdus Salam bin Barjas, Darurat al-Ihtimam bi as-Sunan an-Nabawiyah: hlm. 19-32. Penjelasan berikutnya mengenai erti as-Sunnah, diambil daripada rujukan ini dengan olahan dan ringkasan.
[6] Al-Fath: 10/341 – maksudnya bukan Sunnat yang dketahui sebagai salah satu daripada hukum-hukum Islam yang 5; Haram, Makruh, Mubah.
[7] Daliel al-Falihin: 1/415
[8] taqrier : diamnya Nabi dan tidak menegah atau menegur sesuatu perbuatan Sahabat, sebagai tanda setuju atau redha baginda terhadap perbuatan tersebut.
[9] Zainuddien ‘Abdur-Rahman bin Ahmad bin ‘Abdur-Rahman bin al-Hasan as-Salami al-Baghdadi, al-Hanbali, ad-Dimasyqie. Kunyah beliau Abul Faraj, namun lebih dikenali sebagai Ibn Rajab. Lahir 736H dan wafat 795H.
[10] Tukilan dari kitab: “Jami’ul ‘Ulum wal Hikam” karangan Imam al-Hafiz Ibn Rajab.
[11] Hadis riwayat Imam Ahmad (no: 1765). Kata asy-Syeikh al-Albaniy: Hadis Sahih diriwayatkan oleh Ahmad (1/216), as-Siraj (al-Musnad (manuskrip): 1/120, at-Tabaraniy (al-Mu‘jam al-Awsat: 1/278/1 – salinan daripada Universiti Islam Madinah), Abu ‘Awanah (al-Musnad: 2/340. Dengan lafaz lain oleh Imam Muslim (2/143-144), an-Nasa-i (1/212, 369), Ibn Khuzaimah (as-Sahih: 951), al-Bayhaqiy (3/153) Ibn Hibban (4/185/2744), Ahmad (1/226, 290, 337), Abu ‘Awanah dan at-Tahawiy (1/254), at-Tayalisiy (al-Musnad: 2742).
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts