Monday, February 20, 2012

Apakah Nabi Syu'aib adalah Bapa Mertua Nabi Musa? (1)

Soalan:

Saya ingin kepastian kerana telah mendengar 2 keterangan; 1. mengatakan Nabi Syu'aib adalah "Syeikh Kabiir" atau "orang tua Madyan yang akhirnya menikahkan anaknya kepada Nabi Musa dan 2. "orang tua Madyan" bukan mertua Nabi Musa dan tiada keterangan yang menjelaskan demikian serta ayat Quran pun tak sebut beliau sebagai Nabi Syu'aib. Harap dapat Ustadz jelaskan. Jazaakallah khairan.

- Yang ingin kepastian



Jawapan:

Bismillah, walhamdulillaah, was solaatu was salaam 'ala Rasuulillaah, wa 'alaa aalihi wa sohbihi wa man ittaba'a hudaah, wa ba'd.
Ke hadapan pihak yang bertanya, terlebih dahulu, semoga Allah memberkati usaha anda untuk mengambil tahu perkara yang berkenaan agama Allah ini, iaitu di antara perkara rukun Iman, beriman kepada para Nabi dan Rasul, sekaligus mentafsirkan al-Quran yang menyebutkan kisah para Nabi, khususnya Nabi Syu'aib dan Nabu Musa, dengan tafsiran yang betul dan tepat. Moga ia menjadi penyebab dipermudahkan jalan anda ke Syurga, sepertimana hadis sahih riwayat Imam Muslim sabda Nabi (ertinya): "Barangsiapa yang menempuhi jalan mencari ilmu, akan Allah permudahkan dengannya (usaha cari ilmu itu) jalannya ke syurga".
Begitu pula, saya berterima kasih atas kepercayaan dan kesudian anda, bertanyakan perkara tersebut kepada saya.

Kebetulan, sewaktu saya menjalani pengajian di UKM pada peringkat Sarjana atau Masters, Pengajian Islam Jabatan al-Qur'an dan as-Sunnah, guru pensyarah telah menugaskan saya membuat kajian mengenai Nabi Syu'aib dan Dakwah baginda 'alaihis salaam. Berikut ini adalah kertas kerja tugasan tersebut, yang ada membincangkan perkara yang ditanyakan.
Semoga bermanfaat.

DAKWAH NABI ALLAH SHU‘AIB :

نبي الله شعيب و دعوته

BAB I: PENDAHULUAN

1.1 Kepentingan Pengajaran yang diambil daripada Kisah para nabi.
Firman Allah *:

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُوْلِي الْأَلْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ [1]

Maksudnya:
Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.[2]
Daripada keterangan ayat ini, kita dituntun oleh Al-Qur’ān agar mengambil pengajaran daripada kisah para nabi dan yang demikian itu akan menjadi penyebab bagi kita untuk mendapat petunjuk dan rahmat daripada Allah .[3]
Bertitik-tolak daripada petunjuk ayat tersebut, maka kajian serba sederhana dan ringkas ini, bertujuan untuk mengambil pengajaran daripada kisah Nabi Shu‘aib yang disebutkan di dalam Al-Quran terutamanya dan sebahagian hadith-hadith Nabi . Mudah-mudahan dengan demikian kita dirumpunkan oleh Allah dengan rahmatNya yang Maha Luas di kalangan mereka yang mengambil pengajaran daripada kisah para nabi dan sekaligus mendapat petunjuk dan rahmatNya, Inshā’ Allāh.
Namun sebelum meneruskan perbicaraan tentang kisah Nabi Allah Shu‘aib , ada baiknya menurut hemat penulis, diutarakan di sini, apa yang dinyatakan oleh al-Shaykh Al-Dhahabi ketika mengulas tentang kedudukan Al-Quran sebagai kitab yang membenarkan apa yang disebutkan di dalam kitab-kitab terdahulu (trj.): Justeru itu, maka Al-Qur’ān al-Karīm adalah dasar utama yang dijadikan sebagai rujukan, ketikamana kita ingin memastikan sejauh mana kebenaran atau kepalsuan apa jua yang sampai kepada kita daripada Taurat dan Injil dan Ia (yakni Al-Qur’ān) adalah penentu terhadap apa sahaja yang dikhabarkan kepada kita oleh kedua–dua kitab itu tadi (yakni Taurat dan Injil). Maka apa yang dinyatakan benar oleh Al-Qur’ān kita pun menghukumkannya benar, manakala apa yang ditolak olehNya (Al-Qur’ān) maka kita juga turut menolaknya dan cukuplah Al-Qur’ān sebagai bukti dan saksi. [4]
Kata al-Shaykh Abu Is-hāq al-Huwainī al-Atharī pula (trj.): Maka sebahagian daripada saudara-saudara Islam kita telah menyarankan kepada kami agar kami menyebarkan (dengan tulisan dan percetakan) kisah-kisah yang ditiadakan syarahnya (yakni nas hadithnya semata-mata), supaya kami dapat menyediakan nas yang sahih bagi setiap pendakwah dan penceramah, sehingga mereka dapat mengambil faedah daripadanya (tulisan itu) di dalam penyampaian khutbah-khutbah Juma‘at atau kelas-kelas umum, sebab kebanyakan daripada mereka tidak membezakan di antara yang sahih dan yang da‘if, malah kebanyakan kisah-kisah yang mereka sebarkan di dalam ceramah-ceramah mereka adalah kisah-kisah yang da‘if bahkan sebahagiannya batil (dusta) yang bercanggah dengan Shari‘ah, seandainya yang menyampaikannya sendiri ada membuat penilaian…[5]
Oleh yang demikian, adalah amat penting bagi seseorang yang ingin mengambil pengajaran daripada kisah para nabi supaya memastikan bahawa kisah-kisah tersebut adalah benar lagi tidak bercanggahan dengan Shari‘ah Islam serta tidak pula menyebabkan kesalahan di dalam masalah aqidah. Demikian pula al-Imam Ibn ‘Abdil Barr telah menulis sebuah bab di dalam kitab beliau: Jāmi’ Bayān Al-cIlmi wa Fadlihi yang bertajuk: “ذم القول في دين الله بالرأي و الظن”, lalu beliau mengemukakan di dalam bab tersebut, riwayat-riwayat daripada para Sahabat dan para imam yang membenci sikap mengeluarkan pendapat di dalam urusan agama tanpa ilmu dan tanpa kajian, begitu juga sikap tidak berhati-hati di dalam mengeluarkan pendapat.[6] Wallāhu aclam.
Lantaran itu, penulis berusaha untuk menyebutkan fakta-fakta yang telah dianalisa oleh ulama’ terbilang sebagai fakta-fakta yang benar berkenaan kisah Nabi Shu‘aib dan dalam masa yang sama, mengajak sidang pembaca yang budiman, mengenepikan mana-mana pendapat yang dihukumkan tidak tepat oleh para ulama’ tersebut, agar kita sama-sama mendapat faedah yang sebaik-baiknya daripada usaha kerdil ini, Inshā’ Allāh. Kajian serba ringkas ini akan merangkumi kajian dan pengambilan faedah berkenaan nama dan nasab Nabi Shu‘aib , tempat, kaum dan zaman perutusan baginda, kesemua ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan kisah baginda dan kaum baginda, uslub-uslub atau metode dakwah baginda di dalam menghadapi sikap kaum baginda serta kesudahan kaum tersebut. Begitu juga akan dibincangkan beberapa faedah yang dapat disesuaikan di antara dakwah baginda berhadapan dengan kaum tersebut dengan konteks masa kini, Inshā’ Allāh.



[1] Al-Qur’ān,Yūsuf: 12:111
[2] Semua terjemahan ayat-ayat Al-Qur’ān dalam tulisan ini dibuat oleh penulis kecuali kalau dinyatakan sebaliknya.
[3] Ibnu Kathīr, Abul Fidā’ Ismā‘il bin Kathīr (w.774H), Tafsir Al-Qur’ān al-‘Azīm, Maktabah al-‘Ulūm wa al-Hikam, Madinah, 1413H/1993, jil. 2, hlm. 479
[4] Al-Dhahabi, Dr Muhammad Husayn, Isrā’iliyāt fī al-Tafsīr wa al-Hadīth, Lujnah al-Nashr fī Dār Al-Īmān, Damsyik, 1405H/1985, hlm. 15.
[5] al-Huwainī, Abu Is-hāq al-Huwainī al-Atharī, Sahih al-Qasas al-Nabawi, Maktabat al-Sahābah, Jeddah, 1411H, hlm. 4
[6] Ibn cAbdil Barr, Sahih Jāmi’ Bayān Al-cIlmi wa Fadlihi, Maktabah Ibni Taimiyah, Kaherah, 1416H/1996, hlm. 415-431.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts