Monday, February 20, 2012

Apakah Nabi Syu'aib adalah Bapa Mertua Nabi Musa? (2)

1.2 Nama dan nasab Nabi Shu‘aib

Disebutkan di dalam beberapa kitab bahawa nama serta nasab Nabi Shu‘aib adalah seperti berikut:
1- شعيب بن ميكيل بن يشجن

Demikian yang disebutkan oleh al-Imam Ibnu Kathīr di dalam kitab beliau: al-Bidāyah wa al-Nihāyah dengan membuat nukilan daripada periwayatan Imam Ibnu Is-hāq [1]. Beliau kemudian membuat nukilan lain daripada Ibnu Is-hāq yang menyatakan bahawa dikatakan (قيل) nama Nabi Shu‘aib di dalam Bahasa Siryāniyah adalah:
2- بنزون [2]


Kemudian beliau menyebutkan yang berikut dengan lafaz “ يُقال
3- شعيب بن يشخر بن لاوي بن يعقوب
4- شعيب بن نويب بن عيفا بن مدين بن إبراهيم
5 - شعيب بن ضيفور بن عيفا بن ثابت بن مدين بن إبراهيم[3]
Al-Hāfiz Ibnu Hajar pula menyatakan:
6- شعيب بن يشجر بن لاوي بن يعقوب
Lalu menjelaskan (trj.): Demikian yang dikatakan oleh Ibnu Is-hāq[4] dan ia (yakni periwayatan nasab ini) tidak thābit (yakni tidak dapat dipastikan kebenarannya) dan dikatakan (قيل) juga:
7- شعيب بن يشجر بن عنقا بن مدين بن إبراهيم
8- شعيب بن صفور بن عنقا بن ثابت بن مدين
Dan Madyan ini adalah di antara mereka yang beriman dengan (nabi) Ibrahim ketika baginda (Nabi Ibrahim ) dicampakkan ke dalam Api…[5]
Di dalam kitab Mawsū‘ah al-Qasas Al-Qur’āni pula disebutkan beberapa nukilan daripada beberapa orang ulama’, antaranya Imam al-Qurtubi dan al-Mas‘ūdi, yang menyebutkan nama dan nasab Nabi Shu‘aib yang kesemuanya seiras dengan apa yang telah disenaraikan tadi. Selain itu, disebutkan beberapa nukilan yang diambil daripada kitab Tafsīr Al-Manār, yang menyebutkan nama atau gelaran Nabi Shu‘aib di dalam Bahasa Siryāniyah dan Bahasa ‘Ibrāniyah (Hebrew). Malah disebutkan juga bahawa di dalam Taurat, nama baginda adalah “ميكائيل”.[6]
Begitu pula, kitab tersebut menyebutkan dengan keyakinan bahawa Nabi Shu‘aib adalah bapa mertua Nabi Mūsa dengan berpandukan riwayat yang sahih dan bahawasanya kesimpulan sebahagian ulama’ yang menyatakan bahawa zaman perutusan Nabi Shu‘aib adalah amat jauh lebih awal daripada zaman perutusan Nabi Mūsa adalah tidak benar dengan berpandukan apa yang disebutkan dalam Taurat bahawa Nabi Mūsa mengembala kambing milik bapa mertuanya “Kāhin Madyān”.[7]
Walaubagaimanapun, dengan berpandukan apa yang disebutkan oleh al-Imam Ibnu Kathīr , Al-Hāfiz Ibnu Hajar dan al-Shaykh Muhammad al-Sayyid Husayn Al-Dhahabi , penulis menyimpulkan bahawa kebenaran tidak berpihak kepada para penyusun kitab Mausū‘ah al-Qasas Al-Qur’āni, dengan penjelasan berikut:
1. Sandaran mereka adalah tidak tepat iaitu dengan semata-mata menerima apa yang dinyatakan di dalam kitab Tafsīr Al-Manār, yang menerima kenyataan Taurat, padahal al-Shaykh Al-Dhahabi telah menjelaskan kesilapan pengarang Tafsīr Al-Manār , yang meskipun amat menentang keras riwayat-riwayat Isrā’iliyāt yang mengandungi dusta di dalam pentafsiran, namun ternyata membuat kesilapan yang sama dengan banyak merujuk dan jelasnya, mempercayai keterangan Taurat yang telah diubahsuai dengan tangan-tangan manusia. Kenyataan ini dengan segala contoh-contohnya disebutkan di dalam bab “al-Isrā’iliyāt fi al-Tafsīr … Tafsīr Al-Manār .[8]
2. Berbeza dengan yang dinyatakan bahawa “Nabi Shu‘aib adalah bapa mertua Nabi Mūsa dengan berpandukan riwayat yang sahih” yang disebutkan telah diriwayatkan oleh al-Tabarāni, yang mengandungi nas “نعم الحي عنزة ...رهط شعيب و أختان موسى” dan ‘Anazah adalah kabilah yang bertempat tinggal di Madyan, dengan berpandukan kenyataan di dalam Tafsīr Al-Manār semata-mata, yang mana sebenarnya riwayat tersebut tidak sahih. Kata Al-Hāfiz Ibnu Hajar : Di dalam isnadnya terdapat Majāhīl (para perawi yang tidak dikenali dan tidak dii’tiraf periwayatannya)[9]. Mentelah lagi, pengarang Tafsīr Al-Manār al-Sayyid Rashid Ridā mahupun guru didik beliau al-Shaykh ‘Abduh , bukan ahli hadith jika dibandingkan dengan Al-Hāfiz Ibnu Hajar . Sebagaimana ungkapan sebahagian ahli ilmu “لكل مقام مقال و لكل مجال رجال”. Menurut Ibnu Kathīr, Ibn ‘Abdil Barr pun menyebutkan riwayat yang sama di dalam Al-Isti‘āb berkenaan Salamah bin Sa‘īd al-‘Anazi ketika datang bertemu Rasulullah lalu menyebutkan nasab beliau maka riwayat ini adalah lemah dan tidak dapat dijadikan hujjah, meskipun banyak pengarang yang menggunakannya sebagai sandaran mereka.[10]
3. Kata Al-Hāfiz Ibnu Kathīr pula: Kemudian di antara bukti yang menguatkan bahawa beliau (Shaykh Madyan) bukan Nabi Shu‘aib , sebab seandainya demikian, tentunya Al-Qur’ān telah menyebutkan dengan nyata (yakni nama “Shu‘aib” dan bukan “Shaykh”) di sini. Adapun berkenaan sebahagian hadith yang menyatakan dengan jelas (sarīh) yang menyebutkan namanya (Shu‘aib) di dalam kisah Musa, maka isnadnya semuanya tidak sahih...bukan itu sahaja, yang disebutkan di dalam kitab-kitab Banī Isrāīl adalah Thairūn…(dan di dalam riwayat) daripada Ibn ‘Abbās …Yathrā…diriwayatkan oleh Ibnu Jarir lalu beliau menyimpulkan: Yang benar, ini adalah sesuatu yang tidak dapat dipastikan kecuali dengan pengkhabaran (riwayat yang sahih) dan tiada satu riwayat pun yang sah untuk dijadikan hujjah di dalam hal ini (yakni perihal Shaykh Madyan bapa mertua Nabi Mūsa adalah Nabi Shu ‘aib )… [11]
4. Adapun mengenai zaman perutusan baginda samada hampir atau jauh dengan zaman Nabi Mūsa maka ia akan dibincangkan kelak.
Daripada apa yang telah dikemukakan tadi, penulis menyimpulkan bahawa tidak selayaknya diyakini bahawa Nabi Shu‘aib adalah bapa mertua Nabi Mūsa dan memadai bagi kita untuk mengetahui bahawa benar Allah telah mengutuskan seorang Nabi bernama Shu‘aib menurut keterangan Al-Qur’ān dan al-Sunnah. Sementara nama dan gelaran selainnya serta nasabnya sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-kitab adalah semata-mata berdasarkan “قيل” sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ahli hadith, yang dengannya kita tidak boleh mengi’tikadkannya dengan yakin dan sekadar disebutkan sebagai maklumat umum sahaja. Yang demikian, agar kita tidak terjebak di dalam sesuatu yang amat dibenci oleh Islam yakni sebagaimana yang dijelaskan sendiri oleh baginda Rasulullah :
"إن الله تعالى يرضى لكم ثلاثا و يكره لكم ثلاثا، ...و يكره لكم قيل و قال ، و كثرة السؤال ، و إضاعة المال"
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Taala redha bagi kamu 3 perkara dan membenci 3 perkara…dan Allah membenci bagi kamu bual kosong (berkata tanpa faedah dan tanpa ilmu - hearsay), banyak tanya (pada yang tidak perlu dan sia-sia) serta (perbuatan) mensia-siakan harta.[12]
Namun, ada beberapa riwayat daripada Ibn ‘Abbās yang menyebutkan bahawa Nabi Shu‘aib digelarkan dengan julukan “خطيب الأنبياء” yakni ahli pidato di kalangan para nabi. Sayangnya riwayat tersebut juga tidak dapat dipastikan kebenarannya.[13] Wallāhu aclam
Selain itu, ada disebutkan juga oleh Ibn ‘Asākir bahawa dikatakan nenek atau ibu Nabi Shu‘aib adalah anak kepada Nabi Lūt. Wahab bin Munabbih pula mengatakan bahawa Nabi Shu‘aib adalah di antara orang yang beriman kepada Nabi Ibrahim sewaktu dicampakkan ke dalam Api lalu turut berhijrah bersama baginda al-Khalīl ke Shām. Ibn Qutaibah pula menambah dengan menyatakan bahawa Nabi Shu‘aib kemudiannya dikahwinkan dengan kedua-dua anak perempuan Nabi Lūt. Kata Al-Hāfiz Ibnu Kathīr menyimpulkan segala riwayat tersebut (trj.): Segalanya ini masih perlu dikaji, Wallāhu aclam.[14] Sebelum ini, telah disebutkan bahawa Madyan, salah seorang moyang Nabi Shu‘aib , dikatakan sebagai orang yang beriman kepada Nabi Ibrahim sewaktu dicampakkan ke dalam Api[15]. Dengannya, dapatlah dilihat dengan nyata, riwayat-riwayat yang saling bercanggahan yang diambil daripada periwayatan al-Isrā’iliyāt yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Wallāhu aclam.
Di samping itu, di dalam sebuah hadith yang panjang yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Hibbān di dalam kitab Sahih beliau, ada disebutkan berikut:
" عن أبي ذر قال: دخلت المسجد فإذا رسول الله جالس وحده... قلت يا رسول الله كم الأنبياء قال مائة ألف وعشرون ألفا قلت يا رسول الله كم الرسل من ذلك قال ثلاث مائة وثلاثة عشر جما غفيرا قال قلت يا رسول الله من كان أولهم قال آدم قلت يا رسول الله أنبي مرسل قال نعم خلقه الله بيده ونفخ فيه من روحه وكلمه قبلا ثم قال يا أبا ذر أربعة سريانيون آدم وشيث وأخنوخ وهو إدريس وهو أول من خط بالقلم ونوح وأربعة من العرب هود وشعيب وصالح ونبيك محمد صلى الله عليه وسلم ..."
Kata al-Shaykh Shu‘aib al-Arnāūt: Isnadnya terlampau lemah (da‘if jiddan). Namun sebahagian daripada kandungan hadith ini berderajat sahih, diriwayatkan oleh ahli hadith lainnya antaranya Imam Ahmad bin Hambal. [16]
Maka antara lain, riwayat yang lemah ini menyebutkan bahawa Nabi Shu‘aib adalah berbangsa Arab. Kenyataan ini disebutkan juga di dalam beberapa kitab[17] yang menjelaskan bahawa kaum Madyan adalah berbangsa Arab dikenali juga sebagai kabilah ‘Anazah, yang tinggal di perkampungan Madyan kawasan Ma‘ān, berhampiran dengan Tasik Lūt, di penghujung Daerah Sham yang bersempadan dengan Hijaz. Wallāhu aclam.



[1] Al-Imam Muhammad bin Is-hāq (w.151H - anak murid kepada Imam Hadith zaman Tabi‘in Al-Zuhri w.124H), ilmuwan besar dalam bidang sirah terutamanya “Al-Maghāzi” namun periwayatan beliau tidak sampai ke derajat sahih, bahkan berderajat hasan sahaja dan itupun dengan syarat, iaitu beliau meriwayatkan dengan “tasrīh” (haddathani atau akhbarani dsb. dan bukan dengan periwayatan ‘an-‘anah) kerana beliau seorang mudallis. Demikian yang dinyatakan mengenai beliau oleh beberapa ahli hadith dengan nas kata-kata mereka yang dikemukakan oleh Shaykh Akram al-‘Amri, al-Sīrah al-Nabawiyah al- Sahīhah, Maktabah al-‘Ulūm wa al-Hikam, Madinah, 1413H/1993, jil. 1, hlm. 56-58.
[2] Ibnu Kathīr, Abul Fidā’ Ismā‘il bin Kathīr (w.774H), al-Bidāyah wa al-Nihāyah, Dār al-Ma‘rifah, Beirut, 1417H/1997, jil. 1, hlm. 204
[3] Ibid., hlm. 204-205
[4] Kedudukan periwayatan beliau telah dijelaskan sebelum ini pada nota kaki no: 7, namun demi penambahan faedah bersama ada baiknya disebutkan bahawa Imam Ibnu Hishām, pengarang kitab Sirah yang tidak asing lagi, telah memuatkan periwayatan Muhammad bin Is-hāq di dalam keseluruhan kitab Sirah beliau. Demikian yang telah dijelaskan di dalam rujukan berikut: Shaykh Akram al-‘Amri, al-Sīrah al-Nabawiyah al- Sahīhah, jil. 1, hlm. 58-60.
[5] Al-‘Asqalānī, Al-Hāfiz Ahmad Ibnu Hajar, Fathal-Bārī Sharh Sahīh al-Bukharī, Markaz al-Turāth Li Abhāth al-Hāsib al-Ālī, Amman, 1418H/1997, jil. 6, hlm. 450
[6] Dr. Hamzah al-Nushratī et al, Mawsū‘ah al-Qasas Al-Qur’āni, al-Maktabat al-Qaiyimah, Kaherah, t.th, jil. 3, hlm. 4.
[7] Ibid.
[8] Al-Dhahabi, Dr Muhammad Husayn, Isrā’iliyāt fī al-Tafsīr wa al-Hadīth, hlm. 180-194.
[9] Al-‘Asqalānī, Al-Hāfiz Ibnu Hajar, Fathal-Bārī Sharh Sahīh al-Bukharī, jil. 6, hlm. 450
[10] Ibnu Kathīr, al-Bidāyah wa al-Nihāyah, jil. 1, hlm. 204
[11] Ibnu Kathīr, Tafsir Al-Qur’ān al-‘Azīm, jil. 3, hlm. 371
[12] Al-Albāni, Al-Shaykh Muhammad Nāsiruddin, Sahih al-Jāmi‘ al-Saghir, jil. 1, hlm. 358, Bab حرف الألف”, hadith no: 1895. Hadith berderajat Sahih diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhāri, Muslim, al-Nasā’i dan Ibnu Mājah.
[13] Ibnu Kathīr, al-Bidāyah wa al-Nihāyah, jil. 1, hlm. 205; Dr. Hamzah al-Nushratī et al, Mawsū‘ah al-Qasas Al-Qur’āni, jil. 3, hlm. 5; Abu Bakar al-Jazā’iri, Qasas al-Mursalīn fi Kitāb Rabb al-‘Ālamīn, Maktabat al-Malik Fahd al-Wataniyah, Madinah 1420H, hlm. 41
[14] Ibid., jil. 1, hlm. 206;
[15] Al-‘Asqalānī, Al-Hāfiz Ibnu Hajar, Fathal-Bārī Sharh Sahīh al-Bukharī, jil. 6, hlm. 450
[16] Ibnu Hibbān, Imam Muhammad bin Hibbān, Sahīh Ibnu Hibbān bi Tartīb Ibn Balbān, Markaz al-Turāth Li Abhāth al-Hāsib al-Ālī, Amman, 1418H/1997, jil. 2, hlm. 76 (hadith no: 361)
[17] Muhammad Ahmad Jād al-Mawlā et al, Qasas Al-Qur’ān, Dār al-Fikri, Mesir, t.th, hlm. 123; Dr. Hamzah al-Nushratī et al, Mawsū‘ah al-Qasas Al-Qur’āni, jil. 3, hlm. 4; Al-‘Asqalānī, Al-Hāfiz Ibnu Hajar, Fathal-Bārī Sharh Sahīh al-Bukharī, jil. 6, hlm. 450; Ibnu Kathīr, al-Bidāyah wa al-Nihāyah, jil. 1, hlm. 204; Abu Bakar al-Jazā’iri, Qasas al-Mursalīn fi Kitāb Rabb al-‘Ālamīn, hlm. 41; Dr. Muhammad Tīb al-Najjār, Tārīkh al-Anbiyā’ fī Dau’ Al-Qur’ān al-Karīm wa al-Sunnah al-Nabawiyah, Dār al-I‘tisām, Mesir, 1401H/1981, hlm. 171.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts