Thursday, February 2, 2012

Asas2 Pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah_Bab1(1)

BAB I
PENGERTIAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Sekiranya kita susuri sejarah perkembangan Islam, kita akan dapati banyak puak-puak tertentu dari kalangan umat Islam yang mengaku atau mendakwa bahawa mereka adalah Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenarnya (yang dimaksudkan oleh Nabi صلى الله عليه و سلم).

Hari ini, esok mahupun pada bila-bila masa, senantiasa akan ada firqah yang membuat dakwaan tersebut. Antaranya ialah Ar-Raafidhah (Asy-Syi’ah), Al-Khawaarij, Al-Jahmiyah, Al-Jabariyah, Al-Qadariyah, Al-Mu’tazilah, Al-Murji-ah dan lainnya. Demikian juga halnya dengan jemaah-jemaah Islam. Maka, di dalam kita berhadapan dengan kemungkinan seperti ini, perlu ada ketentuan atau kaedah-kaedah tertentu untuk kita mengenalpasti mana satukah golongan Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenarnya.


Sebagai permulaan, adalah baik kita mengetahui apakah ta’riif atau definasi ungkapan “Ahli Sunnah wal Jamaah”. Siapakah mereka? Apakah yang dimaksudkan dengan As-Sunnah dan siapakah pula yang dimaksudkan dengan Al-Jamaah?
Definasi As-Sunnah
As-Sunnah :
1. dalam pengertian bahasa (Arab): ialah At-Thariiqah atau As-Siirah iaitu jalan/perjalanan.
2. dalam pengertian istilah : kita dapati ada;
a. Istilah Ahli Hadits,
b. Istilah Ahli Usul,
c. Istilah Ahli Fiqh,
d. Istilah Ahli Salaf
a) di sisi Ahli Hadits (Muhadditsiin), As-Sunnah adalah :-
segala yang diwarisi daripada Nabi صلى الله عليه و سلم baik dari segi kata-kata (ucapan), perbuatan dan taqriir[1] serta sifat-sifat baginda صلى الله عليه و سلم, baik dari segi akhlaq (keperibadian) atau perawakan (rupa kejadian), juga riwayat hidup baginda صلى الله عليه و سلم baik sebelum atau sesudah kenabian.
b) di sisi Ahli Usul pula :-
segala yang ditukil atau diambil daripada Nabi صلى الله عليه و سلم, baik dari ucapan, perbuatan mahupun taqriir.
c) di sisi Ahli Fiqh (Fuqahaa) [2] :-
segala hukum yang bukan wajib yang sabit (berasal) daripada Nabi صلى الله عليه و سلم .
Iaitu sepertimana yang kita ketahui di dalam 5 Hukum Islam; Wajib, Haram, Harus (Mubah), Makruh dan Sunnat.
d) di sisi Ahli Salaf[3] pula :-
segala yang bersesuaian (lagi memenuhi tuntutan) dengan Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah RasulNya صلى الله عليه و سلم serta pegangan para Sahabat Nabi رضي الله عنهم , baik di dalam perkara i’tikad mahupun ibadat.
Dengan demikian, adalah jelas bahawa pengertian (istilah) As-Sunnah di sisi Ahli Salaf adalah istilah yang padat yang mengandungi pengertian agama Islam yang menyeluruh sebagaimana yang didefinasikan oleh Imam Ibn Rajab[4] :
As-Sunnah ialah satu jalan yang mesti dilalui (atau disusuri). Maka dengan sendirinya, ia merangkumi satu pegangan, yang berpegang-erat dengan apa yang ditunjukajarkan oleh Nabi صلى الله عليه و سلم dan ke-empat-empat Khalifah Ar-Raasyidiin dalam segenap persoalan i’tikad, amalan dan tingkahlaku. Inilah pengertian serta pengamalan As-Sunnah yang sempurna. Oleh kerana itu, para Salafussholih pada zaman dahulu, tidak mengertikan perkataan As-Sunnah secara mutlak (umum), kecuali sebagaimana yang telah dirangkumkan tadi.” [5]
Dengan pengertian ini, bererti lawannya As-Sunnah ialah Al-Bid’ah. Tetapi, jika kita mengertikan As-Sunnah dengan istilah Ahli Fiqh, maka yang bertentangan dengan As-Sunnah ialah Haram dan Makruh.
Oleh yang demikian, makna Ahli Sunnah ialah mereka yang mengikuti Nabi dalam urusan i’tikad dan ibadat mereka kepada Allah. Lantaran itu, kita dapati ramai dari ulama golongan As-Salaf yang menamakan kitab-kitab (buku-buku) mereka dengan As-Sunnah; seperti kitab “As-Sunnah” karangan Imam Ahmad bin Hambal, “As-Sunnah” karangan (anak beliau) Abdullah bin Ahmad bin Hambal, “As-Sunnah” karangan Al-Haafizh ibn Abi ‘Aashim dan yang seumpamanya.
Kini, setelah jelas kepada kita definasi As-Sunnah, ingin pula kita ketahui siapakah Al-Jamaah serta memahami erti Al-Jamaah.



[1] taqriir : diamnya Nabi صلى الله عليه و سلم dan tidak menegah atau menegur sesuatu perbuatan Sahabat, sebagai tanda setuju atau redha baginda صلى الله عليه و سلم terhadap perbuatan tersebut.
[2] Ahli Fiqh mempunyai banyak ta’riif (definasi) bagi As-Sunnah. Ini adalah salah satu daripadanya.
[3] Ahli Salaf atau Salafussolih secara mutlak (am) adalah gelaran bagi para Sahabat Nabi رضي الله عنهم , At-Taabi’uun dan Taabi’ut-taabi’iin (3 kurun atau generasi Islam yang pertama ; 1-310H). Secara khusus pula, mereka yang datang selepas itu (kurun ke 3 Hijrah), juga digelarkan As-Salaf, selagi mereka berpegang dengan apa yang dii’tikadkan dan diamalkan oleh para Sahabat dan At-Taabi’uun, sehinggalah Hari Kiamat.
4] Ibn Rajab : nama beliau ialah Abdur Rahman bin Ahmad bin Rajab Al-Hambali (wafat: 795H), seorang Imam Al-Haafizh, Ahli Hadits dan Fiqh.
[5] Tukilan dari kitab: “Jaami’ul ‘Uluum wal Hikam” karangan Imam al-Hafiz Ibn Rajab.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts