Thursday, February 2, 2012

Asas2 Pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah_Bab1(2)

Definasi Al-Jamaah

Al-Jamaah:
1. dari segi bahasa: ialah segolongan atau sekumpulan manusia yang bersatu untuk satu tujuan.
2. dari segi istilah pula: ialah mereka yang kita kenali sebagai Sahabat-sahabat Nabi صلى الله عليه و سلم

Penjelasannya:
Maka, yang dimaksudkan dengan Al-Jamaah ialah para Sahabat Nabi رضي الله عنهم , yakni orang-orang yang terdahulu dari generasi pertama Islam. Demikian juga, termasuk dalam istilah Al-Jamaah, mereka yang mengikuti para Sahabat رضي الله عنهم (walaupun hanya seorang diri sahaja). Selagi seseorang itu berpegang dengan pegangan serta mengikuti jejak langkah Sahabat رضي الله عنهم, maka ia adalah Al-Jamaah. Meskipun seorang diri, ia tetap digelar segolongan (Al-Jamaah kerana mewakili para Sahabat).
Pengertian yang umum :-
Dalam pengertian yang umum, Al-Jamaah adalah sekumpulan manusia yang berkumpul, bersatu di bawah naungan seorang Imam (Khalifah) yang berhukum menurut keperluan Syar’ie (Syari’at Islam). Inilah pengertian Al-Jamaah yang haram bagi seorang Muslim keluar daripadanya - murtad[1] .
Pengertian yang khas :-
Dalam pengertian yang khas pula, Al-Jamaah adalah mereka yang berpegang teguh pada tunjukajar Rasulullah صلى الله عليه وسلمdan bersatu kerana pegangan ini. Mereka itu adalah para Sahabat[2], At-Taabi’uun[3] (generasi yang menyusuli zaman Sahabat), para Imam yang diberi petunjuk lagi dii’tiraf umat (seperti Imam-imam Abu Hanifah, Malik, Sufyan, Hasan Al-Bashri, Asy-Syaafi’ie, Ahmad bin Hambal - yang sebahagiannya tergolong dalam Tabi’ut-taabi’iin[4]) dan yang seumpama mereka, yang mengikuti Nabi صلى الله عليه وسلم dan para Sahabat رضي الله عنهم dalam i’tikad, ibadat, ucapan dan amalan secara sempurna, lagi terpelihara jauh dari bid’ah. Mereka dan golongan yang mendakwa diri mereka Ahli Sunnah wal Jamaah (dengan dakwaan yang benar mahupun yang bathil), akan tetap wujud sehingga Hari Kiamat.

Yang tercicir dari pengertian Ahli Sunnah wal Jamaah
Maka, dari pengertiannya yang umum tadi, kesemua golongan yang mendakwa diri mereka Islam, tergolong di dalam golongan Ahli Sunnah kecuali Ar-Raafidhah (Asy-Syi’ah)[5]. Hasilnya, timbullah gelaran : “Si Fulan ini Sunni (Ahli Sunnah), manakala Si Fulan ini Syi’ie (Syi’ah yakni bukan Ahli Sunnah)”, di sisi orang awam (bukan dari golongan ulama)[6]. Sebab, di sisi mereka, Ar-Raafidhah adalah golongan yang masyhur dengan sifat mereka yang sentiasa mencanggahi Sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم . Maka, di sisi pengetahuan orang awam, tiada yang bercanggah (bertentangan) dengan As-Sunni kecuali Ar-Raafidhah (Asy-Syi’ah).
Sementara itu, dari pengertian Al-Jamaah yang khas pula, Ahli Sunnah yang tulen ialah golongan yang terselamat dari segala jenis bid’ah. Maka terkeluarlah dari Ahli Sunnah, semua firqah ahli bid’ah seperti Al-Khawaarij, Al-Jahmiyah, Al-Murji-ah, Al-Mu’tazilah dan Asy-Syi’ah juga serta golongan ahli bid’ah lainnya.
Kini, kita telah mengetahui makna As-Sunnah dan siapa yang dimaksudkan dengan Al-Jamaah dari sudut pengertiannya sahaja. Di dalam bab selanjutnya, akan dibicarakan pula ciri-ciri dan dasar-dasar Ahli Sunnah wal Jamaah. Ketentuan-ketentuan tersebut, menjadi kayu ukur untuk kita mengenalpasti Ahli Sunnah wal Jamaah yang hakiki dan tulen.
Apakah mereka yang bukan Ahli Sunnah wal Jamaah pasti masuk Neraka?
Sebelum kita menyambung bicara, mungkin menjadi satu tanda tanya bahkan timbul satu kekeliruan terhadap mereka yang tercicir dari firqah Ahli Sunnah wal Jamaah. Iaitu, apakah dengan mengatakan bahawa mereka bukan dari Ahli Sunnah wal Jamaah (yang tulen) bererti mereka akan masuk Neraka?
Jawapannya : Tidak. Ahli Sunnah wal Jamaah menghukum fahaman atau pegangan atau i’tikad firqah-firqah tersebut, tetapi tidak menghukum orang perseorangan (individu). Sebab, Ahli Sunnah wal Jamaah ialah golongan yang paling mengetahui kebenaran (Al-Haq) dan paling berkasih-sayang dengan sesama makhluk. Mereka tidak menghukum seseorang dengan kekufuran dengan sewenangnya, kecuali yang telah dihukum kafir oleh Allah dan RasulNya صلى الله عليه وسلم . Demikian juga, mereka tidak menentukan seseorang sebagai ahli Neraka atau ahli Syurga melainkan dengan bukti yang nyata dari Al-Quran dan As-Sunnah.



[1] sila rujuk kitab-kitab yang mensyarahkan hadits ke 14, riwayat Ibnu Mas’ud dari kumpulan Hadits 40 Imam An-Nawawi, Khalifah tersebut menghukum menurut ajaran Nabi, manakala bagi pengertian Al-Jamaah adalah Sahabat Nabi pula, sila rujuk hadits ke 28.
[2] Sahabat : setiap orang yang bertemu dengan Nabi sewaktu hayatnya baginda, beriman dengan baginda dan mati di dalam keadaan iman.
[3] At-Taabi’uun : setiap mukmin (yang lahir selepas kewafatan Nabi), yang bertemu dengan Sahabat Nabi semasa hayat mereka, mewarisi ilmu mereka dan mati di dalam keadaan iman.
[4] setiap Mukmin yang lahir ketikamana semua Sahabat Nabi telah wafat, namun mereka sempat bertemu dengan At-Taabi’uun, mewarisi ilmu mereka dan mati di dalam keadaan beriman.
[5] sebab As-Syi’ah sentiasa ada Imam mereka tersendiri yang menghukum dengan ajaran tersendiri berbeza dari ajaran Syar’ie/Nabi.
[6] maksudnya, gelaran ini bukan gelaran yang digunakan di sisi ulama. Ulama mengenali Asy-Syi’ah dengan pengenalan yang lebih teliti dan terperinci.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts