Thursday, February 16, 2012

Hadis Musykil Penciptaan Nabi Adam 60 hasta (2)

PERKARA YANG DIMUSYKILKAN DI DALAM HADITH INI
DAN HURAIANNYA

"خَلَق الله ُآدمَ علىَ صُورَتِـه ، طُوْلُه سِتُّونَ ذِراعاً ، فَلَمَّا خَلَقَه؛ قَال: اذْهَبْ فَسَلِّمْ علىَ أُولَئكَ النَّفَرِ مِنَ الْمَلائِكَةِ جُلُوسٌ ، فَاسْتَمِـعْ مَا يُحَيُّـونَـك ؛ فَإِنَّها تَحِيَّتُكَ وَ تَحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ . فَقَالَ: السَّلامُ عَلَيْكُم . فَقَالُوا : السَّلامُ عَلَيْكَ وَ رَحْمَةُ اللهِ . فَزَادُوه : وَ رَحْمة الله ، فَكُلُّ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَلىَ صُوْرَةِ آدَمَ ، فَلَمْ يَزَلِ الْخَلْقُ يَنْقُصُ بَعْدُ حَتَّى الآنَ . "


Maksudnya: Allah telah menciptakan (nabi) Ādam dengan rupa bentuknya, dengan ketinggiannya 60 hasta. Maka setelah Allah menciptakannya Allah berfirman: “Pergilah ucapkan salam kepada sekumpulan malaikat yang sedang duduk itu dan dengarkanlah apa yang akan mereka ucapkan (sebagai ucapan salam) kepada mu kerana itulah ucapan salam mu dan itulah juga ucapan salam zuriat keturunan mu”. Maka (nabi) Ādam pun mengucapkan (kepada mereka): “Assalāmu ‘alaikum”. Sahut para malaikat: “Assalāmu ‘alaikum wa rahmatullāh”. Maka mereka telah menambahkan baginya: “wa rahmatullāh”. Maka setiap orang memasuki syurga dengan rupa bentuk (nabi) Ādam, (sebahagian riwayat: yakni dengan ketinggiannya 60 hasta) maka umat manusia semakin berkurangan (rupa bentuknya) selepas itu sehinggalah sekarang ini.

2.1 Kandungan hadith yang pada zahirnya menimbulkan kemusykilan

‘Ulama’ telah menyebutkan bahawa di dalam hadith ini, terdapat beberapa perkara yang zahirnya menimbulkan kemusykilan.
i. Apakah kataganti nama yakni “الضمير” di dalam perkataan “صورته” kembali kepada Allah atau nabi Adam? Yakni rupabentuknya (Adam) atau rupa bentukNya (Allah)?
Al-Imām Ibnu Hibbān , sejurus selepas menyebutkan hadith ini di dalam kitab Sahīh beliau, menukilkan kata-kata Imam Abu Hātim :
"هذا الخبر تَعَلَّقَ به من لم يُحْكِم صِناعة العِلم و أَخَذَ يَشْنَع على أهْل الحديث الذين يَنْتَحِلُون السُنن و يَذُبُّون عنها و يَقْمَعُون مَن خَالَفها بأن قال : ليستْ تَخْلُو هذه الهـاء مِن أن تُنسب إلى الله أو إلى آدم فإن نُسِبت إلى الله كان ذلك كُفرا إذ لَيْسَ كَمِثْلِه شَيء [1] و إنْ نُسبت إلى آدم تَعْرَى الخبر عن الفائدة لأنه لاشَكَّ أن كُل شيء خُلِق على صورته لا على صورة غيره ..."
Hadith ini menambat orang yang tidak memahiri kehalusan ilmu sehingga ia mula mencemuh para Ahli Hadith yang menganuti (yakni berpegang dengan) sunnah-sunnah, yang membelanya dan menundukkan setiap yang mencanggahinya (sunnah-sunnah), dengan mengatakan: huruf “هـ” di dalam riwayat ini tiada lain kemungkinan kecuali samada ia dimaksudkan kepada Allah atau ditujukan kepada Adam. Maka sekiranya yang dimaksudkan adalah Allah, sudah tentu ia suatu kekufuran kerana (maksud ayat) “tiada yang menyerupaiNya” dan seandainya ditujukan kepada Adam, maka riwayat ini tiada apa-apa makna yang berfaedah kerana tidak syak lagi bahawa setiap sesuatu itu memang diciptakan dengan rupa bentuknya dan tentunya bukan dengan rupa bentuk sesuatu yang lain…[2]
ii. 60 hasta yang disebutkan adakah seperti ukuran sekarang ataukah berbeza? Apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan 60 hasta?
Kata al-Hāfiz Ibn Hajar : (trj.) kemungkinan yang dimaksudkan adalah ukuran sehasta yang diketahui pada zaman tersebut di sisi mereka yang mendengarkannya (penyampaian hadith)…seandainya diukur dengan ukuran sehasta yang kita sedia dimaklumi sekarang ini, tentunya tangannya (nabi Adam) terlalu pendek dibandingkan dengan ukuran tubuhnya.[3]
iii. Bagaimanakah manusia selepas nabi Adam sehingga kini terus-terusan berkurangan dalam rupa bentuk, padahal kita saksikan sekarang ini, tidak ada perubahan pada manusia daripada sudut itu?
Al-Hāfiz Ibn Hajar dan Al-Imām al-‘Aynī masing-masing telah menukilkan kata-kata Al-Imām Ibn al-Tīn (trj.): “فَلَمْ يَزَلِ الْخَلْقُ يَنْقُصُiaitu sebagaimana seseorang manusia itu bertambah tahap demi tahap di dalam ukuran tubuhnya…dan yang dimusykilkan terhadap kesimpulan ini ialah apa yang diketemukan daripada kesan-kesan peninggalan umat-umat yang terdahulu…dan sehingga sekarang ini, belum jelas kepada ku, apa yang dapat melenyapkan kemusykilan ini.[4]
Demikianlah sebahagian daripada kandungan hadis ini yang zahirnya menimbulkan kemusykilan, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beberapa orang Imam Ahli Hadith. Penjelasan yang dikemukakan berikut ini, berdasarkan kefahaman ‘ulamā’, Inshā’ Allāh, dapat melenyapkan kemusykilan yang timbul.



[1] Al-Qur’ān, al-Shūrā: 42:11
[2] Ibnu Hibbān, Muhammad Ibnu Hibbān, Al-Ihsān bi Tartīb Sahīh Ibnu Hibbān, Dār al-Kutub al-‘Ilmiyah, Beirut, 1408H/1987, jil. 8, hlm. 12.
[3] al-Hāfiz Ibn Hajar al-‘Asqalāni, Fath al-Bārī Sharh Sahīh Al-Bukhārī, Dār al-Kutub al-‘Ilmiyah, Beirut, 1421H/2000, jil. 6, hlm. 452.
[4] Ibid.; al-Imām Badr al-Din al-‘Aynī, ‘Umdat al-Qārī Sharh Sahīh Al-Bukhārī, Dār Ihyā’ al-Turath al-‘Arabī, Beirut, t.th, jil. 15, hlm. 208.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts