Monday, February 20, 2012

Hadis Musykil Penciptaan Nabi Adam 60 hasta (4)

Kesimpulannya, Allah telah menciptakan nabi Adam dengan rupa bentuknya yang telah ditentukan oleh Allah, iaitu dengan ketinggian 60 hasta dan baginda diciptakan daripada sediakalanya bersifat tiada dan baginda tidak melalui proses kejadian manusia seperti yang dilalui kesemua zuriat baginda . Ini adalah suatu keistimewaan dan kelebihan yang ada pada nabi Adam yang tidak ada pada manusia lainnya. Disebutkan tentang penciptaan baginda yang unik ini, untuk menonjolkan keistimewaan baginda, jika dibandingkan dengan makhluk lainnya. Wallahu a‘lam.


i. Adapun mengenai ukuran 60 hasta, maka persoalan ini juga telah dibincangkan oleh ‘ulama’.
Al-Imām al-‘Aynī ketika menerangkan hadith ini, telah menukilkan kata-kata Al-Imām Ibn al-Tīn : Yang dimaksudkan adalah ukuran hasta[1] kita sebab ukuran hasta setiap seseorang adalah suku ukuran keseluruhan tubuhnya. Seandainya dengan ukuran hasta Adam tentunya tangannya terlalu pendek dibandingkan dengan ketinggian tubuhnya[2] seperti (jika diumpamakan) ukuran jari atau kuku kita dibandingkan dengan ukuran keseluruhan tubuh kita. Dikatakan juga, kemungkinan dengan ukuran hasta Adam sendiri dan kesimpulan yang pertama lebih masyhur (diterima ramai ‘ulama’).[3]
Al-Hāfiz Ibn Hajar juga telah menyebutkan kesimpulan yang sama.[4] Oleh itu, ukuran 60 hasta ketinggian nabi Adam sebagaimana yang disimpulkan tadi, adalah 60 hasta yang kita fahami sekarang iaitu lebih kurang 46.2sm[5] x 60 = 2772 (27.72meter) dengan ukuran lengannya (27.72m ÷ 4 = 6.93m). Wallahu a‘lam.
ii. Persoalan yang paling banyak menimbulkan kemusykilan ialah lafaz atau frasa “فَلَمْ يَزَلِ الْخَلْقُ يَنْقُصُ yang terkandung di dalam hadith ini, yang ertinya: maka umat manusia semakin berkurangan (rupa bentuknya) selepas itu sehinggalah sekarang ini. Golongan yang tidak beriman mungkin mempersoal sejauh mana kebenaran kenyataan ini, dengan berhujjah bahawa mereka tidak melihat umat manusia berkeadaan demikian. Apatah lagi ilmu kajihayat menemukan manusia zaman purba seperti Peking Man dan yang terbaru yang mereka gelarkan Ice Man dengan ketinggian atau ukuran tubuh mereka tidak banyak berbeza dengan ukuran dan ketinggian umat manusia zaman sekarang. Begitu pula, sejak manusia mula merakamkan gambar dengan penemuan “fotografi” sehingga hari ini, ketinggian manusia tidak ada perubahan padahal telah berabad berlalu sejak zaman itu.
Justeru itu, apa yang telah disimpulkan oleh ‘ulama’ sekitar maksud frasa ini perlu diteliti agar kita tidak membina kefahaman yang silap terhadap hadith ini.
Al-Hāfiz Ibn Hajar juga telah mengemukakan kata-kata Al-Imām Ibn al-Tīn ketika menerangkan tentang maksud frasa ini: Ertinya sebagaimana ukuran tubuh seseorang itu bertambah sedikit demi sedikit (daripada bayi hingga dewasa),kejadian itu tidak dapat dilihat atau dikesan dalam masa beberapa jam, tidak pula sehari dua bahkan bila telah berlalu hari-hari yang sangat banyak barulah dapat dilihat dengan nyata pertumbuhannya, maka demikian jugalah halnya dengan keadaan berkurangannya ketinggian dan ukuran umat manusia. Namun yang masih dimusykilkan ialah penemuan-penemuan kesan peninggalan sejarah umat-umat yang terdahulu seperti kediaman kaum Thamud, kerana ukuran rumah-rumah mereka menggambarkan bahawa ukuran tubuh badan mereka tidak terlampau tinggi menurut apa yang difahami berdasarkan keterangan hadith (yang memberi gambaran bahawa semestinya kaum Thamud dan umat manusia terdahulu tinggi besar tubuh mereka hampir sama dengan nabi Adam). Tidak diragukan lagi bahawa zaman mereka (Thamud) adalah zaman yang sangat silam. Begitu juga jarak masa di antara zaman mereka dengan zaman Adam adalah lebih singkat daripada jarak zaman di antara mereka dengan umat Muhammad. Sehingga sekarang ini pun saya belum mendapatkan huraian yang melenyapkan kemusykilan ini.[6]
Demikianlah yang dinyatakan oleh Al-Imām Ibn al-Tīn . Walaubagaimanapun, sebelum menukilkannya al-Hāfiz Ibn Hajar telah menjelaskan berikut: Maksudnya bahawa pertumbuhan umat manusia pada setiap kurun berkurangan pada puncak ketinggiannya yang mampu ia capai jika dibandingkan dengan kurun sebelumnya dan pengurangan puncak ketinggiannya ini terhenti atau berakhir dengan umat ini, umat Muhammad , setelah itu kemuncak ketingian manusia tidak berkurangan lagi.[7]
Al-Imām al-‘Aynī juga membuat kesimpulan yang sama, cuma pada penghujungnya beliau menambah: dan itulah makna “حَتَّى الآنَ”sehingga sekarang ini. [8]
Dengan itu, frasa “sehingga sekarang ini” adalah dimaksudkan kepada zaman Nabi Muhammad dan bukannya zaman kita sekarang ini. Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Abu Hātim, bilamana sesebuah hadith itu telah terjamin ketulenannya daripada sudut periwayatan, maka kandungannya tidak dipertikaikan lagi.
Menurut pendapat peribadi penulis, apa yang dimusykilkan oleh Al-Imām Ibn al-Tīn , telah terjawab dengan kesimpulan al-Hāfiz Ibn Hajar dan Al-Imām al-‘Aynī. Menurut keterangan beliau sendiri, kediaman Thamud memang besar ukurannya cuma tidak terlampau besar, seperti ukuran yang hampir 60 hasta, padahal zaman mereka lebih hampir kepada zaman nabi Adam. Semestinya, berdasarkan keterangan hadith ini, mereka masih berukuran hampir 60 hasta. Kemusykilan ini, wallahu a‘lam, boleh dijawab seperti berikut:
a. Sebenarnya tiada keterangan fakta sejarah yang dapat diyakini untuk menentukan jarak zaman di antara nabi Adam dan kaum Thamud. Maka untuk membuat kesimpulan berdasarkan qiyas zamani demikian adalah tidak tepat kerana fakta zaman sendiri tidak dapat dipastikan
b. Seandainya benar bahawa zaman kaum Thamud amat hampir kepada zaman nabi Adam, maka pada satu-satu kurun kemungkinan ada kaum tertentu yang umumnya lebih rendah dalam ukuran dibandingkan dengan kaum lainnya. Misalnya, kaum yang berasal daripada Eropah atau “Arya” dan Arab umumnya lebih besar tinggi daripada kaum yang berasal daripada Asia. Namun, kediaman kaum Thamud boleh dikatakan berukuran besar yang ketara jika dibandingkan dengan umat manusia zaman sekarang. Oleh itu tiada apa yang bercanggah dengan keterangan hadith ini, malah fakta “kediaman Thamud” menyokongnya. Wallahu a‘lam
Seterusnya, bilamana penulis tidak ketemukan apa-apa penjelasan yang menangkis sebahagian persoalan tadi yang mungkin ditimbulkan oleh golongan yang tidak beriman kepada hadith yang telah dipastikan ketulenannya berasal daripada sabda Rasulullah , penulis merasa terpanggil untuk mengusahakan beberapa jawapan dengan megharapkan Taufiq Allah:
a. Penemuan Peking Man dan Ice Man tidak dapat dijadikan hujjah menurut pendapat peribadi penulis kerana ilmu kaji hayat menentukan usia jasad-jasad yang diketemukan itu berdasarkan kesimpulan teori iklim, peralatan atau perkakas yang ada bersamanya, tahap kereputannya (decay and decomposition) dan sebagainya yang masih berupa teori atau andaian-andaian. Apa yang berupa andaian masih ada ruang perbahasan dan kemungkinan benar salahnya. Oleh itu, ia tidak menggambarkan manusia zaman silam atau “purbakala” dengan pasti. Lagipun, sehingga kini, masih ada rumpun manusia pendalaman atau orang asli yang menggunakan peralatan dan perkakas zaman kuno. Yang masih mencurigakan ialah wajah Peking Man yang agak hodoh mirip seekor kera, kemungkinan ingin mereka kaitkan dengan dakyah Darwinisma, yang berpendapat manusia berasal daripada beruk (Apes).
b. Seandainya benar mereka manusia zaman purba tetapi ukuran tubuh mereka seperti ukuran manusia zaman sekarang, maka masih ada kemungkinan bahawa yang diketemukan itu adalah manusia yang pada zaman dahulu (ketika manusia lain berukuran besar) tergolong dalam golongan manusia berukuran kerdil. Contohnya pada zaman sekarang pun, jika dibandingkan seorang lelaki biasa berasal daripada Eropah yang paling besar ukuran tubuhnya, dibandingkan dengan lelaki Asia yang paling kecil, tentunya perbezaannya masih ketara.
c. Para Saintis, kebanyakannya berdasarkan teori “evolusi” Darwin, seperti meyakini kewujudan “Mammoth” Gajah Gergasi zaman purbakala, begitu pula dikatakan terhadap berbagai haiwan lainnya yang kononnya umumnya berukuran besar seperti “Dinosaurs”, namun sekarang ini semuanya telah pupus. Maka bukankah boleh diterima akal, dengan hujjah dan kesimpulan mereka ini, bahawa kemungkinan manusia juga berukuran besar pada zaman purba, seperti halnya haiwan yang kini berukuran kecil dibandingkan dengan haiwan purba? Apakah mungkin diambil kira kubur para nabi zaman silam yang terpelihara, yang besar ukurannya sebagai bukti kenyataan ini?
Wallahu a‘lam
Demikianlah yang dapat penulis kemukakan dengan kajian yang serba sederhana ini, walaupun sebenarnya, bagi golongan yang beriman dan berusaha berpegang dengan ajaran al-Sunnah, sikap mereka adalah kami dengar dan kami taat, pengampunan Tuhan kami yang kami harapkan. Namun demi penambahan pengetahuan, penguat keyakinan, menangkis kekeliruan dan fitnah yang ditimbulkan pihak musuh-musuh Islam dan sebahagian umat Islam yang mengingkari al-Sunnah, hadith-hadith seperti ini, perlu dikaji dan difahami dengan sebaiknya.
Kesimpulan makna hadith tersebut secara ringkas adalah:
  1. Bahawasanya Allah telah menciptakan Nabi Adam dengan rupa bentuk yang telah direka khas untuknya.
  2. Rupa bentuknya itu adalah ketinggiannya berukuran 60 hasta. Sejak mula diciptakan, ketika ditempatkan di syurga, ketika turun ke bumi dan hidup di dunia ini, sehinggalah saat kewafatan baginda serta waktu baginda memasuki syurga kelak, rupa bentuk yang sempurna pada diri baginda tidak mengalami perubahan.
  3. Disebutkan di dalam hadith ini mengenai penciptaan nabi Adam dengan rupa bentuknya ini, adalah sebagai penonjolan keistimewaan baginda yang tidak sama dengan semua manusia lainnya yang melalui proses kewujudan daripada benih, kepada darah, kemudian daging dan seterusnya. Begitu juga ia menjadi hujjah ke atas golongan yang beri‘tikad dengan selain keterangan ini, mengingkari bahawa manusia adalah penciptaan Allah serta mereka yang menolak bahawa Allah mencipta perbuatan-perbuatan manusia.
  4. Ukuran 60 hasta, menurut pendapat yang terpilih adalah ukuran yang kita maklumi kerana ukuran ini telah ada pada zaman Rasulullah dan para Sahabat, yang dengan tafsiran ini bererti ukuran nabi Adam lebih kurang 27 meter.
  5. Rupa bentuk dengan ukuran 60 hasta ini dan kesempurnaan perawakan nabi Adam akan dikurniakan kepada para penghuni syurga pada Hari Kiamat kelak.
  6. Umat manusia, zuriat nabi Adam, kurun demi kurun, semakin berkurangan paras ketinggiannya yang asalnya 60 hasta pada zaman nabi Adam. Sehinggalah keadaan ketinggian yang berkurangan itu terhenti pada zaman umat Muhammad.
Penulis juga telah berusaha merujuk beberapa kitab antaranya:
"النهاية في غريب الحديث – لإبن الأثير – باب خلق، نقص، صورة، ذراع"
"الديباج على صحيح مسلم – السيوطي "
Namun penulis tidak menemukan apa-apa keterangan tambahan berkenaan hadith ini. Kemungkinan juga boleh diertikan 60 hasta dengan maksud “majāzi” yakni bukan maksud hakiki bahkan “للمبالغة” semata-mata dengan ertikata lain, bukannya hakikat ketinggian Nabi Adam demikian tetapi semata-mata untuk menggambarkan bahawa beliau amat besar jika dibandingkan dengan umat manusia selepas beliau.
Wallahu a‘lam.
* والحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات و صلى الله على نبينا محمد و آله و سلم *



[1] Dari tulang siku di bawah lengan sampai hujung jari hantu - Kamus Dewan, hlm. 445
[2] yakni lengan tangan nabi Adam sehasta sahaja, tetapi keseluruhan badannya 60 hasta, bererti lengannya bukan 1 perempat (suku) keseluruhan ukuran tubuhnya tetapi 1 per 60. Tentunya janggal atau cacat jika digambarkan demikian, yang bercanggah dengan sifat nabi Adam yang disifatkan oleh Rasulullah sebagai manusia yang paling sempurna perawakannya yang tidak pernah baginda temui sebelumnya.
[3] al-‘Aynī, ‘Umdat al-Qārī Sharh Sahīh Al-Bukhārī, jil. 15, hlm. 209
[4] al-Hāfiz Ibn Hajar al-‘Asqalāni, Fath al-Bārī Sharh Sahīh Al-Bukhārī, jil. 6, hlm. 452.
[5] 1 hasta (ذِراع) menyamai 46.2sentimeter – Mucjam Lughah Al-Fuqahā, hlm. 450
[6] al-Hāfiz Ibn Hajar al-‘Asqalāni, Fath al-Bārī Sharh Sahīh Al-Bukhārī, jil. 6, hlm. 452-453.
[7] Ibid.
[8] al-‘Aynī, ‘Umdat al-Qārī Sharh Sahīh Al-Bukhārī, jil. 15, hlm. 209
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts