Thursday, February 16, 2012

Hadis Musykil Penciptaan Nabi Adam 60 hasta (3)

2.1 Huraian yang melenyapkan kemusykilan tersebut

i. Kataganti nama “nya” atau huruf هـyakni “الضمير” di dalam frasa “صورته” (rupabentuknya/Nya) adalah ditujukan kepada nabi Adam dan bukannya dimaksudkan dengannya “rupabentuk Allah ”.

Al-Imām al-Nawawī menjelaskan berikut (trj.): Riwayat ini jelas menunjukkan bahawa kataganti nama (الضمير) di dalam frasa “صورته” dimaksudkan dengannya adalah rupabentuknya nabi Adam dan maknanya Allah telah menciptakan nabi Adam sejak dari awal kehidupannya dengan rupa bentuknya yang sama seperti sewaktu baginda berada di muka bumi ini
dan baginda juga wafat dengan rupa bentuk yang sama tersebut iaitu dengan ketinggian 60 hasta. Maka baginda tidak mengalami perubahan secara bertahap seperti keadaan zuriat-zuriat baginda. Rupa bentuk ini jugalah rupa bentuk baginda ketika hidup di dalam syurga, sama seperti rupa bentuk baginda ketika hidup di dunia tiada perubahan…[1]
Demikian yang beliau simpulkan ketika menjelaskan hadith ini yang dimuatkan di dalam kitab “الجنة” bab “يدخل الجنة أقوام” hadith bernombor 2841. Namun sebelum itu, beliau ada menjelaskan permasalahan ini di dalam kitab البِر” bab “النهي عن ضرب الوجه” hadith bernombor 2612 seperti berikut (trj.): Maka ini tergolong di dalam kategori hadith-hadith al-Sifāt dan bahawasanya di antara ‘ulama’ ada yang tidak mahu mentakwilkannya dan kata mereka: Kita beriman bahawa ia (yakni apa yang disebutkan di dalam hadith) adalah benar sedang ia tidak dimaksudkan untuk difahami dengan maknanya yang zahir dan ia mengandungi makna yang sesuai dan layak dengannya[2] dan inilah madhhab atau pegangan kebanyakan (Jumhur) golongan al-Salaf dan ia adalah pegangan/pendapat yang paling berhati-hati dan paling selamat. Kedua, (pendapat yang menyimpulkan) bahawa ia ditakwilkan menurut apa yang bersesuaian dengan maksud/tujuan mensucikan Allah Ta‘ala dan bahawasanya tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya. Kata al-Māzirī: “Hadith ini, dengan lafaz ini adalah thābit (diyakini ketulenannya) dan sebahagian pihak ada meriwayatkan: إن الله خلق آدم على صورة الرحمنAllah telah menciptakan Adam dengan rupa bentuk al-Rahmān (Allah) dan ia sebenarnya tidak thābit (diyakini tidak tulen – bukan berasal daripada sabda Nabi Muhammad) di sisi Ahli Hadith. Seolah-olah orang yang menukilkannya telah meriwayatkannya secara periwayatan makna hadith yang sampai kepadanya lalu menjadi keliru di dalam pemahaman maksudnya. ”
Kata al-Māzirī lagi: “Ibnu Qutaybah telah terkeliru berkenaan hadith ini sehingga beliau mengambil maksudnya yang zahir lalu menyimpulkan: Allah Ta‘ala mempunyai rupa bentuk tidak seperti semua rupa bentuk yang ada…ini adalah seiras dengan fahaman golongan Al-Mujassimah, berjisim tidak seperti jisim-jisim yang kita fahami padahal Ahli Sunnah tidak pernah mengatakan bahawa Allah * adalah sesuatu (zat) yang tidak seperti segala sesuatu…” ‘Ulama’ telah berselisihan pendapat di dalam mentakwilkan maknanya, maka satu pihak mengatakan: kataganti nama di dalam frasa “صورته” kembali (dimaksudkan) kepada orang yang dipukul dan inilah yang zahir di dalam riwayat Muslim ini. Manakala sebahagian pihak lainnya berpendapat: Ia kembali (dimaksudkan) kepada Adam namun terdapat kelemahan (hujjah) pada pendapat ini. Sementara segolongan yang lain pula menyimpulkan: Ia kembali (dimaksudkan) kepada Allah Ta‘ala dan dengan itu ia bermaksud gandingan kehormatan dan kemuliaan (إضافة تشريف )serta pengkhususan seperti halnya Firman Allah: {ناقة الله} Unta Allah dan seperti yang diungkapkan gelaran al-Ka‘bah dengan Baitullah dan seumpamanya. Wallahu a‘lam.[3]
Apa yang dinyatakan oleh al-Imām al-Nawawī ini adalah sama dengan penjelasan al-Qādī ‘Iyād (w: 544H) ketika mensyarahkan hadith yang sama, cuma al-Imām al-Nawawī telah meringkaskannya dengan padat, namun malangnya al-Qādī ‘Iyād tidak menjelaskan frasa “فَلَمْ يَزَلِ الْخَلْقُ يَنْقُصُ[4].
Menurut pendapat penulis, penjelasan yang dikemukakan oleh Al-Imām Ibnu Hibbān , lebih berkesan untuk melenyapkan kemusykilan ini. Kata al-Shaykh al-Albānī sejurus selepas beliau membentangkan takhrīj hadith ini sebagaimana yang telah diutarakan tadi (trj.): (Faedah) Kata al-Hāfiz di dalam al- Fath:
“Riwayat ini menyokong pendapat yang menyatakan: Bahawa kataganti nama itu merujuk kepada Adam dan maknanya: Bahawasanya Allah Ta‘ala telah mewujudkan nabi Adam di dalam bentuk yang telah Allah ciptakan untuknya, baginda (nabi Adam) tidak mengalami perubahan keadaan bertahap-tahap di dalam kewujudan diri baginda, tidak pula berubah-ubah di dalam rahim peringkat demi peringkat seperti halnya zuriat baginda, bahkan Allah telah menciptakan baginda dengan sekali ciptaan yang tetap dalam bentuk seorang lelaki yang sempurna sejak daripada awal waktu ditiupkan ruh ke dalam tubuhnya, kemudian disudahi dengan ungkapan “dengan ketinggiannya 60 hasta” maka kataganti nama tersebut juga merujuk kepada Adam.”[5]
Komentarku: Ibnu Hibbān telah menjelaskan dengan terperinci selepas menyebutkan hadith ini maka rujuklah kesimpulan beliau tersebut, sebab ia amat berfaedah.
Adapun hadith: خلق الله آدم على صورة الرحمنmaka ia adalah munkar; sebagaimana yang telah saya jelaskan dengan terperinci di dalam “”al-Da‘īfah” dengan nombor: (1175 dan 1176) dan pengarang kitab “’Aqīdah Ahli al-Imān fī Khalqi Ādam ‘alā sūrat al-Rahmān” tidak menemukan kebenaran di dalam menghukumkannya sahih dan saya sendiri telah menulis banyak pembetulan dan komentar terhadap karangannya itu dan saya tonjolkan beberapa kekurangannya dengan mengharapkan kesempurnaan dan yang terbaik daripada Allah.[6]
Justeru penulis menukilkan berikut daripada Sahīh Ibnu Hibbān, berupa sambungan daripada nukilan yang telah dikemukakan sebelum ini: Kata Imam Abu Hātim:…Seandainya orang yang berkata demikian mengikat dirinya dengan Tuhannya dalam keadaan bersendirian sambil meminta petunjukNya untuk menemukan kebenaran dan panduan ke jalan yang lurus di dalam melazimi dan mengikuti sunnah-sunnah al-Mustafā sudah tentu lebih utama bagi dirinya daripada ia mengecam golongan yang berpegang dengan sunnah-sunnah kerana ia jahil tentang maknanya (yang sebenar) dan bukannya kejahilan seseorang insan terhadap sesuatu boleh dijadikan bukti…dan kami menyatakan bahawasanya hadith-hadith al-Mustafā bilamana ia telah jelas sahih daripada sudut (kajian) periwayatannya, tidak bercanggahan, tiada kepincangan dan tidak pula boleh dimansukhkan oleh Al-Qur’an, malah bagi setiap hadith itu suatu makna yang mampu diketahui dengan ilmu dan penjelasan yang tepat yang diterima akal, yang mampu difahami oleh golongan yang berilmu.
Maka makna hadith tersebut di sisi kami dengan apa yang disabdakan oleh baginda : Allah menciptakan Adam dengan rupa bentuknya itu, sebagai satu penjelasan yang menunjukkan kelebihan Adam yang mengatasi segala makhluk lainnya. (Huruf) “هـ” (kataganti nama tersebut) merujuk kepada Adam dan faedahnya, ia kembali kepada Adam dan bukannya Allah * Maha Suci Allah daripada segala bentuk penyerupaan atau perumpamaan dengan segala makhlukNya, iaitu Allah menjadikan sebagai sebab penciptaan, apa yang bergerak dan berkembang dengan sendirinya; (sejak daripada ia) berupa penyatuan lelaki dan perempuan, kemudian tergelincirnya air daripada tubuh lelaki yang berpindah ke rahim wanita, yang setelah itu berubah menjadi segumpal darah (zygote) selama suatu tempoh, kemudian (berubah) kepada mudigah (segumpal daging salutan, kemudian barulah berupa bentuk dan selepas itu sehingga satu waktu yang agak lama di dalamnya (rahim) kemudian ia keluar daripada tempat menetapnya itu kemudian penyusuannya, kemudian perceraian susunya, kemudian peringkat demi peringkat lainnya…sehingga tiba saat kematiannya. Demikianlah sifat apa yang bergerak, berkembang dengan sendirinya daripada penciptaan-penciptaan Allah.
Dan Allah menciptakan Adam dengan rupa bentuknya di dalam bentuk yang telah Allah ciptakan untuknya dengan ketinggiannya 60 hasta tanpa berlaku padanya penyatuan di antara lelaki dan wanita…(segala proses perubahan peringkat demi peringkat yang disebutkan tadi)…maka dengannya Allah menonjolkan dan menjelaskan kelebihan atau kemuliaan Adam ke atas segala makhlukNya, kerana dia (Adam) tidak pernah wujud berupa air mani, tidak pula berupa segumpal darah tidak juga dalam rupa bentuk mudigah, seterusnya tidak pernah menyusu, bercerai daripada susuan, bahkan dia seorang pemuda dari asalnya berbeza dengan keadaan manusia selain nabi Adam. (Kenyataan) ini membidas ungkapan mereka yang mendakwa bahawa para Ahli Hadith adalah golongan al-Hashawiyah (atau Hashwiyah)[7] yang mengeluarkan pendapat tanpa memikirkan dan berhujjah dengan apa yang mereka tidak ketahui.[8]
Sebagai penambahan faedah, ketika menjelaskan hadith ini di dalam Fath al-Bārī Sharh Sahīh Al-Bukhārī, Kitab al-Isti’dhān, al-Hāfiz Ibn Hajar al-‘Asqalāni mengatakan: yakni Dia menciptakannya dengan rupa bentuknya yang ia tetap berterusan demikian sehingga beliau (nabi Adam) turun ke bumi dan sehingga wafatnya, sebagai menangkis kekeliruan orang yang mungkin menyangka bahawa rupa bentuknya Adam ketika di syurga berbeza dengan rupa bentuknya di bumi…ataupun untuk membidas golongan “al-Dahriyah” yang mengungkapkan bahawa tiada insan yang wujud kecuali asalnya daripada air mani dan air mani manusia tidak mungkin wujud kecuali daripada manusia juga dan tiada permulaan asal-usul manusia, maka itulah dijelaskan bahawa permulaan manusia adalah dalam rupa bentuk tersebut (penciptaan nabi Adam). Dikatakan juga bahawa ia sebagai satu sangkalan terhadap golongan yang berpendapat bahawa segalanya adalah semulajadi secara alami dengan dakwaan mereka bahawa manusia juga adalah daripada semulajadi yang wujud dengan sendirinya dan wujud disebabkan pengaruh alami. Dikatakan juga sebagai sanggahan terhadap puak Qadariyah yang menurut fahaman bahawa manusia yang mencipta segala perbuatannya sendiri…[9]



[1] Al- Imām al-Nawawī, Sharh Sahīh Muslim, Dār al-Kutub al-‘Ilmiyah, Beirut, 1415H/1995, jil. 17, hlm. 147.
[2] Yakni hadith ini membicarakan tentang Sifat Allah, iaitu jika difahami daripadanya adalah “rupa bentuk Allah”, maka sifat itu difahami dengan maknanya “rupa bentuk Allah” yang sesuai dengan Sifat Allah yang tidak serupa dengan apa yang ada pada makhluk dan makhluk tidak mampu menjangkau Sifat-sifat Allah kecuali apa yang dijelaskan olehNya. Dalam ertikata lain, kita faham apa makna “rupa” dan “bentuk”, maka bilamana Allah menjelaskan demikian kita wajib beriman dan tidak boleh menolak keterangan Allah, sedang kita sedar dan beri‘tikad bahawa “rupa” dan “bentuk” itu tidak sama dengan apa yang ada pada makhluk daripada “rupa” dan “bentuk”. Makna “rupa” dan “bentuk” kita faham tetapi hakikatnya tidak mampu kita faham/ketahui kerana ia membicarakan tentang Sifat Allah yang Ghaib dan mustahil dapat dibayangkan kerana Allah tidak serupa dengan segala makhluk. Wallahu a‘lam.
[3] Al- Imām al-Nawawī, Sharh Sahīh Muslim, jil. 16, hlm. 136.
[4] al-Qādī ‘Iyād, Ikmāl al-Mu‘lim bi Fawā’id Muslim, Dār al-Wafā’, al-Mansūrah, 1419H/1998, jil. 8 hlm. 88 (al-Birr); hlm. 373 (al-Jannah).
[5] al-Hāfiz Ibn Hajar al-‘Asqalāni, Fath al-Bārī Sharh Sahīh Al-Bukhārī, jil. 6, hlm. 452.
[6] al-Albānī, Silsilat al-Ahādīth al-Sahīhah, Maktabat al-Ma‘ārif, Riyadh, 1415H, jil. 1 bah. 2, hlm. 811 hadith no: 449.
[7] Diambil daripada perkataan “Hishwah atau Hushwah” yang bererti golongan yang rendah di dalam suatu kaum dan ertinya di sini ialah satu puak yang berpegang dengan yang zahir semata-mata namun terjerumus ke dalam kancah “tajsim” - menyerupakan Allah dengan rupa makhluk – Maha suci Allah. (Muhammad Rawās Qalcahjī dan Hāmid Sādiq Qunaybī, Mucjam Lughah Al-Fuqahā, Dār al-Nafā’is, Beirut, 1408H/1998, hlm. 180; Unays, Muntasir, al-Sawālihī dan Al-Āli Ahmad, Al-Mucjam Al-Wasīt, al-Maktabah al-Islāmiyah, Istanbul, 1392H/1972, jil. 1 hlm. 177. Penulis ada merujuk Al-Munjid (Louis Ma’louf) yang menjelaskan bahawa mereka itu adalah para Ahli Hadith?!
[8] Ibnu Hibbān, Al-Ihsān bi Tartīb Sahīh Ibnu Hibbān, jil. 8, hlm. 12-13.
[9] al-Hāfiz Ibn Hajar al-‘Asqalāni, Fath al-Bārī Sharh Sahīh Al-Bukhārī, jil. 11, hlm. 3-4.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts