Friday, October 24, 2014

Memelihara Ibadat Kita Daripada Kerosakan (Bid'ah) - Pengertian Bid’ah


Dari sudut Bahasa :

Bid’ah adalah segala sesuatu yang baru yang belum ada contoh sebelumnya yang sepertinya.

Firman Allah :
{ بَدِيْعُ السَّماواتِ وَ الأَرْض } 
maksudnya : “Allah yang telah mencipta/mereka (dengan rekaan yang tersendiri dan belum ada yang setanding dengannya) langit-langit dan bumi.” (Al-Baqarah : 117)
Dengan itu, segala yang baru seperti kereta, mikrofon, jamtangan, talifon dan lainnya adalah perkara-perkara bid’ah dari sudut bahasa (bukan dari perkara bid’ah yang dicela oleh Nabi صلى الله عليه و سلم ). Namun, jika perkara tersebut adalah dari yang haram, maka Syara’ mencelanya bukan kerana ia adalah suatu bid’ah, tetapi kerana ia adalah haram.

Dari segi Syara’ pula :

Bid’ah adalah setiap perkara baru yang diadakan di dalam urusan agama dan tidak pernah dibuat oleh Nabi صلى الله عليه و سلم. Ia mengambil satu jalan lain selain jalan yang telah disyari’atkan Allah dan RasulNya صلى الله عليه و سلم .

Demikianlah pengertian bid’ah yang disimpulkan oleh Al-Imam Asy-Syaathibiy di dalam kitab beliau Al-I’tishom setelah menyebutkan definasi yang banyak yang disebutkan oleh beberapa ulama.

Kata Al-Imam Asy-Syaafi’ie :
“ من استحسن فقد شرع” 
maksudnya : “Barangsiapa yang berpandukan akalnya dalam menghukumkan baik buruknya sesuatu perkara (di dalam syari’at agama) maka ia telah (mengambil hak Allah) mensyari’atkan sesuatu.”

(dipetik dari kitab Al-Mushtashfa karangan Al-Imam Al-Ghazzaaliy di dalam Bab Al-Istihsaan)


Dengan demikian bererti bahawa pengamal bid’ah telah merampas hak Allah dan meletakkan dirinya setaraf dengan Allah kerana mengembalikan urusan agama kepada akalnya dan mensyari’atkan sesuatu sedang Syari’at adalah urusan dan hak mutlak Allah.

Yang jelas, bid’ah yang dicela oleh Nabi صلى الله عليه و سلم adalah bid’ah di dalam urusan agama, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh baginda صلى الله عليه و سلم. Demikianlah yang disabdakan oleh baginda صلى الله عليه و سلم :
< فإن أصدق الحديث كتاب الله ، و إن أفضل الهدي هدي محمد ، و شر الأمور محدثاتها ، و كل محدثة بدعة و كل بدعة ضلالة و كل ضلالة في النار > 
maksudnya : “Maka sesungguhnya Kitab Allah adalah kata-kata yang paling benar, sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad. Seburuk-buruk perkara adalah segala rekaan baru di dalam urusan agama, sedang setiap rekaan baru di dalam urusan agama adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah kesesatan dan setiap kesesatan (tempatnya) di Neraka.”
(Diriwayatkan oleh Imam-imam Ahmad, Muslim, An-Nasaa-i dan Ibnu Maajah).


Beberapa orang ulama telah menegaskan bahawa bid’ah lebih disukai oleh Iblis, sebab, ahli maksiat mungkin bertaubat tetapi ahli pengamal bid’ah akan tetap dengan amalan bid’ahnya, kerana ia beri’tikad bahawa yang diamalkannya itu adalah amalan baik dan bukan maksiat. Lagipun, bid’ah merosakkan agama dari dasarnya kerana ia meruntuhkan asas penentuan ibadah sebagaimana kaedah fiqh menetapkan bahawa setiap ibadah adalah haram pada asalnya kecuali jika ada dalil yang menuntut ibadah tersebut dilakukan. Itulah sebabnya mengapa ramai ulama memandang berat persoalan bid’ah lebih dari persoalan maksiat.

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts