Monday, October 27, 2014

Memelihara Ibadat Kita Daripada Kerosakan (Bid'ah) - Bid'ah Haqiqiyah & Idhofiyah


Bid’ah ada dua macam :

1. Haqiqiyah (Hakikat/nyata)
2. Idhofiyah (Bersandaran)

1. Haqiqiyah (Hakikat/nyata)

Haqiqiyah (Hakikat/nyata) iaitu bid’ah yang berbentuk hakikat atau nyata.

Maksudnya, cukup dengan menyebutkan amalan/perkara tersebut, jelas kepada kita bahawa ia adalah satu bid’ah kerana ia tidak pernah diamalkan oleh Nabi serta tidak pernah dikenali Islam.

Sebagai contoh :
  • Puasa setengah hari
  • Waktu berbukanya waktu Zohor
  • Sujud Taubat
  • Mandi Taubat
  • Haji ke Baitul Maqdis di Palestin
  • Sholat sunnat sebelum ke pasar
  • Mengeluarkan zakat harta dengan menafkahkan perabot-perabot
  • Sambutan Hari Raya setiap tahun baru Islam (Awal Muharram)
  • Dan yang seperti itu
Maknanya, tiada satu dalil pun dari Al-Quran, As-Sunnah atau pengamalan Sahabat yang menyuruh kita melakukannya. Ia adalah sesuatu yang langsung tidak bersandarkan kepada dalil.


2. Bid’ah Idhofiyah (Bersandaran)

Bid’ah Idhofiyah (Bersandaran) iaitu bid’ah yang agak sulit untuk dikenalpasti oleh orang kebanyakan kerana ia bersandarkan kepada dalil.

Namun, silapnya, dalil tersebut berbentuk umum tidak boleh dijadikan hujjah sebagai sandaran amalan bid’ah itu. Ia lebih dikenali oleh mereka yang mengetahui ilmu Usul Fiqh, yang memahami:
  • “Mutlaq dan Muqayyad”
  • “Khas dan Umum”
  • “Mafhum Muwaafaqah dan Mukhaalafah”
  • Dan yang seperti itu

Ia boleh juga dikatakan sebagai amalan yang ada asal-usulnya di dalam Syari’at, tetapi kerana dilakukan dengan ketetapan:
  • sebab
  • jumlah
  • cara
  • jenis
  • masa 
  • dan tempat 
yang tidak pernah ditetapkan atau diamalkan oleh Nabi صلى الله عليه و سلم, maka jadilah ia suatu bid’ah dengan ketetapan dan penentuan tersebut.

Sekiranya kita menegur pengamal bid’ah idhofiyah ini, mereka akan menjawab dan menyangkal bahawa ia bukan bid’ah. Sebabnya, mereka ada dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah, yang menurut penafsiran mereka, menunjukkan bahawa perbuatan bid’ah mereka itu diperintahkan dan dituntut agama. Masakan amalan itu dikatakan bid’ah sedangkan ada dalil Al-Quran dan As-Sunnah? Lagipun niat mereka baik.

Dari satu sudut, benar amalan itu ada dituntut Syara’, tetapi kerana ditetapkan waktu atau tempat, cara, jumlah, jenis dan sebab tertentu, yang bukan berasal dari Syari’at ini, bahkan mungkin dari ajaran dan i’tikad (kepercayaan dan istiadat) agama lain, maka dari sudut ini, amalan itu menjadi bid’ah yang menyesatkan dan dicela Syara’. 

Ketetapan tersebut tentunya tidak terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Walaupun mereka berniat baik tetapi ‘Matlamat tidak menghalalkan cara’, niat yang baik mesti disertakan cara yang diizinkan Syara’. Demikianlah yang kita tahu, bahawa orang yang merompak untuk mengeluarkan hasil rampasannya sebagai sedekah atau zakat, tetap berdosa dan amalannya tidak akan diterima.


 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts