Saturday, March 24, 2012

Menggerak-gerakkan jari ketika tahiyat hukumnya Makruh?(1)

Soalan 1:

Assalaamu 'alaikum Ustad,

Kelmarin, agak dah lama juga, ketika saya singgah untuk solat Maghrib di Masjid Darul Makmur, saya telah mendengar seorang Ustad menyampaikan dalam Kuliahnya, katanya Imam Nawawi menghukumkan batal solat orang yang menggerak-gerakkan jari telunjuknya ketika duduk baca Tahiyat. Ada perkara tidak enak lainnya, seperti mengutuk pihak yang mengamalkan gerak-gerak jari ni yang beliau sebutkan. Tetapi, yang saya ingin tahu ialah apakah benar Imam Nawawi telah hukumkan begitu? Saya seorang yang memang mengamalkan gerak jari, maka saya inginkan kepastian. Terima kasih,

- Abdul Kadir



Soalan 2:

Assalaamu 'alaikum Ustaz, 

Saya, Abang Omar, kelmarin saya solat di Masjid Mawaddah. Selepas solat terdengar Ustaz SFI yang mengajar di situ mengatakan (bukan perkataan beliau seratus peratus tapi ini isinya): 
"Imam Nawawi hukum Makruh gerak-gerak jari ketika tasyahhud. Ini perbuatan mengganggu orang lain dalam solat. Gerak-gerak jari sampai orang lain nak khusyu' pun terganggu."
Saya agak kurang senang dengan kata-kata beliau, bukan kerana saya memang dah amalkan perkara tu, cuma bagi saya, yang awak pergi sibuk tengok jari orang apasal? Mana ada ganggu khusyu'. Tengok jari sendiri sudahlah kan itu yang disuruh. Betul ke Imam Nawawi hukum makruh?

Omar Cabby


Jawapan:

Wa 'alaikumussalaam wa rahmatullaah,



Bismillah walhamdulillah was solaatu was salaam 'alaa rasuulilaah wa 'alaa aalihi wa ba'd,

Haji Kadir dan Abang Omar, terima kasih atas perkongsian ini dan juga kesungguhan mencari kebenaran. Maaf kerana saya kumpulkan kedua-dua soalan, sebab kedua-duanya berkenaan perkara yang sama, malah kelihatan seperti ada semacam kempen "memburukkan" golongan yang menggerak-gerakkan jari ketika tahiyat. Walaupun kita mendengarnya daripada seorang Ustadz yang diberi kelayakan untuk mengajar di masjid, tentunya bertauliah, tetapi tiada salahnya kita memastikan apa yang ia sampaikan adalah benar atau sebaliknya. Lebih-lebih lagi jika cara penyampaiannya seperti berunsur menyalahkan bukan mengajak menilai.

Benar kata Abang Omar, berkenaan lihat atau tumpukan pada jari kita sendiri, kerana jika kita membuat rujukan kata-kata Imam Nawawi dalam Majmu' beliau juga mengajarkan agar tumpukan pandangan pada jari telunjuk dan ia berdasarkan hadis yang pertama, yang akan saya sebutkan dalam jawapan saya ini.

Inilah yang kita sedihkan, jika ada di antara masyarakat kita, apatah lagi jemaah masjid, seperti yang pernah saya sebutkan: kita ajak mengkaji, sebaliknya mereka cepat mengkeji, kita ajak merujuk buat rujukan, ia macam merajuk malah kadang mengamuk dan buat tuduhan.

Berikut ini keterangan mengenai perkara yang ditanyakan.

Menggerakkan jari ketika Tasyahhud

Al-Imam an-Nawawi menyatakan berikut dalam kitab beliau (al-Majmu‘: 3/434):


قال أصحابنا : وعلى الأقوال و الأوجه كلها يسن أن يشير بمسبحة يمناه فيرفعها إذا بلغ الهمزة من قوله لا إله إلا الله ، ونص الشافعي على استحباب الإشارة للأحاديث السابقة . قال أصحابنا : ولا يشير بها إلا مرة واحدة . وحكى الرافعي وجها أنه يشير بها في جميع التشهد وهو ضعيف ، وهل يحركها عند الرفع بالإشارة فيه أوجه الصحيح : الذي قطع به الجمهور أنه لا يحركها ، فلو حركها كان مكروها ولا تبطل صلاته ، حكاه عن أبي علي ابن أبي هريرة وهو شاذ ضعيف والثالث : يستحب تحريكها ، حكاه الشيخ أبو حامد والبندنيجي والقاضي أبو الطيب وآخرون . وقد يحتج لهذا بحديث وائل بن حجر رضي الله عنه أنه وصف صلاة رسول الله صلى الله عليه وسلم وذكر وضع اليدين في التشهد قال ثم رفع أصبعه فرأيته يحركها يدعو بها رواه البيهقي بإسناد صحيح . قال البيهقي : يحتمل أن يكون المراد بالتحريك الإشارة بها لا تكرير تحريكها ، فيكون موافقا لرواية ابن الزبير ، وذكر بإسناده الصحيح عن ابن الزبير رضي الله عنهما أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يشير بأصبعه إذا دعا لا يحركها رواه أبو داود بإسناد صحيح . وأما الحديث المروي عن ابن عمر عن النبي صلى الله عليه وسلم تحريك الأصبع في الصلاة مذعرة للشيطان فليس بصحيح . قال البيهقي تفرد به الواقدي وهو ضعيف . قال العلماء : الحكمة في وضع اليدين على الفخذين في التشهد أن يمنعهما من العبث.....
...الخامسة : أن لا يجاوز بصره إشارته ، واحتج له البيهقي وغيره بحديث عبد الله بن الزبير أن النبي صلى الله عليه وسلم وضع يده اليمنى وأشار بأصبعه ولا يجاوز إشارته رواه أبو داود بإسناد صحيح والله أعلم .


Terjemahan:

“Telah berkata ‘ulama Madzhab kami (asy-Syafi‘iyah), dengan aqwal (nukilan kata-kata daripada al-Imam asy-Syafi‘ie sendiri) dan al-aujuh (wajah-wajah – maknanya; yang disebutkan oleh ‘ulama Madzhab bukan daripada al-Imam asy-Syafi‘ie sendiri secara peribadi) semuanya (mengajarkan) bahawa disunnatkan agar menuding dengan jari telunjuk kanan, mengangkatnya (jari itu) ketika sampai pada (huruf) hamzah ( أ) dari sebutannya Laa ilaaha illa AlLaah (huruf yang bergarisbawah: لا إله إلا الله) dan sungguh asy-Syafi‘ie telah naskan (yakni menegaskan) bahawa menuding (dengan jari itu) adalah digalakkan berdasarkan hadis-hadis yang telah disebutkan tadi.

‘Ulama’ Madzhab kami menyatakan: Tidak ditudingkannya jari itu kecuali sekali sahaja. Manakala ar-Rafi‘ie pula meriwayatkan satu wajah (riwayat daripada ‘ulama Madzhab) bahawa seseorang itu menuding dengan jarinya sepanjang keseluruhan bacaan tasyahhud namun ia (riwayat yang) lemah.

Apakah ia (seorang yang solat itu) menggerak-gerakkan jarinya ketika ia mengangkat jarinya menuding? Dalam hal ini ada beberapa wajah (aujuh – riwayat daripada ‘ulama Madzhab).

Yang benar/tepat (pendapat pertama), yang diputuskan dengan tegas oleh kebanyakan ‘ulama Madzhab (asy-Syafi‘ie) bahawa ia tidak menggerak-gerakkannya dan seandainya ia menggerak-gerakkannya, maka dikira makruh tetapi tidak membatalkan solatnya, sebab ia suatu amalan/perbuatan (gerakan) kecil (gerakan jari bukan tangan).

(Pendapat) Kedua, adalah haram untuk menggerak-gerakkannya, jika ia menggerak-gerakkannya jadi batal solatnya. Ini diriwayatkan oleh Abie ‘Aliy Ibn Abie Hurairah dan ia adalah (riwayat) ganjil lagi lemah.

Dan (pendapat) Ketiga
, digalakkan mengerak-gerakkannya. Diriwayatkan oleh asy-Syeikh Abu Hamid, al-Bandaniejie, al-Qadi Abu Tayyib dan lainnya. Ini dapat disandarkan dengan berhujjah berpandukan hadis Wa-il ibn Hujur (seorang Sahabat Nabi), semoga Allah meredhai beliau, bahawasanya beliau telah menyifatkan Solat (yang dilakukan oleh) Rasulullah yang mana beliau menyebutkan bahawa baginda meletakkan kedua tangan ketika bertasyahhud lalu katanya meriwayatkan: {Kemudian baginda mengangkat jari baginda, maka aku lihat baginda menggerak-gerakkan jari berdoa dengannya} diriwayatkan oleh al-Baihaqiy dengan isnad yang Sahih.

Kata al-Baihaqiy (dalam ulasannya): {Kemungkinan yang dimaksudkan dengan menggerak-gerakkan adalah semata-mata memberi isyarat (dengan menuding) sahaja dan bukannya berulang-ulang mengerak-gerakkannya, agar ia bersesuaian dengan riwayat Ibn az-Zubayr}, lalu beliau (al-Baihaqiy) menyebutkan dengan isnadnya yang Sahih daripada Ibn az-Zubayr, semoga Allah meredhai beliau dan bapanya bahawasanya Nabi {Adalah Nabi itu menunjuk (menuding) dengan jari baginda ketika berdoa tanpa menggerak-gerakkannya} riwayat Abu Dawud dengan isnad yang Sahih.

Adapun hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar daripada Nabi : {Menggerak-gerakkan jari dalam solat adalah menakutkan bagi Syaitan} maka tidak Sahih. Kata al-Baihaqiy: Ia telah diriwayatkan secara tersendiri oleh al-Waqidiy dan beliau seorang perawi lemah. Kata ‘ulama’: Hikmah di sebalik meletakkan kedua tangan di atas kedua peha ketika tasyahhud adalah untuk menghalangnya daripada perbuatan sia-sia”.


----- Akhir Terjemahan

Saya mengambil masa dan mengusahakan terjemahan nas kenyataan al-Imam an-Nawawi (wafat 676H) ini demi sikap mencari yang benar dan berkata dengan bukti. Jelas daripada apa yang telah dipaparkan, secara peribadi, al-Imam an-Nawawi hanya mengemukakan pendapat-pendapat ‘ulama’ Madzhab asy-Syafi‘iyah dan benar beliau menyokong pendapat yang pertama yang menyatakan bahawa menggerak-gerakkan jari adalah makruh tetapi tidak membatalkan solat. Malah kita dapat memahami bahawa al-Imam an-Nawawi masih menghormati pendapat sebahagian ‘ulama’ Madzhab yang menggalakkan “gerak-gerakkan jari” dan pendapat mereka adalah sama kuat kerana bersandarkan riwayat yang Sahih juga, cuma beliau lebih cenderung mengikuti kesimpulan al-Baihaqiy (wafat 458H).

Imam al-Baihaqiy telah mentarjiehkan, yakni, menguatkan pengamalan hadis Ibn az-Zubayr, kerana menganggapnya Sahih dan menjadikan hadis Wa-il yang Sahih juga, tidak diamalkan dengan memahaminya dengan maksud yang dapat disesuaikan dengannya dengan kata beliau: {Kemungkinan yang dimaksudkan dengan menggerak-gerakkan adalah….bukannya berulang-ulang mengerak-gerakkannya, agar ia bersesuaian dengan riwayat Ibn az-Zubayr}.

Dengan itu, saya dapat katakan:

1. Imam an-Nawawi tidak menghukumkan menggerakkan-gerakkan jari membatalkan solat. Beliau hanya membawakan pendapat lain, yang menghukumkan solat batal, yang beliau sendiri hukumkan pendapat itu lemah. Maka pihak yang mendakwa bahawa Imam Nawawi menghukumkan “batal”, samada tidak membaca dengan betul atau lemah bahasa Arabnya sehingga keliru dalam pemahaman nas beliau, atau tersalah kesimpulan kerana baca terjemahan yang salah dan mudah-mudahan bukan sengaja memperguna nama Imam besar ini untuk berdusta dan mengelirukan yang lain.

2. Imam an-Nawawi benar telah menghukumkannya makruh, menyetujui pendapat kebanyakan ‘ulama’ Madzhab asy-Syafi‘iyah, namun adalah baik jika kita menjelaskan dengan mengutarakan keseluruhan nas beliau, yang dengan beradab memahamkan bahawa beliau semata-mata mengikuti dan menyetujui ulasan Imam al-Baihaqiy dengan sekaligus menerangkan bahawa yang menggerak-gerakkan juga masih mengikuti Sunnah Nabi dan ia adalah pendapat sebahagian ‘ulama besar Madzhab asy-Syafi‘iyah. Bukannya memberikan gambaran seolah-olah, mereka yang mengerak-gerakkan jari ketika bertasyahhud seperti golongan yang buat yang makruh, mengganggu solat orang lain atau “menyimpang” dan menyeleweng.

3. Sungguh menyedihkan, kita mempunyai guru agama tidak beretika, tidak berakhlak dengan akhlak seorang ahli agama, tidak amanah kerana tidak memberikan ilmu yang sebenarnya. Kemudian menjadikan masyarakat punya sikap mudah menuduh yang lain tanpa bukti yang cukup. Menjadikan masyarakat atau jemaah masjid saling menyalahkan. Bukankah tindakan menekankan dalam penerangan bahawa ia batal atau makruh, mengganggu solat orang lain, membawa kesan yang tidak baik itu semua, tanpa memberikan penjelasan penuh bahawa pihak yang menggerak-gerakkan jari masih berpandukan ilmu dan hujjah dan merupakan pendapat sebahagian ‘ulama besar yang berteraskan dalil, ilmu dan hujjah, yang layak dihormati. Bukankah itu yang dikemukakan oleh Imam an-Nawawi secara peribadi, jauh sekali perbezaannya dengan yang ditekankan guru agama sedemikian.

4. Sebenarnya dengan kajian ilmiyah yang lebih mendalam, kesimpulan al-Imam al-Baihaqiy , yang kita sanjungi, yang melakukan tarjieh, jika dinilai kembali, lebih utama dan lebih baik serta yang selayaknya, beliau melakukan “al-Jam‘u” di antara kedua-dua riwayat, berbanding kesimpulan dengan at-Tarjieh. Daripada ajaran al-Imam asy-Syafi‘ie sendiri dalam kitab beliau: “Ikhtilaf al-Hadiets” dan ‘ulama lainnya bahawa “al-Jam‘u aula min at-Tarjieh” ertinya: memadankan dan menyelaraskan (antara maksud 2 dalil yang zahirnya bertentangan, sehingga dapat mengamalkan kedua-duanya) adalah lebih utama daripada menguatkan pengamalan hanya satu dalil dan mengabaikan petunjuk dalil yang satu lagi. Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Ibn Hazm (al-Ihkam: 2/151), al-Hafiz Ibn Rajab (Fath al-Bari: 5/84), al-Hafiz Ibn Hajar (Fath al-Bari: 9/474).

5. Apabila kita mengkaji lebih mendalam lagi, ternyata hadis yang al-Imam al-Baihaqiy berhujjah dengannya, sekaligus al-Imam an-Nawawi yang menyetujui kesimpulan beliau, yang mengajarkan agar tidak menggerakkan-gerakkan jari, iaitu hadis Ibn Zubayr ternyata lemah, manakala hadis Wa-il pula yang ternyata kuat. Sehingga kesimpulan yang lebih wajar adalah mengamalkan menggerak-gerakkan jari berbanding tidak menggerakkannya. Namun, masih sesuai juga untuk dikatakan, boleh lakukan yang ini atau pun yang itu, kedua-duanya ada dalil dan hujjah. Wallahu a‘lam. Sebagaimana penjelasan berikut ini.

6. Dengan mengetahui berpandukan ilmu yang bernas dan sikap mencari kebenaran, hasilnya dengan apa yang dijelaskan tadi, masyarakat dan jemaah masjid, saling menghormati antara satu sama lain dan mendapat penambahan ilmu serta tidak saling mempersalahkan, kerana masing-masing ada hujjah dan dalil berpandukan ajaran para imam terdahulu. Wallahu a‘lam wa huwa Waliyu at-Tawfieq.


....bersambung bah.2

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts