Sunday, March 25, 2012

Menggerak-gerakkan jari ketika tahiyat hukumnya Makruh?(2)

...sambungan (bah 2)
“Kebiasaannya Nabi shallallahu 'alayhi wasallam menebarkan tapak tangan kiri baginda, di atas lutut kiri baginda shallallahu 'alayhi wasallam, manakala jari-jari tangan kanan digenggamkan kesemuanya, sedang jari telunjuk sebelah ibu jari, ditegakkan lurus menunjuk ke arah kiblat dan Nabi shallallahu 'alayhi wasallam menumpukan pandangan kepadanya.”
[Hadis riwayat (HR) Imam-imam Muslim, Abu ‘Awanah dan Ibn Khuzaimah. al-Humaidi menambah di dalam periwayatannya (di dalam Musnadnya: 131 /1), begitu pula Abu Ya‘la (275/ 2) dengan sanad yang sahih daripada Ibn ‘Umar : “dan ia suatu siksaan terhadap Syaitan, tiada yang akan leka ketika melakukan begitu”. al-Humaidi sendiri menegakkan jarinya dan berkata: Kata Muslim bin Abi Maryam: Seorang lelaki telah meriwayatkan kepada ku bahawa beliau melihat di dalam beberapa gereja di Syam, yang menggambarkan bahawa para Nabi melakukan begitu di dalam solat mereka.]

“Apabila Nabi shallallahu 'alayhi wasallam menunjuk dengan jari, baginda menjadikan ibu jari baginda di atas jari tengah.”
[HR Imam-imam Muslim dan Abu ‘Awanah.]

“Adakalanya pula baginda membuat suatu bulatan lingkaran dengan kedua jari itu.”
[HR Imam Abu Dawud, an-Nasa-i dan Ibnul Jarud (dalam al-Muntaqa: 208), Ibn Khuzaimah (1/86/2-1), Ibn Hibban (dalam Sahihnya: 485) dengan sanad sahih yang dihukumkan sahih oleh Ibnul Mullaqqin (28/2)]

“Begitu juga, baginda shallallahu 'alayhi wasallam mengangkat jari telunjuk baginda, menggerak-gerakkannya sambil berdoa dengan gerakannya.”
[HR yang sama seperti di atas dan hadis mengenai menggerakkan jari di sisi Ibn ‘Adiy (285/1) dan katanya di dalam riwayat ‘Utsman bin Muqassim : “Ia perawi da‘ief dan hadisnya masih ditulis (diterima dengan bersyarat)”. Adapun kata-kata “berdoa dengannya”, kata Imam at-Tahawiy: “Ia adalah dalil untuk melakukan demikian pada akhir solat”]

Ulas asy-Syeikh al-Albaniy:
“Ia adalah dalil bahawa menurut as-Sunnah menggerakkan jari sehingga memberi salam, sebab doa dilakukan sebaik sebelum Salam. Itulah pendapat Imam Malik dan lainnya. Imam Ahmad telah ditanya: Apakah seseorang itu menunjuk dengan jarinya di dalam solat (tahiyat)? Jawab beliau: “Ya, dengan keras dan sungguh-sungguh.”
Disebutkan oleh Imam Ibn Hani di dalam (al-Masa-il: hlm: 80).


 لهي أشد على الشيطان من الحديد. يعني السبابة 

“Sungguh ia lebih keras ke atas Syaitan dari besi (pedang) yakni jari telunjuk.”
[HR Imam-imam Ahmad, al-Bazzar, Abu Ja‘far dan al-Bakhtariy (al-Amali: 60/1) serta at-Tabaraniy (ad-Du‘a’- manuscript - 73/1) dan Abdul Ghaniy al-Maqdisiy di dalam (as-Sunan : 12/2) dengan sanad yang Hasan. Begitu juga Imam ar-Ruyaniy di dalam Musnadnya (249/2) dan Imam al-Baihaqiy]

Kata asy-Syeikh al-Albaniy:
“Dengan itu, jelaslah bahawa menggerakkan jari ketika at-Tasyahhud, suatu sunnah yang tsabit tulen daripada Nabi shallallahu 'alayhi wasallam, diamalkan oleh Imam Ahmad dan lainnya dari kalangan para imam yang kuat menuruti as-Sunnah. Maka hendaknya, bertaqwalah kepada Allah, mereka yang mendakwa bahawa ia suatu perbuatan sia-sia, seperti main-main, yang tidak layak untuk dilakukan di dalam solat. Oleh kerana itulah mereka tidak menggerakkan-gerakkan jari padahal mereka tahu ia tsabit tulen di dalam as-Sunnah. Bahkan mereka mencari-cari alasan yang bermacam-macam, andaian yang jauh, yang mana semuanya tidak mungkin dapat diterima dari sudut Bahasa Arab dan tatabahasanya, bercanggah dengan pemahaman para imam terhadapnya. 
Yang peliknya ialah, ada di antara mereka kononnya membela para Imam, bukan sahaja di dalam masalah ini - sekiranya pendapatnya (si Imam) bercanggah dengan as-Sunnah - dengan hujjah bahawa menyalahi Imam bererti mencela beliau dan tidak menghormatinya. Orang ini lupa, langsung menolak pula Sunnah Nabi yang tulen ini. Mempersalahkan orang yang mengamalkan sunnah ini, samada ia sedar dan tahu atau tidak, sedang hukumnya itu, sekaligus terkena pada para Imam yang mengamalkan Sunnah ini. Padahal biasanya, ia kononnya, akan mempertahankan para imam ini, pada perkara-perkara batil, sebagaimana adatnya. Padahal para Imam di dalam hal ini tepat menuruti as-Sunnah. Sebenarnya hukumnya (dengan ia mempersalahkan), terkena juga pada diri Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam yang mulia, sebab baginda yang telah mengajarkannya. Maka mempersalahkan perbuatan ini bererti menyalahkan baginda shallallahu 'alayhi wasallam, { فما جزاء من يفعل ذلك منكم إلا...} [maka apakah balasan orang yang melakukan demikian di antara kamu kecuali (jika bukan) ....( kehinaan dan kerugian di dalam kehidupan dunia dan pada Hari Kiamat kelak dikembalikan kepada azab yang teramat dahsyat) - tambahan penterjemah: sambungan terjemahan ayat.]. 
Adapun meletakkan jari selepas membuat isyarat (menunjuk), atau menetapkannya dengan waktu melafazkan penafian (لا) atau itsbat [iaitu Ketika mengucapkan “asy-hadu allaa ilaaha illa Allah…” atau “asy-hadu allaa ilaaha illa Allah…”], maka itu semua, tiada asalnya dari as-Sunnah yang tulen, setakat pendapat ulama yang dihormati, namun ia masih tidak bersesuaian dengan petunjuk hadis ini. 
Mengenai hadis [bahawasanya baginda tidak menggerak-gerakkannya] ia tidak tsabit (tidak tulen) dari sudut sanad-sanadnya, sebagaimana yang telah saya sebutkan dengan terperinci di dalam (Da‘ief Sunan Abi Dawud: 175). Sekiranya ia tulen sekalipun, maka ia memberi petunjuk “Nafin” (penafian – yakni tidak gerakkan) sedang hadis bab ini “Muts-bit” (penetapan/pengesahan – Nabi menggerakkan), sedangkan al-Muts-bit di dalam hal ini muqaddam ‘alan Nafiy - yakni lebih utama diamalkan dari an-Nafi, suatu kaedah yang diketahui ulama (kajian Usul Fiqh), maka jelasnya tiada hujjah bagi mereka yang menolaknya.”
Demikian yang asy-Syeikh simpulkan di dalam Sifat Solat: 159. Di dalam Tamamul Minnah pula beliau menambah kemungkinan dijama‘kan (dipadankan atau diselaraskan) kedua-dua hadis, yakni jika ia sahih, iaitu diharuskan kedua-duanya kerana adakalanya baginda menggerak-gerakkannya dan adakalanya tidak. (Tamamul Minnah: 217-218).

Namun jika digandingkan kedua-dua ulasan beliau, yang nyata beliau menguatkan kesimpulan menggerak-gerakkan jari kerana:

1. Al-Muts-bit diutamakan daripada an-Nafi, maksudnya; Sahabat (perawi) yang melihat perbuatan Nabi mengesahkannya tentunya lebih utama diterima apa yang disampaikannya, berbanding Sahabat (perawi) yang tidak meilhatnya dan menyimpulkan Nabi tidak menggerakkannya.

2. Hadis yang menyebutkan “tidak menggerakkan” dengan penafian adalah lemah. Manakala riwayat-riwayat lain hanya menyebutkan mengangkat jari, tanpa penafian dan tidak pula pengesahan tambahan: “menggerakkan jari”. Wallahu a‘lam

Kata beliau di dalam Tamamul Minnah pula:
“Kata Sayyid Sabiq: {Kata Imam al-Baihaqiy: Kemungkinan yang dimaksudkan dengan menggerak-gerakkan ialah membuat isyarat menuding dengannya sahaja, bukan mengulangi gerakannya, agar bersesuaian dengan riwayat Ibn Zubair bahawasanya Nabi shallallahu 'alayhi wasallam membuat isyarat dengan jari baginda berdoa dengannya, tidak menggerak-gerakkannya.” Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih. Ia disebutkan juga oleh an-Nawawi}.
(Ulasan asy-Syeikh al-Albaniy): 
Sebenarnya, isnadnya tidak sahih. Kemungkinan (andaian) yang disebutkan bercanggah dengan zahir hadis. Sekiranya ia tsabit (tulen), pastinya ia dapat diamalkan seiringan dengan pengamalan hadis Wa-il [Lafaznya: “Maka aku melihat baginda menggerak-gerakkannya (jari telunjuk), berdoa dengannya” diriwayatkan oleh Imam Ahmad. 
Demikian, satu hadis sahaja, yang disebutkan oleh Ustadz Sayyid Sabiq. Maka asy-Syeikh al-Albaniy memperbetulkan kenyataan ini: 
“Ini adalah satu kekurangan yang buruk, yang mengelirukan, seolah-olah tiada Imam lain, baik Ahli as-Sunan (pengarang kitab as-Sunan seperti Sunan Abi Dawud) ataupun as-Sihah (seperti Sahih Ibn Khuzaimah) selain Imam Ahmad seorang yang meriwayatkannya. Padahal bukan begitu sebenarnya. Ia juga telah diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud, an-Nasa-i, Ibnul Jarud (al-Muntaqa), Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban (Kitab Sahih mereka) - disebutkan di dalam Sifat as-Solat: 169, dengan dihukumkan sahih oleh Ibnul Mullaqqin dan an-Nawawi serta Ibnul Qayyim dan takhriejnya di dalam Sahih Abi Dawud: 717. ], dengan dijama‘kan (dipadankan maksudnya), bahawa baginda adakalanya menggerak-gerakkan dan adakalanya tidak atau boleh juga disimpulkan al-Mutsbit muqaddam ‘ala an-Nafi. 
Ibnul Qayyim telah menghukumkan hadis ini (hadis Ibn Zubair - tidak menggerak-gerakkan jari di dalam Sunan Abi Daud) sebagai hadis yang da’ief (lemah) di dalam (az-Zad yakni kitab Zadul-Ma‘ad). Saya telah menghalusinya dengan teliti demi mencari kebenaran di dalam (Takhriej Sifatus Solati Nabiy shallallahu 'alayhi wasallam) dan (Da‘ief Abi Daud: 175), yang tidak meninggalkan ruang keraguan terhadap kelemahannya (hadis tersebut). Ringkasannya adalah seperti berikut:
Hadis tersebut dari periwayatan Muhammad bin ‘Ajlan daripada ‘Amir bin ‘Abdillah bin az-Zubair, sedang Ibn ‘Ajlan adalah seorang yang dipertikaikan riwayatnya [Mutakallam fiih - beginilah yang mampu saya terjemahkan]. Ada empat orang perawi terjamin (tsiqah) yang meriwayatkannya daripada beliau tanpa lafaz “tidak menggerak-gerakkannya”. Begitu pula ada 2 orang yang terjamin/dipercayai yang meriwayatkannya dari ‘Amir, dengan itu nyatalah keganjilan (asy-Syudzudz) lafaz tambahan ini dan kelemahannya. Memadailah bagi mu bukti kelemahannya, yang mana Imam Muslim telah menyebutnya (2/90) tanpa lafaz tambahan itu dari jalan periwayatan Ibn ‘Ajlan sendiri!....”

Sambung asy-Syeikh lagi:
“Saya ingin menambah satu faedah yang baru di dalam masalah ini: Saya telah melihat, baru-baru ini, asy-Syeikh Ahmad al-Ghumari menyatakan pendapatnya, di dalam kitab yang baru diterbitkan: (al-Hidayah fi Takhriej Ahadiets al-Bidayah); (3/136-140), menghukumkan hadis Wa-il (Sahabat) sebagai da‘ief, dengan dakwaan bahawa lafaz [tahriek – yakni menggerakkan jari] dari penambahan para perawi, sebab kebanyakan mereka menyebutkan [al-Isyarah= menuding] tanpa tahriek!

Begitu pula, sewaktu pelayaran saya menunaikan Umrah pada awal bulan Jamadil Awal 1408H, seorang pelajar telah memberikan saya - ketika saya di Jeddah - salinan dari majalah Al-Istijabah (Sudan) dengan tajuk: (al-Basysyarah fi Syu-dzudz Tahriek al-Isba‘ fie at-Tasyahhud wa tsubut al-Isyarah) yang ditulis salah seorang pelajar berbangsa Yaman, secara umumnya, sependapat dengan asy-Syeikh al-Ghumari, cuma keistimewaannya adalah kajiannya yang meluas dalam takhriej (mengeluarkan segala sumber rujukan) hadis-hadis (Isyarah – menuding tanpa menggerakkan) dari sebahagian Sahabat dan riwayat yang banyak dari ‘Asim bin Kulaib daripada bapanya daripada Wa-il secara khususnya. Di antaranya ialah riwayat Zaidah bin Qudamah daripada ‘Asim; yang menyebutkan dengan jelas (at-Tahriek – menggerakkan jari). Beliau telah bersungguh-sungguh, berhempas-pulas untuk mengeluarkan takhriejnya, disertai penjelasan juz-juz dan muka suratnya serta bahan rujukannya, yang mana diharapkan agar ia mendapat ganjaran yang baik di sisi Allah.”
[Tamamul Minnah: 217-219.]

Sebenarnya ada banyak lagi yang disebutkan oleh asy-Syeikh, demi menjelaskan tulisan pelajar Yaman tersebut. Namun saya tidak menyebutkannya, demi meringkaskan terjemahan ini walaupun rasanya perlu. Terutama sekali, penerangan asy-Syeikh terhadap tulisan pelajar berbangsa Yaman tersebut.

Menurut hemat saya, beliau adalah as-Saqqaf sendiri, wallahu a‘lam, yang sebenarnya cuma membela gurunya. Akhirnya, beliau menulis kitab beliau tersebut (Sahih Sifat Solat Nabi – kini telah diterjemahkan oleh Zamihan Mat Zin, pada tahun 1993, mengata dan mencerca asy-Syeikh al-Albaniy dengan berbagai kecaman, mengeluarkan segala dalil dan bukti untuk membuktikan kebenarannya, sayangnya masih dengan cara tadlies (menyelindungkan fakta untuk membuat putar belit), menyebutkan apa yang menyokong pendapatnya sahaja, tanpa membuat tahqieq (analisa jujur) yang selayaknya.

Hanya mereka yang mempunyai asas ilmu Usul Fiqh, Mustalahul Hadiets, menelaah sendiri karangan Imam-imam besar seperti Imam asy-Syafi‘ie, Imam Ahmad dan Imam Malik dan lainnya, yang akan mengetahui putar-belit beliau. Yang dikhuatiri dan amat menyedihkan, ialah tentunya orang yang tidak membuat kajian semula terhadap karangan beliau, akan dengan mudah terpengaruh dan menerima kenyataan beliau yang berat sebelah sebagai kebenaran. WalLahul Musta‘an.

Antara contohnya, beliau hanya sebutkan pendapat ulama yang membolehkan (ingat membolehkan bukan menyuruh) dzikir berjemaah dengan suara yang lantang, kerana beliau sendiri seorang yang melakukan demikian. Tetapi beliau tidak mengeluarkan pula kata-kata Imam asy-Syafi‘ie, Imam Malik dan Imam al-Baihaqiy yang mengajarkan (bukan mengharuskan) agar dzikir dibaca dengan sir dan sendirian. Tanpa saya menafikan bahawa benar ada sebahagian dzikir itu dibaca jahar (bukan berjemaah) oleh baginda.

Di antara ulama yang berpendapat diharuskan kedua-dua perkara, yakni menggerakkan-gerakkan dan tidak, ialah al-Imam as-San‘aniy (kitab Subulus Salam: 1/363). Wallahu a‘lam.
“Begitu pula, para Sahabat Nabi shallallahu 'alayhi wasallam, mengambil dari antara sesama mereka, yakni menudingkan jari ketika berdoa.”
[HR Imam Ibn Abi Syaibah (2/123/2) dengan sanad yang Hasan]

“Demikian juga, baginda shallallahu 'alayhi wasallam melakukan begitu di dalam kedua-dua tasyahhud.”
[Tahiyat awal dan tahiyat akhir. Riwayat Imam an-Nasa-i dan al-Baihaqiy dengan sanad yang sahih]


 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts