Friday, April 20, 2012

Sikap Muslim di antara al-Quran dan Penemuan Sains (Intro)

(Terjemahan) 
Akan tetapi, apa yang ingin diperhatikan ialah bahawasanya apa-apa yang diketemukan oleh para saintis adalah sesuatu yang dibuktikan oleh akal mereka hasil daripada ujian, percubaan dan kajian yang membawa mereka kepada kesimpulan-kesimpulan menurut apa yang nyata dan zahir secara umumnya di hadapan mereka semata-mata dan mereka dengan itu telah bermati-matian di dalam usaha mereka sedaya upaya mereka di dalam membuat percubaan, kajian dan kesimpulan…
Maka bilamana keadaannya demikian, kemungkinan peningkatan dan kemajuan di dalam sains dengan berbagai wasilah pengkajian yang baru, yang tidak diperolehi para saintis sebelumnya, yang dengannya terbukti bahawa kesimpulan yang sebelumnya disangkakan benar ternyata meleset dan tidak tepat, mereka akan menghapuskan dan meninggalkan kesimpulan yang terdahulu menggantikannya dengan yang terkini… 
Jika demikian keadaannya, apakah kita akan dengan segera menerima apa-apa kesimpulan yang baru dan terkini daripada apa yang didatangkan oleh ilmu percubaan (Sains), berusaha pula untuk menjadikan ayat-ayat Al-Qur’ān menuruti kesimpulan yang baru? 
Bagaimana pula pendirian kita jika Sains merubah kesimpulannya terhadap sesuatu yang sebelumnya kita setujui sebagai kesimpulan yang bersesuaian dengan keterangan Al-Qur’ān? Bukankah itu akan menimbulkan berbagai keraguan terhadap Al-Qur’ān padahal asalnya kita bermaksud untuk menonjolkan kemukjizatan Al-Qur’ān yang bersifat abadi dan melestarikan kehebatan Al-Qur’ān?
[Dr. 'Abdul Ghani Muhammad Sa'di, Al-I'jāz Al-Qur’ānī”, Maktabah Wahbah, Mesir, 1409H/1989, hlm. 29-32 ]

Justeru itu, kita masih boleh menerima dapatan Sains yang dikatakan bersesuaian dengan keterangan Al-Qur’ān secara zahirnya, namun apa yang ada di dalam Al-Qur’ān adalah hakikat yang merupakan suatu mukjizat yang mana akal manusia tidak mampu untuk mencapainya pada peringkatnya yang hakiki tersebut, hanya sebahagiannya sahaja yang mampu diketahui manusia dan masih perlu diteliti dan dipertimbangkan kesesuaiannya serta tidak diterima sebagai sesuatu yang telah pasti kerana Ilmu Sains itu sendiri masih terbina di atas asas ketidakpastian, percubaan, pengkajian dan kesimpulan daripada akal manusia yang tidak sempurna. Wallahu a'lam.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts