Thursday, May 10, 2012

Asas2 Pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah_Bab2 (2)


Adalah jelas kini, bahawa yang membezakan Ahli Sunnah wal Jamaah dari firqah-firqah lainnya ialah sandaran mereka kepada Al-Kitab dan As-Sunnah. Tetapi, apakah dengan demikian bermaksud bahawa, setiap orang yang membaca Al-Quran dan As-Sunnah akan menjadi ‘Syeikhul Islam’ (alim besar) secara spontan, lantas menentukan halal dan haram? Sudah tentu bukan demikian maksudnya.


Di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah, kefahaman terhadap Al-Quran dan As-Sunnah adalah terikat dengan fahaman As-Salaf terhadap keduanya (Al-Quran dan As-Sunnah).

Al-Quran telah ditafsirkan oleh Nabi صلى الله عليه و سلم (dengan As-Sunnah). Selanjutnya, Al-Quran dan As-Sunnah difahami dengan amalan Sahabat رضي الله عنهم serta penafsiran mereka terhadap keduanya. Sebab, para Sahabat رضي الله عنهم adalah golongan manusia yang terdekat dengan waktu penurunan wahyu. Mereka menyaksikan turunnya Al-Quran lagi mengetahui sebab turunnya sesuatu ayat, bila ia diturunkan, kepada siapa ayat itu dimaksudkan serta menyaksikan pula keadaannya (latarbelakangnya). Demikian juga, mereka telah mendengar penerangan (hadits-hadits) dari lisan Nabi صلى الله عليه و سلم mengenai segala perkara yang berhubungkait dengan sesuatu ayat yang diturunkan, di tempat (kejadian) turunnya ayat tersebut.

Di samping itu, para Sahabat رضي الله عنهم adalah golongan yang paling jauh (terselamat dan terpelihara) daripada bid’ah yang timbul selepas zaman mereka. Tambahan pula, Nabi صلى الله عليه و سلم telah menjamin kebaikan dan kelebihan mereka atas umat baginda صلى الله عليه و سلم lainnya dengan sabda baginda صلى الله عليه و سلم :

خَيْرُكُمْ قَرْنِي ، ثُمَّ الذين يَلُونَهم ثم الذين يلونهم 

Maksudnya : “Sebaik-baik kurun (generasi) adalah kurunku ( zaman Nabi صلى الله عليه و سلم dan para Sahabat رضي الله عنهم), kemudian mereka yang menyusulinya (At-Taabi’uun), kemudian mereka yang selepasnya (Taabiut-taabi’iin).”

(Diriwayatkan oleh Imam-imam Al-Bukhaariy, Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi dan An-Nasaa-i رحمهم الله ).

Sabda baginda صلى الله عليه و سلم lainnya :

 فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتي و سُنّة الخُلَفاء المهْدِيين الراشِدين ، تَمَسَّكوا بها ، و عَضُّوا عليها بالنَواجِذ 

Maksudnya : “Maka wajib atas kalian memegang teguh akan Sunnahku (cara-cara yang telah aku lakukan) dan sunnah (perjalanan dan tauladan) Khulafa Ar-Raasyidiin yang diberi petunjuk (oleh Allah سبحانه و تعالى ). Gertaplah ia (As-Sunnah) dengan gerahammu (ertinya, berpegang kuatlah dengannya).”

(Diriwayatkan oleh Imam-imam Ahmad, Abu Dawud, At-Tirmidzi, Ibnu Maajah dan Al-Haakim).

Maka memahami Al-Quran dan As-Sunnah bukan menurut kefahaman kita semata-mata, tetapi, ianya mesti terikat serta sesuai dengan fahaman As-Salaf, Ulama Taabi’iin seperti Sufyan bin ‘Uyainah, Malik bin Anas, Ats-Tsauri, Asy-Syaafi’ie, Ahmad bin Hambal رحمهم الله dan yang seumpama mereka, yang menuruti mereka. Inilah yang dimaksudkan sebagai sumber penerimaan ajaran (مصدر التلقي ).


2) Berhukum dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam persoalan i’tikad.

Ahli Sunnah wal Jamaah berhukum dengan Al-Quran dan As-Sunnah yang shohih dalam segala masalah aqidah atau i’tikad, tanpa mengenepikan atau menolak sesuatu daripada keduanya (Al-Quran dan As-Sunnah), atau mentakwilkannya (iaitu membuat andaian atau tafsiran sendiri tanpa berpandukan Al-Quran, As-Sunnah mahupun ajaran Imam-imam).

Demi mengelakkan kekeliruan atau salah faham, juga sebagai suatu penjelasan, adalah perlu diterangkan di sini, persoalan ‘At-Takwil’ dengan terperinci.

At-Takwil ada tiga makna :-
i. At-Tafsiir: iaitu menjelaskan sesuatu perkataan atau ayat dengan memberikan maknanya yang sebenar dan sewajarnya lagi tepat sebagaimana yang dimaksudkan oleh pembicaranya. 
ii. Kecenderungan suatu ramalan kepada hakikatnya: yakni ramalan atau andaian makna mimpi (takwil mimpi) yang kemudiannya ternyata benar dan tepat. Sepertimana takwil mimpi Nabi Yusuf عليه السلام . 
Kedua-dua makna At-Takwil di atas ini, adalah yang sedia diketahui di dalam Al-Quran dan As-Sunnah di sisi As-Salaf. 
iii. Membuat andaian erti lafaz (sesuatu perkataan) daripada maknanya yang zahir kepada maknanya yang bercanggah lagi berbeza dari yang zahir tadi (makna yang tersirat), dengan berpandukan dalil.
- Andaian atau Takwil seperti ini, berkemungkinan benar dan salahnya (bergantung kepada dalil tersebut).

Maknanya menjadi benar (tepat dan betul) sekiranya ia disokong dengan dalil yang benar (yang tidak bercanggah dengan maksud Al-Quran dan As-Sunnah). Maka ini diterima dan benar dan harus diamalkan. Dengan makna ini, ia seerti dengan At-Tafsiir sepertimana yang telah dijelaskan tadi. Sebabnya, At-Takwil tersebut bererti menjelaskan kata-kata pembicaranya dengan tepat, samada dengan mengambilnya secara zahir atau sebaliknya, asalkan kita mengetahui apa yang dimaksudkan oleh pembicaranya.

Sebaliknya, makna At-Takwil adalah bathil, salah (dikeji) sekiranya ia tidak disokong dengan dalil yang benar atau langsung tidak berpandukan dalil. Maka, ia adalah penyelewengan semata-mata dan bukan At-Takwil (sebagaimana yang difahami As-Salaf walaupun diistilahkan At-Takwil oleh pelakunya). Malangnya, makna At-Takwil yang bathil inilah yang berleluasa pada masa ini. [1]
______________________________________
[1] nukilan (trj.) dari Kitab ‘Taqriibut-Tadmuuriyah’ karangan Syeikh Al-’Utsaimiin, mks: 84-86

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts