Friday, May 11, 2012

Asas2 Pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah_Bab2 (3)

(Sambungan Dasar ke 2 Ahli Sunnah wal Jamaah - “Berhukum dengan al-Quran dan as-Sunnah dalam persoalan Aqidah”)

Setelah jelas kepada kita akan persoalan At-Takwil, kita kembali membicarakan soal berhukum dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam segala persoalan aqidah. Kini, menjadi jelas kepada kita prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah dalam perkara ini iaitu, sekiranya jelas suatu nas dari Al-Quran dan As-Sunnah shohihah, walaupun ia hadits Ahaad [1], maka ia wajib diterima secara mutlak tanpa andaian atau dolak-dalih. [Ahli Sunnah wal Jamaah tidak mengambil selain dari hadits Shohih [2] (tulen) dan Hasan[3] (baik) dalam perkara aqidah atau i’tikad mereka, bermakna segala hadits Dho’if [4] (lemah) apatah lagi yang Maudhu’ [5], tidak diambil].


Firman Allah سبحانه و تعالى :

{ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوْهُ إِلىَ اللهِ وَ الرَّسُوْلِ }

Maksudnya : “Sekiranya kamu berselisihan di dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul.” (An-Nisaa: 59)

Merujuk kepada Rasul صلى الله عليه و سلم ialah ketika hayat baginda صلى الله عليه و سلم . Tetapi, setelah kewafatan baginda صلى الله عليه و سلم, maka rujukan itu beralih kepada hadits-hadits (Sunnah) Nabi صلى الله عليه و سلم . Demikian itulah yang dimaksudkan oleh Nabi صلى الله عليه و سلم dengan sabda baginda:

< تَرَكْتُ فيكُم ما إنْ تَمَسَّكْتم به لن تَضِلُّوا ، كتاب الله و سنتي >

Maksudnya: “Telah aku tinggalkan bagi kamu dua perkara, selagi kamu berpegang-teguh kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya - Kitab Allah dan Sunnah ku.

(Diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam Al-Muwaththo [hadits no: 615], Al-Haakim di dalam Al-Mustadrak [Juz 1, mks 93] dan Imam Al-Baihaqiy [Juz 10 mks 14] dari Ibn Abbas).

Kesimpulannya, berhukum dengan Kitab Allah dan As-Sunnah shohihah dalam segenap persoalan aqidah tanpa menolak satu pun daripadanya dan tidak mentakwilkannya (dengan tidak berpanduan) serta tidak merubahnya bahkan menerimanya dengan mata kepala (menerima bulat-bulat), adalah merupakan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Iaitu dengan mengambil segala yang jelas dan nyata dari Al-Quran dan As-Sunnah beserta kefahaman As-Salaf, iaitu para Sahabat رضي الله عنهم dan Imam-imam Taabi’iin رحمهم الله, serta mereka yang mengikuti As-Salaf dengan sebaik-baik ikutan.

Firman Allah سبحانه و تعالى:

 فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُوْنَ حَتَّى يُحَكِّمُوْكَ فِيْمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجاً مِمَّا قَضَيْتَ وَ يُسَلِّمُواْ تَسْلِيْماً 

Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman, sehinggalah mereka jadikan kau (wahai Muhammad), hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak mendapati pada diri mereka rasa keberatan untuk menerima keputusanmu dan mereka menerima dengan sepenuh kerelaan. (An-Nisaa: 65)

Maka daripada ayat ini, dapat difahami bahawa salah satu syarat atau tanda iman ialah berhukum dengan hukum Allah dan Rasul serta menerimanya dengan sepenuh kerelaan.

______________________________________
[1] Hadits Ahaad: hadits yang sedikit jalan periwayatannya, yang tidak mencapai taraf Mutawaatir (kerana kekurangan syarat).
[2] Hadits Shohih: Hadits yang sanad (silsilah periwayatannya) bersambung dengan periwayatan perawi yang kuat dan mantap hafalannya lagi jujur dan warak yang meriwayatkannya dari perawi yang sepertinya juga, hingga ke penghujung sanad tersebut dan tiada keganjilan atau sesuatu yang tidak kena pada (sanad dan matan yakni kandungan)nya.
[3] Hadits Hasan: Hadits yang tinggi derajat (ketulenannya), namun tidak setaraf dengan hadits Shohih kerana hafalan di kalangan perawinya ada yang tidak mencapai taraf kekuatan hafalan perawi hadits Shohih.
[4] Hadits Dho’if: Hadits yang tidak memenuhi syarat Shohih dan Hasan kerana ia dicurigai ketulenannya dari Nabi صلى الله عليه و سلم disebabkan kelemahan hafalan salah seorang perawi atau sifatnya yang mencurigakan atau sanadnya yang terputus. Oleh kerana hadits Dho’if tidak memberikan kita keyakinan ia benar berasal dari Nabi, sebab itulah ia ditolak, kerana perkara aqidah mestilah dari perkara-perkara yang dibina atas keyakinan dan bukan sangkaan.
[5] Hadits Maudhu’: hadits palsu yang tiada asalnya dari Nabi صلى الله عليه و سلم, semata-mata rekaan manusia yang berani menggunakan nama Nabi untuk berdusta.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts