Thursday, May 10, 2012

Imam at-Tirmidzi dan para Ahli Hadis tidak bermadzhab

Imam al-Mubārakfūri رحمه الله telah menyangkal dakwaan berbagai pihak yang mengatakan bahawa Imam at-Tirmidzi menuruti (bertaqlid kepada) Madzhab Imam tertentu seperti Madzhab Hanafiyah atau Syafi‘iyah dan ataupun dakwaan bahawa beliau bermadzhab Mālikiyah atau Hanābilah.

Hakikatnya beliau adalah seorang Ahli Hadis dan mengikuti Madzhab Ahli Hadis dan tidak bertaqlied kepada sesiapa pun atau sesuatu Madzhab, sebaliknya menuruti as-Sunnah dan beramal dengannya selaku seorang ahli Ijtihad.


Yang demikian itu amat jelas bagi sesiapa yang meneliti kitab “al-Jāmi‘” (Sunan Tirmidzi) beliau dengan sebaik-baiknya. Demikian yang dinyatakan oleh Imam al-Mubārakfūri. Mereka membuat dakwaan tersebut berdasarkan kata-kata Imam at-Tirmidzi dalam menjelaskan permasalahan fiqh “قال أصحابنا” (para sahabat kami berpendapat – golongan yang serumpun dengan ku berpendapat).

Selanjutnya beliau menjelaskan:
“Tidakkah mereka mengetahui bahawa Imam at-Tirmidzi telah mengatakan perihal: “Bab orang yang solat fardu kemudian menjadi imam kepada orang lain setelah itu, dan amalan ini adalah diharuskan di sisi “أصحابنا” (golongan kami) iaitu asy-Syāfi‘ie, Ahmad (bin Hanbal) dan Is-hāq” “Bab seorang lelaki memeluk Islam sedang ia mempunyai 10 orang isteri dan beramal menurut hadis Ghailān (dalam permasalahan ini) di sisi “أصحابنا” di antaranya Asy-Syāfi‘ie, Ahmad (bin Hanbal) dan Is-hāq” “Bab larangan al-Muhāqalah dan al-Muzābanah dan ia adalah pendapat Asy-Syāfi‘ie dan “أصحابنا” (golongan kami)…Abu ‘Īsā at-Tirmidzi adalah daripada kalangan Ahli Hadis dan madzhab beliau adalah Madzhab Ahli Hadis dan tentunya maksud ungkapan beliau “أصحابنا” adalah Ahli Hadis. 
Sebagaimana halnya bahawa Imam al-Bukhāriy رحمه الله adalah seorang yang menuruti as-Sunnah dan beramal dengannya, sebagai seorang mujtahid dan tidak bertaqlied kepada sesiapa pun daripada Imam 4 Madzhab dan selainnya, maka begitu juga Imam-imam Muslim, at-Tirmidzi, Abu Dawud, an-Nasā-i dan Ibn Mājah, kesemuanya menuruti segala yang diajarkan as-Sunnah dan beramal mengikut petunjuknya, berijtihad tanpa bertaqlied kepada seseorang pun.”
[trj. Muqaddimah Tuhfah al-Ahwadzi: hlm 248]

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts