Thursday, May 3, 2012

Menggerak-gerakkan jari ketika tahiyat hukumnya Makruh?(4)

Soalan:

Assalaamu ‘alaikum Ustadz,

Terlebih dahulu saya minta maaf, tetapi saya dah pun membaca artikel ini secara bersiri, tapi mungkin ia terlalu “akademik” saya masih belum pasti bagaimana yang sepatutnya diamalkan dan apa yang menjadi “fokus perbincangan” hadis Ibn ‘Ajlaan. Tujuan saya ialah supaya saya dapat kesimpulannya, apa yang sebaiknya diamalkan. Baarakallaahu fiekum.

- Izdihar




Jawapan:

Wa ‘alaikumussalaam wa rahmatullaah,

Saudara Izdihar yang dikasihi, semoga Allah merahmati anda sentiasa dan dikurniakan petunjukNya atas usaha ingin sentiasa mengkaji untuk melakukan amalan yang terbaik dan membinanya atas aqidah yang bersih dan niat yang ikhlas, Insyaa Allah.

1. Perawi bernama Muhammad ibn ‘Ajlaan

Pokok perbincangan berkenaan perawi bernama Muhammad ibn ‘Ajlaan rahimahullaah ialah soal “riwayat beliau” dengan adanya beliau meriwayatkan dengan lafaz tambahan “dan tidak menggerak-gerakkan jari”. Ini merupakan satu tambahan daripada beliau yang tidak ada pada periwayatan para perawi yang lain yang seangkatan dengan beliau, yang sama-sama meriwayatkan hadis yang sama. 

Kita ambil contoh, seumpama diri anda, sama-sama dengan 3 orang teman anda (misalnya kita namakan mereka: Khairul, Firdaus dan Ibn ‘Ajlaan) dengar daripada penyampaian seorang guru yang sama. Anda, Khairul, Firdaus dan Ibn ‘Ajlaan, ketika sampaikan kepada Muslim (seorang teman yang lain yang tidak hadir kelas), anda ber-empat semuanya sampaikan begini: “Ibn az-Zubayr menuding dengan jarinya ketika bertasyahhud”, selesai. Tapi bila Daud (seorang teman lain yang tidak hadir) tanya Ibn ‘Ajlaan, beliau sampaikan jadinya: “Ibn Zubayr menuding dengan jarinya ketika bertasyahhud, dan tidak menggerak-gerakkannya”. Ibn ‘Ajlaan ini pula, dalam kekuatan ingatannya, tidak semantap ingatan 3 orang lain yang dimisalkan tadi.

Dalam perbahasan ini, Imam Muslim riwayatkan daripada 4 orang perawi termasuk Ibn ‘Ajlaan, semuanya tanpa tambahan “tidak menggerak-gerakkan jari” hanya menerangkan “Ibn az-Zubayr menuding dengan jarinya ketika tasyahhud”. Tapi dalam periwayatan Imam Abu Dawud, Ibn ‘Ajlaan sampaikan dengan tambahan (yang bergarisbawah): “Ibn Zubayr menuding dengan jarinya ketika bertasyahhud, dan tidak menggerak-gerakkannya.


2. Lafaz tambahan

Setelah jelas “lafaz tambahan” yang ada dalam periwayatan Imam Abu Dawud ini yang menjadi perbahasan, persoalan selanjutnya: apakah lafaz tambahan ini sahih? Dengan kajian teliti beliau, Syaikh al-Albaaniy menyatakan (dengan kajian terhadap para perawi – ‘Ilmu Taraajum ar-Rijaal atau al-Jarh wa at-Ta‘diel) ternyata Ibn ‘Ajlaan tidak setanding kekuatan hafalan beliau berbanding para perawi yang lain yang riwayatkan tanpa “lafaz tambahan tersebut”. 

Maka “lafaz tambahan - dan tidak menggerak-gerakkannya” yang ada dalam Sunan Abi Dawud tersebut dihukumkan “Syaadz” yakni Da‘ief/lemah, kerana Ibn ‘Ajlaan berbeza riwayatnya berbanding para perawi lain yang periwayatan mereka lebih kuat. 

Oleh itu, Syaikh al-Albaaniy TIDAK menghukumkan periwayatan Imam Muslim Da‘ief/lemah, (kerana lafaz tambahan ini tiada dalam riwayat Muslim) sebab yang beliau bincangkan ialah riwayat yang ada dalam Sunan Abi Dawud. Imam al-Baihaqiy, seperti yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi, menghukumkan riwayat Sunan Abi Dawud ni sebagai “dengan isnad yang Sahih” (sila lihat terjemahan terhadap nas Imam an-Nawawi daripada kitab al-Majmu‘ dalam artikel bah.1). 

Maka terselindung daripada pengamatan kedua-dua Imam agung ini (al-Baihaqiy dan an-Nawawi) bahawa riwayat Sunan Abi Dawud itu ada kelemahan dan keganjilannya, sebab sekali pandang, memang nampak Sahih sebab Ibn ‘Ajlaan seorang perawi tsiqah (yang dipercayai dan diterima periwayatannya – perawi Sahih Muslim). Tetapi yang menjadikannya lemah ialah “Matan”nya bukan “Isnad”nya, sebab adanya tambahan Ibn ‘Ajlaan tersebut. Mudah-mudahan ini sudah cukup terang, kerana jika setelah ini, kalau sudah terang lagi disuluh, akan jadi silau. Mohon maaf.


3. Menggunakan hadith ibn ‘Ajlaan sebagai hujjah

Bilamana sudah terang dan jelas kepada kita, riwayat Wa-il ibn Hujur: “Nabi menggerak-gerakkan jari” dan riwayat Ibn az-Zubayr: “Nabi menuding”, maka ini yang diamalkan kerana berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih. Riwayat dengan penafian “tidak meggerak-gerakkan” iaitu lafaz tambahan yang Da‘ief/lemah, tidak boleh dijadikan hujjah

Maka tidak selayaknya untuk dijadikan hujjah melarang orang “menggerak-gerakkan” jari. Pendapat atau kesimpulan Imam al-Baihaqiy dan an-Nawawi tidak dapat diterima, meskipun kita tetap menyanjungi mereka, kerana tidak dapat kita katakan bahawa adanya “larangan” atau penafian: “tidak menggerak-gerakkan jari” dalam riwayat yang benar, sahih yang tenang di hati untuk kita ikuti. Semuanya atas ilmu yang kita raih dan atas dasar taqwa tanpa menghina atau memperkecil, mana-mana pihak. 

Kesimpulannya: yang kita yakini dan amalkan adalah: sama ada
i. Menggerak-gerakkan jari dari awal sehingga selesai Tasyahhud berpandukan hadis Sahih daripada Wa-il ibn Hujur. Sila lihat video “movesababa” untuk mengetahui caranya yang difahami daripada riwayat-riwayat.

ii. Menuding tanpa menggerak-gerakkan dari awal mula duduk dan membaca Tahiyat, sehingga selesai (berdasarkan hadis Ibn az-Zubayr dan lainnya dalam Sahih Muslim dan lainnya).

Adapun mengangkat jari pada “…Laa.. ilaaha illa Allah…” atau “…Laa ilaaha illa Allaah…” dan meletakkannya atau menuding terus sehingga akhir selepasnya, tiada riwayat yang menyokongnya, semata-mata pendapat para Imam yang dimuliakan sebagaimana yang telah dijelaskan dalam artikel bah.2. Wallahu a‘lam.

4. Penutup

Sebagai penutup, daripada awal, tujuan tulisan ini ialah:
i. memperbetul sikap sebahagian pihak yang membuat kesimpulan hukum yang dapat kita rumuskan sebagai “menghukumkan perbuatan menggerak-gerakkan jari adalah makruh atau mengganggu solat orang lain atau menjadi punca yang membatalkan solat dengan kenyataan Imam an-Nawawi” padahal kesimpulan hukum tersebut tidak benar, kecuali ada benarnya Imam Nawawi menghukumkan makruh. Walaubagaimanapun, kebenaran tidak berpihak kepada Imam Nawawi dengan kajian teliti. Namun beliau telah berhukum atas dasar ilmu dan ijtihaad beliau (yang beliau kaitkan dengan ijtihaad al-Baihaqiy) dan selaku ahli ijtihaad beliau mendapat pahala biarpun tersilap. Jika Syari‘at tidak mencemuh malah menyatakan dapat pahala, apakah layak kita mencemuh beliau?

ii. Pihak tersebut menyampaikan kepada para jemaah Masjid, semoga dengan niat baik, tapi sayangnya seperti “kempen” menampakkan satu-satu pihak lain “bersalah” “mengganggu solat orang lain”, “buat perkara yang makruh atau membatalkan solat”. Kesannya, orang awam kurang ilmu, jadi saling menyalahkan.

Wallaahu Walyut Taufieq.

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts