Saturday, May 12, 2012

Soalan Khairat Kematian & Syair dalam Islam

Soalan:

Assalaamu 'alaikum Ustadz,

Saya ada beberapa soalan:

1. Bolehkah seorang isteri menyertai skim "khairat kematian" tanpa izin suaminya?

2. Apakah berpuisi atau bersajak dan yang sepertinya diizinkan Islam?

Baarakallaahu fiekum.

- HNM




Jawapan:

Wa 'alaikumussalaam warahmatullah.


Bismillaah walhamdulillah was solaatu was salaam 'alaa man laa nabiya ba'dah wa 'alaa aalihi wa sohbihi wa manit taba'a hudaah, wa ba'd.

Semoga Allah memberkati usaha anda yang ingin tahu dan bertanya untuk manfaat peribadi dan orang lain dunia akhirat. Saya mohon maaf terlebih dahulu kerana jawapan saya agak ringkas.

1. Khairat Kematian


Mengenai khairat kematian, ia ada beberapa gambaran dan sekaligus beberapa jawapan.

Seseorang isteri dalam banyak perkara, diperlukan untuk meminta izin suaminya terlebih dahulu sebelum mengamalkan/melakukan sesuatu. Misalnya:

  • Untuk ia berpuasa sunnat ketika keberadaan suaminya (tidak bermusafir) Nabi shallallahu 'alayhi wasallam telah berpesan supaya ia meminta izin suaminya terlebih dahulu, sebagai menjaga hak suaminya. 
  • Begitu juga Islam menetapkan seorang isteri beriddah dan berihdad iaitu selama 4 bulan 10 hari, ia menahan diri daripada bernikah lagi selepas kematian suaminya serta “berkabung” tidak keluar rumah, tidak berhias diri berwangian walaupun di rumah, sebagai menjaga hak suaminya yang telah meninggal dunia.
Inikan pula perkara besar seperti “pengurusan jenazahnya” yang akan diuruskan oleh khairat kematian tertentu, yang jika tanpa pengetahuan suaminya bahawa ia menyertai skim tersebut, boleh mencetus kekecohan pada saat ia meninggal dunia. Wallahu a’lam.

Justeru itu, ia perlu meminta izin suaminya dan memaklumkan suaminya. Wallahu a‘lam.  


Bagaimana pula hukum menyertai skim ini? 


Berikut gambarannya:

a. Khairat kematian yang hanya “mengumpulkan” dana
Khairat kematian yang hanya “mengumpulkan” dana sumbangan ahli-ahli boleh dihukumkan sama dengan yang ‘ulama sepakati dan izinkan yang digelar “at-Takmien at- Ta‘aawuni” iaitu “jaminan saling bantu-membantu”.  
Gambarannya, seseorang ahli yang menyertai “khairat” ini membuat sumbangan bulanan atau tahunan, sebagai derma membantu saudara Islamnya untuk mendapatkan keringanan atau diberikan khidmat percuma “pengurusan jenazah” saudara Islamnya itu tanpa ketentuan “siapa” saudara Islam itu. Bila tiba saat kematiannya ahli ini yang membuat sumbangan derma bulanan/tahunan, segala pembiayaan pengurusan jenazahnya akan ditanggung pihak khairat. Itu balasan yang ia dapatkan atas sumbangan ikhlasnya sebagi ahli.  
Dalam hal ini, yang menjadi permasalahan ialah “peraturan dan syarat yang jelas” dalam penyertaan, pengendalian dan keahlian agar tidak berlaku pertelingkahan. Begitu juga pentingnya sikap amanah pihak pengendali khairat.  
Contohnya, apa syarat2 keahlian dan kesan menjadi ahli? Bagaimana jika “kesatuan/pertubuhan” khairat ini dibubarkan suatu hari kelak? Inilah di antara perkara yang perlu diambil-kira dalam muamalah ini untuk mengelakkan berlakunya “pengambilan harta tanpa hak/kerelaan” dan “tidak menyerahkan hak kepada yang layak mendapatkannya” dan lain-lain.

b. Khairat kematian yang “melaburkan” dana
Khairat kematian yang “melaburkan” atau dijadikan “modal perniagaan” dana yang dikumpulkan daripada para ahli. Ini lebih banyak pecahan permasalahannya. Cukup sebagai misal, bagaimana atau apa cara dana diperniagakan/dilaburkan, apakah dasarnya cara “mudharabah”? Pada perniagaan yang halal atau ada melibatkan yang haram pelaburan itu dilakukan. Bagaimana jika kerugian dan bermacam lagi perkara yang melibatkan banyak hukum-hukum mu‘amalah. Wallahu a‘lam.
Kesimpulannya, seseorang perlu mengetahui sejelas-jelasnya “mu‘amalah” khairat ini dan perlaksanaannya yang melibatkan berbagai bentuk dan sekaligus hukum-hukum yang berkaitan dengannya. Ia boleh jadi diperbolehkan malah baik dengan tujuan membantu sesama Islam dan boleh jadi juga haram jika ada mencanggahi dasar-dasar mu‘amalah dalam Islam.


2. Hukum Syair. 


Asal hukum syair adalah diperbolehkan kerana ada sebahagian Sahabat radhiyallahu'anhum merupakan penyair. Misalnya yang umum diketahui berkenaan Sahabat bernama ‘Abdullah bin Rawaahah radhiyallahu'anhu. Yang dimaksudkan di sini adalah “mengarang syair” dan jika disampaikan pun dengan cara seperti “deklamasi sajak” tanpa paluan, gendangan atau apa-apa alat yang mengiringinya atau dinyanyikan. Kalau dengan itu semua hukumnya boleh berubah sebagai sesuatu yang terlarang.


Isinya juga (kata-kata) yang ada dalam Syair itu mestilah perkara-perkara yang baik dalam pertimbangan Syari‘at, misalnya galakan bersabar, membakar semangat mencari ilmu atau kebenaran atau jihad dan mengajak kepada keinsafan dan yang sepertinya.


Ia jadi haram jika melibatkan perkara-perkara yang haram seperti pujian dan galakan kepada maksiat, memuja perawakan wanita, judi, arak dan seumpamanya. Malah, jika ia melalaikan manusia daripada mengingati Allah dengan cara-cara yang disyari‘atkan ataupun si penyair jadi menyibukkan dirinya meluangkan masa yang banyak untuk mengarang syairnya sehingga masa ibadatnya terjejas, maka itu semua boleh jadi terlarang.  


Sebagaimana yang ada diriwayatkan bahawa al-Imam asy-Syafi‘ie rahimahullah menyatakan:
"Orang yang mengingatkan Allah tentang Akhirat dengan paluan dan dendangan syair/nasyid adalah golongan zindiq (munafiq) kerana menjauhkan manusia daripada al-Quran, cukup al-Quran sebagai peringatan."
Adapun asal hukum mengarang syair seperti yang disebutkan tadi, maka al-Imam asy- Syafi‘ie rahimahullah adalah di antara penyair handalan yang syairnya penuh hikmah mengingatkan tentang bersabar menghadapi taqdir, kepentingan ilmu dan sepertinya yang akan saya kongsi pada ketika lain, supaya kita mendapatkan contoh-contohnya.

Rasulullah sendiri pernah bersyair ketika membina Masjid Nabawi sepertimana di dalam riwayat ini:
Maka Nabi memerintahkan agar kubur musyrikin itu dibongkar, baki runtuhan itu diratakan dan pokok-pokok ditebang. Batang-batang pokok lalu disusun membentuk bahagian kiblat masjid, batu-batu dijadikan dasar dan penyokongnya dan para Sahabat pun sibuk mengangkat batu-batu besar dan sambil melakukan itu mereka bersyair sedang Nabi berada bersama mereka dan baginda pun bersabda [sambil mengangkat batu-bata]:

, هَذاَ الْحِمَالُ لاَ حِمَالُ خَيْبَر            هَذاَ أَبَرُّ رَبَّـنَـا وَ أَطْهَرْ  -
, اللَّهُمَّ لاَ خَيْرَ إِلاَّ خَيْرُ الآخِرَة         فَاغْفِرْ لِلأَنْصارِ وَ الْمُهاجِرَة  -
{Kerja mengangkat ini bukan kerja mengangkat barangan Khaibar[1]
Ini lebih besar kebajikannya wahai Tuhan kami dan lebih suci
Ya Allah tiada kebaikan melainkan kebaikan Akhirat
Maka ampunkanlah golongan Ansar dan Muhajirah (Muhajirin)}.”[2]

Di dalam perriwayatan ‘A-isyah:

, اللَّهُمَّ  إِنَّ الأَجْرَ أَجْرُ الآخِرَة    فَارْحَمِ الأَنْصارَ وَ الْمُهاجِرَة  -
{ Ya Allah sesungguhnya ganjarannya ganjaran Akhirat
Maka rahmatilah golongan Anshar dan Muhaajirin.}.”

Wallahu a‘lam. Semoga jelas. Wallahu Waliyut Taufieq.

Sila lihat jawapan al-Lajnah ad-Daimah: Sila klik di sini


[1] Barang yang diangkat di Khaibar (kurang lebih 700km ke Utara Madinah) adalah korma dan ada disebutkan bahawa ia korma jenis yang baik. Maknanya yang kita angkat ini lebih mulia dan baik dari mengangkat korma.
[2] Riwayat Imam-imam al-Bukhariy dan Muslim dari Anas dan Imam al-Bukhariy dari ‘A-isyah. Hadisnya ada di dalam Bab: Fada-il al-Madienah dari Kitab Sahih al-Bukhariy (penterjemah)


 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts