Monday, May 14, 2012

Tatacara Berdoa yang menuruti as-Sunnah (1)

Soalan:


Assalamualaikum Ustaz.

Apa khabar? InsyaAllah keluarga dan anta dalam keadaan sihat wal afiat.

I have a question on adab atau cara berdoa mengikut sunnah Rasul. I don't know whether berdoa dengan menadah tangan is correct or not; whether is there a need to do so or not and I also read that mengusap muka selepas berdoa adalah suatu bidaah.

Penjelasan Ustaz amat di harapkan.

Shukran.

- Nuramin




Jawapan:

Wa ‘alaikumussalaam wa rahmatullaah,

Saudara Nuramin, terima kasih atas doanya untuk saya sekeluarga, semoga anda sekeluarga juga dirahmati Allah sentiasa. Sungguh daripada tanda rahmat Allah ialah kesungguhan seseorang untuk memelihara ibadahnya agar sesuai dengan petunjuk Sunnah Nabi shallallahu 'alayhi wasallam, ajaran Sahabat radhiyallahu 'anhum dan ‘ulama terbilang terutamanya para Salafussolih. Semoga demikian yang anda sekeluarga dapatkan dengan keikhlasan dan kesungguhan anda.

Sila lihat jawapan saya berikut ini:

1. Tidak sepatutnya Khatieb mengangkat tangan ketika berdoa dalam khutbahnya. Para makmum juga sepatutnya tidak mengangkat menadahkan tangan mereka ketika itu [1].

a. Daripada ‘Imarah bin Ruwaibah : Bahawasanya beliau menyaksikan Bisyrun bin Marwan mengangkat dan menadahkan kedua tangannya di atas mimbar lantas beliau pun mengatakan: Semoga Allah memburukkan kedua-dua tangan itu. Sungguh saya telah melihat Rasulullah tidak melakukan demikian dan hanya melakukan begini dengan tangan baginda” dan beliau mengisyaratkan dengan jari telunjuk beliau [2]
b. Kata al-Imam an-Nawawi [3] : Ini adalah petunjuk bahawa menurut as-Sunnah, kedua tangan tidak diangkat (ketika berdoa) di dalam khutbah.[4] 
c. Dikecualikan jika berdoa untuk beristisqa’ (minta hujan: اللهم أغثنا) di dalam khutbah. 
d. Kata al-Imam al-‘Iz bin ‘Abdis Salam [5]: Tidak digalakkan mengangkat kedua tangan ketika berdoa kecuali pada keadaan/tempat yang mana Rasulullah sendiri ada mengangkat kedua tangan baginda [6]
e. Kata al-Imam az-Zuhri [7]: Mengangkat kedua tangan (ketika berdoa) pada Hari Jumaat (ketika Khatieb berkhutbah) adalah muhdats (rekaan baru: bid‘ah) [8]
f. Kata Masruq [9] – ketika beliau melihat Imam pada Hari Jumaat mengangkat kedua tangannya di atas mimbar dan orang ramai pun turut mengangkat tangan mereka - : Semoga Allah kodongkan tangan-tangan mereka.[10] 
g. Kata Syeikhul Islam [11] : Adalah dibenci perbuatan Imam mengangkat kedua tangannya ketika berdoa di dalam khutbah, sebab Nabi hanya membuat isyarat dengan jari baginda ketika berdoa (di dalam khutbah).[12] 
h. Kata al-Imam Abu Syamah al-Maqdisiy(599-665H) : Adapun perbuatan mereka mengangkat tangan ketika berdoa (pada Hari Jumaat semasa khutbah) maka ia daripada bid‘ah yang telah lama berlaku. [13]

2. Hendaklah mengelakkan daripada berkumpul berdoa beramai-ramai [14]

Bukannya daripada petunjuk atau panduan baginda mengumpulkan orang ramai untuk berdoa, kecuali ketika melakukan Solat al-Istisqa’. Adapun mengumpulkan mereka pada bila-bila masa, ataupun seusai solat-solat Fardu, ataupun dengan berakhirnya sesuatu majlis, maka ini bukan daripada ajaran baginda shallallahu 'alayhi wasallam. Bahkan yang telah jelas sahih daripada ‘Umar bin al-Khattab radhiyallahu'anhu adalah apa yang bercanggah dengan segala bentuk cara berdoa yang bersempena itu tadi. 
a. Daripada Abie ‘Utsman al-Hindi katanya: Seorang petugas (gabenor) telah mengutus surat kepada ‘Umar bin al-Khattab bahawa di tempatnya ada segolongan orang yang berkumpul untuk mendoakan untuk kaum muslimin dan pemimpin daerah mereka. Maka ‘Umar membalas surat beliau dengan perutusan berikut: Bawa mereka menghadap aku. Maka mereka pun datang menghadap dan ketika itu ‘Umar berkata kepada penjaga pintunya: Sediakan cemeti/cambuk penyebat. Maka bila mereka masuk menghadap’Umar, beliau segera menyebat ketua mereka dengan cambuk. [15] 
b. Al-Imam Ahmad membencinya daripada sudut yang mana jika diajak berkumpul kerananya (untuk berdoa) dan mengadakan persiapan untuknya, adapun jika tanpa aturan sebelumnya (spontan) maka beliau memandangnya tidak mengapa. Di dalam Masa-il Is- haq al-Kusaj: 2/212, kata Is-haq : kata ku: adalah dibenci untuk segolongan kaum berkumpul berdoa kepada Allah, sama-sama beramai-ramai mengangkat tangan mereka, kata beliau: Tiada aku membencinya untuk mereka melakukan demikian sekiranya mereka tidak berkumpul dengan sengaja, selama mereka tidak memperbanyak melakukan demikian.[16] Kata Is-haq: Demikian kata beliau dan maksud beliau “tidak memperbanyak, maka beliau menjelaskan: Tidak dijadikan adat kebiasaan yakni sehingga dapat diketahui (masa dan tempatnya – penterjemah). [17] 
c. Kata al-Imam asy-Syatibi [18] : Doa secara berjemaah dan melaziminya bukan daripada perbuatan (ajaran) ar-Rasul . [19] 
d. Oleh itu, hadis-hadis yang menunjukkan kepada doa berjemaah misalnya sabda Rasulullah: “و لا يؤم قوما فيخص نفسه بدعوة دونهمن فإن فعل فقد خانهم” Janganlah seseorang itu menjadi imam suatu kaum tapi ia mengkhususkan doa buat dirinya tanpa merangkumkan mereka dan jika ia lakukan demikian maka sesungguhnya ia telah mengkhianati mereka…dan yang lainnya yang ada menyebutkan tentang yang mendengarkan doa meng“amin”kan, difahami pada doa-doa yang warid daripada perbuatan Nabi shallallahu 'alayhi wasallam bahawa beliau sendiri memimpin doa tersebut seperti doa qunut di dalam solat, doa Solat al-Istisqa’ dan sepertinya, bukan doa secara umum sebab tiada riwayat yang menunjukkan baginda ada melakukan demikian.
e. Selain itu adalah penjelasan para imam yang menyebutkan tentang keburukan doa berjemaah yang padanya dikhuatiri berlaku riya’ dan sum‘ah dengan melantangkan suara, dan dengan nada yang menghibakan dan sebagainya, yang tiada petunjuknya di dalam as- Sunnah.

Kata Imam al-Qarafiy [20] :
(ketika menjelaskan perbezaan di antara kaedah apa yang dimakruhkan mengenai doa dan kaedah apa yang tidak makruh berkenaan doa, 5 sebab yang menunjukkan sesuatu itu dimakruhkan di dalam doa, sebab yang ketiga):
“Yang makruh/tidak disukai jika ia menjadi penyebab kerosakan (kekotoran) hati, menghasilkan rasa takabbur dan riya’, sehingga boleh menyebabkan imam itu merasa dirinya hebat, maka merosakkan hatinya, berdosa kepada Tuhannya lebih dari mentaatiNya di dalam keadaan begitu. Begitulah juga bagi setiap orang yang terasa dirinya hebat ketika doa di hadapan orang lain, sedang ditakuti dirinya menjadi takabbur dengan sebab itu, maka yang terbaik baginya ialah meninggalkannya agar dirinya terselamat.” [21]

Kata Imam ‘Ala-uddien al-Mardawiy [22]:
Setelah mengingkari dakwaan yang mengatakan bahawa golongan al-Hanabilah berselisihan pendapat di dalam perkara ini: “Yang benar ialah merendahkan (perlahankan) suara, ketika itu (dzikir dan doa selepas sholat) dan begitu pula setiap dzikir yang lain....”[23] Di dalam bahagian yang lain, selepas beliau menukil kata-kata pengarang kitab ar-Ri‘ayah al-Kubro, iaitu: “[Adalah dimakruhkan/dibenci meninggikan suara ketika berdoa di dalam (yakni selesai) sholat dan lainnya, sebagaimana yang telah dijelaskan tanpa tetap melakukannya demikian (tidak terus-menerus tinggikian suara, wallahu a’lam)...]
Ulasan ku: Inilah yang tepat dan benar.” [24]

Kata al-Imam asy-Syafi‘ie[25]:
“Aku berpendapat bahawa imam dan makmum, masing-masing berdzikir kepada Allah, selepas salam dari solat, agar berdzikir dengan senyap, kecuali jika ia seorang imam yang berkewajipan untuk orang pelajari daripada dirinya (tatacara dzikir), maka ia menjaharkannya sehinggalah ia melihat bahawa mereka telah mempelajarinya daripada dirinya, maka seterusnya selepas itu, ia berdzikir secara sir (suara perlahan/senyap). Yang demikian, kerana Allah berfirman: {و لا تجهر بصلاتك و لا تخافت بها} (Surah al-Isra’: 110) [Dan janganlah engkau menjaharkan dengan solat mu dan jangan pula terlalu merendahkan suara mu dengannya…] yakni, Wallahu Ta‘ala a’lam, doa. Wa laa tajhar, jangan tinggikan/lantangkan (suara), wa laa tukhafit, jangan sampai diri mu sendiri tidak mampu mendengarnya...” [26]

Maka dengannya dapat disimpulkan bahawa adanya keburukan yang boleh berlaku dan telah berlaku dengan berdoa secara berjemaah dengan suara lantang sehingga jelas itulah sebabnya tiada riwayat bahawa Nabi shallallahu 'alayhi wasallam dan para Sahabat radhiyallahu 'anhum ada melakukan doa berjemaah sepertimana yang dijelaskan oleh al-Imam asy-Syatibi rahimahullah, iaitu di antara keburukannya ialah terdedahnya pintu kepada riya’ dan sum‘ah.

f. Syeikhul Islam juga berpendapat bahawa Nabi shallallahu 'alayhi wasallam disuruh berdoa dan menyuruh para Sahabat radhiyallahu 'anhum berdoa pada penghujung solat. Akan tetapi bilamana tiada riwayat bahawa baginda shallallahu 'alayhi wasallam sendiri ada berdoa atau memimpin doa selepas solat-solat berjemaah, maka difahami dengan gandingan riwayat-riwayat itu semua bahawa doa yang diperintahkan adalah “duburis solah” bererti sejurus sebelum memberi salam selepas berakhirnya tahiyat akhir iaitu “Doa di dalam solat” yang Nabi sendiri ada ajarkan dan bukannya selepas memberi salam dan selesai solat. Adapun selesai solat adalah melakukan dzikir sesuai menurut panduan as-Sunnah.
[bersambung...]

_______________________________________
[1] Sifat Du‘a’ an-Nabiy: 22; 47-48.
[2] Sahih – riwayat Ibn Abie Syaibah (6/475), Muslim (2/595), Abu Dawud (1104), at-Tirmidzi (515), an- Nasa-i (3/108) dan (al-Kubro) serta Ibn Khuzaimah (1793).
[3] Imam Yahya bin Syaraf, an-Nawawi; 631-676H
[4] Syarh Sahih Muslim: 2/525
[5] Sultan al-‘Ulama’, 578-660H
[6] Di dalam “Fatawiehi” (Fatwa-fatwa beliau): 15
[7] Muhammad bin Muslim bin Syihab; 51-124H. Mahaguru Hadis, antara guru utama Imam Malik
[8] Riwayat Ibn Abie Syaibah (6/475) dengan 2 sanad yang sahih
[9] Masruq bin al-Ajda‘, Tabi‘ie kabier, wafat tahun 62H, anak murid kepada segolongan Sahabat
[10] Ibid
[11] Imam Taqiyuddien al-Harrani; 658-728H
[12] Al-Ikhtiyarat al-‘Ilmiyah: 48
[13] Al-Ba‘its ‘ala Inkar al-Bida‘ wa al-Hawadits: 111
[14] Sifat Du‘a’ an-Nabiy: 49-51
[15] Atsar ini dapat diterima sebagai riwayat yang benar daripada sudut Isnadnya. Diriwayatkan oleh Ibn Waddah di dalam al-Bida‘ wa an-Nahyu ‘anha: 39 daripada Ibn Abie Syaibah; Mu‘awiyah bin Hisyam meriwayatkan daripada Sufyan daripada Sa‘ied al-Jarieri daripada Abie ‘Utsman. Sanadnya dapat diterima kerana dapat diterimanya kedudukan Mu‘awiyah bin Hisyam. Atsar ini ada di sisi Ibn Abie Syaibah: 5/290 dengan sanad tersebut
[16] Maknanya, sekalipun mereka berkumpul secara spontan tanpa sengaja atau temu janji, yang mana itu diperbolehkan, tetap mereka tidak boleh banyak melakukannya (berdoa secara kumpulan/berjemaah). Maka jika jadi banyak atau sering dilakukan, maka jelasnya tidak diperbolehkan juga
[17] Nukilan daripada “al-Masa-il wa ar-Rasa-il”: 2/274
[18] Wafat 790H
[19] Al-I‘tisam: 1/219
[20] Ahmad bin Idries bin ‘Abdur Rahman Abul ‘Abas Syihab ad-Din as-Sanhaji al-Qarafiy al-Maliki. Ahli (Alim besar) di dalam Fiqh, Usul Fiqh, Tafsiir, wafat 684H. Di antara karangan beliau: al-Furuq, Tanqieh al-Fusul dll
[21] Anwar al-Buruq wa Anwa‘ al-Furuq : 4/300-301
[22] ‘Aliy bin Sulaiman asy-Sya‘diy as-Salihi, al-Hambali al-Mardawiy Abul Hasan, Alim bidang fiqh, ahli Hadis, Usul Fiqh wafat 885 H. Di antara kitab karangannya : al-Insaf, Tashih al-Furu ‘ dll.
[23] Tash-hiih Al-Furuu’ - Haasiyatul Furuu’ karangan Ibn Muflih oleh Al-Mardaawiy 1/454
[24] Ibid. 1/455
[25] Imam Pembela as-Sunnah, Muhammad bin Idries, al-Muttalibi al-Qurasyi, asy-Syafi‘ie disandarkan Madzhab Syafi‘ie kepada diri beliau, yang dianggap sebagai pengasasnya, 150-204H
[26] Al-Umm : 1/126


 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts