Friday, June 1, 2012

Apakah benar Wajib berMadzhab? Bah.2

(sambungan kepada Apakah benar Wajib BerMadzhab? Bah. 1)

Kini akan kita sanggahi tanggapan silap ini:

1. Tiada dalil untuk mewajibkan.

Yang wajib itu adalah apa yang diwajibkan Allah dan RasulNya. Tiada satu dalil pun, baik al-Qur’an mahupun as-Sunnah yang mewajibkannya. Malah at-Taqlied bercanggahan dengan keadaan yang berlaku pada zaman Nabi, para Sahabat dan at-Tabi‘ien, bahkan zaman para Imam 4 Madzhab sekalipun. Orang awam ketika itu, bertanyakan hukum kepada seseorang ‘alim tanpa bertaqlied pada ‘alim tertentu.



Kata al-Hafiz Ibn ‘Abdil Barr (368-463H):
“Adapun at-Taqlied maka ia adalah menerima pendapat seseorang tanpa hujjah/dalil, maka dari mana akan ia dapatkan ilmu dan tidak pula bersandarkan pada yang pasti dan ia pada zatnya (at-Taqlied) adalah satu bid‘ah, sebab kita mengetahui dengan pasti bahawa para Sahabat, pada zaman mereka, tiada satu Madzhab seseorang pun yang diikuti. Bahkan mereka sentiasa mengembalikan apa jua permasalahan kepada keterangan al-Qur’an dan as-Sunnah dan mereka mengambil yang terbaik setelah berbincang ketikamana tidak diketemui dalil, begitu jugalah para pengikut mereka (at-Tabi‘ien) kembali kepada al-Qur’an dan as-Sunnah, bilamana tiada dalil, mereka akan berpegang dengan ‘Ijma‘ para Sahabat, bila tidak diketemui, mereka berijtihad, kemudian zaman Imam 4 Madzhab, mereka mengikuti Manhaj/pegangan orang-orang sebelum mereka, tiada pada zaman mereka madzhab seseorang tertentu yang dipelajari.” [1]

Kata Imam Ibnul Qayyim (w: 751H) mengenai at-Taqlied: 
“Dan ini adalah satu bid‘ah yang jelek yang berlaku pada umat, tidak pernah diajarkan oleh seseorang pun daripada para Imam terbilang, padahal mereka berada pada kedudukan tertinggi lagi diagungkan, lebih mengenal Allah dan rasulNya sehingga terpelihara daripada memaksakan manusia dengannya (bertaqlied) dan paling jauh daripada pendapat orang yang mengatakan: Semestinya diikuti secara tetap madzhab seseorang ‘alim daripada ‘ulama’ dan ungkapan: Mesti bermadzhab dengan salah satu madzhab yang 4.” [2]

2. Berlaku al-Ijma‘ (kesepakatan) bahawasanya tidak wajib bertaqlied kepada seseorang ‘alim tertentu.

Di antara ‘ulama’ yang mengingkari pendapat pihak yang mewajibkan at-Taqlied kepada salah seorang Imam 4 Madzhab adalah al-Hafiz al-‘Iraqi, az-Zarkasyi, an-Nawawi dan al-‘Izz bin ‘Abdis Salam [3] telah menukilkan 2 Ijma‘ tidak diwajibkan untuk mengikuti seseorang ‘alim tertentu:
i. Ijma‘ para Sahabat bahawasanya diperbolehkan untuk seseorang awam bertanyakan hukum kepada mana-mana ‘alim dan tiada satu riwayat pun daripada mereka yang menegahnya. Jika ia tidak diperbolehkan, mustahil para Sahabat akan berdiam diri tidak mengingkarinya. 
ii. Ijma‘ umat ini bahawa seseorang yang memeluk agama Islam, tidak diwajibkan ke atasnya untuk mengikuti seseorang imam tertentu. Jika ia bertaqlied sekalipun, ia adalah atas pilihannya, iaitu “suatu pilihan bebas” yang disepakati umat (bukan kewajipan), sehinggalah ada dalil lain menghapuskan hukumnya (pilihannya untuk bertaqlied dan bukannya kewajipan mesti bertaqlied) dan ijma‘ hanya dapat dihapuskan hukumnya dengan yang sama kuat dengannya.

Kata al-Hafiz al-‘Iraqi [4] dengan nukilan daripada kata-kata an-Nawawi: 
“Yang jelas ditunjukkan oleh dalil bahawasanya tidak dimestikan seseorang untuk berMadzhab dengan mana-mana Madzhab, bahkan ia bertanyakan hukum kepada siapa yang dikehendakinya, tetapi bukan dengan sikap mencari-cari mana yang mudah ” [5]

3. Mewajibkan at-Taqlied menjadikan al-Qur’an dan as-Sunnah ditinggalkan dan dijauhi

Sungguh kita mendapati, bilamana ditanggapi bahawa mengkaji al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai suatu sikap menentang para ahli Ijtihad, umat semakin jauh malah meninggalkan pembelajaran kedua-duanya secara keseluruhan.


4. Dakwaan bahawa beramal dengan al-Quran dan as-Sunnah terhenti pada ahli ijtihad sahaja adalah dakwaan yang batil.

Sebenarnya, sesiapa sahaja yang mengetahui sesuatu daripada al-Qur’an dan as-Sunnah, menjadi kewajipannya untuk beramal dengannya dan berpegang dengannya dan tidak diperbolehkan baginya untuk meninggalkan pengetahuannya itu demi mengikuti pendapat seseorang. Dalil-dalil mengenai ini amat banyak:

i. Nas-nas dari al-Qur’an dan as-Sunnah 
Nas-nas dari al-Qur’an dan as-Sunnah, yang memerintahkan secara umum dan mutlaq, bukan khas bagi manusia tertentu, agar mengamalkan demikian. Mengkhusus para ahli ijtihad sahaja perlu kepada dalil. 
Nas-nas sedemikian (umum dan mutlaq, bukan untuk ahli ijtihad sahaja) ada terlalu banyak, antaranya: 
Ertinya: “(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah…".” [6] 
Ayat lainnya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.” [7] 
Ayat lain: “Jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat…” [8] dan lainnya.

ii. Ijma‘ atau kesepakatan kaum Muslimien 
Ijma‘ atau kesepakatan kaum Muslimien bahawa orang-orang kafir yang dihadapi oleh Nabi, diperintahkan supaya meneliti al-Qur’an dengan tadabbur, menerimanya dan berpegang dengannya, padahal mereka tidak mencapai peringkat ahli ijtihad. 
Firman Allah, ertinya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” [9]  
Sikap tidak mahu mengambil pelajaran dan petunjuk dari al-Qur’an adalah sifat tercela, kalau seandainya, ia hanya berkenaan pihak yang telah mencapai ijtihad, tentunya Allah tidak mencela selain mereka yang bersikap demikian.

iii. Mengambil hukum dari nas-nas tidak perlu berkelayakan untuk berijtihad 
Syarat-syarat berkelayakan untuk berijtihad, tiada kaitannya dengan pengambilan secara langsung daripada nas-nas kecuali pada perkara yang ada ruang ijtihad padanya. 
Pada perkara yang jelas daripada nas-nas yang mana tiada ruang ijtihad seperti kewajipan perintah-perintah Allah misalnya Solat lima waktu dan yang sepertinya. Perkara sebegini tiada ruang ijtihad padanya. Sebab itu Ahli Usul menyatakan: “Tiada Ijtihad dengan adanya nas”. 
Perlu difahami bahawa Madzhab-madzhab yang ada padanya at-Taqlied adalah secara khusus berkenaan dengan perkara-perkara yang ada Ijtihad padanya, tidak merangkumi yang telah ada nas yang sahih daripada wahyu, bebas daripada andaian. Maka tiada ijtihad dan tidak pula taqlied pada perkara yng mencanggahi mana-mana nas al-Qur’an, as-Sunnah dan al-Ijma‘.

iv. Hujjah bathil dengan ayat: "..bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan.."
Mereka yang membuat dakwaan ini “beramal dengan al-Qur’an dan as-Sunnah terhenti pada ahli ijtihad” tidak bersandarkan apa-apa dalil daripada al-Qur’an dan as-Sunnah dalam dakwaan mereka. 
Jika mereka berhujjah dengan ayat: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.” [10] Sebenarnya ayat itu bagi orang yang tidak tahu maka ia berkewajipan bertanya. Tidak merangkumi orang yang mengetahui. 
Demikian itu sikap mengambil sebahagian ayat lalu mentafsirkannya dengan tafsiran hawa nafsu. Mengapa tidak dikemukakan juga ayat: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semuanya itu akan dituntut pertanggungjawabannya.” [11] 
Bukankah erti taqlied itu mengambil pendapat orang lain tanpa mengetahui hujjah atau dalilnya, mengikut tanpa pengetahuan?

5. Dakwaan adanya kemungkinan yang berbagai pada Nas-nas dan ini hanya diketahui ahli Ijtihad.

Antaranya mereka katakan: 
“Mungkin ada berlaku pemansukhan – mansukh – pada dalil-dalil, atau ada maksud pengkhususan dan lainnya, sehingga kita tidak boleh simpulkan dengan apa yang zahir”
Ini adalah batil, sebab nas-nas berkuatkuasa tidak mansukh sehingga ada bukti nyata ia telah dimansukhkan, yang ‘Am pula kekal dengan maknanya yang umum melainkan ada dalil nyata yang mengkhususkannya serta yang mutlaq tetap pada sifatnya yang bebas daripada apa jua kaitan dan keterikatan kecuali ada yang membataskannya dengan muqayyad.

Sesiapapun mengetahui, setelah mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam dan merujuk kepada ‘ulama’ untuk keterangan lanjut, berkenaan perkara-perkara ini. Misalnya, bila Allah wajibkan Haji dan puasa, mereka faham ia bukan untuk orang gila dan orang kafir. Bila Allah mengharamkan bangkai, mereka faham bukannya hidupan laut. Hanya pada perkara perincian dan yang ada ruang ijtihad dan perselisihan, mereka perlu pemahaman nas-nas dengan penerangan ‘ulama’ dan kitab-kitab hadis dan tafsir.

[Bersambung....]

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

[1] Al-Qaul al-Mufied: hlm.43 oleh asy-Syaukaniy

[2] I‘lāmul Muwaqqi‘ien: 4/333

[3] Al-Imam yang bergelar “Sultan al-‘Ulama” ‘Izzud Dien bin ‘Abdis Salam as-Salmi asy-Syafi‘ie. Seorang ahli Hadis, ahli Usul dan ahli Fiqh – lahir tahun 577H wafat pada tahun 660H. - Syadzarat adz-Dzahab: 5/301

[4] Al-Imam ‘Abdur Rahiem bin al-Husayn bin ‘Abdir Rahman, Abul Fadl al-Hafiz al-Qari’, masyhur dengan gelaran al-Hafiz al-‘Iraqi. Antara karangan beliau Dzayl Mizan al-I‘tidal dan Takhriej Ihya’ ‘Ulum ad-Dien. Lahir pada tahun 725H dan wafat pada tahun 806H – Syadzarat adz-Dzahab: 7/55.

[5] Al-Madkhal: 179; Al-Fikru as-Sami: 2/418

[6] Al-Qur’an: Surah al-A‘rāf: 7:3

[7] Al-Qur’an: Surah an-Nisā’: 4:61

[8] Al-Qur’an: Surah an-Nisā’: 4:59

[9] Al-Qur’an: Surah an-Nisā’: 4:82

[10] Al-Qur’an: Surah an-Nahl: 16:43 & Surah al-Anbiya’: 21:7

[11] Al-Qur’an: Surah al-Isrā’: 17:36
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts