Thursday, July 5, 2012

Apakah benar Wajib berMadzhab? Bah.3

sambungan daripada Bahagian 2

6. Bercelarunya golongan yang mewajibkan at-Taqlied dalam dakwaan mereka.

i. Anda akan dapati mereka berkata: “Pintu Ijtihad sudah tertutup” kesimpulannya, menurut dakwaan mereka, kita hanya ikut secara bertaqlied pada imam Madzhab kita. Namun, anda dapati mereka menjadi ahli fatwa menyimpulkan hukum-hukum pada permasalahan baru dengan ijtihad mereka kerana tidak ketemukan, bahkan sebenarnya tidak mengkaji, ketetapan ‘ulama’ Madzhabnya pada perkara itu. Mengapa mereka dakwa ia “tertutup” tetapi mereka sendiri melakukan ijtihad?

ii. Mereka juga “memilih” daripada sekian banyak pendapat dalam Madzhab anutan mereka, pendapat imam sekian dan sekian, misalnya mereka mengambil daripada Imam an-Nawawi meninggalkan Imam al-Ghazzaliy atau Imam al-Mawardi atau asy-Syierazi. Maka mereka “berijtihad” pilih mana yang mereka ingin ikuti dalam berbagai permasalahan agama, wudu’, solat, zikir, haji dan sebagainya. Bagaimana mereka boleh memilih dengan ijtihad mereka, padahal menganggap pintu ijtihad telah tertutup? Lebih-lebih lagi dalam manasik haji, diambil pendapat yang paling ringan lagi mudah, asal ada “qaul” yakni pendapat seseorang imam dalam Madzhab anutannya, tanpa berpandukan asal ajaran Rasulullah, malah sekalipun bercanggah dengan as-Sunnah. Betapa mereka melarang perbuatan tidak bertaqlied kepada Imam 4 Madzhab, tetapi mereka sendiri melanggar larangan itu kerana mereka bertaqlied bukan kepada Imam Madzhab itu sendiri.

iii. Kata mereka: “Imam-imam seperti an-Nawawi dan Ibn Hajar pun masih bertaqlied, sebab mereka bergelar asy-Syafi‘ie dan begitu juga para Imam Madzhab lainnya juga bertaqlied”. Dakwaan ini batil, kerana mereka bergelar demikian bukan kerana bertaqlied tetapi kerana samada hidup dalam masyarakat berMadzhab tersebut seperti yang telah kita fahami dalam Sejarah. Ataupun kerana mereka berijtihad menurut ketetapan Imam Madzhab dalam mengeluarkan hukum daripada nas-nas, seperti yang telah dijelaskan dalam tingkatan Mujtahid. Walhal jika kita teliti kitab-kitab mereka, akan kita dapati mereka mengeluarkan berbagai pendapat para imam berbagai Madzhab, kemudian menyimpulkan pendapat yang terbaik berpandukan dalil yang terkuat dan paling bernas dengan masalah yang dibahaskan. Seperti itu yang dilakukan Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu‘ dan al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari. Mereka tidak bertaqlied.

7. Hujjah-hujjah ‘aqliyah (penilaian akal) yang membuktikan kebatilan at-Taqlied.

Kata Abu ‘Umar Ibn ‘Abdil Barr (368-463H): “Segolongan Fuqaha’ dan para pemikir telah berhujjah menyanggah pihak yang mengizinkan at-Taqlied dengan hujjah-hujjah ‘aqliyah (akal)…yang terbaik adalah kata-kata al-Muzaniy (murid asy-Syafi‘ie), katanya: 

Kita katakan kepada orang yang berhukum dengan bertaqlied: Apakah anda ada hujjah menyokong apa yang anda hukumkan? Jika jawabnya:

i. [Ya]. 
    - Maka dengan itu batal-lah taqlied, sebab hujjah itu menjadi wajib untuk diambilnya dan bukannya taqlied.

ii. [Saya berhukum tanpa hujjah]. 
   - Maka dikatakan kepadanya: Lalu mengapa anda menumpahkan darah, menghalalkan kemaluan (tanpa nikah), menghilangkan harta, sedang Allah telah mengharamkan segalanya itu dengan hujjah, FirmanNya: Kamu tidak punya bukti/hujjah atas perkara ini [1] yakni ada hujjah atas perkara ini.

iii. [Saya tahu bahawa saya betul, meskipun saya tidak tahu hujjahnya, sebab saya mengikuti seorang ‘alim besar dan beliau tak berkata kecuali dengan hujjah yang saya tidak tahu].
     - Dikatakan kepadanya: Jika diperbolehkan taqlied kepada guru anda, sebab ia berkata dengan hujjah tapi anda tidak tahu, maka bertaqlied kepada guru yang menjadi guru kepada guru anda adalah lebih utama, sebab ia tidak berkata kecuali dengan hujjah yang mana guru anda pula tidak mengetahuinya, sebab guru anda sendiri pun tidak berkata kecuali dengan hujjah yang tidak anda ketahui.

iv. [Ya]. Ia tinggalkan taqlied gurunya dan bertaqlied kepada guru kepada gurunya itu dan begitulah seterusnya guru demi guru, sehinggalah berakhir pada para Sahabat Nabi.

v. Jika ia tidak mahu terima yang demikian itu, batal-lah pendapatnya (yang asal, yang membolehkan taqlied) dan dikatakan kepadanya: bagaimana anda memperbolehkan taqlied pihak yang kecil, yang kurang ilmu dan tidak memperbolehkan taqlied orang yang lebih besar lagi mempunyai kelebihan ilmu dan ini satu pendapat yang pada zatnya saling bercanggahan.

vi. [sebab guru saya, meskipun pihak kecil, telah menghimpunkan ilmu orang-orang atasannya, maka ia lebih mengetahui apa yang ia ambil dan lebih mengerti apa yang ia tinggalkan].
   - Dikatakan kepadanya: Maka begitulah juga orang yang belajar daripada guru anda, telah menghimpunkan ilmu guru anda dan ilmu orang-orang atasannya, maka anda dimestikan untuk bertaqlied kepadanya, meninggalkan guru anda, maka begitulah jadinya bertaqlied kepada diri anda sendiri adalah lebih utama daripada guru anda, sebab anda telah mengumpulkan ilmu guru anda dan semua orang atasan guru anda, jika ada pihak lain yang bertaqlied padanya pula, jadilah bertaqlied kepadanya lebih utama. Maka bila-bila sahaja ada ‘ulama’ baru, maka bertaqlied kepada mereka lebih diutamakan daripada ikutan para Sahabat…begitulah seterusnya, yang lebih baru lebih utama daripada yang lebih awal. Memadai bahawa pendapat ini pada zatnya sendiri saling bercanggahan dan jelas fasid/buruknya” [2]

bersambung...

[1] Al-Qur’an: Surah Yunus: 10:68
[2] Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fadlihi, hlm.2/142-143 oleh al-Hafiz Ibn 'Abdil Barr (wafat: 463H)
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts