Thursday, July 5, 2012

Apakah benar Wajib berMadzhab? Bah.4

(sambungan daripada: Apakah benar Wajib berMadzhab? Bah.3)


8. Taqlied itu kejahilan bukan ilmu.

Kata al-Hafiz Ibn ‘Abdil Barr (368-463H):
“‘Ulama’ menyatakan: Orang yang bertaqlied adalah orang yang tiada ilmu dan mereka tidak berselisihan dalam perkara tersebut…dan at-Taqlied di sisi segolongan ‘ulama’, bukan pada hakikatnya al-Ittiba‘” [1]



9. Golongan yang bertaqlied dengan sendirinya telah mencanggahi pegangan para Imam mereka.

Kata-kata para Imam 4 Madzhab yang diutarakan berikut ini, memadai untuk membuktikan yang demikian itu:

i. Imam Abu Haniefah :
a. “Jika telah jelas kesahihan sesebuah hadis maka itulah madzhab/pendapat ku.” [2]
b.“Tidak halal bagi seseorang untuk mengambil /mengikuti pendapat kami selama ia tidak mengetahui dari mana kami mengambilnya (yakni mendapatkan dalilnya).” [3]

ii. Imam Malik bin Anas :
a. “Tiada seorang pun selepas Nabi kecuali semestinya diambil atau tertolak pendapatnya melainkan Nabi .” [4]
b.“Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang manusia biasa, aku adakalanya silap dan adakalanya betul, maka telitilah pendapatku; maka apa sahaja yang bersesuaian dengan Al-Kitab (Al-Quran) dan As-Sunnah maka ambillah ia dan apa sahaja yang tidak bertepatan dengan Al-Kitab dan As-Sunnah hendaklah kalian tinggalkannya.” [5]

iii.Imam asy-Syafi‘ie :
a.“Tiada seorang pun kecuali ia ada terlupa suatu Sunnah Rasulullah ataupun terselindung darinya (yakni tidak diketahuinya), maka tidak kira apa pendapatku yang aku pernah nyatakan, atau satu dasar/prinsip/kaedah yang aku telah tetapkan, sedang ada daripada Rasulullah apa yang bercanggah dengan apa yang telah aku nyatakan itu, maka penentunya adalah apa yang disabdakan oleh Rasulullah dan itulah yang menjadi pendapatku.” [6]
b.“Kaum muslimin telah bersepakat (ijma’) bahawasanya sesiapa yang telah jelas kepadanya sesuatu daripada Sunnah Rasulullah ; maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya (as-Sunnah) demi menuruti pendapat seseorang.”  [7]
c. “Setiap apa yang aku katakan; sedang apa yang sahih daripada Nabi bercanggah dengan kata-kata/pendapatku, maka sudah tentu hadis Nabi itu lebih utama maka janganlah kalian menurutiku secara membuta tuli.” [8]

iv. Imam Ahmad bin Hambal :
“Usah anda bertaqlid (mengikut membuta tuli) kepada ku dan jangan pula bertaqlid kepada Malik, asy-Syafi‘ie, al-Auza‘ie, ats-Tsauriy dan ambillah daripada mana mereka ambil (dalil-dalil pegangan mereka).”[9]


10.Golongan yang bertaqlied dengan sendirinya telah mencanggahi pegangan murid-murid setia para Imam mereka.

Kedua-dua Imam besar: Muhammad bin al-Hasan dan Abu Yusuf , telah bercanggah terhadap guru mereka berdua yakni Imam Abu Haniefah, (di dalam lebih kurang 1/3 madzhab beliau [10] ) dan kitab-kitab cabang madzhab sudah memadai untuk membuktikan demikian.

Bukti lainnya: Kata al-Imam Muhammad bin al-Hasan dalam kitab “Muwatta’”nya [11], halaman 158: 
Adapun Abu Haniefah semoga Allah merahmati beliau, maka beliau berpendapat tiada solat untuk meminta hujan (al-Istisqa’), manakala menurut pendapat kami; hendaknya seorang imam memimpin solat orang ramai sebanyak 2 rakaat, kemudian ia berdoa dan menterbalikkan selendangnya…”

Kata Imam al-Muzaniy [12] dalam bahagian permulaan kitab “Mukhtasar Fie Fiqh asy-Syafi‘ie” yang dicetak dengan “Hamisy” – catatan kaki terhadap kitab “al-Umm” karangan al-Imam (asy-Syafi‘ie) sendiri apa yang dinyatakan sebagai berikut (terjemahan):
“Aku telah meringkaskan kitab ini dari ilmu Muhammad bin Idries asy-Syafi‘ie, semoga Allah merahmati beliau, dan dari pemahaman terhadap maksud kata-kata beliau; untuk aku persembahkan kepada sesiapa yang berkeinginan/berminat, dengan disertai kesedarannya tentang larangan beliau daripada perbuatan bertaqlied (menurut membuta-tuli) kepada beliau dan selain beliau, agar ia mengkajinya demi agamanya dan agar ia mengambil yang paling terjamin buat dirinya sendiri”

Setelah pembentangan panjang lebar ini, semoga jelas kepada kita keburukan dan kebatilan at-Taqlied. Sebagai penutup, dinukilkan kata-kata para Imam mengenai perkara ini dan kesimpulannya terhadap perbahasan at-Taqlied. Begitu juga dijelaskan perbezaannya dengan at-Talfieq. Namun sebelum itu, ada baiknya disebutkan sepintas lalu, mengapa para imam “jadi bercanggah” terhadap as-Sunnah dalam sebahagian perkara.



3.2 Asbab al-Khilaf – punca perselisihan

Sebagaimana yang dijelaskan dengan menyeluruh dan rapi oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyah dalam kitab beliau: “Raf‘ul Malam ‘an A-immatil A‘lam[13]: Kita beri‘tiqad bahawa para Imam 4 Madzhab dan lainnya yang terbilang, tidak pernah dengan sengaja mencanggahi mana-mana nas, kerana ketaqwaan mereka dan keluasan ilmu mereka. Maka diberikan keuzuran berikut, bilamana diketemukan “percanggahan” mereka terhadap nas:
i. Mereka tidak beri‘tiqad bahawa hadis tersebut tulen daripada Rasulullah. 
ii. Mereka tidak beri‘tiqad bahawa Nabi maksudkan hadis tersebut untuk masalah yang dibahaskan hukumnya (hadis Nabi itu bukan untuk penjelasan hukum masalah yang dikaji) 
iii. I‘tiqad mereka bahawa hukum tersebut telah dimansukhkan

Daripada 3 bentuk keuzuran ini, bercabang berbagai sebab:
i. Hadis itu tidak sampai kepadanya atau tidak diketemukannya atau belum dijumpainya. Sesiapa yang belum sampai kepadanya pengetahuan sesuatu hukum, maka ia tidak dipertanggungjawabkan dengan hukum itu. Lumrahnya, mereka kembali kepada zahir makna nas al-Qur’an atau hadis lain atau Qiyas atau hukum asal 
ii. Apabila sesuatu hadis tidak sahih di sisi seseorang imam, bagaimana mungkin ia berpandukan hadis itu untuk memutuskan hukum. 
iii. Ia beri‘tiqad bahawa hadis itu da‘ief/lemah sedang ada di sisinya, menurut ilmunya, hadis yang sahh atau lebih kuat untuk berhukum dengannya 
iv. Ia mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri yang khusus bagi dirinya untuk menerima hadis. Sepertimana halnya Imam Abu Haniefah dengan syarat beliau yang ketat kerana fitnah perka hadis palsu golongan Syi‘ah dan lainnya berleluasa di Kufah pada zaman beliau.

v. Hadis itu telah sampai kepadanya tapi beliau terlupa. 
vi. Beliau tidak mengetahui bahawa hadis itu berkenaan masalah yang beliau sedang mengkajinya. 
vii. I‘tiqadnya bahawa hadis itu tidak dapat dijadikan dalil bagi permasalahan kajiannya itu. 
viii. I‘tiqad beliau adanya hadis lain yang setaraf, tapi bercanggah dengan hadis itu. 
ix. Keyakinan beliau hadis itu bercanggah dengan hadis lain yang lebih kuat. 
x. Adanya sudut percanggahan pada hadis itu dari segi kemansukhan atau kelemahannya dan sebagainya apabila digandingkan dengan hadis lain.

bersambung....
___________________

[1] Ibid,, hlm.2/45


[2] Ibn ‘Abidien “al-Hasyiyah: 1/63” dan “Rasmul Mufti: 1/4" al-Fillaniy “Iqazul Humam” hal:62” dan lainnya. Ibn ‘Abidien menukil daripada “Syarh al-Hidayah” Ibnul Humam menyatakan: “Jika telah jelas kesahihan suatu hadis, biarpun ia bercanggah dengan Madzhab, hadislah yang dijadikan amalan dan itu menjadi madzhabnya dan orang yang bertaqlied tidak terkeluar dari Madzhab Hanafinya dengan beramal menurut petunjuk hadis tersebut. Sungguh telah sah dari Abi Haniefah ucapan beliau: Jika telah jelas kesahihan ….”. Imam Ibn ‘Abdil Barr telah meriwayatkannya..Inilah bukti keluasan dan kesempurnaan ilmu serta ketaqwaan mereka, yang mana mereka menjelaskan bahawa ilmu mereka tidak meliputi keseluruhan as-Sunnah dan Imam asy-Syafi’ee sendiri telah menegaskan yang sama seperti yang akan disebutkan. Mereka mungkin tersilap dan mencanggahi as-Sunnah yang belum sampai kepada mereka, maka mereka memerintahkan kita agar berpegang dengan as-Sunnah serta menjadikan apa yang dinyatakan as-Sunnah sebagai sebahagian dari Madzhab/pendapat mereka, semoga Allah merahmati mereka semuanya.


[3] Ibn ‘Abdil Barr “al-Intiqa’ fie Fada-il ats-Tsalatsah al-A-immah al-Fuqaha’: hlm.145, Ibnul Qayyim “I‘lamul Muwaqqi‘ien”: 2/309, Ibn ‘Abidien “Hasyiyah ‘ala al-Bahr Ra-iq”: 6/293, Rasmul Mufti hlm. 29& 32, asy-Sya‘rani “al-Miezan”: 1/55 – asy-Syeikh al-Albaniy: Jika demikian kata-kata mereka mengenai orang-orang yang tidak mengetahui dalil-dalil mereka, maka bagaimana pula agaknya kata-kata mereka mengenai orang yang mengetahui bahawa dalil (hadits yang shohih) bercanggah dengan pendapat mereka (para Imam) lalu ia berfatwa dengan apa yang bercanggah dengan dalil tersebut? Amatilah persoalan ini sebab ia memadai untuk ditinggalkan sikap mengikut membuta-tuli dan sebab itulah sebahagian syeikh-syiekh yang mengikut membuta-tuli menolak sandaran kata-kata ini kepada Abu Haniefah ketikamana saya menyangkal fatwa mereka yang mereka rujukkan kepada pendapat Abu Haniefah sedangkan mereka tidak mengetahui dalil yang dijadikan hujjah oleh Imam Abu Haniefah!


[4] Kata-kata ini benar sahih daripada beliau - Ibn ‘Abdil Hadi “Irsyadus Salik”: 227/1, Ibn ‘Abdil Barr meriwayatkannya “al-Jaami‘: 2/91”, Ibn Hazm Usul al-Ahkam: 6/145, 179 dari kata-kata al-Hakam bin ‘Utaibah dan Mujahid serta disebutkan juga oleh Taqiyuddien as-Subki “al-Fatawa: 1/148” daripada kata-kata Ibn ‘Abbas dan Mujahid telah mengambil kata-kata ini daripada Ibn ‘Abbas dan Malik pula mengambil daripada mereka berdua, semoga Allah meredhai beliau dan menjadi masyhur daripada Malik.


[5] Ibn ‘Abdil Barr “al-Jami‘”: 2/32 Ibn Hazm “Usul al-Ahkam”: 6/149


[6] Diriwayatkan oleh al-Hakim dengan sanadnya bersambung sampai kepada Imam Asy-Syafi’ee sendiri; sebagaimana yang ada di dalam “Tariekh Dimasyqi” oleh Ibn ‘Asakir 15/1/3 dan “I’lamul Muwaqqi‘ien”: 2/363 dan 364


[7] Ibnul Qayyim: 2/ 361, al-Fillaniy hlm. 68.


[8] Ibn Abi Hatim (hlm: 93), Abu Nu’aim dan Ibn ‘Asakir (15/9/2) dengan sanad sahih.


[9] al-Fillaniy “al-Iqaz” hlm:113 dan Ibnul Qayyim “al-I‘lam”: 2/302.


[10] Ibn ‘Abidien “al-Hasyiyah: 1/62” dan al--Lucknowi ada menyebutkannya nukilan daripada al-Ghazzaliy dalam “an-Nafi‘ al-Kabier”: hlm. 93.


[11] Beliau dengan jelas menyatakan percanggahan beliau terhadap Imam beliau di dalam sekitar 20 masalah. Kami sebutkan sebahagian tempat -tempatnya: Masalah: 42, 44, 103, 120, 158, 169, 172, 173, 228,230,240, 244, 274, 275, 284, 314, 331, 338, 355 dan 356 daripada kitab “at-Ta‘lieq al-Mumajjad ‘ala Muwatta’ Muhammad”


[12] Isma‘iel bin Yahya al-Muzaniy (wafat: 264H – murid terkemuka asy-Syafi‘ie di Mesir)


[13] Terjemahan Inggerisnya:Removing the Harms from the Noble Imams

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts