Tuesday, July 17, 2012

Majlis Zikir dan Zikru Allah yang tidak mencanggahi Sunnah Rasulullah (1)

Muqaddimah & Matan Hadith

إن الحمد لله نحمده و نستعينه و نستغفره ، و نعوذ بالله من شرور أنفسنا، و من سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له ، و من يضلل فلا هادي له
و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له. و أشهد أن محمدا عبده و رسوله. اللهم صل و سلم على نبينا محمد و على آله و صحبه و من تبع سنته
أما بعد:


Sesungguhnya segala pujian adalah untuk Allah, kita memujiNya, meminta pertolonganNya dan memohon ampunanNya dan kita berlindung kepada Allah daripada keburukan diri kita dan kejelekan amalan-amalan kita. Barangsiapa yang dikurnia petunjuk oleh Allah, maka tiada sesiapa yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkanNya maka tiada yang mampu memberi petunjuk kepadanya.



Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya dan aku juga bersaksi bahawasanya Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya.

Adapun selanjutnya:

Pembaca yang budiman, semoga Allah mengurniakan PetunjukNya kepada saya dan anda, saya membuat kajian yang sederhana ini untuk sama-sama kita ketahui dan fahami dengan baik, maksud Majlis Zikir di dalam beberapa hadis Nabi shallallahu 'alayhi wasallam, disebabkan beberapa perkara:

i. Secara peribadi, saya sering mendengar berbagai kenyataan yang berbeza-beza daripada beberapa orang guru agama di sini, berkenaan Majlis Zikir, sejak saya berusia belasan tahun lagi. Maka tentunya ada titik pertemuan di antara pendapat-pendapat yang bernas dan pastinya juga ada pendapat yang dilontarkan tanpa kajian dan sekadar mengikut perasaan atau kebiasaan orang awam. Justeru itu, saya terpanggil untuk mendapatkan jawapannya daripada ulasan beberapa orang ‘ulama terkemuka. 
ii. Dewasa ini, semakin giat sebahagian pihak mengadakan Majlis Zikir, namun secara naluri, dirasakan bahawa ada yang tidak kena pada Majlis-majlis tersebut, yang akan dijelaskan kelak sudut-sudutnya, berdasarkan pengetahuan umum peribadi saya berkenaan Majlis Zikir Nabi, para Sahabat dan ‘ulama, semoga Allah merahmati mereka sentiasa. Dengan itu, timbul rasa tanggungjawab untuk sama-sama kita perbetulkan, sekiranya ada pada amalan-amalan kita, suatu percanggahan terhadap asal ajaran Nabi. Lebih-lebih lagi yang sekarang ini dapat disaksikan dan ditonton di Internet, Majlis Zikir beberapa orang Tok Syeikh di berbagai tempat merata dunia, sehingga ada yang rela dicium kakinya oleh anak murid/pengikutnya dan ada pula yang membiarkan sahaja mereka sujud menghadapnya. Padahal Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam telah bersabda: (trj.):
"Kalau aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada seorang yang lain (dalam riwayat lain: kepada selain Allah), tentunya aku telah menyuruh seorang isteri sujud kepada suaminya." [1] 
Jika Nabi tidak boleh, mengapa mereka membolehkan dan mengapa pula mereka biarkan sahaja orang buat sesuatu yang terlarang???

*Sebagai misal sila lihat:

http://www.youtube.com/watch?v=kSZjSHQn_pk

http://www.youtube.com/watch?v=8MR-6cR3rA8  – “alhamdulillah wa syukru lillah tapi dengan joget breakdance (sila lihat: Longman Dictionary of Contemporary English: perkataan “break”)?”

iii. Ada pihak yang bertanya kepada saya, agar dapat diperjelaskan permasalahan ini, terutamanya “maksud” hadis berikut ini. Hadis ini juga yang sentiasa dijadikan pokok perbincangan dan hujjah dalam permasalahan ini. Maknanya, pemahaman dan kesimpulan yang tepat terhadap hadis ini adalah amat perlu dan kesilapan dalam memahaminya dan menyimpulkannya boleh membawa kepada penyelewengan. Berikut adalah hadisnya diikuti ulasan ‘ulama serta diakhiri dengan panduan Sahabat radhiyallahu'anhum pada penghujungnya.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ:
إِنَّ لِلَّهِ مَلَائِكَةً يَطُوفُونَ فِي الطُّرُقِ يَلْتَمِسُونَ أَهْلَ الذِّكْرِ فَإِذَا وَجَدُوا قَوْمًا يَذْكُرُونَ اللَّهَ تَنَادَوْا هَلُمُّوا إِلَى حَاجَتِكُمْ قَالَ فَيَحُفُّونَهُمْ بِأَجْنِحَتِهِمْ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا قَالَ فَيَسْأَلُهُمْ رَبُّهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ مِنْهُمْ مَا يَقُولُ عِبَادِي قَالُوا يَقُولُونَ يُسَبِّحُونَكَ وَيُكَبِّرُونَكَ وَيَحْمَدُونَكَ وَيُمَجِّدُونَكَ قَالَ فَيَقُولُ هَلْ رَأَوْنِي قَالَ فَيَقُولُونَ لَا وَاللَّهِ مَا رَأَوْكَ قَالَ فَيَقُولُ وَكَيْفَ لَوْ رَأَوْنِي قَالَ يَقُولُونَ لَوْ رَأَوْكَ كَانُوا أَشَدَّ لَكَ عِبَادَةً وَأَشَدَّ لَكَ تَمْجِيدًا وَتَحْمِيدًا وَأَكْثَرَ لَكَ تَسْبِيحًا قَالَ يَقُولُ فَمَا يَسْأَلُونِي قَالَ يَسْأَلُونَكَ الْجَنَّةَ قَالَ يَقُولُ وَهَلْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُ فَكَيْفَ لَوْ أَنَّهُمْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَوْ أَنَّهُمْ رَأَوْهَا كَانُوا أَشَدَّ عَلَيْهَا حِرْصًا وَأَشَدَّ لَهَا طَلَبًا وَأَعْظَمَ فِيهَا رَغْبَةً قَالَ فَمِمَّ يَتَعَوَّذُونَ قَالَ يَقُولُونَ مِنَ النَّارِ قَالَ يَقُولُ وَهَلْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُ فَكَيْفَ لَوْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَوْ رَأَوْهَا كَانُوا أَشَدَّ مِنْهَا فِرَارًا وَأَشَدَّ لَهَا مَخَافَةً قَالَ فَيَقُولُ فَأُشْهِدُكُمْ أَنِّي قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ قَالَ يَقُولُ مَلَكٌ مِنَ الْمَلَائِكَةِ فِيهِمْ فُلَانٌ لَيْسَ مِنْهُمْ إِنَّمَا جَاءَ لِحَاجَةٍ قَالَ هُمُ الْجُلَسَاءُ لَا يَشْقَى بِهِمْ جَلِيسُهُمْ


Al-Imam al-Bukhariy rahimahullah dan Imam Muslim rahimahullah kedua-duanya mencatatkan dengan sanad yang berlainan daripada Abu Hurairah radhiyallahu'anhu (dengan lafaz yang seiras maknanya) kata beliau: Nabi shallallahu 'alayhi wasallam bersabda:

Sesungguhnya Allah memiliki para Malaikat yang selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat itu sentiasa mencari-cari majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada segolongan manusia berzikir kepada Allah, mereka turut mengajak sesama mereka ke majlis tersebut di mana mereka akan menaunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit dunia. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit. 
Baginda bersabda: Allah bertanya kepada para malaikat itu, sedangkan Allah lebih mengetahui, firmanNya: Apakah yang sedang diucapkan oleh hamba-hambaKu? 
Jawab para Malaikat: Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta mengagungkanMu. 
Allah berfirman: Apakah yang mereka pernah melihatKu? 
Jawab mereka: Tidak, demi Allah, mereka tidak pernah melihat Mu. Bagaimana jika mereka pernah melihat Ku? 
Para Malaikat menjawab: Seandainya mereka pernah melihat Mu, nescaya mereka lebih kuat beribadat kepada Mu dan lebih banyak bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta mengagungkanMu. 
Allah berfirman: Apakah yang mereka pinta daripada Ku? 
Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Syurga dari Mu. 
Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat Syurga? 
Para Malaikat menjawab: Belum pernah, demi Allah wahai Tuhan. 
Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Syurga? 
Para Malaikat berkata lagi: Tentunya mereka lebih kuat berusaha mendapatkannya, lebih kuat permohonannya dan lebih bersungguh-sungguh mahukannya. 
Allah berfirman: Mereka pohon perlindunganKu dari apa? 
Para Malaikat menjawab: Dari NerakaMu, wahai tuhan. 
Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat NerakaKu? 
Para malaikat menjawab: Belum, demi Allah wahai Tuhan. 
Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat NerakaKu. 
Para Malaikat terus berkata lagi: Pastinya mereka lebih giat menjauhinya, lebih takut akannya. 
Allah berfirman: Saksikanlah wahai kamu sekalian, Aku sudah mengampuni mereka. 
Di antara para Malaikat itu ada yang berkata: Di antara mereka terdapat seorang hambaMu. Dia sebenarnya tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut. 
Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak mencelakakan sesiapa yang duduk dalam majlis mereka itu.[2]

Bersambung ke bhg.2

------------------------------------------

[1] Hadis Sahih; Riwayat Tirmidzi (Abu Hurairah), Ahmad (Mu‘adz) al-Hakim (Buraydah) – Sahih al-Jami‘ as-Saghier: 2/937; hadis no: 5294 & 5295.

[2] Riwayat al-Bukhariy; Sahih al-Bukhariy: (K) 80: ad-Da‘awat (Doa-doa), (B) 66: Bab Fadl Dzikrillah, hadis no: 6408; Fath al-Bari: 11/212, Muslim; Sahih Muslim: (K) 48: adz-Dzikr wa ad-Du‘a’ wa at-Taubah wa al-Istighfar, (B) 8: Bab Fadl Majalis adz-Dzikri, hadis no: 2689; Syarh Sahih Muslim Imam Nawawi: 17/12
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts