Tuesday, July 17, 2012

Majlis Zikir dan Zikru Allah yang tidak mencanggahi Sunnah Rasulullah (2)

Sambungan "Majlis Zikir dan Zikru Allah...(1)"

Syarah Imam an-Nawawi & Ibn Hajar

Al-Imam an-Nawawi rahimahullah (wafat: 676H) ketika menjelaskan hadis ini, beliau berkata (trj.):
Kata al-Qadi ‘Iyad rahimahullah (476-544H): ZikrulLah Ta‘ala ada 2 jenis; zikir dengan hati dan zikir dengan lisan. Zikir dengan hati pula ada 2 bentuk: 
i. Inilah Zikir yang tertinggi kedudukannya dan yang paling mulia iaitu bertafakkur memikirkan keagungan Allah dan kesucianNya, kekuasaanNya, segala kerajaanNya dan tanda-tanda kebesaranNya di langit dan di bumi antaranya, petunjuk hadis: Sebaik-baik Zikir adalah yang senyap terselindung

ii. Zikir dengan hati pada Perintah dan LaranganNya, maka ia melaksanakan apa yang diperintahkanNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya dan ia berwaspada pada perkara yang ia tidak pasti. 
Adapun zikir dengan lisan/lidah semata-mata, maka ia adalah yang paling lemah kedudukannya, namun ia masih ada keutamaannya yang besar sebagaimana yang ditunjukkan dalam sebahagian hadis-hadis. 
Kata beliau lagi: Ibn Jarier dan para imam lainnya, ada menyebutkan perbezaan pendapat as-Salaf mengenai Zikir dengan hati dan dengan lidah mana satu yang lebih afdal/utama. 
Kata beliau menyimpulkan: Perselisihan itu di sisi ku sebenarnya adalah semata-mata bilamana yang digambarkan adalah zikir dengan hati sahaja yang menyebut (dalam hati) tasbih dan tahlil dan seumpamanya dan itulah yang dimaksudkan jika diteliti maksud kata-kata mereka, padahal mereka tidak berselisih mengenai Zikir senyap (suara perlahan) sepertimana yang kami sebutkan tadi...menurut penilaian ku (Imam an-Nawawi): Zikir dengan lisan dengan adanya ingatan dalam hati adalah lebih afdal daripada dengan hati sahaja (tanpa dilafazkan), wallahu a‘lam.[1]

Kesimpulannya, dapat kita amati bagaimana ‘ulama’ saling mewarisi ilmu ‘ulama’ sebelumnya. Misalnya dalam tukilan daripada Imam an-Nawawi (w: 676H) tadi, beliau menjelaskan dengan tukilan daripada al-Qadi ‘Iyad (w: 544H), yang telah bersandarkan kepada kenyataan al-Imam Ibn Jarier (at-Tabari: w:310H) yang menerangkan pegangan dan ajaran Salaf (sebelum 300H). Begitu juga, yang jelas dalam penerangan mereka, Salaf tidak berselisih mengenai keutamaan zikir senyap dengan suara perlahan.

Kata al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah (wafat: 852H) (trj.): 
Yang dimaksudkan dengan Zikir adalah melafazkan lafaz-lafaz yang digalakkan supaya disebutkan dengan banyak misalnya: Sub-hanalLah wal hamdulillah wa la ilaha illalLah walLahu akbar dan apa yang di dalam rumpunnya seperti al-Hauqalah, al-Basmalah, al-Hasbalah dan al-Istighfar dan lainnya berupa doa untuk kebaikan dunia Akhirat. Dengan maksudnya yang mutlaq, ia bererti berterusan dalam melaksanakan amalan yang diwajibkan dan yang sunnat hukumnya…(kemudian beliau menyebutkan kesimpulan yang sama dengan Imam an-Nawawi) 
…jika ia berupa amalan salih, seperti Solat atau Jihad dan lainnya, maka semakin bertambah kesempurnaan Zikirnya dan…ia ikhlas kepada Allah, maka itulah (bentuk Dzikir) yang paling sempurna….dapat disimpulkan daripada sekian banyak lafaz-lafaz (hadis ini dengan sanadnya yang berbeza) bahawasanya yang dimaksudkan dengan Majlis-majlis Dzikir adalah yang dipenuhi dengan berbagai bentuk DzikrulLah yang ada (dalam Syara‘) baik Tasbih dan Takbir mahupun lainnya, begitu juga Tilawah Kitab Allah, Doa memohon kebaikan Dunia Akhirat. Untuk merangkumkan pembacaan hadis Nabi, belajar ilmu Syar‘ie (agama) dan mengulangkajinya apatah lagi berkumpul untuk menunaikan Solat Sunnat ke dalam maksud Majlis-majlis ini adalah sesuatu yang masih perlu diteliti. Yang lebih nyata ia adalah secara khususnya dimaksudkan dengan Majlis-majlis Tasbih dan Takbir dan seumpamanya serta Tilawah sahaja, meskipun pembacaan hadis dan pembelajaran ilmu serta perbahasan mengenainya dapat diertikan dengan maksud DzikrulLah yang umum.[2]

Kesimpulannya, kita dapati al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah menerangkan berkenaan makna “Zikir” dengan ertinya secara “mutlaq” dan “muqaiyyad”. Kemudian beliau menjelaskan dengan tukilan yang sama yang disebutkan Imam an-Nawawi rahimahullah berkenaan Zikir secara senyap. Setelah itu, beliau menjelaskan mengenai “Majlis Dzikir” dengan pemahaman ertinya secara “khusus” dan “umum”.

Bersambung ke bhg.3

---------------------

[1] Syarh Sahih Muslim Imam Nawawi: 17/14 (saya telah cuba memuatkan teks Arabnya namun "blank - kosong" bila dicuba beberapa kali. Memadai Insyaa Allah bahawa saya membuat rujukan langsung ke kitab-kitab asal tulisan ulama ini dalam bahasa arabnya - dengan adakalanya membuat ringkasan yang perlu dalam terjemahan, sungguh Allah akan mempertanggungjawabkan kita atas setiap yang kita katakan, semoga Allah merahmati kita pada Hari Perhitungan, amin)

[2] Al-Fath: 11/212-213, 216.

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts