Tuesday, July 17, 2012

Tatacara Berdoa yang menuruti as-Sunnah (2)

sambungan daripada "Tatacara berdoa yang menuruti as-Sunnah (1)"

  1. ...Khatieb mengangkat dan menadahkan kedua telapak tangannya ketika berdoa pada Hari Jumaat di dalam khutbahnya
  2. ...Berkumpulnya orang ramai untuk berdoa..
  3. Sentiasa mengangkat kedua tangan ketika berdoa tanpa kembalikan kepada petunjuk as-Sunnah.
Benar, bahawasanya ada hadis-hadis tertentu yang sahih yang menggalakkan “angkat dan tadahkan kedua tangan” ketika berdoa. Akan tetapi, perlu difahami galakan itu berpandukan perbuatan Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam sendiri, yang mentafsirkannya dan memahamkannya dengan pemahaman yang tepat dan bukannya ditafsirkan ikut pandai-pandai sendiri. Misalnya Nabi shallallahu 'alayhi wasallam tidak mengangkat tangan ketika berdoa di dalam khutbah. Riwayat tersebut telah pun disebutkan dan dijelaskan sebelum ini.



- Daripada Salman al-Farisi: Bahawasanya Nabi bersabda:
إن ربكم – تبارك و تعالى – حي كريم يستحيي من عبده إذا رفع يديه إليه أن يردها صفرا خائبتين 
Sesungguhnya Tuhan kamu – Tabaraka wa Ta‘ala - Maha Pemalu lagi Maha Pemurah, Dia Malu terhadap hambaNya ketikamana ia mengangkat dan menadahkan kedua tangannya meminta kepadaNya untuk Dia membiarkannya kosong tidak diberikan apa. [1]

- Hadis Anas:
أَنَّ نَبِيَ اللهِ كَانَ لاَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَيْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلاَّ فِي الإسْتِسْقَاء حَتَّى يُرَى بَيَاض إِبْطَيْه

Bahawasanya Nabi Allah biasanya tidak mengangkat menadahkan kedua tangan baginda dalam satu pun doa baginda kecuali ketika berdoa Istisqa’ (minta hujan) sehingga kelihatan putihnya kedua ketiak baginda yang mulia. [2]

- Mengangkat kedua tangan ketika berdoa sebenarnya adalah untuk doa yang umum dan yang ada warid satu-satu dalil tertentu bahawa mengangkat tangan disyari‘atkan padanya, seperti doa ketika berada di Safa dan Marwah, ketika beristisqa’ dan sebagainya. Ada pula doa yang tidak disyari‘atkan untuk mengangkat tangan padanya, misalnya doa masuk rumah, doa keluar rumah, doa ketika memasuki tandas dan keluar daripadanya. Ringkasnya, dalam hal mengangkat tangan ini:

i. Yang mana doa itu berbentuk ‘am, tiada kaitan dengan ibadah tertentu maka boleh bahkan digalakkan untuk mengangkat tangan. 
ii. Yang mana Nabi shallallahu 'alayhi wasallam sendiri mengangkat tangan, pada ketika tertentu seperti Istisqa’, maka sunnah untuk mengangkat tangan. Antaranya, ketika qunut nazilah, ziarah kubur (tanpa menghadap kubur ketika berdoa), berdepan dengan pasukan tentera musuh, melontar jamrah Ula dan Wusta dan lainnya. [3] 
iii. Yang mana diriwayatkan Nabi shallallahu 'alayhi wasallam tidak mengangkat tangan maka Sunnah untuk tidak mengangkat tangan dan mengangkat tangan ketika itu bukan mengamalkan hadis umum tadi bahkan telah menyalahi as-Sunnah. [4]


4. Menyapu muka selepas berdoa.

Kata asy-Syeikh al-Albaniy rahimahullah:
“Adapun menyapu muka dengan kedua tangan, yakni pada ketika ini (selepas doa qunut), maka tiada suatu riwayat pun yang menerangkan demikian. Maka ia adalah bid‘ah. Selain itu, melakukannya di luar solat (pada ketika-ketika lain selain qunut), maka ia tidak ada dalam riwayat yang sahih. Segala riwayat yang ada mengenainya adalah da‘ief, lemah, bahkan ada yang teramat lemah dibandingkan dengan yang lain, sebagaimana yang telah saya jelaskan di dalam Da’ief Sunan Abi Daud (mks: 146) dan al-Ahadiets as-Sahihah (595), sebab itulah kata al-‘Iz bin ‘Abdis Salam di dalam sebahagian fatwa beliau: Ia tidak dilakukan kecuali oleh orang-orang yang jahil.
[Kitab Sifat Salah: mks 178].

Mengenai sapu muka ini, memang ada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud rahimahullah di dalam Sunannya (no: 1485) dari Ibn ‘Abbas radhiyallahu'anhuma, sehingga ada sahaja orang yang mengatakan ia adalah dari as-Sunnah, ada hadis, maka kita boleh amalkan. Malah dikatakan pula bahawa orang yang menolak perkara ini, dikira menolak hadis Nabi shallallahu 'alayhi wasallam seperti orang yang ingkar Sunnah, boleh jatuh kufur kerana tolak hadis. Demikianlah adakalanya, orang berani menjatuhkan hukuman, tuduh yang lain tanpa kajian yang lebih mendalam. WalLah al-Musta‘an. Dr. Wahbah az-Zuhaili, sendiri pun tidak terlepas dari kesilapan ini, sehingga beliau hukumkan ia dibolehkan, malah dari adab berdoa katanya di dalam al-Fiqh al-Islami, namun beliau tidak sampai menuduh sesiapa pun dengan sesuatu yang jelek. 

Sebenarnya, Imam Abu Daud rahimahullah yang meriwayatkan hadis tersebut, beliau sendiri katakan: 
“Hadis ini, periwayatannya (dengan tambahan: sapu muka pada penghujungnya) semuanya adalah Wahiyah (lemah)! Jalan periwayatan ini adalah yang terbaik dan ia juga Da‘ief (lemah).” 
Sebabnya ialah ada seorang perawi yang tidak disebutkan namanya. Tetapi Imam Ibn Majah rahimahullah dan lainnya, ada menyebutkan namanya sebagai Salih bin Hassan dan beliau seorang yang sangat lemah. Maka lafaz tambahan yang menerangkan agar sapu muka selesai doa adalah munkar. Menurut asy-Syeikh al-Albaniy rahimahullah, sehingga kini, beliau belum temui satu riwayat pun yang dapat menguatkannya, sehingga boleh diamalkan.

Selain itu, apa yang disebutkan oleh Imam al-Munawi rahimahullah yang menganggap kata-kata Imam al-‘Iz sebagai tidak patut, bukan satu hujjah yang dapat dijadikan ikutan kerana mungkin Imam al-Munawi rahimahullah tidak jelas baginya apa yang jelas di sisi Imam al-’Iz rahimahullah. Jelas bagi kita, kebenaran di sisi Imam al-’Iz rahimahullah, sebab hadis ini da‘ief jiddan (tersangat lemah) dan hukumnya menurut kesepakatan ulama hadis, ialah ia tidak boleh diamalkan.

Di samping itu, ada pula riwayat dari perbuatan Ibn ‘Umar radhiyallahu'anhuma bahawa beliau menyapu muka selepas doa, maka hadis itu juga mungkar sebagaimana yang dijelaskan oleh Abu Zur‘ah rahimahullah kerana ada perawi yang dihukumkan para ulama hadis sebagai “Pereka hadis palsu” (hadis maudu‘). Begitu juga hadis as-Sa-ib bin Yazid daripada bapanya yang maknanya hampir sama, diriwayatkan juga oleh Imam Abu Daud rahimahullah, cuma beliau tidak sebutkan apa-apa. Namun dengan kajian al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah dan Imam adz-Dzahabi rahimahullah antaranya, mereka sebutkan adanya perawi yang majhul (tidak dapat diterima periwayatannya kerana tidak dikenali).

Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah ada juga menyebutkan tentang riwayat ini ketika menerangkan “menyapu muka selepas doa berdasarkan kepada hadis da‘ief, maka tidak boleh diamalkan” di dalam Majmu‘ Fatawa: 22/514-519. Sedang beliau juga ada menyimpulkan bahawa mengangkat tangan ketika berdoa ada di dalam hadis-hadis yang sahih, cuma ada waktu-waktunya yang tertentu menurut pedoman as-Sunnah. Wallahu a‘lam.

Mudah-mudahan dengan apa yang dijelaskan ini, cukup bagi kita untuk lebih menyanjungi para ulama kita, usaha mereka, terutamanya ahli hadisnya, yang telah bersusah-payah, demi memastikan sesuatu itu adalah dari ajaran as-Sunnah ataupun bukan. Semoga tiada lagi kesamaran di dalam hal ini. Biarpun ulama berselisih, maka hujjahnya ialah di sisi mereka yang mengetahui dengan lebih jelas dan terperinci, bukannya di sisi mereka yang membuat kesimpulan sedang kajiannya belum memadai ataupun yang tidak sampai kepadanya ilmu yang benar. Semuanya demi kesejahteraan diri pada Hari Kiamat kelak, beramal dengan as-Sunnah yang Sahihah, mudah-mudahan hampir kepada Nabi dan mendapat syafa‘at baginda, Allahumma Amiin…

Begitu juga ketika melakukan doa qunut di dalam solat, sebagaimana yang telah dijelaskan, ia tidak sepatutnya dilakukan dan sebaiknya ditinggalkan. Kata Imam An-Nawawi
“Ulama Syafi‘iyah berselisihan kepada tiga pendapat mengenai menyapu muka selepas qunut; Yang tepat dan benar (sahih) ialah mengangkat kedua tangan ketika melakukannya dan tidak menyapu muka selepas itu (selesai doa).....Adapun menyapu bahagian yang lain seperti dada dan sebagainya, maka semuanya sepakat mengatakan ia tidak digalakkan.”

Sebelum itu, beliau ada menyebutkan bahawa ‘Aliy sendiri tidak pernah lihat Nabi shallallahu 'alayhi wasallam menyapu muka selepas doa dan demikian juga Ibnul Mubarak rahimahullah telah menghukumkan tiada hadis yang tsabit dari perbuatan Nabi shallallahu 'alayhi wasallam mengenainya. [5] 

Wallahu a’lam.

-----------------------

[1] Riwayat Abu Dawud (1488) Solah, Bab ad-Du‘a’, at-Tirmidzi (3556) ad-Da‘awat, Ibn Majah (3865) ad-Du‘a’, Bab Raf‘u al-Yadayn fie ad-Du‘a’. Kata asy-Syeikh al-Albaniy di dalam Sahih al-Jami‘ (2070): Hasan.

[2] Riwayat Muslim, (K) Solat al-Istisqa’, Bab Raf‘u al-yadyn did Du‘a’ fi al-Istisqa’: no: 895

[3] Untuk contoh-contohnya, sila lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhadzdzab: 3/469-472 karangan Imam an-Nawawi (wafat 676H)

[4] Ad-Du‘a’, Mafhumuhu, Ahkamuhu Akhta’ taqa‘u fieh: 41-42

[5] al-Majmu‘ Syarh al-Muhadzdzab: 3/462-463
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts