Wednesday, August 1, 2012

Apakah benar Wajib berMadzhab? Bah.5 (akhir)

(sambungan daripada: Apakah benar Wajib bermadzhab? Bah.4

3.3 Kata-kata para Imam mengenai at-Taqlied

Kata al-Hafiz Ibn Rajab : “Maka adalah suatu kewajipan atas setiap yang telah sampai kepadanya arahan Rasulullah dan diketahuinya, untuk ia sampaikan kepada ummat, menasihati mereka dan mengarahkan mereka agar mengikuti petunjuk baginda, walaupun sekiranya itu bercanggah dengan pendapat seorang yang agung dari kalangan para Imam, sebab petunjuk atau arahan Rasulullah lebih berhak untuk diagungkan dan diikuti daripada pendapat sesiapa sahaja orang yang diagungkan yang bercanggah dengan tunjuk ajar baginda di dalam sebahagian perkara, tanpa mereka sengajakan.
Dari sudut ini, ditolaknya pendapat[1] para Sahabat dan sesiapa sahaja yang datang selepas mereka, atas setiap percanggahan terhadap Sunnah yang sahih, malah adakalanya mereka menggunakan cara tegas dan keras di dalam membetulkan atau membuat sangkalan[2], yang tiada maksud membenci, bahkan ia (Imam yang disangkal pendapatnya itu) tetap dicintai dan dikasihi di sisi mereka, diagungkan di jiwa mereka, namun Rasulullah lebih mereka cintai, perintah dan ajaran baginda mengatasi perintah setiap makhluk lainnya. Maka bilamana terdapat percanggahan di antara perintah Rasulullah dengan perintah selain baginda, maka tentunya perintah Rasulullah lebih utama didahulukan dan diikuti dan dalam masa yang sama, itu tidak menghalang pengagungan orang (Imam Mujtahid) yang bercanggah dengan ajaran baginda, sekiranya dari kalangan yang diampunkan [3], malah orang yang bercanggah dengan Imam yang diampunkan itu, tidak dicela kerana bercanggah terhadapnya (Imam), apabila ajaran Rasulullah bercanggah dengan pendapatnya (Imam tersebut).” [4]

Kita juga telah mengetahui kata-kata sebahagian imam lain seperti Ibn ‘Abdil Barr sebelum ini. Untuk penjelasan yang baik dan meyakinkan, sila rujuk kitab “Sifat Salat Nabi” karya Syeikh al-Albaniy pada bahagian Muqaddimahnya, “Alasan Penulisan” dan “Metodologi Penulisan” serta “Syubhat dan Jawapannya”.
3.4 Perbezaan antara at-Taqlied dan at-Talfieq
Ibn Hazm ada menjelaskan berkenaan “At-Talfieq” yang sedia diketahui di sisi para Ahli Fiqh, iaitu mengambil dan menuruti pendapat seorang ‘alim atau Imam tanpa panduan dalil, malah semata-mata mengikut hawa nafsu atau yang mana mudah dan ringan dan mereka (para Ahli Fiqh) telah berselisihan mengenai keharusannya dan yang sebenarnya ia adalah HARAM, kerana beberapa sebab dan dari berbagai sudut yang tidak dapat dijelaskan di dalam kesempatan ini. Ada di antara yang mengharuskannya kemungkinan mengambil faedah dari hadis ini[5] dan dengannya disandarkan kata-kata mereka:
" مَن قَلَّدَ عَالِماً ، لَقِيَ اللهَ سَالِماً "
“Barangsiapa yang bertaqlied (mengikut membuta-tuli) kepada seorang ‘alim, ia menemui Allah dalam keadaan sejahtera.”[6]
Semuanya ini adalah hasil atau kesan dari hadits-hadits yang dho’ief, maka berwaspadalah daripadanya jika anda benar inginkan keselamatan: [Hari yang tiada manfaatnya harta dan anak-anak kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.[7] ]
Kesimpulannya, at-Taqlied diperbolehkan pada peringkat awalnya kerana setiap orang asalnya tidak berilmu (sejak lahir), namun orang awam sebenarnya tidak layak bermadzhab dengan madzhab tertentu, kerana mereka bebas bertaqlied pada sesiapa yang mereka percayai dan kewajipan mereka hanya bertanyakan hukum dan mengikuti orang yang mereka percayai tersebut. Namun, selayaknya mereka mempunyai sikap yang betul, iaitu sentiasa mencari yang terbaik, benar dan paling diredhai Allah, menurut kadar ilmu yang mereka ada dan berusaha untuk mendapatkan ilmu yang dengannya mereka tidak ikut sembarangan, sebagaimana yang amat jelas dalam banyak aya-ayat al-Qur’an melarang ikutan membuat tuli dan petanggungjawabannya. Malah sikap para Imam yang diteladani, membuktikan bagaimana selaku seorang muslim, sebagaimana mereka, selayaknya kita berusaha bermatian mendapatkan ilmu. Seperti halnya dalam soal kehidupan dunia, kita berusaha menjadi peniaga yang berjaya, walaupun kita sedar rezeki manusia berlainan. Maka kita timba ilmu walaupun kita sedar, tidak semestinya kita menjadi seorang ‘alim kerana menuntut ilmu itu wajib dan apatah lagi ia “penentu” nasib kita di Akhirat.
Adapun bagi orang yang telah meraih ilmu, yang dengannya ia dapat menilaikan mana yang lebih benar daripada yang tersilap, apatah lagi untuk mencanggahi ajaran Allah dan RasulNya, dengan mengikuti yang silap daripada pendapat seseorang atau beberapa orang Imam, tentunya ia memelihara dirinya daripada api nereka dengan apa yang terdaya daripada ilmu yang dikurniakan Allah kepadanya. Bukankah mengikuti yang terbaik dalam apa jua perkara adalah lebih baik daripada menutup mata dan minda mengikut sembarangan?
Mungkin contoh berikut memudahkan pemahaman kita. Dalam hal memilih makanan, bila kita pertama kali ke pusat makanan, ada lebih dari 2 gerai yang menjual makanan yang sama, tentunya kita akan mencuba menurut saranan orang berpengalaman. Jika lain orang lain saranannya, kita buat pilihan sendiri, berdasarkan pengalaman orang yang citarasanya baik. Pada lain kalinya, dengan citarasa sendiri, kita memilih gerai tertentu, kerana sudah berpengalaman. Kita tidak akan sembarangan dan tidak pula dengan sengaja menjaja di gerai yang kita tidak suka kerana naluri manusia, suka yang terbaik. Contoh lainnya, seorang pendatang asing, apabila sakit, ia pergi ke mana-mana klinik. Tapi bila telah berpengalaman, ia pergi ke klinik yang biasanya serasi dengan izin Allah, bukan ke klinik yang berulang kali ia pergi tidak mujarab atau apatah lagi yang ubatnya memudaratkan. Jika dalam perkara-perkara ini kita mencari yang terbaik, bagi orang awam atau yang berpengalaman, berilmu, maka selayaknya dalam hal keagamaan lebih kita bersikap mencari yang terbaik dengan mendapatkan ilmu.
Sebagai penutup, semoga Ilmu ini menjadikan kita lebih mengenali agama Allah dengan lebih baik, menjadi penyebab kita mendapat kebaikan dunia akhirat, lebih mengenali para Sahabat dan para imam yang telah berjasa kepada umat serta mempunyai sikap yang tepat terhadap ajaran mereka dan berusaha meneladani mereka sentiasa. Begitu juga, diharapkan kita terpelihara daripada penyelewengan golongan yang keliru dan menyeleweng serta dakyah-dakyah mereka. Ameen.
والحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات
و صلى الله على نبينا محمد و آله و سلم
۞ ۞ ۞ ۞ ۞



[1] Pendapat peribadi seseorang Sahabat, bukan apa yang mereka riwayatkan daripada Nabi, apatah lagi jika kebanyakan Sahabat tidak sependapat dengannya – kerana para Sahabat adakalanya berijtihad di dalam hal yang mereka tidak ketahui ada petunjuk daripada Nabi sehingga adakalanya mereka tersilap bercanggah dengan apa yang sahih daripada baginda – sebab itulah perlunya kajian dan ini merupakan salah satu kajian Ilmu Usul Fiqh yang babnya dinamakan: Qaulus Sahabi - penterjemah.
[2] walaupun terhadap bapa atau guru mereka sendiri; diriwayatkan oleh at-Tahawiy (Syarhul Ma‘aniy al-Atsar: 1/372) dan Abu Ya’laa (al-Musnad: 3/1317) dengan isnad yang jaiyid (baik) daripada Salim bin ‘Abdillah katanya: “Sungguh aku duduk bersama Ibn ‘Umar (bapa beliau yakni: ‘Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab), di dalam Masjid (an-Nabawi) lalu datang kepadanya seorang lelaki dari Syam yang bertanya tentang Haji Tamattu’ maka jawab Ibn ‘Umar: “Baik, bagus!” Maka orang itupun berkata: “Tapi bapa mu (‘Umar) dahulu melarangnya?” Lantas Ibn ‘Umar menjawab: “Malangnya kamu! Jika sekalipun bapaku dulu melarangnya, padahal baginda sendiri pernah melakukan dan menyuruh agar ia dilakukan; kamu berpegang dengan pendapat bapaku atau dengan arahan Rasulullah ?!” Jawab orang itu: “Dengan arahan Rasulullah .” Kata Ibn ‘Umar: “Beredarlah kamu dari sisi ku”
[3] Bahkan Imam Mujtahid (dan bukannya sembarangan guru yang tiada kelayakan ijtihad) diberi ganjaran pahala kerana sabda baginda :
Ø إذا حكم الحاكم فاجتهد، فأصاب فله أجران و إذا حكم فاجتهد فأخطأ فله أجر واحد ×
“Apabila seorang hakim(yang ahli/layak) berhukum dengan berijtihad dan ijtihadnya betul, maka ia mendapat 2 pahala dan apabila ia berhukum dengan berijtihad dan ijtihadnya tersilap maka ia mendapat 1 pahala.” HR al-Bukhariy dan Muslim.
[4] Ditukil darpada analisa terhadap “Ieqaz al-Humam” hlm. 93
[5] Hadis yang dibicarakan ini; “Perselisihan ummatku suatu rahmah” – Hadis palsu.
[6] Sama seperti kata-kata mereka: Siapa ikut Abu Haniefah maka itulah perintah Allah yang dilaksanakannya, ikutilah agama Ibrahiem yang hanief, yang ikut Syafi‘ie, itulah yang akan dapat syafaat pada Hari Kiamat… dsbgnya lalu diikuti satu imam mati-matian dan yang amat menyedihkan dikatakan dan didakwakan bahawa diikuti Imam itu dalam suatu masalah padahal Imam itu sendiri tidak pernah mengajarkan demikian lalu dipersalahkan dan dihukumkan tidak akan masuk syurga orang-orang yang tidak sealiran dengannya padahal orang-orang tersebut sebenarnya yang menuruti ajaran asal Imam tersebut lagi bersesuaian dengan as-Sunnah. Cukuplah Allah sebagai saksi.
[7] Maksud ayat Surah asy-Syu‘ara’: 88-89
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts