Sunday, June 29, 2014

Beberapa amalan pada bulan Ramadhan yang bukan dari Sunnah

Soalan:

Assalaamu ‘alaikum Ustaz,

Saya telah mendapat sehelai kertas tentang amalan-amalan di bulan Ramadhan, di salah sebuah masjid di sebelah barat Singapura. Saya ingin kepastian apakah amalan-amalan itu berdasarkan Sunnah Rasulullah atau sebaliknya. Bagaimana pengamalannya, maksud saya, samada sesuatu yang benar, baik diamalkan atau sebaliknya, tercela dan sia-sia. Sebab kertas pekeliling itu tidak mendatangkan keterangan daripada mana doa-doa itu didapatkan. Terima kasih atas penjelasannya.

- Efendi


Berikut ini yang disebutkan dalam kertas pekeliling tersebut:

--------------------------------------

Bismillah. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda:
“Terdapat 3 orang yang doanya tidak ditolak; orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka, imam (pemerintah) yang adil dan doa orang yang dizalimi kerana doa mereka diangkat melebihi awan…Allah berfirman: Daku bersumpah…membantu kamu walaupun pada suatu masa nanti..” 
Sunat dibanyakkan membaca:

Dari 1 hingga 10 Ramadhan:
اللهم ارحمني يا أرحم الراحمين” 
ertinya: Ya Allah berilah rahmat kepada ku kerana Engkau sahajalah yang dapat memberi rahmat.
Dari 11 hingga 20 Ramadhan:
اللهم اغفر لي ذنوبي يا رب العالمين” 
ertinya: Ya Allah ampunkanlah dosa ku kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan sekalian alam.
Sunat diperbanyakkan membaca sebelum berbuka puasa, kerana barangsiapa membacanya akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir:
يا عظيم يا عظيم أنت إلهي لا إله غيرك اغفر لي الذنب العظيم فإنه لا يغفر الذنب العظيم إلا العظيم” 
ertinya: Ya Tuhan yang Maha Besar 2x, Engkau Tuhan ku, tiada Tuhan melainkan engkau. Ampunkanlah segala dosa-dosa ku yang besar. Sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengampunkan dosa yang besar kecuali Engkau yang Maha Besar.
Dari 21 hingga akhir Ramadhan:
اللهم أعتقني من النار و أدخلني جنتك يا رب العالمين برحمتك يا أرحم الراحمين
ertinya: Ya Allah bebaskanlah aku dari api neraka dan masukkan aku ke dalam syurga. Dengan rahmat Engkau ya tuhan seru sekalian alam, kerana Engkau sahajalah yang dapat memberi rahmat.
Sunat diamalkan pada siang dan malam Ramadhan istimewa pada 10 yang akhir:
أشهد أن لا إله إلا الله، أستغفر الله نسألك الجنة و نعوذ بك من النار ” 5x, “اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عنا” 5x “يا كريم”.
--------------------------------------

Jawapan:

Wa 'alaikumussalaam wa rahmatullaah,

Bismillaah walhamdulillaah was solaatu was salaam ‘ala an-Nabi al-Mukhtar al-Mustafa, alladzie laa nabiya ba‘dah, wa ‘alaa aalihi wa sohbihi wa manittaba’a hudaah,

Wa ba’d,

Semoga Allah merahmati anda, Saudara Efendi, atas kesungguhan anda mencari amalan terbaik berdasarkan keterangan yang nyata. Sungguh, tiada cara lain kita mampu dan boleh mendapatkan keredhaan Allah, kecintaanNya dan ampunanNya, kecuali dengan mengikuti Rasulullaah, sesempurnanya yang mampu. Firman Allah yang sepatutnya cukup jelas bagi setiap yang ingin mendapatkan Cinta dan Ampunan Allah:

“قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله و يغفر لكم ذنوبكم” 
ertinya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku (Rasulullah) pasti Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. (Aal-‘Imraan: 31)

Menurut Syeikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbaad dalam kitab beliau “Fadl al-Madeinah”, kata ‘ulama’ dari zaman yang awal, ayat ini adalah ayat ujian. Maksudnya jika kamu benar dalam dakwaan kamu, buktikanlah dengan mengikuti Rasulullah dengan sebaik-baik ikutan. (akhir nukilan)

Atas dasar ini, ‘ulama dari dahulu amat menitikberatkan soal memastikan sesuatu amalan itu adalah benar daripada Rasulullah dan betapa mereka amat membenci pada perkara “rekaan-rekaan” dalam urusan agama, yang Nabi sendiri telah gelarkan sebagai bid‘ah.

Lantaran itu, menjadi orang yang mendapatkan kesedaran betapa buruknya bid‘ah dan berusaha memelihara diri daripadanya serta berusaha dengan ilmu dan ketaqwaan untuk mendapatkan segala yang benar dan jelas daripada Rasulullah adalah daripada Petunjuk Allah yang amat besar dan selayaknya kita bersyukur kepada Allah atas ni‘mat tersebut dan itulah Jalan ‘Ulama, ahli ilmu dan taqwa.

Rasulullah juga telah menjamin bahawa tetap akan ada segolongan umatnya yang berusaha menegakkan kebenaran dan menyebarkannya biarpun ada sahaja pihak yang mecanggahi mereka dan berusaha menghalang mereka sehingga Hari Kiamat. Semoga Allah dengan RahmatNya yang Maha Luas, menggolongkan kita dalam golongan ini meskipun kita sedar masih banyak kekurangan yang ada pada diri kita.

Akan saya jelaskan dengan bukti-buktinya pada kesempatan yang lain, namun buat masa ini kita tumpukan pada yang ditanyakan oleh saudara, yang mana saya sebutkan sepintas lalu sahaja.

Rasulullah telah bersabda:
" من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار" 
Barangsiapa yang berdusta atas namaku (mempergunakan nama baginda untuk berdusta – apa yang bukan ajaran Nabi didakwakan sebagai ajaran baginda) dengan sengaja maka ia telah menempah tempatnya di Neraka. [1]

Iaitu dalam perbahasan ini, agar umat Islam dan masyarakat Islam tidak mengatakan, mengi‘tiqadkan dan mendakwa sesuatu itu sebagai sunnat padahal tiada daripada keterangan as-Sunnah dan juga sebagai ikutan sikap dan pegangan para Imam terdahulu:

Imam Muslim (204-261H) di dalam Muqaddimah Sahih Muslim telah memberikan judul:

بَاب وُجُوبِ الرِّوَايَةِ عَنِ الثِّقَاتِ وَ تَرْكِ الْكَذَّابِينَ وَ التَّحْذِيرِ مِنَ الْكَذِبِ عَلَى رَسُولِ الله 
ertinya: Kewajipan meriwayatkan daripada para perawi yang terjamin periwayatannya dan meninggalkan riwayat pendusta serta berwaspada daripada berdusta dengan memperguna nama Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam.

Kemudian beliau menyambung:
Ketahuilah, semoga Allah Ta‘ala memberi petunjukNya kepada anda, bahawasanya adalah wajib atas setiap peribadi untuk mengetahui perbezaan antara yang benar daripada riwayat dan yang berpenyakit (lemah), antara para perawi yang dipercayai terjamin periwayatannya dan yang tidak dipercayai, serta ia tidak meriwayatkan kecuali apa yang ia telah jelas pasti kesahihannya…[2]

Kata ‘Abdullah bin ‘Umar (sahabat Nabi):
“Setiap bid‘ah adalah kesesatan, walaupun manusia memandangnya hasanah(baik)”[3]

Maka sama-samalah kita ikuti Jalan Sunnah dan jauhi jalan Bid‘ah dan amalan rekaan.

Adapun berkenaan riwayat atau yang dikatakan “hadis” yang pertama:

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda:
“Terdapat 3 orang yang doanya tidak ditolak; orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka,…Allah berfirman: Daku bersumpah…membantu kamu walaupun pada suatu masa nanti ”

Hadis ini adalah sebuah hadis yang lemah. Ia telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah oleh Imam Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibn Maajah. Diriwayatkan juga oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban.

Walaupun Imam at-Tirmidzi menyatakan: “Hadis Hasan”, namun beliau sendiri menyatakan ada perawi yang tidak diketahui (majhul).

Ibn al-Madieni telah menghukumkan dengan tegas: “perawi majhul”. Apatah lagi ia mencanggahi hadis yang sahih;
“Tiga jenis doa yang diperkenankan dan tiada keraguan lagi pada kedudukannya sebagai mustajab (diperkenankan), doanya seorang yang dizalimi/dianiayai, doa orang yang sedang bermusafir dan doa seorang orang tua (ibu atau bapa) untuk anaknya” [4]

Maka hadis ini daripada sudut sanad dan matannya adalah hadis yang lemah. Tambahan pula, terjemahannya menyebutkan: “orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka” yang tepat bukannya “sehingga” kerana erti “حين يفطر” adalah “ketika ia berbuka”. 

Namun dengan itu dapat disimpulkan, memang benar berpandukan beberapa hadis yang sahih, orang yang berpuasa ada baginya doa yang diperkenankan Allah, Insyaa Allah, ketika ia hendak berbuka puasa. Apa yang lainnya yang ada di dalam hadis tersebut tidak diambil-kira kerana kelemahannya.

Kertas pekeliling ini telah diedarkan oleh pihak yang kita yakini bermaksud baik iaitu untuk menggalakkan orang mengamalkan suatu amalan yang disangkanya baik dan berdasarkan sunnah sebab itu, dinyatakan “sunat dibanyakkan membaca:”, padahal kemungkinan besar yang dijadikan sandarannya untuk menghukumkannya “sunat” adalah hadis ini:
“Bahagian pertama bulan Ramadan adalah Rahmah, pertengahannya adalah pengampunan dan penghujungnya (iaitu bahagian sepertiga terakhirnya) adalah pelepasan daripada Neraka” 
" أول شهر رمضان رحمة ، و أوسطه مغفرة ، و آخره عتق من النار"
Hadis da‘ief jiddan – teramat sangat lemah; diriwayatkan antara lain oleh Ibn Abi ad-Dunya di dalam “Fadl Ramadan”, al-Khatieb al-Baghdadi dan Ibn ‘Asakir (kononnya) daripada Abu Hurairah. (Da‘ief al-Jami‘ as-Saghier: 2135; as-Silsilah ad-Da‘iefah: 1569)

Ataupun dengan lafaz yang lebih panjang:
“Wahai manusia, telah menjelang bulan yang agung, bulan yang mana padanya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, Allah menjadikan puasa suatu kefarduan padanya, menghidupkan malamnya suatu amalan kelebihan (sunnat) dan barangsiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah dengan satu kebajikan yang sunnat maka seperti ia telah melakukan amalan fardu dalam bulan lainnya….dan ia adalah satu bulan yang bahagian awalnya adalah Rahmah, pertengahannya pengampunan dan bahagian akhirnya adalah pelepasan/kebebasan daripada neraka…”
Hadis riwayat Ibn Khuzaimah (no: 1887), al-Muhamiliy (al-Amalie: no: 293), al-Asbahaniy (Targhieb; manuscript: 178) daripada jalan periwayatan ‘Aliy bin Zayd bin Jad‘an daripada Sa‘ied bin al-Musaiyib daripada Salman. Isnad ini Da‘ief kerana kelemahan ‘Aliy bin Zayd.

Kata Ibn Sa‘d: Pada riwayat ini ada kelemahan dan ia tidak layak dijadikan hujjah).

Kata Ibn Abi Khaitsamah: Da‘ief pada setiap sesuatu (yang diriwayatkannya).

Kata Ibn Khuzaimah: Aku tidak berpegang/hujjah dengannya kerana hafazannya yang buruk. Demikian dalam Tahdzieb at-Tahdzieb: (7/322-323).

Kata Ibn Khuzaimah selepas meriwayatkan hadis ini:  صح الخبر (إن)

(Seandainya) ia sebuah riwayat yang benar. Malangnya perkataan dalam kelongsong hilang dalam sebahagian salinan buku rujukan, misalnya “at-Targhieb wa at-Tarhieb”: 2/95 dan sebahagian lainnya. Kehilangan perkataan tersebut memberikan pemahaman makna yang salah. Malangnya sebahagian orang yang menyampaikan tapi tidak membuat kajian tidak mengetahuinya.

Kata al-Hafiz Ibn Hajar di dalam al-Atraf:
Ia bersekitar pada riwayat ‘Aliy bin Zayd Ibn Jad‘an dan beliau adalah seorang perawi yang Da‘ief (lemah), sebagaimana juga yang dinukilkan oleh as-Suyuti di dalam Jam‘u al-Jawami‘: (no:23714) dan Ibn Abie Hatim menukilkan daripada bapanya dalam ‘Ilal al-Hadiets: 1/249: kata beliau: Hadis Munkar. [5]

Hasil dari “pengajaran” atau “isi” hadis ini, direka doa-doa yang berkenaan, 1-10 Ramadhan minta Rahmat, 11-20 Ramadhan minta Ampunan dan penghujungnya, 21-30 Ramadhan minta Pelepasan dan kebebasan daripada Api Neraka. Padahal dalam hadis-hadis yang sahih, pelepasan daripada api neraka berlaku pada setiap malam daripada bulan Ramadhan, bukan penghujungnya atau sepuluh terakhirnya sahaja.

Jika kita perhatikan, ‘ulama zaman demi zaman, berusaha dengan jerih payah untuk memastikan agar umat Islam mendapatkan penjelasan kedudukan riwayat-riwayat yang didakwakan daripada Nabi [Imam Muslim (261H) hingga ke zaman al-Hafiz Ibn Hajar (852H]. Mereka melakukan demikian untuk menyelamatkan umat daripada terjerumus ke dalam kesalahan “mereka-reka ajaran baru” dan “mendakwakan sesuatu sebagai ajaran Nabi, ada hadisnya” padahal ia bukan ajaran sebenar Rasulullah. Segalanya agar mereka terpelihara daripada “berdusta atas nama Nabi”.

Jika mereka telah berusaha sedemikian itu, apakah mereka akan sewenangnya terima amalan yang direka-reka orang biar bergelar “syeikh” atau “maulana” sekalipun? Apa yang bukan daripada Rasulullah? Apa ertinya memastikan dengan teliti dan penuh tegas sesuatu itu daripada Rasulullah, kalau dari selain Rasulullah juga boleh diterima pakai dan dijadikan sebahagian Syari’at Islam dan amalan?

Seumpama seseorang telah bersusah payah menapis dengan alat penapis, memisahkan hampas atau pati dari cecair, kemudian memasukkan hampas/pati itu semula bercampur dengan lainnya. Tentunya ia menjadi suatu perkara sia-sia. Begitulah perumpamaannya.

Sama-sama kita nilaikan.

Dengan itu amalan ini selayaknya ditinggalkan dan tidak diamalkan dan adalah haram untuk mengatakannya “sunat”, bilamana tiada dalam Sunnah Rasulullah sebab ia dikira berdusta atas nama Rasulullah (hadis tadi: Barangsiapa yang berdusta atas nama ku).

Wallahu a‘lam.

Adapun doa yang terakhir, yang disuruh agar mengulangnya 5 kali, maka begini ulasan saya seperti berikut ini.

Memang memohon diri selamat daripada neraka dan dimasukkan ke syurga mahupun mengucapkan ucapan yang paling Allah sukai “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah” begitu pula memohon ampunan Allah, bagi kita yang sentiasa mengamalkan zikir pagi petang yang warid daripada Rasulullah setiap hari, walhamdulillaah, kita telah sedia lakukannya baik pada bulan Ramadhan mahupun luar Ramadhan, kerana semuanya itu ada dalam bacaan pagi petang ajaran Rasulullah.

Adapun mengkhususkan bacaan ini, pada bulan Ramadhan, yang daripada rekaan orang bukan doa yang Nabi ajarkan, maka jelas ia daripada bid‘ah sebab:

1- Doa itu bukan Nabi yang ajarkan. Bikinan dan rekaan orang, biarpun digelarkan “orang alim”

2- Dibaca dengan ketentuan 5 kali, pada bulan Ramadhan, terutamanya 10 hari terakhirnya atau sebagainya…saya tanya: kenapa tak buat 10 kali atau 500 kali atau sebagainya…siapa yang berhak tentukan itu ini dalam urusan agama Allah? sedangkan Allah telah peringatkan:
ertinya: “Apakah mereka ada sembahan-sembahan selain Allah yang mensyari‘atkan untuk mereka, daripada urusan agama, apa yang tidak diizinkan Allah?! [Asy-Syuuraa: 21]

Serta begitu banyak hadis Rasulullah yang melarang “rekaan dalam urusan agama”.

Adapun untuk kita berdoa, kita boleh sahaja berdoa dengan doa peribadi kita, selama tanpa penentuan itu dan ini, apa yang tiada ketentuannya dari al-Quran dan as-Sunnah. Tiada siapa melarang doa peribadi minta ampun, minta selamat dari neraka dimasukkan ke syurga dan hajat lainnya.

Jika dikatakan: ini amalan orang-orang alim. Saya tanya: Orang alim mana? Apa kitab-kitab karangannya? Siapa yang i‘tiraf ilmunya? Satu soalan yang mudah: kenapa para imam terdahulu seperti Imam asy-Syafi‘ie, Imam Ahmad, Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Ibn Qudamah, Imam an-Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar dan ramai lagi tidak ajarkan dan tidak amalkan? Padahal mereka ini ‘ulama terbilang zaman mereka yang hasil karya mereka dipelihara Allah sehingga hari ini lagi memanfaatkan umat. Kalau tetap mahu ikut orang alim yang mereka-reka ini semua, saya mengikuti orang-orang alim yang saya sebutkan tadi yang jauh lebih handal dan tegas beramal dengan apa yang ada daripada ajaran baginda Rasulullah semata-mata.

3- Adanya tanggapan masyarakat bahawa ia amalan khusus Ramadhan. Betapa tidak bila di masjid-masjid sepanjang Ramadhan selepas solat berjemaah, imam membimbing jemaah, meninggalkan istighfar dan zikir biasa yang Nabi ajarkan untuk membaca:
“أشهد أن لا إله إلا الله، أستغفر الله نسألك الجنة و نعوذ بك من النار ”. 
Padahal ia tiada dalam as-Sunnah. Sunnah Rasulullah yang suci dtinggalkan untuk membaca bacaan rekaan orang, yang bukan orang alim terkemuka umat Islam pun! Allahul Musta’aan. Kalau akan datang ada lagi doa-doa atau amalan lain yang orang sekian-sekian reka, akan jadi bertambah banyak dan semakin jauh daripada Sunnah.
Sama-sama kita amati hadis ini: …Sambung baginda:
Maka sesungguhnya mereka akan datang dengan tompok putih (tanda cahaya) pada dahi dan anggota-anggota mereka kerana wudhu dan aku akan mengepalai mereka ke Al-Haudh. Ketahuilah akan ada orang-orang yang terlarang dari Haudh ku sebagaimana unta yang sesat (terlarang dari tempat minumnya), Aku akan memanggil: ayuh marilah! maka dikatakan (kepada ku): Mereka telah merubah (pegangan/ajaran) selepas mu (tidak layak diajak), maka aku akan mengatakan: Jauhlah, jauhlah[6].”
[Diriwayatkan oleh Imam Muslim (1/150) dan lainnya (Mukhtashor Muslim. 129) - dari Abi Hurairah].

Dijelaskan segalanya ini agar kita memelihara diri kita dari percanggahan terhadap asal ajaran Rasulullah dan menjauhi diri dari bertanggapan sesuatu yang bukan daripada Rasulullah sebagai ajaran Rasulullah, kerana tanggapan itu boleh membawa ke neraka.

Manakala bacaan: “اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عنا” maka ia berdasarkan riwayat yang sahih berikut (tanpa penentuan 5 kali) iaitu doa yang diajarkan Rasulullah kepada manusia yang paling baginda cintai, ‘A-isyah:

اللَّهُمَّ إِنَّـكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي 
Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf yang suka kepada pengampunan maka ampunkanlah daku. 
(Riwayat at-Tirmidzi: 3760, Ibn Majah: 3850 – Sahih).

Semoga Allah menyelamatkan kita semua dari api neraka dengan keluasan RahmatNya, Allaahumma amien.

______________________________________________

[1] Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam-imam Ahmad, Al-Bukhariy, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa-i, Ibn Majah, al-Hakim, at-Tabaraniy dan selain mereka yang keseluruhannya diriwayatkan daripada 63 orang Sahabat – sebuah hadis mutawaatir yang tiada keraguan lagi padanya.

[2] Sahih Muslim; Muqaddimah Sahih Muslim Bab: 5.

[3] Diriwayatkan oleh Imam-imam Ibn Battah dalam al-Ibanah ‘an Usul ad-Diyanah: (2/112/2), al-Lalaka-i di dalam as-Sunnah (1/21/2) secara Mauquf dengan sanad yang Sahih, al-Harawiy dalam Dzamm al-Kalam (2/36/1) secara Marfu‘- namun menurut pendapatku (asy-Syeikh), ia adalah kekeliruan, yang Sahih secara Marfu‘ hanyalah bahagian awal hadis ini dan telah pun disebutkan riwayatnya dari hadis Jabir.

[4] Hadis riwayat Abu Dawud (Sunan Abie Dawud: as-Solah: 1313), at-Tirmidzi (Sunan at-Tirmidzi: al-Birr wa as-Silah: 1828, ad- Da‘awat: 3370) Ibn Majah (Sunan Ibn Majah: ad-Du‘a’: 3852) dan‘ulama hadis lainnya – dihukumkan sahih oleh al-‘Allamah al-Albaniy di dalam Sahih Abi Dawud: 1/286, Sahih at-Tirmidzi: 3/156 dan Sahih Ibn Majah: 2/331 – Da‘ief al-Jami‘ as-Saghier: 2592 dan Silsilah ad-Da‘iefah: 1358 dan as-Sahiehah: 596

[5] Hukum al-‘Amal bi al-Hadiets ad-Da‘ief fie Fada-il al-A‘mal: hlm.36-37

[6] Asal makna “سُحْقاً” dalam bahasa kasarnya: “padan muka mereka” yakni itulah balasan yang selayaknya bagi mereka.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts