Sunday, August 26, 2012

Bolehkah rosakkan harta milik orang bukan Islam

Soalan:

Salams Ustaz,

Kat ofis i duduk ni, pakcik christian sebelah ni bukak radio omputih pagi sampai petang. now he cuti dua minggu.. i ingat nak rosakkan radio supaya dia tak dapat ON lagi.. hahah...

Berdosa tak i buat gitu?? boleh tak??

Tiap2 hari i kene ambil earphones, plug in radio rodja nye siaran into my ears supaya tak dengar muzik2 tu...

- Ahlu Ruqyah




Jawapan:

Wa 'alaikumussalaam,

Bismillah walhamdulillaah was solaatu was salaam 'alaa Rasuulillaah wa 'alaa aalihi, wa ba'd,

Saudara "Ahlu Ruqyah", saya bersyukur kerana anda seorang yang mempunyai kesedaran mengenai keburukan muzik dan hukumnya yang jelas bahawa ia haram, sebagaimana yang ada keterangannya begitu banyak dalam berbagai kitab tafsir dan hadis. Antara tulisan yang terbaik yang telah menghimpunkan begitu banyak dalil-dalil Syar'iyah adalah karya Syaikh al-Albaanee, yang diterjemahkan "Polemik Musik". Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar al-Haitami dengan kitab beliau "Kaff ar-Ru'aa'" dan banyak lagi.

 Betapa sungguh menghairankan golongan bergelar "cendekiawan" atau ahli ilmu Islam yang menegakkan "keharusan" dan "diperbolehkannya" muzik, mengambil semata-mata daripada seorang 'alim yang "kontroversial" dalam menjelaskan hukum-hukum Syari'ah seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan mengenepikan berbagai tulisan ulama terdahulu dan sekarang beserta dengan dapatan dan penemuan beberapa pihak, kuatnya kaitan di antara Muzik dan ad-Dajjaal.

Dalam pada kita mencari kebenaran, saya nasihatkan diri saya dan kaum Muslimien umumnya, tinggalkan ikutan hawa nafsu kita, kajilah dengan sedalam-dalamnya sebelum menghukumkan sesuatu itu "diperbolehkan" dan "harus" sedangkan ada ayat dan hadis yang sahih yang telah memberikan isyarat malah penegasan terhadap haramnya sesuatu itu.

Tentunya dalam hal ini, tiada apa-apa maslahat lebih utama atau lebih besar (Fiqh awlawiyaat) dengan menghukumkan "keharusan" muzik, berbanding mengharamkan muzik dan tiada hujjah pula dengan keadaan kita (Fiqh Waaqi' yang tinggalkan fiqh dan hanya bergantung pada waaqi') "sentiasa diselubungi muzik di pasaraya, di majlis walimah, di hospital, di geylang, di kedai kopi dan di mana-mana" menjadikan kita "terpaksa" atau "mesti" menghukumkan muzik itu "diperbolehkan", kalau tidak, bila kita hukumkan "muzik itu haram" kita asyik berdosa dan tidak boleh ke tempat-tempat tersebut.

Apakah sama orang lelaki yang memakai cawat, mendedahkan auratnya jalan ke sana ke sini tanpa segan silu, dengan orang yang memakai kain, menutup auratnya dengan sempurna? Bila angin bertiup kencang, terdedah aurat orang yang memakai kain itu tadi, salahkah dia, berdosa kah ia bila ia segera menutup auratnya yang terdedah buat seketika, yang bukan dengan kemahuannya? Berbanding dengan yang hanya memakai cawat, angin kencang atau tiada angin, atau ribut taufan sekalipun tetap hanya bercawat! Begitu juga wanita bertudung bila angin kencang tersingkap tudungnya yang tentunya berbeza dengan wanita yang memakai tudung tapi menari-nari atau menyertai kegiatan lasak yang ada bukan mahramnya melihatnya dan jadi tontonan mereka, lalu terdedah auratnya.

Hujjah adalah hujjah Syari'yah, Fiqh, bila kita berbincang tentang "hukum" dan "agama Allah" bukan hukum akal dan keadaan tanpa panduan wahyu.

Walhamdulillah, semoga Allah kuatkan iman kita dan pegangan kita dalam mengikuti ajaran asal RasulNya dan para Sahabat serta 'ulama yang mewarisi ajaran asal. Amien.

Adapun hasrat saudara itu, ini jawapan saya:

Harta tu milik dia.

Seseorang Islam tidak berhak mengambil harta orang lain, walaupun bukan Islam, melainkan dalam peperangan, yang mana "manusia" pun boleh jadi tawanan (bukan di sisi Islam sahaja). Adapun orang kafir yang di bawah kuasa umat Islam dan hukum Islam atau yang ada perjanjian berbaik dan berdamai dengan umat Islam, kita diharamkan mengambil hartanya sepertimana haramnya harta saudara Islam kita.

Ada sebuah kisah sahih, yang mana 'Ali bin Abie Talib terpaksa menyerahkan perisainya kepada seorang bukan Islam, bilamana Hakimnya mendapati dengan bukti-bukti, perisai itu lebih layak menjadi milik si Kafir, padahal itu Mahkamah Islam. Ini berbeza dengan ajaran seperti sebahagian ahli "Islam Jemaah" dan lainnya yang menghukumkan secara mutlak, "harta orang kafir adalah halal". Atau ajaran seorang Ustazah, "awak ambil barang atau khidmat dia (orang kafir) kemudian awak tak bayar pun tak apa, kira halal kerana harta orang kafir halal bagi kita".

Bilamana ini daripada harta yang ada kegunaan baik dan salah guna, berbeza dengan harta yang semata-mata "tidak baik". Kalau semata-mata tidak baik saja, seperti benda syirik, arak, gambar lucah dipamerkannya, bolehlah anda "rosakkan" atau hilangkan terus lepas tu buat tak tahu, selama mana ia tidak menimbulkan mudarat lebih besar, kerana sebagai contoh (surah al-An'aam: 108) Allah melarang kita mencaci maki berhala mereka yang dengannya mereka membalas mencaci maki Allah atas dasar permusuhan. Imam Ibn Qayyim banyak memperincikan keadaan-keadaan ingkar kemungkaran dan maslahat serta mafsadah yang mungkin timbul daripadanya antaranya dalam kitab beliau "I'laam al-Muwaqqi'ien".

Tapi yang anda sebutkan ini adalah harta yg bukan jenis begitu, walaupun dia yang salah guna. Anda kena usaha dengan baik bercakap kepadanya agar dia faham dan tak ganggu orang lain. Sebab kalau anda rosakkan sekalipun, khuatir nanti dia beli yang baru dan yang lagi hebat, selepas tu. Masalah takkan selesai.

Walaupun sebenarnya dari sudut pandangan yang lain, anda patut terima kasih juga kepadanya ...blessing in disguise...sebab dengan karenah dia tu, anda jadi sumbat telinga dengar yang baik sepanjang masa...walhamdulillaah.

Kesimpulannya, anda tidak boleh, haram dan berdosa dan tidak perlu rosakkan radionya itu.

Mungkin ini yang dikatakan "umat islam progresif yang tak ofensif lagi inklusif".

Wallahu a'lam.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts