Wednesday, August 1, 2012

Majlis Zikir dan Zikru Allah yang tidak mencanggahi Sunnah Rasulullah (3)

sambungan bagi...Majlis Zikir dan Zikru Allah...(2)

Syarah Imam al-‘Iz bin ‘Abdis Salam

Asy-Syeikh Saliem ‘Ied al-Hilali menyatakan (di antara faedah pengajaran hadis ini) (trj.): …Perhatian: Majlis-majlis Dzikir yang dicintai Allah adalah Majlis-majlis ilmu dan pengajian al-Quran al-Kariem dan juga Sunnah yang suci serta mendalami pemahaman terhadap kedua-duanya dan bukannya lingkaran dan bulatan sekumpulan manusia yang melakukan gerakan tarian dan rentak-rentak Sufi.




Kata al-Imam al-‘Iz bin ‘Abdis Salam[1] di dalam “Qawa‘id al-Ahkam”: 2/186:
“Adapun Tarian dan bertepuk tangan adalah suatu kerendahan dan menyerupai perbuatan kelemahan wanita, tidak akan dilakukan kecuali oleh orang yang kurang akal ataupun seorang pereka cerita pendusta. Betapa tarian yang diiringi irama lagu menguasai hati orang itu dan ingatannya, sedangkan Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam telah bersabda: 
“Sebaik-baik (manusia/umatku) kurun adalah kurun ku (yang aku hidup padanya) kemudian (kurun) yang menyusulinya, kemudian (kurun) yang datang selepasnya.”

Dan tidak pernah ada seorang pun di antara mereka, daripada golongan yang dijadikan teladan, melakukan perkara ini (menari dan berirama) dan sebenarnya, Syaitan telah memperdayakan kaum yang menyangka bahawa pukulan dan paluan yang mereka perdengarkan ada kena mengena dengan Allah. 
Sungguh mereka telah berdusta dalam tuturkata mereka, berbohong dalam dakwaan mereka, dari sudut yang mana kononnya, mereka ketika mendengarkan paluan-paluan dendangan itu sekaligus mereka mampu mendapatkan kedua-dua bentuk kelazatan (ingat Allah dan nikmati dendangan/tarian). 
Segolongan ‘ulama telah mengharamkan “bertepuk tangan” berdasarkan sabda baginda: “Bertepuk tangan itu hanyalah untuk kaum wanita – إنما التصفيق للنساء” dan baginda telah melaknati kaum wanita yang menyerupai kaum lelaki dan kaum lelaki yang menyerupai wanita.

Maka sesiapa yang takutkan Tuhan, ada pada dirinya pengagunganNya, tidak akan tergambar lahir dari dirinya tarian, tidak pula tepuk tangan dan tidak mungkin dilakukan tarian dan tepuk tangan kecuali oleh seorang yang bodoh jahil cetek akal dan kedua-duanya tidak akan terbit daripada seorang yang berakal yang mulia kedudukannya. 
Cukup sebagai bukti kejahilan orang yang melakukannya adalah bahawasanya tiada suatu petunjuk di dalam Syari‘ah, daripada al-Quran dan as-Sunnah dan tidak pernah pula dilakukan oleh seorang pun daripada para Nabi dan tiada pula suatu kisah daripada para pengikut setia para Nabi, maka ia hanya dilakukan golongan jahil dan rendah akal yang keliru lagi tidak dapat membezakan antara kebenaran dan hawa nafsu dan Allah telah berfirman: 
Ertinya: …dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu.[2] 

Sungguh golongan as-Salaf dan golongan mulia daripada al-Khalaf tidak ada kena mengena dengan perbuatan seperti itu. Lantaran itu, sesiapa yang melakukannya dengan i‘tiqad bahawa ia hanyalah suatu kehendak hawa nafsunya semata-mata, bukannya satu perbuatan mendekatkan diri kepada Allah, seandainya ia daripada golongan yang diikuti orang, akan tetapi para pengikut mengi‘tiqadkan bahawa ia melakukannya sebagai suatu perbuatan mendekatkan diri kepada Allah, maka amat buruklah apa yang dilakukannya, kerana ia menjadikan orang yang keliru bertanggapan bahawa perbuatan itu suatu bentuk ketaatan padahal ia adalah di antara seburuk-buruk perbuatan hina dan sia-sia…”[3]

Di antara pengajaran kata-kata Imam al-‘Izz adalah:
Ada orang yang dianggap ketua atau guru tetapi tidak layak diikuti kerana ia seorang pengikut hawa nafsu, oleh itu, usah kamu tertipu dan terpedaya dengannya dan mengikutinya pada yang salah”, iaitu kata beliau: “seandainya ia daripada golongan yang diikuti orang,…”. 

Kaitannya dengan sikap masyarakat masa kini, bila ada yang mengajak kepada jalan yang asal berupa ajaran as-Sunnah dan para Imam, para pengikut seseorang guru agama, terutamanya yang masyhur di kalangan masyarakat, akan menjadikan guru itu sebagai “hujjah ikutan” atau “dalil” dengan alasan mereka: “Eh, dia tu Ustadz/Ustadzah, dia buat begitu, takkan dia tak tahu (maksudnya tentunya ia tahu diperbolehkan atau terlarang, salah atau betul, tepat atau menyeleweng)”.

Mereka yang berkata demikian sebagai alasan telah pun difahamkan dengan penjelasan Imam al-‘Izz itu tadi. Lagipun persoalannya: Apakah kita tahu dengan pasti bahawa Ustadz/guru itu tahu atau kita hanya “bersangka baik” dengan berkata: “Takkan dia tak tahu” padahal dengan ucapan itu amat jelas kita sendiri tidak tahu, samada:
i. Ustadz/guru itu tahu atau ia tidak berilmu dalam hal itu
ii. Atau Ustadz/guru itu tersilap faham ajaran yang betul dan ia terkeliru.
iii. Atau ia tahu tetapi tidak menuruti ilmunya sebaliknya hawa nafsunya dan kegemaran atau kecenderungannya,

Keseluruhannya bererti orang yang beralasan sedemikian hanya mengikut membuta-tuli tanpa berpanduan dan mengikut tanpa ilmu. Padahal Imam al-‘Izz menjelaskan dengan mudah, yang dapat disimpulkan daripada penerangan beliau itu tadi:
i. kita ikut panduan, panduan daripada Syari‘at, para Nabi dan para pengikut setia para Nabi. Bermula dengan kata beliau: “Cukup sebagai bukti kejahilan orang yang melakukannya…”.

ii. jangan ikut peribadi tertentu tanpa panduan dan keterangan

iii. Cukup sebagai bukti sesuatu dalam hal agama itu tidak dilakukan kecuali oleh orang-orang jahil, bilamana tiada petunjuk Syari‘at; al-Qur’an, as-Sunnah, amalan Sahabat dan para Imam pewaris ajaran Sahabat terhadap perkara itu. Bukan sebaliknya pandai-pandai direka lalu dikatakan, tiada larangannya dalam al-Qur’an dan hadis. Atau mana kita tahu mungkin Nabi dan Sahabat pernah lakukan dan sebagainya yang semuanya adalah kenyataan dengan “sangkaan”, “mungkin begitu, mungkin begini”. Kenapa tak dikatakan mungkin Nabi pernah solat 6 rakaat Zohor, atau 7 fardu sehari semalam?

iv. Oleh itu, sesiapa yang menyatakan “ini amalan ‘ulama’ kita daripada dahulu lagi, orang yang angkuh, cetek ilmu, memperkecil ‘ulama’ sahaja yang akan menolaknya” maka sebaiknya diajukan soalan-soalan berikut kepadanya:

a. sila buktikan; “dahulu” daripada zaman Nabi atau para Sahabat atau ‘ulama’ zaman Salaf atau Khalaf, siapa sahaja di antara mereka yang ada melakukannya. Jika tidak, maka cukup dengan apa yang telah dinyatakan oleh al-‘Izz beserta perincian itu tadi. Telah diajarkan agar kita mengikuti para Imam dengan ikutan kepada panduan, bukannya sembarangan ikutan. Mereka pasti mengemukakan dalil dan panduannya dalam pada mereka melakukan sesuatu.

b. Sila nyatakan, siapa “‘Ulama’” yang dimaksudkan. Di dalam tulisan ini, jika diamati, baik yang telah dijelaskan mahupun yang akan dikemukakan, segalanya dibentangkan dengan “ilmu warisan” sesuai ajaran para Imam tadi, seperti an-Nawawi, al-Qadi, Ibn Jarier dan Ibn Hajar. Maka siapakah ‘ulama’ yang dimaksudkan? Apa warisan ilmu mereka? Jika ada, apakah setanding dengan para Imam itu tadi yang Allah pelihara hasil karya mereka hingga ke hari ini. Jika ada keterangannya tentu kita sama-sama mahu mengikutinya dan tidak layak bersikap angkuh. Jika tiada, maka siapakah yang angkuh terhadap keterangan yang nyata dan membina semangat “kekitaan – ‘ulama’ kita” dan bukannya kembali dan tunduk tawadu’ terhadap ilmu warisan dan kebenaran?

c. ‘Ulama’ yang anda maksudkan itu, apakah ada hasil karyanya yang sehingga kini dipelihara Allah? Apakah terkenal seperti para Imam yang disebutkan kenyataan mereka di dalam tulisan ini? Jika ada warisan ilmu peninggalan “‘ulama’ kita” yang anda sebutkan, sila datangkan buktinya untuk kita sama-sama teliti dan nilaikan. Jika tidak, maka anda hanya mendatangkan “dakwaan” tanpa bukti. Bilamana tiada bukti, hukum yang anda simpulkan adalah batil sebagaimana dalam kehakiman, setiap yang membuat dakwaan mesti mendatangkan bukti. Sama-samalah kita khuatiri nasib kita di Mahkamah Allah kelak, bilamana kita buat dakwaan tanpa bukti untuk mempertahankan amalan yang tiada asalnya daripada Nabi dan as-Salaf. Jika anda sekadar ikut-ikut, maka amatilah ayat ini:

Ertinya: (Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka. Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!" Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.[4]

Bersambung ke bhg.4


[1] Al-Imam yang bergelar “Sultan al-‘Ulama” ‘Izzud Dien bin ‘Abdis Salam as-Salmi asy-Syafi‘ie. Seorang ahli Hadis, ahli Usul dan ahli Fiqh – lahir tahun 577H wafat pada tahun 660H. - Syadzarat adz-Dzahab: 5/301
[2] Al-Qur’an an-Nahl: 16:89
[3] Bahjat an-Nazirien Syarh Riyad as-Salihin: 2/519-520
[4] Al-Qur’an: Surah al-Baqarah: 2:166-167
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts