Monday, August 20, 2012

Majlis Zikir dan Zikru Allah yang tidak mencanggahi Sunnah Rasulullah (4)

sambungan daripada "Majlis Zikir...bah. 3"

Kata al-Hafiz Ibn Rajab[1] (trj.): Majlis-majlis Nabi dengan para Sahabat umumnya adalah peringatan kepada Allah, (peringatan kepada) apa yang mengundang keredhaan Allah yang digalakkan dan apa pula yang menyebabkan kemurkaanNya, yang diancam, samada dengan Tilawah al-Quran ataupun apa sahaja yang Allah kurniakan baginda daripada penyampaian bistari penuh hikmah dan peringatan yang baik, pengajaran apa yang bermanfaat dalam urusan keagamaan sebagaimana yang Allah perintahkan di dalam KitabNya…..[2]



Ketika menjelaskan hadis berikut:
...وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Ertinya:…dan barangsiapa yang menempuhi satu jalan demi mencari ilmu akan Allah mudahkan dengannya, baginya jalannya ke Syurga dan tidak ada segolongan manusia yang berhimpun di sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah (masjid), mereka membaca kitab Allah (bertilawah) dan saling mempelajari isinya di antara sesama mereka kecuali pasti akan turun pada mereka (kurniaan Allah berupa) ketenangan dan mereka diselubungi dengan Rahmat(Nya) serta dinaungi oleh para Malaikat dan Allah menyebut nama-nama mereka (berbangga dengan mereka) di sisi para makhluq yang berada dekat dengan Allah…[3]
Beliau (al-Hafiz al-Ibn Rajab) menerangkan (trj.):
Ini menunjukkan kepada galakan untuk duduk di masjid-masjid untuk Tilawah al-Qur’an dan mempelajarinya, iaitu jika diambil maksudnya sebagai mempelajari al-Qur’an dan mengajarkannya, yang mana (pada pemahaman maksudnya demikian) tiada perselisihan pendapat ‘ulama bahawa ia digalakkan…jika difahami dengan maksud yang lebih umum, maka terangkum di dalamnya berkumpul di masjid-masjid untuk apa sahaja yang berkaitan dengan pembelajaran al-Qur’an. Sebab Nabi sendiri adakalanya menyuruh seseorang untuk membaca al-Qur’an agar baginda mendengar bacaannnya, sebagaimana Ibn Mas‘ud pernah membaca di hadapan Nabi[4]…’Umar juga biasa menyuruh seseorang membaca al-Qur’an untuk diperdengarkan kepada beliau dan para Sahabat, adakalanya beliau menyuruh Abu Musa dan adakalanya ‘Uqbah bin ‘Amir.
Kebanyakan ‘ulama menghukumkan adanya galakan berkumpul untuk mempelajari al-Qur’an secara umumnya dengan berpandukan hadis-hadis yang membawa petunjuk kepada galakan berkumpul untuk berzikir dan al-Qur’an adalah sebaik-baik zikir…
(Kemudian beliau menyebutkan hadis yang pertama tadi; hadis “malaikat mencari-cari majlis zikir”. Setelah itu, hadis berikut pula, kata beliau:)
Di dalam Sahih Muslim daripada Mu‘awiyah bahawasanya Rasulullah keluar mendapati sekumpulan para Sahabat sedang duduk dalam satu bulatan, maka baginda bertanya: Apa yang menjadikan kamu duduk berhimpun? Jawab Sahabat: Kami duduk berzikir kepada Allah, memuji Allah atas PetunjukNya yang Mengurnia Hidayat kepada kami menganut Islam. Tanya Nabi: Sungguh, demi Allah, tiada sebab lain yang menjadikan kamu duduk kecuali itu? Jawab mereka: Demi Allah tiada sebab lain kecuali itu. Jelas baginda: Aku tidak meminta kalian bersumpah kerana prasangka terhadap kalian, akan tetapi, kerana Jibriel datang kepada ku mengkhabarkan, sesungguhnya Allah berbangga dengan kalian di hadapan para Malaikat. Ada banyak lagi hadis-hadis lain yang sama maknanya.
Sungguh baginda telah mengkhabarkan bahawa ganjaran bagi mereka yang duduk di masjid mempelajari kitab Allah adalah 4 perkara;
i. Turunnya ketenangan pada mereka…
ii. Diselubungi Rahmat Allah…
iii. Para Malaikat menaungi mereka…
iv. Allah menyebut nama mereka (berbangga dengan mereka)…[5]
Daripada segala tukilan itu tadi dapatlah difahami perkara-perkara berikut ini:
i. Makna Majlis-majlis Dzikir; ada yang mengatakannya
a. bermaksud umum iaitu bukan sahaja zikir dengan ucapan tasbih, takbir dan seumpamanya, malah merangkumi pembacaan hadis dan pengajian ilmu.
b. Ada pula yang menyimpulkan bahawa ia secara khusus adalah zikir seperti itu tadi dan umumnya boleh diambil kira pembacaan hadis, pengajian ilmu agama dan juga perbincangan keagamaan bersifat ilmiyah. Cuma berkumpul untuk solat sunnat jika mahu diletakkan di bawah rumpun ini perlu diteliti sebagaimana penjelasan al-Hafiz Ibn Hajar.
c. Sebahagian lainnya pula menguatkan bahawa ia adalah Majlis Ilmu bukannya Zikir ucapan tasbih. Demikian kecenderungan pendapat al-Hafiz al-Ibn Rajab
Kenyataan beliau ini disokong dengan berbagai keterangan. Antaranya:
· Hadis-hadis yang menjelaskan maksud Majlis Zikir, Taman Syurga, adanya malaikat yang menaungi mereka, kebanyakannya menyebutkan tentang Tilawah al-Qur‘an dan pembelajarannya dan perbuatan Sahabat berbincang tentang ni‘mat Islam yang mereka kecapi dan adakalanya tentang tanda-tanda Kiamat. Hanya sedikit daripada hadis-hadis tersebut yang menyebutkannya dengan umum sebagai tasbih, takbir dan yang sepertinya.
· Riwayat hidup ‘ulama terutamanya zaman Salafussalih, banyak menyebutkan tentang kesungguhan mereka sehingga mengadakan perantauan mencari ilmu, namun tidak disebutkan pula mereka memimpin Majlis Berzikir beramai-ramai. Seringkali disebutkan Majlis mereka dipenuhi manusia yang ramai, tetapi yang disebutkan adalah Majlis Ilmu bukannya Majlis Zikir dengan tasbih dan seumpamanya. Yang ada adalah perbuatan Sahabat (seperti Mu‘adz di dalam Sahih al-Bukhariy[6] mengajak sama-sama duduk beriman kepada Allah dan ‘Abdullah bin Rawahah di dalam Musnad Ahmad[7]) dan tidak ada berkenaan para Imam memimpin Majlis Dzikir dengan ramai-ramai dengan satu suara sehingga kuat kedengaran.
· Kata al-Imam asy-Syafi‘ie[8]:
كُلُّ عِلْمٍ سِوَى القرآن مَشْغَلة إلا الحَديث و عِلْم الفِقْه في الدِّين
العِلْمُ مَا كان فِيهِ قَالَ حَدَّثَنَا وَ ما سِوى ذَاك وِسْواس الشَّياطِين
Setiap ilmu selain al-Qur’an adalah kesibukan (yang tidak diperlukan)
Kecuali Hadis dan ilmu Fiqh dalam agama Islam
Ilmu (yang sebenarnya) adalah apa yang ada padanya Hadis (disebutkan dengan sanad periwayatan)
Selainnya adalah semata-mata bisikan-bisikan Syaitan.[9]
Menunjukkan betapa Imam besar ini mementingkan pembelajaran al-Qur’an dan yang berkaitan dengannya, dengan bersandaran kepada as-Sunnah.
ii. Sesebuah riwayat itu perlu difahami melalui lafaznya yang zahir dan umum, kecuali bila ada ketentuan keterikatan tertentu
iii. pemahaman yang menghimpunkan dan memadankan segala riwayat yang berkenaan dengannya (yakni riwayat-riwayat yang membawa makna yang sama dengannya walaupun ada sedikit perbezaan lafaz, sehingga difahami dengan kesimpulan yang memahamkan titik pertemuan makna lafaz-lafaznya yang berbeza dalam berbagai riwayat yang hampir sama tersebut. Inilah yang diistilah kaedah al-Jam‘u (memadankan di antara makna petunjuk dalil-dalil), an-Naskh (petunjuk satu dalil sahaja yag diamalkan sedangkan petunjuk dalil yang satu lagi telah dimansukhkan) dan at-Tarjieh (meneliti dengan mendalam lalu mengambil petunjuk dalil yang terkuat dan meninggalkan yang lemah). Demikian yang telah dilakukan oleh al-Hafiz al-Ibn Rajab, yang telah mengumpulkan beberapa riwayat dan kemudian menyimpulkan pemahaman maknanya secara menyeluruh, iaitu difahami dengan Tilawah al-Qur’an dan pembelajaran kandungannya berupa cara bacaan, tafsiran, hukum-hukum dan hikmah-hikmah. Beliau juga menggambarkan Majlis Zikir Nabi dan para Sahabat adalah demikian yang adakalanya juga berupa perbincangan dan peringatan tentang tanda-tanda Kiamat. Antaranya hadis berikut: Daripada Hudzaifah bin Asied al-Ghifariy:
اطلع النبي علينا و نحن نتذاكر فقال: ما تذاكرون؟ قالوا: نَذْكُر الساعة.
Nabi menghampiri kami sedang kami ketika itu duduk saling memperingatkan, lalu tanya baginda: “Apa yang sedang kalian bincangkan?” Jawab mereka: Kita sedang berdzikir mengingati Kiamat.[10]
Adapun al-Hafiz Ibn Hajar, maka beliau juga telah menghimpunkan beberapa riwayat dan beliau mengambil zahir lafaz hadis tersebut dengan maknanya yang khusus, yang mutlak dan yang umum.
Kesimpulan yang terbaik adalah Majlis Zikir yang dimaksudkan adalah Majlis Ilmu, Tilawah al-Qur’an dan pembelajaran isinya dan juga Majlis Zikir berupa Tasbih, Takbir Tahmied dan sebagainya. Walaubagaimanapun, yang menjadi permasalahannya adalah cara perlaksanaan Majlis al-Qur’an dan Zikir tersebut.



[1] Zainuddien ‘Abdur-Rahman bin Ahmad bin ‘Abdur-Rahman bin al-Hasan as-Salami al-Baghdadi, al-Hanbali, ad-Dimasyqie. Kunyah beliau Abul Faraj, namun lebih dikenali sebagai Ibn Rajab. Lahir 736H dan wafat 795H.
[2] Lata-if al-Ma‘arif: 12
[3] Riwayat Muslim; Sahih Muslim: (K) 48: adz-Dzikr wa ad-Du‘a’ wa at-Taubah wa al-Istighfar, (B) 11: Bab Fadl al-Ijtima‘ ‘ala Tilawat al-Qur’an wa ‘ala adz-Dzikri, hadis no: 2699; Syarh Sahih Muslim Imam Nawawi: 17/18
[4] Riwayat al-Bukhariy; Sahih al-Bukhariy: Kitab Fada-il al-Qur’an, Bab (21).
[5] Jami‘u al-‘Ulum wa al-Hikam, karangan al-Hafiz al-Ibn Rajab al-Hambali, hlm.500-502
[6] Sahih al-Bukhariy, Kitab al-Iman, Tarjamah Kitab al-Iman. Al-Hafiz menerangkannya sebagai bersama-sama duduk berdzikir. Namun tidak disentuh soal caranya. Maka yang difahami, mereka secara sendirian berdzikir, cuma duduk bersama untuk menyesuaikan dengan hadis-hadis lain.
[7] Hadis no: 23795
[8] Muhammad bin Idries asy-Syafi‘ie lahir 150H wafat 204H, Imam besar yang tidak asing lagi yang disandarkan Madzhab asy-Syafi‘iyah kepada diri beliau. Pengarang kitab ar-Risalah, al-Umm, Ikhtilaf al-Hadiets dan lain-lain.
[9] Diewan asy-Syafi‘ie hlm.88
[10] Sahih Muslim: (K) 52: al-Fitan wa Asy-rat as-Sa‘ah, (B) 13: Bab Fie al-Ayat allatie takun qabla as-Sa‘ah, hadis no: 2901; Syarh Sahih Muslim Imam Nawawi: 18/22
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts