Tuesday, August 21, 2012

Majlis Zikir dan Zikru Allah yang tidak mencanggahi Sunnah Rasulullah (5)

sambungan daripada Majlis Zikir...(4)

(Cara melakukan Zikir yang berbagai)

Adapun untuk Majlis Ilmu, maka ia dirujukkan kepada tatacara Majlis Ilmu Nabi, yang antara lain digambarkan bahawa ia majlis penuh adab dan ketenangan yang tidak memberatkan para Sahabat, sebagaimana yang disebutkan di dalam beberapa riwayat.



Manakala Majlis Tilawah al-Qur’an, maka caranya adalah dengan 1 orang membacanya, sedang yang lain mendengarkan Tilawah orang tersebut. Kemudian seorang lain pula membaca dengan semuanya yang lain diam mendengarkannya, sehingga ia selesai Tilawahnya dan begitulah secara bergilir. Bukannya mereka secara serentak semuanya ramai-ramai membaca dengan satu suara, sebab ini yang diingkari (ditegur dan ditegah) oleh Imam Malik[1] terhadap sebahagian orang-orang asy-Syam (daerah Jordan, Palestin, Syria)[2].
Mengenai Majlis Zikir berupa Tasbih dan seumpamanya pula, maka ia perlu mengambil kira penjelasan berikut:
Kata Syeikhul Islam: Berkumpul untuk membaca (al-Qur’an), berzikir dan berdoa adalah suatu perkara baik yang digalakkan selama mana ia tidak dijadikan suatu ketetapan secara Adat (masa, waktu, sempena hari/masa tertentu) sehingga dijadikan seperti berkumpul yang diajarkan menurut Syara‘ (yang ada ketentuan masa/cara/tempat tertentu) dan tidak pula disertai apa-apa bid‘ah yang mungkar…[3]
Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, setelah meletakkan Bab Fadl Majalis adz-Dzikir (Kelebihan Majlis-majlis Dzikir), selang dua bab, beliau menempatkan Bab Fadl al-Ijtima‘ ‘ala Tilawat al-Qur’an wa ‘ala adz-Dzikr (Keutamaan Berkumpul untuk Tilawah al-Qur’an dan Dzikir) kemudian selepas satu bab lain, beliau memuatkan Bab Istihbab Khafd as-Saut bi adz-Dzikr (Galakan merendahkan/memperlahankan suara dalam berdzikir).[4]
Maka dapat difahami, antara yang dituntut adalah Majlis Dzikir yang merendahkan suara bukan dengan suara lantang menyeru Allah atau berselawat. Demikian itu juga yang telah disebutkan oleh Imam Nawawi dengan tukilan kata-kata al-Qadi ‘Iyad. Apatah lagi menggunakan pembesar suara yang boleh mengganggu jemaah yang sedang solat atau melakukan ibadah lainnya di masjid.
Kata asy-Syeikh al-Albaniy ketika menjelaskan Hadis no: 1317
"سَبَق المفَرِّدون. قالوا: يا رسول الله و من المْفُردون؟ قال: الذين يُهْتَرُون فِي ذِكْرِ الله عز وجل"
Golongan al-Mufarridun telah mendahului. Tanya para Sahabat: Wahai Rasulullah, siapakah al-Mufarridun? Jawab baginda: Mereka yang khusyu‘ dalam mengingati Allah.[5]…hadis ini ada jalan periwayatan lain yang seiras dengannya: …daripada Abu Hurairah: Suatu ketika, Rasulullah sedang berjalan di Mekkah dan melintas lalu di sebelah sebuah bukit bernama Jumdan, lantas baginda bersabda:
"سيروا هذا جمدان سَبَق المفَرِّدون. قالوا: و ما المْفُردون يا رسول الله ؟ قال: الذاكِرون الله كثيرا و الذاكرات "
Kalian laluilah (bukit) Jumdan ini, golongan al-Mufarridun telah mendahului. Tanya para Sahabat: Apakah al-Mufarridun itu, wahai Rasulullah? Jawab baginda: Mereka yang banyak mengingati Allah, baik lelaki mahupun perempuan.[6]
“al-Mufarridun” ertinya adalah “al-Munfaridun” (yang menyendiri) Kata Ibn al-Atsier:
"فرد برأيه ، و أفرد ، و فرّد ، استفرد ، بمعنى انفرد به"
Menyendiri dengan pendapatnya, menyendirikan, menjadikan banyak menyendiri, menjadikannya tersendiri maknanya sendirian tersendiri.
يُهْتَرُون” maknanya menyukainya dengan sepenuh tumpuan sehingga tidak berbicara dengan perkara lain dan tidak pula melakukan perkara lain.
Perhatian: Di antara pendorong untuk saya menyebutkan takhriej hadis ini kerana adanya lafaz ini “يهْتزون” dengan “ز” (ertinya bergoncang) di dalam “asy-Syu‘ab”, maka saya segera jelaskan takhriejnya dan memperbetulkan penyebutan lafaznya, kerana khuatir golongan Sufi yang berjoget dan menari, bergoncang ke kanan ke kiri, akan mengambil lafaz yang ini dengan kejahilan mereka, tanpa mereka sedari ataupun mereka menyedarinya tapi berpura-pura tidak tahu, bahawa sebenarnya ia adalah “muharraf” (catatan lafaz yang tersilap), lalu berhujjah dengannya sebagai sandaran perbuatan mereka dalam amalan zikir mereka, berupa tarian dan bergoyang-goyang kanan dan kiri. Apatah lagi, bila ada sokongan kepada apa yang mereka mahukan iaitu apa yang ada dalam Syarah an-Nawawi terhadap Sahih Muslim: kata an-Nawawi: di dalam satu riwayat: “mereka adalah golongan yang “يهْتزون” dalam zikirullah” maknanya “bercondong/bermiring dengannya” dan begitu juga yang ada dalam Hasyiyat (Muslim – Istanbul) sebagai tukilan daripada an-Nawawi.
Dengan andaian ia (riwayat dengan lafaz “يهْتزون” dengan “ز”) sahih sekalipun (padahal ia riwayat muharraf – tidak sahih), maka maknanya adalah: Bergembira dan merasa tenang dengan Zikrullah sebagaimana yang dapat diambil daripada dasar perkataannya: ““هزز” di dalam an-Nihayah, maka ia mirip dengan makna sabda Nabi: “أرحنا بها يا بلال” - “Tenangkanlah kami dengannya (solat) wahai Bilal (lakukanlah iqamat)” dan ia amat hampir dengan makna yang dimaksudkan oleh an-Nawawi. Wallahu a‘lam.
Maka pada kesempatan ini, perlu untuk dikemukakan, sebagai suatu nasihat kepada umat, bahawa apa yang dikatakan sebahagian golongan Sufi, daripada ‘Aliy bahawasanya beliau telah menyatakan, ketika menyifatkan para Sahabat:
"كانوا إذا ذكروا الله مادوا كما تميد الشجرة في يوم ريح"
Bila mereka melakukan Zikrullah, mereka bercondongan seperti bercondongannya pokok pada hari yang berangin kuat.
Ketahuilah bahawa hadis ini tidak sahih daripada ‘Aliy. Ia telah disebutkan oleh Abu Nu‘aim di dalam al-Hilyah: 1/76 daripada jalan periwayatan Muhammad bin Yazied Abi Hisyam: al-Muharibi menyampaikan kepada kami daripada Malik bin Mighwal daripada seorang lelaki daripada (Ju‘fiy) daripada as-Suddiy daripada Abie Arakah daripada ‘Aliy.
Hadis ini, isnadnya da‘ief penuh kesamaran.
i. Abu Arakah (Abie Arakah), aku tidak mengenalinya dan tidak aku ketemukan seorang pun daripada para Ahli Hadis yang menyebut riwayat beliau, yang ada hanyalah sebutan ad-Dulabiy di dalam al-Kuna; “Abu Arak” dan beliau daripada tingkatan yang sama, yang mana ad-Dulabiy menyebutkan periwayatan beliau (Abu Arak - bukan Abu Arakah) daripada ‘Abdullah bin ‘Amr (sahabat) dan beliau tidak menyebutkan Jarh (cemuhan yang membawa maksud ada kekurangan pada hafazan/ketelusan) dan tidak pula Ta‘diel (penyaksian terhadap kebaikan periwayatan) sebagaimana kebiasaan beliau.
ii. Perawi “al-Ju‘fie” tidak dinamakan siapa gerangannya sebagaimana anda lihat, maka ia Majhul (tidak diketahui)
iii. Muhammad bin Yazied telah ditolak periwayatannya oleh al-Bukhariy dengan kata beliau: “Aku mengetahui bahawa mereka (para Ahli Hadis) bersepakat menghukum beliau seorang perawi lemah”. [7]
Kesimpulannya, tiada hadis sahih yang dapat dijadikan hujjah atau pegangan bahawa para Sahabat dan as-Salaf ada melakukan “Zikir bergoyang-goyang” apatah lagi yang mirip tarian. Ini telah dinyatakan oleh Imam al-‘Izz dalam keterangan sebelum ini. Penjelasan berikut akan meyakinkan lagi betapa ia dibenci dan ditegah oleh mereka.
Kata asy-Syeikh Bakr Abu Zayd: ‘Ulama Andalus (Sepanyol) telah melarang dengan keras dan tegas berkenaan: at-Tamayul (bercondong melenggokkan badan), al-Ihtizaz (bergoncang/bergoyang-goyang), at-Taharruk (bergerak-gerak, tidak kira ke kanan-kiri atau depan-belakang) ketika membaca al-Qur’an dan mereka menegaskannya sebagai bid‘ah yang dimulakan oleh kaum Yahudi, yang akhirnya masuk berbaur (ke dalam umat Islam) di bahagian timur Mesir, padahal tiada satu pun daripada perkara-perkara tersebut (at-Tamayul, al-Ihtizaz dan at-Taharruk) kita terima daripada Salih Salaf umat ini.
Nasir as-Sunnah, al-Imam Ibn Abi Zayd al-Qairawani (w: 386H) telah mengarang sebuah kitab berjudul: “Kitab man Ta’khudzuhu ‘inda Qira’at al-Qur’an Harakah” (Buku yang menegur orang yang pembacaan al-Qur’an menyebabkannya bergoyang), namun kita tidak dapat mengetahui apa-apa tentang kitab ini.[8]
Kata Abu Hayyan ahli Nahu, Muhammad bin Yusuf al-Andalusi (wafat: 745H) dalam Tafsirnya “al-Bahr al-Muhiet” ketika menjelaskan Firman Allah*:
Ertinya: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil) seolah-olah gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka…[9]
Kata az-Zamakhsyariy dalam “al-Kasysyaf”(2/102): Apabila Nabi Musa telah menyebarkan lembaran-lembaran yang padanya ada Kitab Allah Ta‘ala, tidak ada satu pohon, gunung mahupun batu kecuali ia bergoncang, bergoyang. Lantaran itu anda melihat seorang Yahudi, bilamana ia membaca at-Taurat (yang telah diubah) ia pasti akan bergoyang, bergoncang menunduk-nundukkan kepalanya.
Sungguh perlakuan buruk ini telah menyerap masuk pada anak-anak kaum Muslimien, sebagaimana yang saya lihat di negeri Mesir. Anda melihat mereka di tempat pengajian mereka, ketika membaca al-Qur’an, mereka bergoyang-goyang, menggerakkan kepala mereka. Adapun di negeri kita, di Andalus dan Barat, jika seorang anak kecil bergoyang ketika membaca al-Qur’an, gurunya pasti menegurnya dengan berkata: Jangan goyang-goyang menyerupai kaum Yahudi ketika belajar. (al-Bahr al-Muhiet: 4/42)
Kata ar-Ra‘ie al-Andalusi (w: 853H) dalam “Intisar al-Faqier as-Salik”: 250: Demikian juga, orang-orang Mesir menyamai kaum Yahudi di dalam bergoyang-goyang ketika belajar dan membuat sesuatu kerja dan ia adalah daripada tingkah laku kaum Yahudi.
Tukilan yang terakhir ini, lebih umum sifatnya, maka hendaknya dijauhi.[10]
Demikian penjelasan Syeikh Bakr Abu Zayd, yang memperincikan lagi kenyataan asy-Syeikh al-Albaniy tadi sehingga jelas difahami bahawa apa yang dilakukan oleh sebahagian orang, terutamanya aliran Tarekat dan Sufi, yang bergoyang-goyang apatah lagi menari ketika berzikir adalah perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam lagi menyerupai kaum Yahudi. Sila lihat bukti perbuatan kaum Yahudi ini ketika mereka membaca bacaan-bacaan mereka di Tembok Ratapan – Wailing Wall – di Masjid Aqsa. Antaranya ia dapat disaksikan melalui penghubung (hyperlink) laman sesawang berikut:
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy, yang menyatakan Majlis Zikir secara khusus bererti Majlis Zikir dengan sebutan Tasbih, Tahmied dan sebagainya, ada menjelaskan tentang perkara yang sama. Kata beliau: Segolongan Ahli Sufi berhujjah dengan hadis ini[11] sebagai dalil yang menunjukkan keharusan nyanyian lagu dan keharusan mendengarkannya dengan disertai alat (gendangan) ataupun tanpa penggunaan apa-apa alat, padahal sebenarnya sudah memadai untuk menyanggah kesimpulan dan hujjah mereka dengan penyebutan ‘A-isyah secara terang di dalam hadis yang ada dalam Bab yang menyusul selepasnya (hadis no: 952), “ليستا بمغنيتين – mereka berdua bukannya penyanyi”, maka beliau telah menafikan pada sudut maknanya apa yang mungkin disalahertikan dengan lafaznya yang beliau sebutkan mengenai mereka berdua[12], sebab “nyanyian” boleh bermaksud “meninggikan suara” secara mutlaq dan boleh juga “at-tarannum – berlenggok dan mendengung dalam sebutan – beralun suara” menyerupai “al-Hida – alunan suara untuk mempercepat langkah unta dsbgnya’, yang mana pelakunya tidak dinamakan “penyanyi” tetapi disebut sebagai “ينشد بالتمطيط و تكسير و تهييج و تشويق” (seperti deklamasi sajak dengan mengalunkan suara) yang lumrahnya mengemukakan secara terselindung perkara-perkara jelek ataupun secara terang-terangan[13].
Kata al-Qurtubiy (wafat: 671H): Ungkapan beliau (‘A-isyah) “ليستا بمغنيتين – mereka berdua bukannya penyanyi” maknanya mereka bukannya orang yang tahu atau mahir menyanyi sebagaimana yang diketahui dengan mahir oleh golongan penyanyi. Kata-kata beliau ini mengeluarkan perbuatan mereka berdua itu daripada nyanyian yang sedia diketahui daripada golongan penyanyi yang masyhur dengannya, yang mampu menggerakkan yang diam, men“cergas”kan yang lesu. Jenis ini, jika ada pada syairnya sebutan sifat-sifat kecantikan wanita ataupun arak dan lainnya daripada perkara-perkara yang haram, tiada yang berselisihan pendapat bahawa ia haram.
Manakala apa yang diperkenalkan oleh golongan Sufi daripada perkara-perkara tersebut berupa bid‘ah rekaan mereka, maka ia juga daripada perkara yang tidak diperselisihkan oleh ‘ulama, bahawa ia haram. Akan tetapi hawa nafsu yang bergelumang syahwat (pada yang haram) telah mempengaruhi dan mengatasi ramai daripada kalangan orang-orang yang menisbahkan diri mereka kepada kebaikan[14], sehingga lahir dan nyata daripada ramai di kalangan mereka tingkah laku kanak-kanak dan orang-orang gila, sehingga mereka menari dengan gerakan bergoyang-goyang yang berentak dan beralunan (seperti ombak). Bahkan lebih dari itu, sehinggakan buruknya tahap kedunguan sebahagian mereka menjadikan mereka menganggapnya sebagai suatu perbuatan mendekatkan diri kepada Allah dan amalan-amalan salih dan dapat membuahkan “سني الأحوال – keadaan/keperibadian yang tertinggi”, padahal ini – jika diamati pada hakikatnya – adalah kesan-kesan peninggalan golongan az-Zanadiqah[15] dan Ahli al-Mukharrafah (pagans – percaya kepada Mitos), walLahul Musta‘an. (akhir tukilan kata-kata Imam al-Qurtubiy).
Sayugianya mereka menterbalikkan maksud mereka dan membacanya dengan “سيء” (dengan “ي”) dan bukan dengan “ن[16][17]



[1] Malik bin Anas al-Asbahi, lahir 93H wafat 179H, Imam Dar al-Hijrah, Imam agung yang disanjungi Dunia Islam zamannya, guru yang paling dihormati, disayangi dan disegani oleh al-Imam asy-Syafi‘ie, pengarang kitab al-Muwatta’.
[2] Qawa‘id wa Fawa-id min al-Arba‘ien an-Nawawiyah: hlm.322
[3] Majmu‘ Fatawa: jil.22, hlm.523
[4] Sahih Muslim; Syarh Sahih Muslim Imam Nawawi: 17/177
[5] Riwayat Ahmad: 2/323, al-Hakim: 1/495-496 dan daripada sanad beliau al-Baihaqiy riwayatkan dalam Syu‘ab al-Iman: 1/314 – India, lalu sanadnya disebutkan…kata al-Hakim: Ia Sahih menurut syarat asy-Syeikhain (al-Bukhariy dan Muslim) sedangkan mereka berdua tidak memuatkannya dalam kitab Sahih mereka. Hukum beliau dipersetujui oleh adz-Dzahabi. Demikian penjelasan al-Albaniy selepas hadis itu tadi dan beliau menambah: Sebenarnya ia hanya menurut syarat Imam Muslim seorang (tidak memenuhi syarat al-Bukhariy) sebab adanya Ibn Ya‘qub dan al-Bukhariy hanya meriwayatkan daripada beliau dalam Juz Qira-ahnya dan al-Bukhariy tidak memuatkan riwayat perawi ini dalam Sahihnya, meskipun beliau tsiqah dan kesemua perawi lainnya dalam riwayat hadis ini adalah adalah para perawi (yang diterima periwayatannya dalam Sahih al-Bukhariy dan Sahih Muslim….
[6] Riwayat Muslim: 8/63 dan al-Baihaqiy: 1/313-314
[7] Silsilah al-Ahadiets as-Sahihah: 3/304-307, hadis no: 1317
[8] Maksudnya: ia ada dalam catatan ‘ulama, terutamanya ‘ulama sejarah yang menyebutkan tentang kitab ini yang telah ditulis oleh Imam tersebut. Akan tetapi, kemungkinan kerana tidak dibuat salinan, maka tiada salinan yang diketemukan ataupun kesemua salinannya setakat ini tidak diketemukan. Sebab itu dalam disiplin Ilmu Kajian Islam, ‘ulama menggunakan istilah dalam rujukan mereka dengan; Mafqud yakni tidak/belum diketemukan hingga kini, Makhtut ertinya dalam bentuk manuscript-lembaran-lembaran yang belum dicetak dan Matbu‘ yakni yang telah dicetak, diterbitkan dan akan/telah ada dalam pasaran. Disebutkan bahawa banyak kitab ‘ulama silam diketemukan semula setelah robohnya Tembok Berlin, ada pula berada di sebahagian muzium di negara Eropah dan sebagainya.
[9] Al-Qur’an: al-A‘raf: 7:171
[10] Bida‘ al-Qurra’ al-Qadiemah wa al-Mu‘asirah: 57-58
[11] Hadis yang mengisahkan pada suatu Hari Raya, ‘A-isyah membenarkan 2 gadis kecil bernyanyi di rumah dan bila Rasulullah pulang, baginda membiarkan mereka sambil memalingkan wajah baginda (tidak suka) daripada mereka. Kemudian Abu Bakar masuk dan menegur: Dendangan Syaitan dimasukkan ke rumah Nabi? Rasulullah meminta Abu Bakar membiarkan sahaja mereka. Segera ‘A-isyah menyuruh gadis-gadis itu pergi. Sahih al-Bukhariy, Kitab al-‘Iedayn, Bab al-Hirab wa ad-Daraq yaum al-‘Ied hadis no: 949.
[12] Beliau sebut “mereka menyanyi”, seolah-olah mereka adalah penyanyi padahal mereka mengalunkan suara sahaja dan bukannya ahli dalam nyanyian mereka.
[13] Maksud beliau adalah alunan syair Arab zaman dahulu berupa syair-syair yang lumrahnya berisi perkara tidak baik secara terselindung/kiasan ataupun terang-terangan.
[14] Maksudnya mereka menganggap diri mereka mengusahakan perkara-perkara kebaikan dalam agama dan sebahagian orang pun menganggap mereka demikian berdasarkan penampilan zahir atau lahiriyah mereka.
[15] Golongan az-Zanadiqah – satunya Zindiq yang asal kemunculannya di Iraq, bekas jajahan Parsi yang dibuka umat Islam, maka muncul di kalangan mereka golongan yang membenci Islam dan berusaha menewaskan dan menghancurkan Islam dengan terang-terangan mahupun dengan berselindung. Mereka mengenalkan bermacam-macam fahaman, fikiran dan amalan yang menyimpang dan menyerapkannya masuk ke dalam ajaran Islam yang suci. Boleh diertikan sebagai “orang yang tiada agama”, “orang yang menzahirkan dirinya sebagai seorang Islam dengan menyembunyikan kekufurannya”. Seerti dengan “munafiq”. – Mu‘jam Lughat al-Fuqaha’: hlm.234
[16]سيء” Dengan “ي” ertinya seburuk-buruk keperibadian dan bukan dengan “ن” pada perkataan “سني
[17] Fath al-Bari: 2/513
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts