Saturday, August 25, 2012

Majlis Zikir dan Zikru Allah yang tidak mencanggahi Sunnah Rasulullah (6)

sambungan daripada "Majlis Zikir...(5)

Kesimpulannya, digandingkan dengan apa yang telah ditukil oleh Syeikh Saliem Hilaly daripada peneguran Imam al-‘Izz (halaman 4), begitu juga penjelasan-penjelasan tadi, sebagaimana kita lihat al-Hafiz Ibn Hajar (w: 852) menjelaskan dan membuat tukilan (ilmu warisan) daripada al-Imam al-Qurtubiy, maka kebanyakan majlis zikir yang diadakan hari ini, di merata dunia, lebih mirip kepada Majlis Zikir Yahudi dan bukannya Islam. Para imam terkemuka ini telah menegaskan peneguran mereka, sehingga menyifatkan golongan Sufi yang bergoyang dan bernyanyi apatah kagi berirama dan menari sebagai “melakukan perbuatan anak kecil dan orang gila”. Begitu pula menjadi jelas bagaimana perbuatan bergoyang dan berirama dalam berdzikir, tidak dikira sebagai Majlis Zikir yang betul di sisi al-Hafiz sendiri. Lagipun, mereka lebih banyak menyibukkan diri mereka dengan “Zikir” (kerana mereka tidak sebenar-benarnya ingat Allah, lebih “zouq/syiok/in trance” dalam zikir dan bukannya menitiskan airmata mengenang dosa dan insaf serta rindu kepada Allah dan RasulNya), sehingga tidak mengambil berat tentang ilmu yang berpandukan keterangan Wahyu, al-Qur’an dan as-Sunnah mahupun ajaran para Sahabat.



Mereka melakukannya dengan suara tinggi, berdendangan, suara beralunan yang sebahagiannya diiringi paluan alat-alat nyanyian dan lebih buruk lagi alat muzik serta bergoyang-goyang bahkan menari-nari.
Malah sikap mereka ini, tidak menyukai golongan yang memperbetulkan perkara-perkara tersebut, bahkan adakalanya memusuhi mereka. Bukan itu sahaja, mereka lebih rela bersekongkol dengan orang-orang bukan Islam untuk menjatuhkan dan menganiaya serta melenyapkan saudara-saudara Islam mereka yang mengambil berat terhadap asal ajaran al-Qur’an, as-Sunnah, pemahaman Sahabat dan para Imam yang mewarisi ajaran Nabi dan para Sahabat dengan sebaik-baiknya. Siapakah mereka sebenarnya untuk menolak penjelasan para Imam tersebut, yang telah dikemukakan dengan perbezaan zaman mereka? Hanya manusia yang sombong, angkuh dan takabbur pewaris sifat Syaithan sahaja yang tidak akan tunduk kepada keterangan, yang kemudian tidak akan bertaubat, malah mengajak orang lain terus kepada jalannya, bukan jalan Allah, serta berdengki terhadap sesiapa yang mengajak ke jalan Allah yang lurus.
Dalam pada saya menulis makalah ini (tahun 2010M/1431H), ada disiarkan di salah sebuah akhbar di Malaysia, kenyataan daripada seorang tokoh yang tersohor, baik dalam bidang agama selaku seorang professor dan pensyarah universiti, mahupun sebagai ahli perubatan dan malah ahli politik, ketika ditanya tentang zikir dengan menari-nari, beliau dinukilkan sebagai memperbolehkannya. Kemudian sebagai sandaran hukum beliau itu, disebutkan:
Pertama, Firman Allah: ertinya: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring memiring….” (surah aal-‘Imraan: 191) Dengan menyimpulkan bahawa ayat ini menunjukkan bahawa kita boleh berdzikir kepada Allah dengan apa jua cara, duduk, berdiri dan berbaring maka ia menunjukkan diperbolehkan dalam apa keadaan, termasuk bergoyang-goyang dan menari-nari.
Kedua, riwayat yang menyebutkan bahawa Ja‘far bin Abi Talib menari dan berjoget ketika Rasulullah mengatakan tentang dirinya sebagai yang paling mirip dengan perawakan baginda. Lalu beliau menyimpulkan, maka riwayat ini menyebutkan adanya Sahabat Nabi yang berjoget menari lagipun ini di hadapan Nabi.
Jawapan saya:
Itulah sebabnya kita kembalikan apa jua hujjah yang didatangkan seseorang kepada neraca timbangan keadilan, al-Quran dan as-Sunnah serta ajaran para Sahabat dan ilmu warisan ulama yang mewarisi panduan itu tadi. Meskipun ia dikemukakan oleh seorang bergelar “Prof”, inikan pula jika hanya berkelulusan Sarjana Muda (B.A. – basic degree) lagi pula tidak kembali kepada dasar dan panduan. Lebih buruk lagi yang tidak berkelayakan langsung, tetapi menyombong diri dengan pegangan sendiri dan tidak sudi mengkaji. Tidak kira “lulusan” Madinah atau “lolosan” (tidak selesai pengajian – kecundang) Universiti Madinah, lepasan al-Azhar atau “dilepaskan” al-Azhar (kerana telah berulang kali tidak lulus) ataupun graduan dan bekas pelajar lainnya, di Timur Tengah atau lainnya. Sungguh lebih mulia lagi sesiapa sahaja dari kalangan orang awam yang sentiasa menuruti panduan dan dasar ilmu warisan itu tadi, atas dasar taqwa dan mencari kebenaran. Tentunya lebih mulia, golongan alim yang mengikutinya, membelanya dan menyebarkannya. Semoga Allah, Tuhan yang Maha Penyayang, dengan Sifat Kasih SayangNya yang Maha Luas, menggolongkan kita dalam golongan yang sentiasa ikhlas mencari kebenaran dan berpegang dengannya, berpandukan panduan yang diredhai Allah.
Adapun sanggahan terhadap hujjah Pertama:
i. Ini adalah tafsiran peribadi, sedangkan yang mentafsirkannya belum berkelayakan menjadi ahli Tafsir, sebagaimana syarat-syarat kelayakannya ada disebutkan ‘ulama, antaranya al-Syaikhul Islam IbnTaimiyah (w: 728H) dan Imam as-Suyuti (w: 911H) yang banyak membuat nukilan daripada beliau.
ii. Siapakah di kalangan ‘ulama tafsir yang pernah mentafsirkannya demikian, iaitu “boleh zikir dalam keadaan menari-nari”. Beliau tidak menyandarkan kesimpulan beliau kepada satu kitab tafsir pun.
iii. Imam Ibn Katsier (w: 774H) sebagai pentafsirannya, menyebutkan tentang Solat dalam keadaan berdiri dan jika tidak mampu, duduk dan jika masih tidak mampu, berbaring. Kemudian beliau menyebutkan tentang zikir dengan makna umum iaitu seperti menjaga makan minum dan yang seperti itu dengan berbagai hadis. Tiada kena mengenanya dengan cara yang tiada diajarkan oleh Rasulullah seperti menari dan berjoget. Imam al-Qurtubiy (w: 671H) juga di antara ‘ulama yang tegas mentafsirkannya dengan Solat dan memperincikannya, meskipun ia ada sudut makna zikir yang umum. Namun, memadai bagi kita apa yang telah beliau sifatkan seperti nukilan Ibn Hajar daripada beliau, “menari dan berdendangan adalah perbuatan anak kecil dan orang gila”. Malah pada pentafsiran beliau pada penghujung ayat ini, beliau memperjelaskan keburukan golongan Sufi yang mengutamakan “bertafakkur” daripada mengamalkan amalan yang sedia ada dalam Sunnah.
Yang Kedua: Riwayat Ja‘far kononnya berjoget atau menari-nari di hadapan Nabi. Memadai rasanya dinukilkan di sini penjelasan al-Hafiz Ibn Hajar al-Haitsami al-Makki (909-974H) dalam kitab beliau “Kaff ar-Ra‘a‘ ‘an Muharramati al-Lahwi wa as-Sama‘” – Menghentikan Hiruk Pikuk berkenaan Pengharaman Permainan dan Pendengaran (yang berupa hiburan dan kelalaian), kata beliau:
"و تمسكوا أيضا بأنه صلى الله عليه و سلم قال لعلي: "أنت مني و أنا منك" فحجل و فال لزيد:...فحجل و كذلك حجل جعفر لما وصى له بابنة حمزة حين خاصمه فيها علي و زيد .و الحجل: مشي المقيد و هو وثب و اهتزاز و هو الرقص.
و الجواب أن هذه كلها أحاديث منكرة ، و ألفاظ موضوعة مزورة و لو سلمت صحتها لم تتحقق حجتها أي لأن المحرم هو الرقص...و هذا ليس كذلك."
trjnya: “Mereka (golongan Sufi yang menari-nari[1] dalam zikir mereka) juga berpegang (bersandarkan) kepada (riwayat) bahawasanya baginda telah berkata kepada ‘Ali (bin Abi Talib): “Engkau adalah daripada ku dan aku daripada mu” (maksudnya aku pembela mu dan engkau pembela ku, dari pihak yang sama, yang satu) maka beliau (‘Ali) pun terloncat-loncat (kegembiraan) dan baginda berkata kepada Zayd (bin al-Haritsah)…maka beliau (Zayd) pun terlompat-lompat kegirangan dan begitu juga Ja‘far jadi terlompat-lompat keriangan bilamana baginda mewasiatkan anak perempuannya Hamzah (bin ‘Abdul Muttalib) kepada beliau (untuk membelanya), yang mana ‘Ali dan Zayd berebutan dengannya (ingin mendapatkan pemeliharaan anak gadis tersebut). Dan “الحجل” ialah jalan yang tertentu jejaknya iaitu meloncat-loncat dan bergoyang dan itulah ‘joget” atau “tarian”.
Jawapan terhadap hujjah ini: Semuanya ini adalah hadis-hadis yang mungkar (tertolak) dan lafaz-lafaz rekaan dan dusta yang diada-adakan. Seandainya kita terimanya sebagai suatu yang benar sekalipun, ia tidak dapat menjadi sandaran kepada hujjah dan kesimpulan itu tadi, kerana “tarian dan joget” adalah haram…dan ini (apa yang ada dalam riwayat) bukan joget dan tarian sama sekali (hanya loncatan).[2] (akhir nukilan)
Jelas daripada penjelasan al-Hafiz al-Haitsami itu tadi, ia adalah sebuah riwayat dusta, maka tidak pernah berlaku peristiwa ‘Ali atau Ja‘far atau mana-mana Sahabat menari atau berjoget, baik dalam atau luar amalan zikir. Malah al-Hafiz al-Haitsami mengemukakan pada halaman berikutnya nukilan daripada al-Imam al-Qurtubiy, dengan judul permasalahan baru: “Menghadiri Majlis-majlis tarian dan mendengarkan nyanyian”.
Kata beliau: al-Qurtubiy telah menukilkan daripada al-Imam at-Tursusiy, bahawasanya beliau telah ditanya mengenai satu kaum (segolongan manusia) di suatu tempat membaca sebahagian daraipada (ayat-ayat) al-Quran, kemudian seorang tukang deklamasi nasyid, mendeklamasikan (menyanyikan) syair, lalu mereka jadi menari-nari, memukul gendang dan bermain duff (seperti kompang) dan hiburan, apakah kehadiran bersama-sama mereka itu halal atau tidak? Maka beliau menjawab: Madzhab ketua-ketua ahli Tasauf, bahawasanya ini adalah kebatilan dan kesesatan dan Islam itu tiada lain kecuali Kitab Allah dan Sunnah RasulNya.
Adapun Tarian dan gerakan dan at-Tawajud dzouq (seperti dalam pukauan – kerana terlalu asyik perasaannya pada sesuatu, maka yang pertama mengada-adakannya adalah pengikut dan penyokong as-Samiriy (kaum Nabi Musa – Surah Taha ayat 87), ketikamana ia mengambilkan untuk mereka seekor anak lembu menjadi berjasad lagi bersuara (sebagai sembahan mereka), maka mereka pun datang menari-nari di sekelilingnya dan seperti dalam pukauan kerana melakukannya dengan penuh perasaan – dan ia – yakni tarian adalah (amalan) agama orang-orang kafir dan para penyembah anak lembu. Adapun Majlis Nabi dan para Sahabat, (keadaan ketenangannya) seolah-olah atas kepala setiap di antara mereka ada burung yang bertenggek kerana sangking tenangnya, maka menjadi kewajipan pihak Sultan (berkuasa dan berwenang) dan para timbalan serta para penolongnya agar menghalang mereka daripada menghadiri (memasukkan kegiatan tarian dan paluan mereka ke) masjid-masjid dan lainnya dan tidak halal bagi sesiapa pun yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk turut hadir bersama mereka dan tidak pula untuk menolong mereka pada kebatilan mereka.
Ini adalah Madzhab al-Imam asy-Syafi‘ie, Malik, Abu Haniefah, Ahmad dan lainnya daripada para Imam kaum Muslimien. Akhir nukilan daripada penjelasan Imam tersebut (at-Tursusiy).[3] Imam at-Tursusiy wafat pada tahun 595H[4].



[1] Kitab beliau ini membahaskan dan menegaskan haramnya bernyanyi dan mendengarkan dendangan para penyanyi serta apa yang direka golongan Sufi daripada zikir dengan paluan, dendangan dan tarian, itulah sebabnya disimpulkan demikian, sebab beliau ketika ini membicarakan tentang sebahagian amalan golongan Sufi yang menyesatkan. Beliau juga membincangkan hukum alat-alat permainan seperti catur, dadu dan seumpamanya dengan penjelasan daripada para Imam terdahulu pada bahagian lainnya dalam kitab beliau ini.
[2] Kaff ar-Ra‘a‘ ‘an Muharramati al-Lahwi wa as-Sama‘: hlm.75
[3] Ibid. hlm.76
[4] Siyar A‘lam an-Nubala’: 5321
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts