Friday, August 24, 2012

Pesanan Mengutamakan as-Sunnah



إن الحمد لله نحمده و نستعينه و نستغفره ، و نعوذ بالله من شرور أنفسنا ، و من سيئات أعمالنا ، من يهده الله فلا مضل له ، و من يضلل فلا هادي له 

و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له

و أشهد أن محمدا عبده و رسوله

أما بعد


Sesungguhnya segala pujian adalah untuk Allah, kita memujiNya, meminta pertolonganNya dan memohon ampunanNya dan kita berlindung kepada Allah daripada keburukan diri kita dan kejelekan amalan-amalan kita. Barangsiapa yang dikurnia petunjuk oleh Allah, maka tiada sesiapa yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkanNya maka tiada yang mampu memberi petunjuk kepadanya.




Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya dan aku juga bersaksi bahawasanya Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya.

Adapun selanjutnya:

1.1 Dalil-dalil dan Pesanan agar berpegang kuat dengan as-Sunnah

Sesungguhnya Allah telah berfirman:

Ertinya:
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar, (yang mana dengan itu), Dia akan (mengurniakan petunjuk yang) memperbaik dan menjayakan amal-amal kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.[1]

Di antara pengajaran yang dapat diambil daripada ayat ini adalah:

۩ Di antara erti Taqwa ialah berkata yang benar dan mentaati ketentuan Allah di dalam Al-Quran serta mentaati Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam dengan mengamalkan Sunnah baginda, menghidupkannya dan membela kesuciannya. 
۩ Dengan seseorang mukmin itu memelihara apa yang diucapkannya, apatah lagi yang berkenaan Agama Allah dan hukum-hukumNya, ia mendapat jaminan Allah bahawa ia akan mendapat petunjuk dan amalannya akan diterima. Di antara ciri-ciri utama pemeliharaan kata-kata ialah ia tidak berkata mengenai Agama Allah kecuali dengan ilmu dan keterangan yang nyata berlandaskan panduan Allah dan RasulNya shallallahu 'alayhi wasallam.
۩ Dikhuatiri sebaliknya, iaitu tidak mendapat petunjuk, amalannya menjadi buruk tidak diterima Allah serta jauh daripada ciri ketaqwaan, sesiapa yang tidak amanah dalam ucapannya, terutamanya dalam hal agama Allah.

Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam pula telah bersabda: 

نضَّراللهُ امْرَءاً سَمِعَ مِنَّا حَدِيْثاً فَحَفِظَهُ حَتىَّ يُبَلِّغَهُ غَيْرَه ، فَرُبَّ حامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيْهٍ وَ رُبَّ حامل فقه إلى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْه

Maksudnya: 
Allah menceriakan wajah[2] dan mengurniakan ni‘mat kepada seseorang yang mendengar satu hadis daripada kami lalu ia menghafaznya sehinggalah ia menyampaikannya kepada yang lain. Barangkali yang menghafaznya bukan seorang yang mendalam kefahamannya dan barangkali ia akan menyampaikannya kepada orang yang lebih mendalam kefahamannya daripada dirinya sendiri.[3]

Di antara pengajarannya:
۩ Rasullulah shallallahu 'alayhi wasallam telah mendoakan orang yang berusaha menghafaz dan menyampaikan hadis yang benar-benar tulen berasal daripada baginda
۩ Doa tersebut bukan semata-mata bagi orang yang dapat memahaminya dengan pemahaman yang mendalam, malah cukup sekadar menghafaz dan memeliharanya serta menyampaikannya dengan amanah. 
۩  Kedudukan dan kelebihan orang yang menghafaz dan menyampaikan hadis (yang menghidupkan Sunnah Nabi) di dunia dan akhirat.

‘Umar bin al-Khattab[4] telah berkata:

Ertinya: 
“Sesungguhnya golongan Ahlu ar-Ra’yi (suka bergantung kepada pendapat-pendapat dan penilaian akal) adalah musuh-musuh as-Sunnah, mereka keberatan dan tiada kesanggupan untuk menghafaznya (as-Sunnah) dan malu ketika ditanya orang untuk menjawab: Kami tidak tahu, lalu mereka menolak as-Sunnah dengan bergantung kepada pendapat mereka maka waspadalah kamu dan hendaklah mereka berwaspada.” [5]

Beliau juga berpesan:
“Pelajarilah ss-Sunnah…” [6] “As-Sunnah! Hanya Sunnah Allah dan RasulNya dan jangan kamu jadikan kesilapan pendapat yang silap suatu sunnah untuk ummah!” [7]

Ibn Mas‘ūd[8] menegaskan:
“Hanya ada 2, al-Hadyu (panduan) dan al-Kalam (kata-kata). Adapun sebaik-baik ucapan – atau sebenar-benarnya adalah Kalam Allah (Firman Allah) dan sebaik-baik panduan adalah panduan Muhammad, dan sebaliknya seburuk-buruk perkara adalah rekaan-rekaan baru (di dalam hal agama), ketahuilah setiap rekaan baru itu adalah bid‘ah…”[9]

Kata ‘Urwah[10] :
“Sesungguhnya Bani Isra-iel asalnya lurus dalam pegangan mereka sehinggalah muncul di kalangan mereka golongan yang mengambil pendapat-pendapat lalu mereka sesat dan menyesatkan yang lain” [11]

Kata Imam Ibn Sirien[12] :
“Menurut pendapat mereka (para Sahabat dan Tabi‘ien yang awal) bahawa seseorang itu berada di jalan yang lurus/benar selama ia berpegang dengan al-Atsar (peninggalan Nabi dan para Sahabat iaitu as-Sunnah dan pegangan Salaf)” [13]
Kata beliau lagi
“Sesungguhnya ilmu itu adalah agama. Maka perhatikanlah daripada siapa kamu ambil agama mu.” “Mereka (para Sahabat) tidak pernah bertanya tentang al-Isnad (rangkaian para perawi), tetapi bila tercetusnya fitnah, mereka mula mengatakan: Sebutkan siapa-siapa perawi (yang telah menyampaikan kepada) kamu. Maka periwayatan Ahli Sunnah diperhatikan dan diterima dan begitu pula periwayatan Ahli Bid‘ah diteliti dan ditolak.”[14]

Al-Imam asy-Syāfi‘ie[15] menegaskan:
“Tidak layak bagi seseorang pun untuk mengatakan mengenai sesuatu itu: (ia) halal dan tidak pula (ia) haram kecuali dengan apa yang ada dari sudut ilmu, dan ilmu itu adalah apa yang dinaskan di dalam al-Kitab atau di dalam as-Sunnah ataupun di dalam al-Ijma‘.”[16]

Kata Imam Ahmad[17] :
“Segala pujian bagi Allah yang telah membangkitkan di antara utusan para rasul pada setiap zaman, segolongan ulama yang mengajak orang yang sesat ke arah petunjuk dan bersabar di dalam menghadapi berbagai kezaliman dan bahaya. Berpandukan Kitab Allah mereka beri hidup pada jiwa yang mati dan dengan Nur Allah mereka beri celik kepada yang buta…Alangkah indahnya kesan yang mereka berikan kepada manusia dan betapa buruknya pula layanan manusia terhadap mereka. Mereka berusaha memelihara dan membela Kitab Allah daripada segala pencerobohan dan perubahan, dakwaan para pendusta dan takwilan batil golongan jahil – iaitu golongan yang menegakkan panji-panji bid‘ah dengan menimbulkan keraguan dan perpecahan, berselisihan dalam isi al-Kitab, mencanggahi dan menentang al-Kitab. Golongan yang mengatakan tentang Allah dan KitabNya tanpa pengetahuan, mempersoal perkara yang mutasyabihat di dalam al-Kitab dan memperbodohkan orang yang tidak berilmu dengan segala yang samar-samar. Kita berlindung kepada Allah daripada jalan golongan yang sesat.”[18]

Imam Muhammad bin Bandar al-Jurjani meriwayatkan bahawa beliau telah berkata kepada Imam Ahmad:
“Saya rasa tidak selesa untuk mengata seseorang begitu dan begini (diterima atau tertolak periwayatannya)”. Jawab Imam Ahmad: “Sekiranya kamu berdiam diri dan saya juga berdiam diri, maka bagaimanakah seseorang yang tidak berilmu akan tahu mana satu yang benar dan yang mana pula yang batil?” [19]

Kata Imam al-Auzā‘ie[20]:
“Wahai Aba Yuhmad, apakah pandangan mu terhadap orang yang membenci hadis (yang benar daripada baginda)?” Jawab beliau: “Mereka adalah golongan yang amat buruk”. Kata al-Auzā‘ie pula: “Tiada seorang pun daripada golongan Ahli Bid‘ah yang bilamana ada hadis Rasulullah yang bercanggah dengan bid‘ahnya kecuali pasti ia akan membenci hadis tersebut.” [21]

Imam Sufyān bin Sa‘ied al-Tsauri (98-161H) berkata:
“Para malaikat adalah pemegang amanah (orang kepercayaan) Allah di langit dan para Ahli Hadis adalah pemegang amanah Allah di bumi”[22]

Kata Imam Is-hāq bin Rāhawaih (161-238H):
“Setiap perkara (daripada ajaran agama Islam) yang diterima dengan perantaraan (lapisan periwayatan) 3 orang merupakan satu atsar, kerana sabda Rasulullah: Kamu akan mendengar daripada ku dan golongan yang lain akan mendengar pula daripada kamu dan kemudian ia akan didengar daripada golongan yang mendengar daripada kalian.” [23]

Ramai daripada para Imam Agung telah menggelarkan golongan Ahli Hadis sebagai Ahli Sunnah wal Jama‘ah yang sebenarnya, sebagaimana yang diterima daripada Imam Ibnul Mubārak, Ibn Imam Madienie, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Bukhāriy, Imam Ahmad bin Sinān dan lainnya.[24]

Kata Ibnul Mubārak[25]:
“Menurut pendapat ku, mereka (Ahli Sunnah) adalah para Ahli Hadis.”

Kata al-Bukhāriy[26] :
“Ibnul Madienie menegaskan: Mereka (Ahli Sunnah) adalah Ahli Hadis”.

Kata Ahmad bin Hanbal:
“Jika golongan yang diberi sokongan pertolongan dan pembelaan Allah bukan para Ahli Hadis, maka aku tidak tahu siapa lagi selain mereka (yang layak digelarkan demikian)”

Kata as-Syaikh ‘Abdul Qādir al-Jilāni[27]
Adapun golongan “Yang Terselamat” (daripada kesesatan dan Neraka) maka mereka itu adalah Ahli Sunnah wal Jama‘ah dan tiada lain gelaran bagi Ahli Sunnah kecuali satu sahaja iaitu “As-hāb al-Hadīts” (para Ahli Hadis).”

Segala nukilan itu tadi menunjukkan antara lain bahawa:
۩ Ilmu Hadis adalah di antara ilmu yang paling utama dipelajari. 
۩ Apa jua perkara di dalam urusan agama mesti bersandaran dan sandarannya yang utama adalah Kitab Allah dan as-Sunnah.

۩ Rekaan baru dan pendapat dengan hukum akal tanpa panduan wahyu atau yang berlebihan dan melampaui panduan wahyu adalah musuh utama kepada sebaik-baik panduan iaitu Al-Quran dan As-Sunnah dan perosak utama kepada pegangan agama yang lurus. 
۩ Kemuliaan para Ahli Hadis dan keutamaan Isnad 
۩ Mengata orang tertentu demi memelihara kesucian agama dan membela kehormatan sumber utamanya adalah di antara ajaran agama Islam yang terpenting yang diajarkan oleh para Imam terdahulu. 
۩ Ahli Sunnah yang tulen adalah Ahli Hadis dan yang menuruti ajaran mereka dengan sebaik-baik ikutan.

Setelah kita teliti kata-kata dan pesanan para Imam itu tadi mengenai kepentingan memelihara as-Sunnah, selanjutnya kita amati pula usaha golongan perosak dasar agama Islam dengan hujjah-hujjah mereka untuk menjadikan umat Islam diselewengkan daripada berpegang dengan as-Sunnah. Usaha penyelewengan ini dipimpin oleh golongan Orientalis dan dikembangkan oleh Anti Hadis atau Ingkar Sunnah. Sebahagian umat Islam pula, samada secara sedar atau tidak, telah terpengaruh dengan fahaman menyeleweng ini, menggunakan sebahagian hujjah-hujjah mereka atas nama “Islam Moden” “Islam Liberal” atau “Islam Progresif”, semuanya dengan jelas, demi kemaslahatan duniawi, tanpa meletakkan keutamaan Akhirat, angkara penyakit “al-Wahn”, cinta dunia dan harta serta takut mati. Semoga Allah memelihara kita daripada penyakit tersebut, yang jika dijangkiti, akan merebak menjadi salah satu punca utama kepada hati yang menyeleweng.

Sesiapa yang inginkan kesejahteraan dunia Akhirat ia akan mengadakan usaha mewarisi perwarisan khazanah ini dan sesiapa yang tidak memperdulikan keselamatannya di Akhirat kelak, tidak takut tersesat walaupun mengaku diri umat Muhammad akan lebih cenderung kepada “penentuan akal dan perasaan” (jalan pintas) daripada panduan wahyu di dalam hal keagamaan seperti yang dibayangkan oleh Amierul Mukminin ‘Umar bin al-Khaţţāb.

Sungguh benar kata Imam Ahmad, pasti orang yang berusaha memelihara Sunnah baginda shallallahu 'alayhi wasallam menerima layanan buruk daripada umat manusia sebab ia jalan ke Syurga, sebab ia menegakkan kebenaran di hadapan kebatilan dan membongkar tembelang perosak dasar agama dan kerana ia jalan yang lurus yang dibenci Iblis dan Syaitan. 

Wallahu a‘lam. Semoga Allah memberi petunjukNya kepada kita, menjadi golongan yang sentiasa menuruti panduanNya dan panduan RasulNya mengatasi segala yang lain.

Petikan dari bahagian "Pengenalan" buku "Tas-hiel an-Najaah fie ta'allumi al-Istilaah 2" - "Cara Mudah Mempelajari Ilmu Mustolah (Bah) 2; Sejarah para Ahli Hadiets dan Penulisan Kitab-kitab Hadiets"

_______________________________

[1] Al-Quran: Al-Ahzab: 70-71

[2] Ada 2 tafsiran; dengan syaddah (نضَّر) ertinya seperti yang diterjemahkan di dalam teks dan tanpa “syaddah” (نضَر) ertinya Allah meninggikan kedudukannya di antara makhluk-makhlukNya – demikian menurut Abu Sulaymān al-Khattabi – Sahih Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fadlihi, hlm.43 karangan al-Imam al-Hafiz Ibn ‘Abdil Barr (368-463H). Di antara maksud ni‘mat yang terutama ialah mendapat petunjuk Allah dan kejayaan dunia Akhirat

[3] Hadis Sahih - HR (Hadis Riwayat) at-Tirmidzi (2656), Abu Dawud (3660), Ahmad (5/183), Ibn Hibbān (67), ad-Dārimi (1/75), at-Tahāwi (Musykil al-Ātsār: 2/232), Ibn Abi ‘Asim (as-Sunnah: 94), Ibn Abi Hātim (al-Jarh wa at-Ta‘diel: 2/11), al-Khatieb (Syaraf As-hāb al-Hadiets: hlm.17-18)

[4]Amierul Mukminien, Khalifah kedua daripada al-Khulafa’ ar-Rasyidien, ‘Umar bin al-Khattab bin Nufail al-Qurasyi al-‘Adawiy, al-Farouq, Abu Hafs, bapa mertua Nabi. Wafat 23H (12 tahun lebih muda daripada Nabi).

[5] Sahih Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fadlihi, hlm.416 (1440)

[6] Sahih Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fadlihi, hlm.473 (1666), hlm. 403 (1374) – Riwayat Ibn Abi Syaibah (10/459, 11/236), ad-Dārimi (2/341), Sa‘ied bin Mansur (as-Sunan: 1/1), al-Bayhaqi (as-Sunan: 6/209)

[7] Sahih Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fadlihi, hlm.416 (1441)

[8] Abu ‘Abdir Rahman, ‘Abdullah bin Mas ‘ud bin Ghafil al-Hudzaliy, Ibn Umm ‘Abd, Sadr asy-Syarie‘ah, daripada kalangan as-Sabiqun al-Awwalun (yang awal memeluk Islam) kalangan al-Muhajirien wafat: 32H.

[9] Asalnya adalah hadis ucapan Nabi yang sahih. Diriwayatkan secara mauqūf di dalam beberapa riwayat – ad-Dārimi (as-Sunan: 1/69), al-Lālakā-i (85), al-Bayhaqi (al-Asmā-u wa as-Sifāt: 241) dll - Sahih Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fadlihi, hlm.472 (1665)

[10] bin az-Zubayr bin al-‘Awwām, Tābi‘ie tsiqah (w:94H)

[11] Sahih Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fađlihi, hlm.418 (1455)

[12] Abu Bakar, Muhammad bin Sierien al-Ansāri (w:110), Tābi‘ie tsiqah. Ada juga riwayat daripada ‘Abdullah bin Mubārak (w:181H) yang berpesan agar bergantung dan bersandarkan pada al-Atsar (1448) dan daripada Sufyan bin ‘Uyainah (107-198H): “Agama itu hanyalah dengan al-Ātsār” (1447)

[13] Sahih Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fadlihi, hlm.416 (1444)

[14] Sahih Muslim di dalam bahagian Muqaddimahnya.

[15] Muhammad bin Idries asy-Syafi‘ie (150-204H)

[16] Sahih Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fadlihi, hlm.276 (951)

[17] Ahmad bin (Muhammad bin) Hanbal asy-Syaibāni (164-241H)

[18] al-Radd ‘ala al-Jahmiyah wa az-Zanādiqah hlm. 2 - karangan al-Imam Ahmad.

[19] Syarh ‘ilal at-Tirmidzi (11/350), Majmū‘ Fatāwā: 28/231

[20] ‘Abdur Rahman bin ‘Amr bin Abie ‘Amr, Abu ‘Amr, Ahli Fiqh, Tsiqah wafat 157H – digelarkan “A‘lam Ahli asy-Syam – Orang yang paling ‘alim di Syam pada zamannya” oleh al-Imam Malik.

[21] Syaraf As-hāb al-Hadīts: 2/36

[22] ibid: 1/17

[23] Hadis Sahih –Abu Dawud (Sahih Sunan Abi Dawud: 3107), Lisān al-Miezān –Ibn Hajar: (1/3), as-Sahiehah: (1784) dan lainnya daripada Ibn ‘Abbās dan sahabat yang lain – Tahdzieb Syaraf As-hāb al-Hadīts hlm. 62-64 karangan al-Hafiz al-Khatieb al-Baghdadi w: 463H

[24] ‘Aqiedah as-Salaf As-hāb al-Hadīts karangan Imam Ismā‘iel as-Sabūni (w:449H)

[25] ‘Abdullah bin al-Mubarak bin Wadih al-Hanzali, at-Tamiemiy al-Marwazi, Mawla Bani Hanzalah al-Marwazi, Tabi‘ie tsiqah, ahli fiqh, mujahid, wafat 181H – as-Siyar:1299.

[26] Akan diperkenalkan kelak.

[27] Asy-Syeikh ‘Abdul Qadir, seorang ‘alim yang zuhud, yang diteladani, terkenal sebagai penghulu wali-wali, Imam Muhyiddien, Abu Muhammad, ‘Abdul Qadir bin Abi Salih, al-Hanbali, Syeikh Baghdad, al-Jielaniy al-Baghdadi (471-561H). Ulasan al-Imam adz-Dzahabi mengenai beliau adalah bahawasanya beliau seorang alim yang mulia pada zaman beliau di Baghdad, namun terlalu banyak cerita dongeng dan dusta mengenai “karamah” dan keajaiban beliau yang diceritakan orang kebanyakan yang bermaksud mendewa-dewakan beliau, yang sebaliknya hanya “menjatuhkan” dan menghina beliau – as-Siyar: 20/439 (5103)
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts