Wednesday, August 1, 2012

Solat Tahajjud Qiyam Nabi pada Ramadhan & lainnya (1)


إِنَّ الْحمدَ لِلَّهِ نَحمَدُه و نَستَعِينُه و نَستَغفِرُه ، و نَعوذُ بِاللَّه مِن شُرو رِ أَنْفُسِنا و سَيِّئات أَعْمالِنا ، مَن يَهدِه الله فَلا مُضِلَّ لَه وَمَنْ يُضْلِل فلا هادي لَه ، و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له و أشهد أن محمدا عبده و رسوله . أما بعد؛

Sesungguhnya, segala pujian hanyalah untuk Allah, kita memujiNya, memohon pertolongan dan meminta ampun daripadaNya. Kita berlindung dengan Allah dari keburukan diri kita dan kejelekan tingkahlaku kita. Barangsiapa diberi petunjuk oleh Allah maka tiada yang mampu menyesatkannya dan barangsiapa yang disesatkanNya, maka tiada yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya. Semoga Selawat dan Salam Allah dikurniakan ke atas baginda, maksudnya: 
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berkatalah dengan yang benar dan lurus, maka itu memperbaikkan amalan kamu bagi kamu dan mengampunkan bagi kamu dosa-dosa kamu dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya maka ia telah mendapat kejayaan yang besar.”[1]

Selanjutnya, telah jelas benar daripada Sahabat, Ibnu Mas‘ud t secara Mauquf dan Marfu hukumnya[2] kepada Nabi (sollalLaahu 'alaihi wa sallam) bahawa baginda telah bersabda:

 كيف أنتم إذا لبستم فتنة يهرم فيها الكبير و يربو فيها الصغير و يتـخذ النـاس سنة ، إذا ترك منها شيء ، قيل : تركت السنة ؟ قالوا و متى ذاك ؟ قال : إذا ذهبت علماؤكم ، و كثرت قراؤكم ، و قلت فقهاؤكم و كثرت أمراؤكم و قلت أمناؤكم و الـتمست الدنيا بعمل الآخرة و تفقه لغير الدين 

Maksudnya: 
“Bagaimanakah keadaan kalian apabila kalian diselubungi fitnah (kemaksiatan dan keburukan yang berleluasa) yang memakan usia orang dewasa, dan anak kecil membesar (meningkat dewasa) di dalamnya (fitnah itu). Manusia menjadikannya (fitnah itu) sunnah (adat/tatacara) dan sekiranya ditinggalkan sesuatu daripadanya dikatakan (kepada mereka yang meninggalkan adat fitnah itu): Awak meninggalkan Sunnah? 
Maka para Sahabat bertanya: Bilakah akan berlaku yang demikian itu? 
Jawab baginda: Ketikamana ulama kalian telah pupus, berlambak pula ahli-ahli bacaan kamu, berkurangannya fuqaha (orang yang mengerti hukum) di antara kamu, bertambah ramainya orang-orang yang menguruskan urusan keduniaan kamu, sedikit pula mereka yang bersikap amanah, (kepentingan) dunia dicari (diusahakan) dengan amalan ukhrawi (bekalan akhirat) dan memperdalami kefahaman selain pemahaman agama.” [3]

Maksud sebuah hadis lainnya:
“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu (dari umat ini) dengan merentapnya. Akan tetapi, Allah mencabut ilmu dengan mencabut (nyawa) ‘ulama’ (yang benar-benar ‘alim dan bertaqwa). Maka apabila telah tiada ‘alim yang hidup, manusia mengambil orang-orang yang jahil sebagai pemimpin. Mereka (para pemimpin jahil yang dianggap ‘alim) ditanya, maka mereka memberi fatwa tanpa ilmu. Mereka itu sesat lagi menyesatkan.” [4]
Demikianlah kita yang hidup pada zaman fitnah sekarang ini, zaman ketikamana orang yang berpegang kuat kepada ajaran atau Sunnah Nabi (sollalLaahu 'alaihi wa sallam) seperti seseorang yang menggenggam bara api. Mereka akan terasing kerana pegangan mereka (yang sebenarnya Sunnah yang jelas) dan akan dilihat oleh umat sebagai meninggalkan as-Sunnah, sesuatu yang ganjil yang menimbulkan fitnah.
Imam Malik rahimahullah (93-179H) pernah mengatakan:
"لَنْ يُصْلِحَ آخِرَ هذه الأُمَّة إِلا مَا أَصْلَحَ أولَّها، فَما لَمْ يَكُنْ يَوْمَئِذٍ دِيْناً، لاَ يكونُ الْيومَ دينا"
Ertinya: 
“Tidak akan dapat diperbaikkan golongan yang terkemudian daripada umat ini, kecuali dengan apa yang telah dapat memperbaikkan golongan pertamanya (para Sahabat), maka apa sahaja yang tidak dianggap ajaran agama Islam pada zaman mereka, tidak dapat dijadikan sebagai ajaran agama Islam pada masa kini.” [5]
Maka umat ini tidak akan menjadi baik atau berjaya kecuali jika mereka mengikuti generasi pertama Islam, iaitu para Sahabat Nabiy. Guru Imam asy-Syafi‘ie rahimahullah (150-204H) ini, yang tidak menuturkan sesuatu sembarangan tanpa ilmu atau petunjuk dari Rasulullah (sollalLaahu 'alaihi wa sallam), telah memberikan kita suatu panduan yang tidak ternilai. Malangnya demikianlah yang berlaku selepas 3 kurun pertama Hijriyah.

Namun, Allah membangkitkan pada setiap kurun ‘ulama seperti Imam Muhaddits Faqih an-Nawawi (631-676H), al-Hafiz Ibn Katsier (w: 774H), al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy (773-852H) rahimahumullah dan ramai lagi, yang telah mendidik umat ini agar berpegang kuat dengan as-Sunnah, meneliti semula kebenaran pendapat para Imam dengan merujuk kepada as-Sunnah, bukan menurut asal ada qaul (pendapat) tanpa menilai semula kebenarannya dengan merujuk kepada as-Sunnah, pemahaman Sahabat serta penilaian Imam-imam lain. Buktinya masih wujud untuk kita ketahui kebenaran ilmu kedua alim besar ini yang telah mensyarahkan kitab Sahih al-Bukhariy dan Sahih Muslim dan Kitab Tafsier, sedang usaha mereka ini di‘itraf oleh ‘ulama’ lainnya.

Oleh yang demikian, demi kesejahteraan dunia dan terutamanya akhirat kita, bersama-samalah kita meneladani imam-imam ini, agar tidak terjerumus sepenuhnya di dalam fitnah sebagaimana yang telah diberitakan oleh Nabi Muhammad (sollalLaahu 'alaihi wa sallam) yang tercinta. Kita ikuti mereka yang mengembalikan dan merujuk segala urusan agama ini kepada al-Qur’an, as-Sunnah dengan memahaminya menurut kefahaman para Sahabat terhadap keduanya dan segala yang dijelaskan oleh Imam-imam kita terutamanya mereka yang hidup pada zaman (1-300 Hijriyah) dan setiap yang menyusuri jalan mereka dan tidak hanya bergantung kepada apa yang masyhur di kalangan umat yang diselubungi fitnah, sebab tidak semestinya yang masyhur itu adalah yang benar. Bukankah Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah dan segelintir ‘ulama’ sahaja - tidak masyhur - yang tetap mempertahankan aqidah Ahli Sunnah ketikamana fahaman Mu‘tazilah masyhur dan berleluasa?

Biarpun orang mengatakan kepada kita “Awak tinggalkan Sunnah (yang sebenarnya bukan Sunnah)!?” apabila kita melakukan sesuatu yang ganjil yang berupa ajaran Nabir bukan sembarangan, tapi dengan bersandarkan ajaran Imam-imam tadi, namun hendaknya kita bersabar dan tetap pendirian mengharapkan agar kelak Sunnah ini akan dituruti juga akhirnya. Anggaplah kita benar-benar ganjil, menggenggam bara api, demi keredhaan Allah kerana ilmu dan warak kita, tidak sembarangan di dalam urusan agama Allah ini. Semuanya itu kerana mencari keredhaan Allah bukan untuk menimbulkan fitnah, kerana kita berusaha menghidupkan as-Sunnah, yang sebaliknya akan dilihat seperti fitnah, pada zaman penuh fitnah ini. WalLah al-Musta‘an. WalLah Ta‘ala a‘lam.

Maka bertaqwalah kepada Allah, jangan sebarangan mengatakan sesuatu di dalam urusan agama ini, sebelum kita kembali pada hari kiamat kelak di hadapan Mahkamah Allah, digolongkan sebagai manusia yang sesat lagi menyesatkan. Bertaqwalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Firman Allah tadi.

Adapun mereka yang mengikut, jangan sembarangan mengikut lalu sembarangan menghukum orang lain kerana kita masing-masing akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah, Firman Allah, maksudnya: 
“Dan janganlah kamu mengikuti, apa yang kamu tiada ilmu tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan dipertanggungjawabkan.” [6]
Semoga Allah memberkati usaha kita semua, demi mencari kelebihan ganjaran pada malam-malam istimewa ini, dengan menuruti tunjukajar Rasulullah Nabidan menjauhi fitnah. Mudah-mudahan amalan kita yang sedikit ini diterima oleh Allah sebagai amalan baik, yang membantu kita terselamat daripada api neraka, masuk ke dalam syurga dengan sejahtera. Amien.

Oleh yang mengharapkan Rahmat dan Ampunan Allah:
Ibn Jamak @ Hamzah bin Jummat -
B.A. Syari’ah - Universiti Islam Madinah (1998).
M.A al-Quran dan al-Sunnah - UKM (2006)
25 Ramadhan 1419 H/ 13 Januari 1999M.
[cetakan terkini: 20 Ramadan 1431H/ 30 Ogos 2010]


[1] Al-Qur’an, Surah al-Ahzab: 33:70-71
[2] Mauquf dan Marfu hukumnya; Mauquf adalah istilah dalam Ilmu Mustalah al-Hadiets yang ertinya”terhenti” dan maksudnya, riwayat yang terhenti pada Sahabat dari sudut kajian sanad (rangkaian para perawinya), sehingga diketahui dengan pasti bahawa ia adalah daripada Sahabat dan bukan daripada Nabi. Dalam hal ini, diketahui bahawa ia adalah kata-kata Ibn Mas‘ud (seorang Sahabat Nabi). Marfu hukumnya, yakni dapat dihukumkan bahawa ia sebenarnya daripada Nabi (ucapan Nabi), meskipun sanadnya terhenti pada Sahabat, yang demikian dihukumkan kerana isi ucapan tersebut berkenaan perkara ghaib yang bakal berlaku dan semestinya Ibn Mas‘ud, tidak dapat menyampaikannya daripada dirinya sendiri, malah tentunya ia daripada apa yang Nabi sampaikan, kerana hanya wahyu yang dapat menerangkan perkara yang ghaib. Kesimpulannya, walaupun ‘ulama hadis pasti ia adalah ucapan Ibn Mas‘ud dan beliau tidak menyebutkannya daripada Nabi, namun tentunya, ia adalah ucapan Nabi (Marfu : sanadnya disandarkan kepada Nabi).
[3] HR (Hadis riwayat) ad-Darimiy (1/64) dengan 2 jalan periwayatan. Salah satunya Sahih dan yang satu lagi Hasan. Begitu al-Hakim (4/514) dan para ahli hadis lainnya.
[4] HR Ahmad, al-Bukhariy, Muslim, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah daripada ‘AbdulLah bin ‘Amr t - hadis berderajat Sahih.
[5] Asy-Syifa’ oleh al-Qadi ‘Iyad: 2/88, Ighatsah al-Lahafan oleh Ibn al-Qayyim: hlm 373 tahqieq al-Halabi 1420H cetakan Dar Ibnul Jauzi.
[6] Al-Qur’an, Surah al-Isra’: 17:36
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts