Wednesday, August 15, 2012

Solat Tahajjud Qiyam Nabi pada Ramadhan & lainnya (5 -akhir)

Tidak boleh berwitir 2 kali pada satu malam yang sama.

Timbul pula lagi satu persoalan. Bagaimanakah halnya orang yang telah sholat Terawih bersama Imam dan telah berwitir pada awal malam, kemudian ia ingin untuk sholat lagi pada akhir malam? Apakah yang seharusnya ia lakukan? Bolehkah ia sholat lagi atau tidak? Ada orang mengatakan, sholat witir itu adalah penutup sholat, maka ia tidak boleh dilakukan 2 kali dan tidak dibolehkan baginya untuk sholat selepas berwitir. Hal ini serupa dengan pendapat yang mensyaratkan tidur sebelum Tahajjud, jika tidak, tidak boleh bertahajjud.



Berikut ini, adalah keterangan mengenai perkara ini untuk menjadikan kita, orang yang beramal berdasarkan ilmu dan taqwa serta keyakinan dan bukan membina amalan atau hukum atas dasar sangkaan belaka, biarpun kita bermaksud baik.
(No : 21)
Nabi r telah bersabda :
] لا وتران في ليلة [
maksudnya : “Tiada 2 witir pada satu malam.”
[diriwayatkan oleh Imam-imam Ahmad di dalam Musnadnya, Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasaa-i, Ath-Thiyaalisi, Ibn Abi Syaibah, Ibnu Hibbaan dan Al-Baihaqiy - hadits berderajat shohih].
Bererti kita tidak boleh sholat witir (ganjil) 2 kali pada satu malam yang sama. Begitu pula, adalah afdhal kita menjadikan witir sebagai penutup sholat sehari semalam yakni sebagai sholat yang terakhir sebagaimana yang dikatakan oleh para ulama dan sepertimana yang dikatakan oleh Sayidina Umar t (No: 10).
Walaubagaimanapun, ia hanyalah afdhal, bererti bukan sesuatu yang terlarang bagi seseorang untuk melakukan sholat lain selepas witir. Berikut ini, akan kita amati sendiri, perbuatan Rasulullah r. Demikian juga halnya dengan tidur sebelum Tahajjud. Bukannya tanpa tidur seseorang itu terlarang dari melakukan Tahajjud, semata-mata afdhal, kerana akan lebih bertenaga untuk beribadat. Wallahu a’lam. Tiada dalil yang melarang itu semua, maka kita kembali kepada asal apa yang telah dijelaskan oleh Nabi r dan tidak perlu mengadakan syarat-syarat yang tidak ada asalnya. Urusan ibadat adalah Tauqifiyah, yakni kembali kepada wahyu.
Maka orang yang ingin sholat Qiyam pada penghujung malam setelah ia sempurnakan witirnya pada awal malam, ia masih boleh lakukan sholat-sholat Qiyam atau Tahajjud tetapi tidak boleh berwitir lagi.
Dengan demikian bererti, jika ia ikuti seorang imam yang sholat pada akhir malam, kemudian imam itu berwitir maka ia ada 2 pilihan:
Pertama : Ia tidak mengikuti sholat witir tersebut kerana telah berwitir.
Kedua : Ia mengikuti imam dengan niat sholat lain, selain witir dan apabila imam memberi salam ia bangkit untuk menggenapkan bilangan sholatnya. Kalau imam buat satu rakaat ia tambah jadi genap, 2 misalnya, dengan melakukan lagi satu rakaat. Demikianlah Wallahu a’lam.

TATACARA MENDIRIKAN SHOLAT MALAM SEBAGAIMANA YANG DICONTOHKAN OLEH NABI MUHAMMAD r.
Para pembaca yang dirahmati Allah, perkara ini telah dijelaskan dengan terperinci, dengan dalil-dalilnya oleh Asy-Syeikh Al-Albaaniy حفظه الله, di dalam kitabnya “Sholat Terawih”. Oleh itu, demi faedah bersama, kita ambil ringkasannya sahaja untuk mudah difahami dan diamalkan, Insya Allah.
Perhatian : Sunnahnya sholat Nabi r, ialah yang awal paling panjang dan lama. Semakin bertambah bilangannya, maka semakin ringkas jika dibandingkan dari yang sebelumnya. Demikian juga ruku’nya Nabi r, adalah kurang sedikit lamanya dari berdirinya Nabi r membaca surah. Kemudian sujudnya pula, kurang sedikit dari lamanya ruku’ dan demikian juga sujud yang kedua, lebih sekejap dari sujud yang pertama. Demikianlah kita anggarkan sendiri.
Cara Pertama :
Jumlahnya : 13 rakaat. Dimulakan dengan sholat yang ringan dan ringkas sebanyak 2 rakaat (menurut sebahagian ulama ia adalah sholat 2 rakaat ba’diyah Isyak ataupun 2 rakaat sebagai pembukaan semata-mata).
Kemudian 2 rakaat yang panjang, teramat panjang. Kemudian 2 rakaat lagi yang kurang sedikit lamanya dari yang tadi. Kemudian 2 rakaat lagi yang kurang sedikit panjangnya dari yang sebelumnya. Kemudian 2 rakaat lagi yang semakin kurang lamanya dari yang sebelumnya. Kemudian 2 rakaat lagi yang kurang lama dari yang sebelumnya. Kemudian 1 rakaat witir sebagai penutup.
(13 = 2 ringkas +2 panjang +2 +2 +2 +2 +1 witir)
Cara Kedua :
Jumlahnya : 13 rakaat. Maka 8 rakaat dilakukan dengan salam pada setiap 2 rakaat. Kemudian berwitir 5 rakaat sekaligus dengan 1 kali salam dan tahiyat akhir sahaja, tanpa tahiyat awal.
(13 = 2 +2 +2 +2 +5 witir)
Cara Ketiga :
Jumlahnya : 11 rakaat. Dilakukan 10 rakaat dengan salam pada setiap 2 rakaat. Kemudian berwitir 1 rakaat.
(11 = 2 +2 +2 +2 +2 +1 witir)
Cara Keempat :
Jumlahnya : 11 rakaat. Sekaligus 4 rakaat dengan 1 kali salam,. Ini diulang sekali lagi, yakni 4 rakaat seperti tadi. Kemudian berwitir 3 rakaat.
Apakah Nabi r duduk tahiyat awal ? Wallahu a’lam. Kita tidak dapat sesuatu keterangan yang memuaskan sebagai jawapan untuk soalan itu. Yang jelas, tidak boleh duduk tahiyat awal untuk witir yang 3 rakaat tersebut. Untuk memudahkan kefahaman kita, jangan berwitir serupa dengan sholat Maghrib.
Yang dibolehkan ialah samada memisahkan yang genap dari yang ganjil, dengan memberi salam di antaranya. Inilah yang afdhal, sebagaimana yang dilakukan oleh Imam-imam terawih kita. Ataupun sekaligus ganjilkan bilangan rakaat dengan satu tahiyat, yakni satu kali duduk tahiyat dan salam sahaja.
Cara Kelima :
Jumlahnya : 11 rakaat. Dilaksanakan 8 rakaat sekaligus dengan 1 tahiyat awal pada rakaat ke-8. Yakni hanya duduk apabila telah sempurnakan 8 rakaat. Kemudian bangun tanpa memberi salam (sambung), untuk menyempurnakan 1 rakaat witir, dan duduk tahiyat akhir dan salam yakni pada rakaat ke -9. Setelah itu laksanakan 2 rakaat lagi di dalam keadaan duduk.
[11 = 8 sekaligus (tahiyat awal pada rakaat ke 8) +1 witir (tahiyat akhir & salam) +2]
Cara Keenam :
Jumlahnya : 9 rakaat. Melakukan 6 rakaat sekaligus, hanya duduk pada rakaat ke - 6, sebagai tahiyat awal. Kemudian bangun tanpa salam, untuk melakukan witir 1 rakaat , lalu duduk tahiyat akhir dan salam. Kemudian sholat 2 rakaat lagi dengan duduk.
[9 = 6 sekaligus (tahiyat awal pada rakaat ke 6) +1 witir (tahiyat akhir & salam) +2]

Demikianlah cara-cara yang warid berasal dari perbuatan Nabi sebagaimana yang diriwayatkan oleh ramai Sahabat terutamanya isteri-isteri baginda r. Demikian pula dibolehkan untuk mengurangkan bilangannya menurut kemampuan masing-masing. Sebaik-baik petunjuk adalah tauladan Nabi r. Wallahu a’lam.
Bacaan di dalam Sholat Witir.
Sekiranya kita melakukan 3 rakaat witir, maka bacalah sebagaimana sunnah, pada;
rakaat pertama : { سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى }
rakaat kedua : { قُلْ يَآ أَيُّهَا الْكَافِرُوْنَ }
rakaat ketiga : { قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ }
Boleh ditambah dengan { قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ } dan { قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاس }
Pernah juga Rasulullah r membaca 100 ayat dari surah An-Nisaa.
(diriwayatkan oleh Imam-imam Ahmad dan An-Nasaa-i dengan sanad yang shohih).
DOA QUNUT.
Setelah selesai membaca surah, sebelum ruku’, bacalah qunut dengan doa yang Nabi ajarkan kepada cucu baginda Al-Hasan bin Ali :
(No : 22)
) اَللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيْمَنْ هَدَيْتَ ، وَ عَافِنِي فِيْمَنْ عاَفَيْتَ ، وَ تَوَلَّنِي فِيْمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَ بَارِكْ لِيْ فِيْمَا أَعْطَيْتَ ، وَ قِنِي شَرَّ ماَ قَضَيْتَ ، فَإِنَّكَ تَقْضِيْ وَ لاَ يُقْضَى عَلَيْكَ ، وَ إِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ ، وَ لاَ يَعِزُّ مَنْ عاَدَيْتَ ، تَباَرَكْتَ رَبَّناَ وَ تَعَالَيْتَ ، لاَ مَنْجاَ مِنْكَ إِلاَّ إِلَيْكَ (
maksudnya : “ Ya Allah berilah petunjuk kepada ku bersama mereka yang telah Kau beri petunjuk, sejahterakanlah aku beserta mereka yang telah Kau sejahterakan, belalah aku bersama mereka yang telah Kau bela, berkatilah bagiku segala apa yang telah Kau kurniakan kepadaku, lindungilah aku dari keburukan yang telah Kau takdirkan, kerana Engkau yang mentakdirkan dan menghukum sedang tiada yang dapat menghukum Mu, sesungguhnya tidak akan menjadi hina orang yang telah Kau bela dan tidak akan menjadi mulia sesiapa yang Kau telah musuhi, Maha Agung Kau ya Allah lagi Maha Tinggi. Tiada perlindungan dari Mu kecuali (dengan berlindung) kepada Mu jua.”
[Diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasaa-i, dan lainnya dengan sanad yang shohih].
Demikian juga, qunut ini boleh dilakukan selepas ruku’, semasa i’tidal. Begitu juga untuk menambahkan doanya dengan melaknat orang-orang kafir, kemudian selawat ke atas Nabi, doa untuk kaum Muslimin, pada separuh terakhir daripada bulan Ramadhan (15 hb Ramadhan - 29/30).
Demikianlah yang dilakukan oleh para imam sholat qiyam pada zaman Sayidina Umar. Demikianlah yang dijelaskan di dalam penghujung hadits riwayat Abdur Rahman bin Abdin Al-Qariy (No : 10). Disebutkan bahawa setelah mereka selesai berdoa itu semua, mereka menyambung dengan :
) اَللَّهُمَّ إِيَّاكَ نَعْبُدُ ، وَ لَكَ نُصَلِّي وَ نَسْجُدُ ، وَ إِلَيْكَ نَسْعَى وَ نَحْفِدُ ، وَ نَرْجُو رَحْمَتَكَ رَبَّنَا وَ نَخَافُ عَذاَبَكَ الْجدَّ ، إِنَّ عَذَابَكَ لِمَنْ عَادَيْتَ مُلْحِقٌ(
maksudnya : “Ya Allah hanya kepada Mu kami menyembah, kepada Mu kami sholat dan sujud, untuk Mu kami bersegera dan berusaha, kami mengharapkan Rahmat Mu Tuhan kami dan kami takuti Azab Mu yang berat, sesungguhnya azab Mu adalah dikenakan kepada sesiapa yang Kau musuhi.”
UCAPAN ATAU DOA SELEPAS WITIR.
Daripada amalan Sunnah, ialah agar kita membaca doa berikut, selepas sholat Witir:
) اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضاَكَ مِنْ سَخَطِكَ ، وَ بِمُعَافَتِكَ مِنْ عُقُوْبَتِكَ، وَ أَعُوْذُ بِكَ مِنْكَ ، لاَ أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ ، كَماَ أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ(
maksudnya : “Ya Allah Sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaan Mu daripada kemurkaan Mu, aku berlindung dengan keampunan Mu dari siksa Mu, aku berlindung dengan Mu daripada Mu, tiada dayaku untuk memberi pujian kepada Mu sebagaimana Engkau memuji diri Mu sendiri.”
[Diriwayatkan oleh Abu Dawud - hadits shohih]
Begitu juga doa ini :
)سُبْحاَنَ الْمَلِكِ الْقُدُّوْس(
maksudnya : “Maha suci Raja Yang Maha Agung lagi Suci.”
Nabi r membaca 2 kali dengan memanjangkan suara dan yang ketiga kali dengan lantang.
[Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan lainnya, hadits shohih].

Dua Rakaat selepas Witir
Disyariatkan pula untuk mengerjakan 2 rakaat selepas witir kerana ia tsabit (berasal) dari Nabi r dengan perbuatan mahupun sabda baginda r :
) ...فإذا أوتر أحدكم ، فليركع ركعتين ..(
maksudnya : “ ...Jika kamu telah berwitir, maka lakukanlah 2 rakaat ...”
[Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah, Ad-Daarimiy dan lainnya - hadits shohih].
Di dalam kedua rakaat itu disunnatkan membaca pada
rakaat pertamanya : { إذا زلزلت الأرض }
rakaat keduanya : { يا أيها الكافرون }
[Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari hadits ‘Aaisyah dan Anas dengan isnad yang menguatkan satu sama lain].
Demikianlah penerangan mengenai sholat Qiyam Ramadhan yang telah dicontohkan oleh Nabi r. Mudah-mudahan dengan ini, kita telah mengetahui As-Sunnah di dalam persoalan ini, berusaha mengamalkannya dengan sebaik mampu dengan penuh pengharapan kepada Allah. Mudah-mudahan kita insaf betapa Nabi Muhammad r. junjungan kita, insan paling mulia, begitu hebat ibadatnya, tetapi kita, hamba yang tidak terlepas dari maksiat, yang sentiasa lupa akan ni’mat Allah, bagaimanakah keadaan kita?
Bersama kita memohon agar Allah I merahmati kita senantiasa di dunia dan terutamanya di Akhirat kelak. Semoga hari yang paling bahagia bagi kita, ialah hari kita bersua dengan Tuhan kita, Amiin.
أسأل الله العظيم رب العرش الكريم أن يوفقنا إلى ما يحبه و يرضاه و ينفعنا بما علمنا إنه ولي ذلك و قادر عليه و صلى الله على حبيبنا و شفيعنا محمد و على آله و صحبه و سلم و الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts