Sunday, September 2, 2012

Hukum Ikhtilat (Majlis Percampuran Lelaki dan Wanita)

Soalan:

Salam ‘alaik Ustaz, saya ingin kepastian daripada Ustaz berkenaan satu perkara.

2 orang teman saya akan melangsungkan pernikahan dan mengadakan majlis walimah mereka pada 2hb September ini. Mereka berdua berusaha untuk memastikan agar majlis mereka tidak berlakunya bercampur baur antara lelaki dan wanita, suami orang duduk semeja menghadap isteri orang. Tangan bergantian ambil lauk. Lagi pula ada yang berpakaian “organza” macam bukan pakai baju tapi kelambu bila menghadiri majlis seperti ini. Kendarat wanita menghidangkan dan melayan kaum lelaki, yang adakalanya berpakaian menjolok mata. Sebab itulah, pemisahan itu mereka ingin laksanakan. Sayangnya ada pihak ahli keluarga mereka yang tidak setuju kerana seperti pisahkan suami isteri dan kaum keluarga tak dapat duduk bersama. Mereka pula dapat tahu adanya Ustazah dan malah Ustaz yang katakan, tiada salahnya majlis seperti ini berlakunya percampuran antara lelaki dan wanita. Di antara hujjah mereka:



1. Tiada dalil yang Islam mengajarkan pemisahan antara lelaki dan wanita; ada pasar pada zaman Nabi, ada majlis walimah, tetapi tiada dalil yang mewajibkan pemisahan. Selama tiada dalil bererti tiada hukum dan asal hukum segala perkara adalah harus, bukan haram atau wajib. 
2. Di negara Arab, yang mana wanitanya berpakaian tutup habis siap dengan berburqah, dalam majlis-majlis mereka ada percampuran. Maka kita lebih-lebih dari orang Arab yang macam tu kalau pisahkan undangan antara lelaki dan wanita. 
3. Kalau kita di Singapura ni, nak pisah-pisahkan dan katakannya wajib pisah serta haram bercampur antara lelaki dan wanita, maka kalau gitu, naik MRT seorang diri, naik bas pun begitu, pergi ke pasar pun cubalah pisahkan antara lelaki dan wanita. 
4. Hujjah pihak yang menyuruh agar majlis walimah dipisahkan antara lelaki dan wanita hanyalah contoh dalam solat jemaah. Padahal Solat jemaah dipisahkan lelaki dan wanita untuk memastikan khusyu‘ dalam solat, bukannya masalah memisahkan antara lelaki dan wanita.

Inilah hujjah-hujjah yang saya pernah dengar dan ada terbaca dalam sebahagian Facebook.

Soalan saya, apakah benar demikian atau apa sebenarnya yang Islam ajarkan dalam hal walimah?

Amin Fadzlan


Jawapan:

بسم الله و الحمد لله و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من اتبع هداه

Pertama sekali, teman-teman anda telah berusaha melakukan sesuatu yang amat terpuji. Semoga Allah memberkati usaha mereka dan jika mereka berjaya melaksanakannya, semoga rumahtangga mereka diberkati sejak hari pertamanya lagi, mendapat isteri-isteri yang solehah yang menguatkan mereka kepada ketaatan kepada Allah dan bukan sebaliknya. Sebahagian ahli keluarganya yang menentang rancangan mereka, sungguh bukan pada pihak yang benar dan mereka selaku orang awam tersilap faham atau tidak tahu hukum yang sebenarnya kerana mendengar daripada beberapa pihak dan menyaksikan contohnya pula yang dilakukan sebahagian yang bergelar ahli agama, pak-pak imam, asatizah dan pak-pak Bilal dan seumpamanya. Adapun pihak mengatakan begitu begini dalam urusan agama Allah, selayaknya sebagaimana kita memperingatkan diri kita sendiri, mereka bertaqwa kepada Allah dan ingat selalu bahawa antara punca paling utama manusia dihumbankan ke Neraka adalah kerana lidahnya, berkata tentang agama Allah tanpa ilmu atau dengan ikutan hawa nafsu. Semoga Allah dengan rahmatNya yang Maha Luas Memelihara kita daripada malapetaka tersebut.

Itu antara sebabnya saya secara peribadi tidak menggunakan Facebook sebab daripada pengamatan peribadi saya, ia adakala sudah menjadi FitnahBook kerana kelancangan sebahagian pihak, tanpa kajian mengeluarkan hukum itu dan ini sembarangan, walaupun mereka asalnya bertauliah. Ada yang kata, dengan FB kita “proactive” cepat menjawab kemusykilan masyarakat, namun bagi saya, buat apa “proactive” seperti volcano yang meledak membahayakan secara tiba-tiba. Bukankah tergopoh-gopoh itu dari Syaitan, sedangkan bertenang dan bukannya tidak aktif itu, mendatangkan kebaikan, dari Allah? Itulah yang selayaknya kita nilaikan sentiasa, apalah yang ada pada tauliah, jika kata-kata dan perbuatan kita tidak mengikuti yang selayaknya berdasarkan “tauliah” itu? Apa ada pada segulung ijazah Syari‘ah, bila keperibadian seseorang itu tidak mencerminkan dirinya sebagai seorang yang mendokong Syari‘ah Allah dan begitu juga dengan pemegang ijazah Hadis, jika apa yang dikatakannya berkenaan agama Allah bukan kembali kepada hadis-hadis Rasulullah tetapi hukum akal dan keadaan semasa atau sekitaran semata-mata? Apatah lagi yang berkata sembarangan lagi tidak bertauliah, menciplak usaha orang lain untuk kemudian mengaku diri ‘alim? Semoga Allah menjadikan kita hamba-hambaNya yang ikhlas mencari kebenaran dan menyebarkannya.

Berikut adalah sanggahan terhadap hujjah-hujjah tersebut:

1. Didakwakan oleh pihak-pihak tersebut, malah jika dakwaan itu dikemukakan oleh seorang yang berkelulusan bidang hadis sekalipun, bahawa tiada dalil, ayat al-Quran atau Hadis Nabi yang menunjukkan kepada keperluan, jika bukan kewajipan atau suruhan agar dipisahkan antara lelaki dan wanita dalam majlis-majlis dan perhimpunan, maka ini adalah dakwaan yang amat nyata kesilapannya. Demikian kerana alasan berikut:

a. ‘Ulama mengajarkan, seperti dalam kitab-kitab Usul Fiqh, antaranya yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudaamah al-Maqdisi (wafat: 620H) dalam kitab beliau Raudhah an-Naazhir,
“عدم العلم بالدليل ليس بالدليل و العلم بعدم الدليل دليل”
“Tiada ilmu tentang dalil, bukan dikira dalil/hujjah dan berilmu tentang tiadanya dalil menjadi satu dalil/hujjah”

Ungkapan ini membezakan dengan nyata di antara “orang yang sebenar-benarnya berilmu yang membuat kesimpulan yang tepat” dan “orang yang tiada ilmu tetapi membuat andaian batil”. Tidak cukup dengan ungkapan itu, beliau mendatangkan misal, “orang celik – tidak buta” yang dititip amanah oleh seseorang, bila orang yang serahkan amanah itu meminta kembali barang titipannya, orang celik itu mengatakan: “Saya sudah mencari barang titipan awak itu di rumah saya tetapi belum ketemuinya” dibandingkan dengan “orang buta” yang mengatakan: “Saya dah cari satu rumah, tak jumpa pun”. 

Maka begitulah, orang alim seperti para Imam kita, dengan ilmu mereka yang luas lagi menyeluruh, menghafaz al-Quran dan beratus ribu jika tidak berjuta hadis-hadis Nabi menyimpulkan: “Setahu kami, tiada dalil” maka ia menjadi satu hujjah. Berbanding dengan orang awam atau sesiapa sahaja yang tidak menguasai segalanya itu tadi, tanpa membuat rujukan kesimpulan para imam, mendakwakan andaian: “tiada dalil” padahal bukannya tiada dalil, malah dirinya, walau bergelar Ustaz/Usatazah dengan kelulusan sekian-sekian, dikira seperti “orang buta” dalam perumpamaan yang ‘ulama contohkan tadi.

Justeru itu, sama-sama kita berwaspada, jangan sampai kita menjadi “orang celik”, meski “orang rabun” sekalipun, yang membiarkan “orang buta” memandu dan membimbing kita. Lebih buruk lagi dengan sengaja menutup mata untuk ikut “orang buta”. Lebih banyak Ustaz atau Ustazah seperti ini membuat dakwaan sebegini, moga semakin jelas kepada kita “kebutaannya yang nyata”! Apatah lagi kalau “budak-budak FB” yang berlagak seperti Mufti Negara, membuat dakwaan itu ini daripada hukum-hukum ugama, padahal tiada kelayakan langsung. Tentunya golongan “Budak-budak@ mufti-mufti FB” ini lebih baik diam daripada berbuat banyak-banyak dosa kerana berkata tentang agama Allah tanpa ilmu. ‘Ulama telah menasihatkan, tinggal diri kita ini membuat pilihan bijak dan menjadi orang yang suka mendengarkan nasihat.

b. Yang sebenarnya, dalil-dalil al-Quran dan hadis mengajarkan kita dan menyatakan tuntutan yang nyata supaya dilaksanakan pemisahan antara lelaki dan wanita. Antaranya:

i. Firman Allah yang mana Allah memerintahkan kaum muslimien (lelaki) agar menundukkan pandangan dan begitu juga kaum muslimaat: 
{ قل للمؤمنين يغضوا من أبصارهم ويحفظوا فروجهم ذلك أزكى لهم إن الله خبير بما يصنعون وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن } 
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), (dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;…)[1]

Ia menjadi dalil bahawa Allah memerintahkan supaya kaum muslimien dan begitu juga muslimat agar menundukkan pandangan mereka. Perintah Allah ini bererti wajib dan Allah menjelaskan bahawa ia adalah yang mulia dan suci. Hanyasanya Syara‘ tidak mengharamkan pandangan mendadak yang dilihat seseorang, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam Mustadraknya bahawa Rasulullah telah berpesan kepada ‘Aliy:
 “يا علي ، لا تتبع النظرة النظرة فإنما لك الأولى وليست لك الآخرة”
“Wahai Aliy, jangan anda susuli pandangan demi pandangan (melihat wanita), yang pertama itu sahaja (pandangan tiba-tiba terlihat, yang halal) bagi mu dan tidak (halal) bagi mu yang selepas itu”.[2]

Allah mewajibkan agar menundukkan pandangan kerana memandang kepada wanita yang haram dipandang (selain yang secara tiba-tiba) adalah Haram dan dikira Zina. Sebagaimana yang Rasulullah jelaskan:
“العينان زناهما النظر”
“Zinanya mata adalah pandangannya (melihat yang haram)” [HR Bukhariy dan Muslim]. 

Bilamana Syara‘ menghukumkan Haram melihat wanita (yang tidak halal bagi seorang lelaki muslim untuk melihatnya[3]) yang berlaku dengan “pandangan”, maka begitu juga “percampuran tanpa pemisahan” atau “ikhtilat - الإختلاط” antara lelaki dan wanita. 

Maka jelas dengan ayat itu tadi beserta hadis-hadis tersebut, pemisahan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram adalah wajib dan bercampur baurnya mereka dalam satu majlis adalah haram. Ada banyak lagi ayat al-Quran yang membuktikan kewajipan memisahkan antara lelaki ajnabi dan wanita ajnabiyah (yakni yang bukan mahram antara satu sama lain) dan haramnya “ikhtilat - الإختلاط” melalui tafsiran ‘ulama terhadap ayat-ayat tersebut, antaranya Surah Yusuf: 23, Surah Ghaafir: 19 (riwayat Tafsiran Ibn ‘Abbaas), Surah al-Ahzab: 33. 

ii. Hadis-hadis berkenaan keluarnya wanita ke masjid diperbolehkan tetapi tidak digalakkan dan rumah mereka lebih utama bagi mereka. 

Sekiranya mereka keluar ke masjid sekalipun, terlarang bagi mereka untuk menjadi fitnah kepada kaum lelaki, dengan berwangian, berpakaian menarik, perhiasan yang menjadi tarikan, bercampur dengan kaum lelaki dan sebagainya. Sungguh ini dalam hal Solat, Rukun Islam yang kedua dan tunggak agama, jika untuk Solat begitu sekali Rasulullah larang wanita menjadi fitnah dan dikhuatiri jadi bercampur dengan lelaki, maka perkara yang tidak sepenting Solat, tentunya lebih utama untuk dilarang. 

Contohnya hadis berikut:

“لا تمنعوا إماء الله مساجد الله ولكن ليخرجن وهن تفلات”
“Jangan kamu halang kaum wanita yang merupakan hamba-hamba Allah dari mendatangi masjid-masjid Allah akan tetapi hendaklah mereka keluar tanpa apa-apa daya tarikan (daya tarikan adalah bau harum wangian, pakaian dan perhiasan yang menarik – tafsiran Ibn Daqieq al‘Eid)”. [HR Ahmad dan Abu Dawud – Sahih – Sahih al-Jami‘: 7457]

Kata al-Hafiz Ibn Hajar:
Begitu juga ikhtilat – percampuran antara lelaki dan wanita.

Dan sebab itulah Nabi menggalakkan kaum lelaki agar mengambil tempat di saf yang palaing hadapan dan sebaik-baik saf kaum wanita adalah yang paling belakang, agar terpisah jauh di antara lelaki dan wanita. 

iii. Hadis yang menerangkan bahawa wanita adalah fitnah terbesar bagi kaum lelaki:

“ما تركت بعدي فتنة هي أضر على الرجال من النساء”
“Tiada aku tinggalkan selepasku fitnah yang lebih mudarat/merbahaya atas kaum lelaki selain fitnah kaum wanita” [HR Bukhari dan Muslim daripada Usamah – Sahih al-Jami‘: 5597].

Apakah tergambar dan terlintas di akal yang waras, perkara dan fitnah yang paling merbahaya yang Nabi sebutkan ke atas kaum lelaki, dibiarkan bercampur dengan mereka, iaitu kaum wanita???

iv. Hadis yang semakna:

“فاتقوا الدنيا واتقوا النساء ، فإن أول فتنة بني إسرائيل في النساء” 
“Maka berwaspadalah terhadap keduniaan dan berwaspadalah kalian, kaum lelaki, terhadap wanita kerana sesungguhnya fitnah pertama yang ditimpakan ke atas Bani Israeil adalah wanita” [HR Muslim].

Rasulullah telah berpesan agar berwaspada dan suruhan baginda membawa maksud wajib. Maka bagaimana mungkin kewajipan ini dapat dilaksanakan dengan melibatkan diri dalam ikhtilat?

v. Imam Bukhari dalam al-Kuna dan Abu Dawud:
“أنه سمع النبي صلى الله عليه وسلم يقول وهو خارج من المسجد فاختلط الرجال مع النساء في الطريق فقال النبي صلى الله عليه وسلم للنساء : " استأخرن فإنه ليس لكن أن تحققن الطريق ، عليكن بحافات الطريق " فكانت المرأت تلصق بالجدار حتى أن ثوبها ليتعلق بالجدار من لصوقها ،” 
“Ketikamana baginda berada di luar masjid dan melihat berlakunya percampuran (ketika berjalan) antara lelaki dan wanita, maka baginda berkata kepada kaum wanita: Hendaklah kalian berjalan di tepian, kalian tiada hak untuk berjalan di tengah-tengah, maka kaum wanita pun merapatkan dirinya ke tembok sehinggakan melekat dan bergesel pakaian mereka ke tembok”.

Amatilah, jika Nabi telah melarang ikhtilat di jalanan mereka, bukan tempat perhimpunan atau majlis, tentunya tempat manusia berhimpun atau duduk lagi bersifat kekal duduk lama dilarang baginda.

vi. Begitu juga riwayat yang menerangkan bahawa baginda buatkan pintu masjid yang khusus bagi kaum wanita ketika membina masjid dan melarang seorang lelaki pun daripada memasuki masjid daripada pintu khas untuk kaum wanita itu. [Riwayat Bukhari dalam at-Tariekh al-Kabier dan lainnya]. 

Bukankah ini dengan jelas menunjukkan baginda mengajarkan pemisahan antara lelaki dan wanita dengan jelas?

vii. Hadis yang melarang bersentuhannya antara lelaki dan wanita yang bukan mahram:
“لأن يطعن في رأس أحدكم بمخيط من حديد خير من أن يمس امرأة لا تحل له” 
“Untuk seseorang lelaki di antara kamu ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik baginya daripada ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya.” [dihukumkan Sahih oleh al-Haitsamiy, al-Mundziri dan lainnya]. 

Sungguh bercampurnya antara lelaki dan wanita menjadikan larangan ini mudah dilanggar dan memang sedia diketahui ada berlaku.

Masih ada lagi dalil, tetapi rasanya memadai untuk membuktikan adanya dalil-dalil yang melarang ikhtilat, percampuran antara lelaki dan wanita dan suruhan yang bererti wajib untuk memisahkan antara lelaki dan wanita sedaya yang kita mampu, apatah lagi bila ia dalam kemampuan kita untuk melakukannya, misalnya majlis yang kita anjurkan sendiri, majlis yang kita adakan di rumah kita, jemaah umrah dan haji bimbingan kita dan sebagainya. Tentunya berbeza dengan yang di luar kemampuan kita lagi tidak dapat dielakkan.

Maka selama mana dapat dielakkan, wajib dielakkan. Semoga Allah menjadikan kita hamba-hambaNya yang berusaha dengan sedaya upaya kita untuk menjadi hamnba yang patuh dan taat kepadaNya. Mengutamakan RedhaNya daripada keredhaan manusia dan takutkan AzabNya lebih daripada cakap-cakap orang yang mana “mulut tempayan boleh ditutup, mulut orang? Apakan daya”. Mereka yang tidak tahu bercakap yang baik atau diam sahaja lebih baik amatilah ayat ini:
“Dan tidaklah hak bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah berhak mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzaab: 36)

Dan FirmanNya:
“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah an-Nuur: 19).

c. Maka kesimpulan yang pihak membuat dakwaan kononnya “tiada dalil maka asal hukum adalah diperbolehkan” dengan dalil-dalil itu tadi, terbukti kesimpulan hukum yang tertolak dan batil. Malah menunjukkan “buta”nya mereka terhadap dalil-dalil. Mengapa tidak mengkaji dulu sebelum berkata dan mengeluarkan hukum…maaf lupa saya, nak keluarkan hukum di FB, perlu segera…cukup dengan baca tulisan seseorang “alim” tertentu atau hukum akal (atau hawa nafsu) semata.

2. Dakwaan sebahagian pihak kononnya dapat dijadikan hujjah bahawa di sebahagian Negara Arab, mereka pun bercampur baur lelaki dan wanita dalam majlis walimah mereka, bahkan boleh disifatkan “tidak senonoh”. Adakalanya dengan pihak yang berhujjah mengatakan: “Saya atau isteri saya sendiri pernah hadir majlis mereka yang bersifat demikian”.

Sanggahannya:

i. Apakah “orang Arab”, amalan dan perbuatan mereka satu dalil Syar‘i?

Hanya orang yang keliru tiada ilmu akan menjadikan ini sebagai hujjah. Dalil-dalil dalam agama Islam adalah apa yang disepakati ulama‘ al-Quran, as-Sunnah dan Ijma‘. Begitu juga Qiyas dengan syarat-syaratnya. Malah ‘ulama’ berselisih untuk menjadikan pendapat satu-satu orang Sahabat, Istihsan dan lainnya sebagai hujjah. Tiada “amalan orang Arab” dijadikan hujjah Syara‘.

ii. “Orang Arab” dan majlisnya di sini, dalam dakwaan ini untuk dijadikan hujjah.

“Mereka boleh campur apasal kita lebih-lebih dari mereka, nak pisah-pisah? Kita tidak tahu adat mereka yang sebenarnya yang kita nak ikut-ikut”. Siapa yang “ikut-ikut” Adat Arab di kalangan mereka yang mengusahakan “pemisahan” dan elak ikhtilat dalam majlis walimah mereka?

Menurut hemat saya, setiap yang melakukan demikian berhujjah dengan dalil Syara‘ dan khuatir menderhakai Allah. Lagipun “majlis Orang Arab di negara Arab” yang dihadiri pihak yang mengeluarkan hujjah batil ini, malangnya, bukan majlis ‘ulama atau golongan ahli agama “Orang Arab di negara Arab”. Majlis yang bermaksiat seperti itu dilakukan golongan “Orang Arab di Negara Arab” yang tiada kesungguhan berpegang dengan ajaran agama. Kasihan kita yang menjadi undangan dan tetamunya, bersama-sama dengan Majlis maksiat mereka, bukan majlis orang alim dan ahli agama mereka. Saya sendiri pernah hadiri majlis seorang “Orang Arab di Negara Arab” yang baik keagamaannya, tiada maksiat, tiada hiruk pikuk, tiada pembaziran makanan pun sehingga apa yang baki dan lebihan diberikan kepada orang miskin. Antara yang hadir sama ialah Imam Masjid Nabawi.

3. Naik MRT seorang diri atau bas seorang diri atau pergi ke Pusat Membeli-belah pun asingkan diri? 

Ini adalah hujjah karut mengarut tiada asas. Keadaan yang terpaksa, di luar kuasa dan kemampuan kita apakah sama dengan yang di dalam kuasa dan kemampuan kita? 

Jika dapat dielakkan naik MRT bergesel-gesel apakah kita katakan pada saat sesak “diperbolehkan” bergesel? Pasti akan ditangkap “mencabul kehormatan”. Yang Haram tetap haram, selama kita tidak sengaja dan tercepit tidak sama hukumnya dengan yang kita punya keluasan dan pilihan.

Di Negara Arab (pelik juga kenapa tidak ambil yang ini sebagai hujjah), saya pernah bertanya kepada seorang pensyarah lelaki yang mengajar pelajar wanita di kolej wanita di Madinah. Guru menyampaikan di depan kelas, sedang para pelajar wanita masing-masing punya screen TV yang memaparkan si guru, kerana keperluan untuk melihat apa yang beliau perlu perlihatkan mereka, menurut keperluan. Tiada percampuran antara lelaki dan wanita dan pendidikan di sana, percuma tiada bayaran.

Begitu juga “public transport” mereka yang memisahkan tempat duduk kaum wanita dan kaum lelaki, menurut aturan pihak pengendali bas. Kalau hendak dibuat kita mampu buat semuanya sesuai Syari‘at, cuma di mana kita tiada kuasa dan tidak dapat mengusahakan apa-apa kerana di luar kuasa dan kemampuan kita, kita elakkan sedaya upaya. Adapun majlis Walimah kita, bukankah kita yang menguasainya, menentukannya dan mengaturnya. Apatah lagi bila julukannya “Raja sehari” sepatutnya segala “titah”nya dipatuhi. Sedihnya ialah masyarkat yang tidak tahu dan tidak faham tuntutan agama, lagi diburukkan dengan adanya golongan “teraju masyarakat” yang berhujjah dengan hujjah yang batil, menjauhkan mereka dari ketaatan kepada Allah dan Rasul.

4. Mengenai Solat dipisahkan jemaah kaum lelaki daripada kaum wanita untuk khusyu‘ semata-mata, rasanya telah pun terjawab tadi, walhamdulillaah.

Hujjah-hujjah dan dalil-dalil ini adalah kebanyakannya ringkasan daripada makalah karya Syaikh Muhammad bin Ibrahiem Aali Syaikh.

Wallahu a‘lam.

_____________________________

[1] Al-Quran; Surah an-Nuur: 24: 31

[2] HR al-Hakim, Ahmad Abu Dawud dan lainnya, dihukumkan Sahih oleh al-Hakim dan disetujui adz-Dzahabi dan lainnya. Sila lihat “Sahih al-Jami‘ as-Saghier”: no: 7953 (Hasan).

[3] Berbeza dengan isterinya dan kaum wanita yang merupakan mahramnya seperti ibunya, anak perempuannya, , kakak dan adik perempuan dan seterusnya – sila lihat Surah an-Nisa: 23. Sepupu perempuan bukan mahram seseorang lelaki, maka sama hukumnya dengan wanita lain yang bukan mahramnya.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts