Thursday, October 4, 2012

Aqiqah Setelah Dewasa

Soalan:

Bolehkah seseorang dewasa yang belum di-aqiqahkan buat aqiqah untuk diri sendiri?

- Puan AKF




Jawapan:

Wa 'alaikumussalaam,

Aqiqah iaitu sembelihan 1 ekor kambing bagi kelahiran bayi perempuan atau 2 ekor kambing (ada perselisihan pendapat tentang perbezaan bilangan kambing dengan perbezaan jantina bayi - ini pendapat yang lebih kuat) sebagai tanda kesyukuran ayah/ibu atau datuk/nenek bayi tersebut, pada hari ke-7nya sahaja, setelah berlalu seminggu genap daripada hari bayi itu dilahirkan. 

Adapun riwayat yang menyatakan boleh lakukannya pada hari ke-14, dan sesudah itu hari ke 21 jika terlepas hari ke-7 dan hari ke-14, maka ia adalah riwayat yang tidak dapat diamalkan kerana kelemahannya. Demikian penjelasan Imam al-Mubaarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwadzi. Malah ada yang menyimpulkan, selama mana anak itu belum baligh, masih boleh lakukan 'aqiqah. Apabila telah baligh, hanya dilakukan korban pada EidulAdha dan Hari-hari Tasyrieq oleh dirinya sendiri. Pendapat ini tidak berasaskan dalil, meskipun ia masyhur di kalangan sebahagian masyarakat Islam. Wallahu a'lam.

Aqiqah berbeza dengan Korban, dari sudut, keseluruhan dagingnya dimasak dan dibuat jamuan dengan diundang kerabat dan tetangga serta handai taulan untuk menjamu hidangan daging tersebut, yakni dibuat walimah/jamuan makan demi menzahirkan kesyukuran. Tiada salahnya bagi keluarga bayi untuk turut memakannya.

Daging Korban pula, lebih utama dibahagikan kepada 3 bahagian dan diberi mentah, tidak dimasak. 1 bahagian diri sendiri, 1 lagi kepada yang memerlukan dan 1 lagi sebagai hadiah kepada kerabat atau tetangga.

Mengenai kononnya ada hadis bahawa Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam pernah buat aqiqah untuk diri baginda sendiri selepas kenabian, maka hadis tersebut adalah dusta. Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam tidak pernah membuat 'Aqiqah untuk diri baginda. Hadith ini telah dianggap sangat lemah, tertolak atau dusta oleh barisan para ulama' hadith - Imam Malik, Abu Daud, Ibn Hibban, al-Bazzar, al-Bayhaqi, an-Nawawi, al-Mizzi, ad-Dzahabi, Ibn Hajar al-Asqalani dan az-Zarqani.

Dengan segala keterangan itu tadi, saya galakkan pihak yang bertanya, jika mampu, lakukanlah korban, hidupkanlah Syiar Islam pada Eidul Adha, terutamanya di tanah air sendiri. Lakukanlah setiap tahun sekiranya mampu dan usahlah dilakukan perkara yang tiada petunjuknya di dalam Islam lagi mengundang dosa.

Sebagaimana kita tahu Solat adalah di antara amalan terbaik yang disukai Allah. Tetapi, solat sunnat pada ketika matahari sedang terbit atau terbenam adalah Haram. Solat di tandas juga terlarang. Solat dengan sengaja ditambah bilangan rakaatnya akan jadi batal, tidak diterima Allah, solat dengan mendahulukan sujud sebelum ruku' atau tidak menuruti tertibnya akan jadi tertolak. Solat sunnat tidak boleh dikerjakan dengan niat Fardhu. Melakukan solat selepas setiap kali gunting rambut atau tiba di ofis adalah semuanya Solat yang tidak disyari'atkan dan mengundang dosa.

Maka begitu juga hukumnya ibadah pandai-pandai rekaan orang selain yang diajarkan dan dicontohkan oleh Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam, bukan amalan baik, tidak mendatangkan pahala, malah berdosa melanggar batas-batas ketentuan Allah.

Demikian dengan aqiqah, dzikir, selawat jika tidak menuruti panduan Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam pada masa, tempat, bilangan, cara, sebab dan jenisnya akan tertolak dan bukan menjadi amalan baik. Allah berfirman: (maksudnya): 
"Katakanlah (wahai Muhammad, kepada mereka), jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku pasti Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu."

Allah telah jadikan dan lantik Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam sebagai panduan ikutan kita untuk menuju jalan Allah, melakukan ibadah yang diterima Allah, bukan dengan sewenangnya kita mengadakan yang baru, yang kita sangka baik.

Wallahu a'lam


 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts