Thursday, October 25, 2012

Majlis Zikir dan Zikru Allah yang tidak mencanggahi Sunnah Rasulullah (7 - akhir)


(sambungan daripada Majlis Zikir....bah. 6) 
         
Malah sebelum itu, al-Imam al-Qurtubiy (wafat: 671H) telah menerangkan kebatilan tafsiran sebahagian pihak terhadap hadis yang ada di dalam Sahih al-Bukhariy dan Sahih Muslim, sebagaimana yang telah dinukilan juga oleh al-Hafiz al-Haitsami (wafat: 974H) dalam kitabnya itu:  Kata al-Azra‘ie: dalam kitab Tawasutnya: Ketahuilah bahawa puak-puak yang sesat kerugian dengan tarian daripada golongan al-mutafaqqirah yakni al-mutasawifah, dan lainnya yang mengikuti jalan mereka daripada kalangan al-mutafaqqihah telah keliru bahawa hadis: “Zafana - زفن kaum al-Habasyah di Masjid”, iaitu dengan (huruf) “ز”dan“ف”dan“ن”: (ertinya) tarian menjadi dalil yang jelas diperbolehkan tarian di masjid-masjid dengan disertai nyanyian dan alat paluan (berbentuk bulat – gendang dsbgnya) padahal itu semua adalah salah yang nyata dan kejahilan yang buruk, diketahui melalui penjelasan terhadap (makna sebenar) hadis itu.[1]


Jawapan terhadapnya adalah sebagaimana yang disebutkan dalam penjelasan al-Qurtubiy: Adapun hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang di dalamnya: “Bahawa yang demikian itu (berlaku) pada Hari Raya, orang-orang Sudan bermain dengan perisai (diperbuat daripada kain dan kayu) dan lembing di dalam Masjid (Nabawi), maka Rasulullah bersabda kepada ‘Aisyah: {Awak suka nak lihat?} Jawabnya: {Ya} maka Rasulullah menjadikan saya berdiri di belakang baginda, pipi saya ke pipinya sambil baginda berkata: Teruskan wahai Bani Arfidah (gelaran kaum Habasyah).” Mereka mengambilnya dari sudut yang mana mereka (kaum Habasyah), telah menari-nari di dalam Masjid dan Nabi menyuruh mereka bahkan menggalakkan mereka dengan kata baginda: “Teruskan wahai Bani Arfidah”, kemudian mengizinkan ‘Aisyah melihat mereka, maka menjadi dalil kepada diperbolehkan menari dan tarian.
Jawapannya: Bahawasanya hadis ini tidak termasuk dalam perbincangan yang kita bincangkan (hukum tarian yang kami – al-Qurtubiy dan ‘ulama lainya – hukmkannya haram sementara kamu berhujjah dengan riwayat ini bahawa tarian itu diperbolehkan, tidak haram - penterjemah), sebab tiada pada kaum Habasyah itu apa-apa tarian berserta nyanyian, tidak pula hentakan kaki, tidak pula isyarat dengan goyangan tangan, malah ia adalah permainan dengan senjata, persiapan kepada pertarungan, latihan kepada penggunaan senjata dalam peperangan, mengasah ketajaman dalam melakukan serangan, mengelak, menikam dan memukul. Justeru, jika inilah perkaranya, maka mana dia (di dalam riwayat ini) kelakuan-kelakuan keperempuanan dan golongan pondan/kedi/banci/bapok (tarian) berbanding perbuatan-perbuatan keperwiraan dan keberanian (yang dilakukan kaum Habasyah dalam riwayat ini).
Adapun mengenai keizinan (Nabi kepada ‘Aisyah) untuk melihat mereka, maka sebabnya adalah tiada pada kehadiran mereka itu sesuatu kemungkaran yang layak dicemburui dan tidak pula aurat yang terdedah. [2]                      

Riwayat berikut ini, lebih meyakinkan kita lagi betapa kita tidak selayaknya duduk dalam Majlis Zikir yang sepertinya dengan caranya. Bukankah solat tidak diterima jika didahulukan sujud sebelum ruku‘. Apakah sah wudu’ yang diambil dengan mendahulukan cuci kaki kemudian baru diusap kepala atau basuh muka? Apakah ada puasa dengan bukan menahan diri daripada makan minum dan syahwat tetapi caranya dengan tidak berbicara atau tidak tidur atau lainnya? Apakah ada Zakat Harta Wajib dikeluarkan dalam bentuk memberi perabot atau perlatan rumah, bukan emas, perak, wang dan lainnya yang menurut ketetapan Syari‘at? Maka bersamalah kita faham dengan sebaik-baiknya, bukan Majlis Zikir itu yang salah, bercanggah dengan asal ajaran Islam, tetapi soal “cara” dan “perlaksanaannya” serta “tujuannya” yang menyimpang.

Riwayat daripada Ibn Mas‘ud , untuk kita amati bersama:
Daripada ‘Amru bin Yahya bin ‘Amru bin Salamah al-Hamdani yang meriwayatkan daripada bapanya, daripada datuknya:
“Suatu ketika kami sedang duduk di pintu rumah ‘Abdullah bin Mas‘ud sebelum solat Ghadah[3] (Subuh), bila ia keluar, kami akan berjalan bersama ke masjid. Lalu datanglah Abu Musa al-Asy‘ariy seraya bertanya:
[Apakah Abu ‘Abdir Rahman (yakni Ibn Mas‘ud) sudah keluar?] Jawab kami: Belum. Lantas beliau pun duduk bersama kami menunggu sehingga beliau (Ibn Mas‘ud) keluar. Apabila beliau keluar, kami segera bangun, maka berkatalah Abu Musa kepada beliau:  [Wahai Aba ‘Abdir Rahman!  Sesungguhnya aku telah menyaksikan di masjid tadi, suatu perkara yang aku ingkarinya dan pendapat ku ia masih bermaksud baik, walhamdulillah.
Tanya Ibn Mas‘ud: [Apakah perkaranya itu?] Jawab Abu Musa: [Jika anda ke sana anda akan melihatnya sendiri. Aku lihat di dalam masjid, suatu kumpulan, semuanya duduk di dalam beberapa bulatan, menunggu waktu solat. Di dalam setiap bulatan ada seorang ketua dan pada tangan mereka, ada benda buat mengira/menghitung. Ketua itu akan mengatakan: Bertakbirlah 100 kali, mereka semuanya pun bertakbir 100 kali. Ia katakan pula: Bertahlil-lah 100 kali, maka mereka pun bertahlil 100 kali dan katanya lagi: Bertasbihlah 100 kali dan mereka pun bertasbih 100 kali].
Tanya Ibn Mas‘ud: [Apa yang anda katakan kepada mereka?] Jawab Abu Musa: [Aku tidak katakan apa-apa terhadap mereka, semata-mata meminta pendapat mu] Kata Ibn Ibn Mas‘ud: [Mengapa tidak anda suruh mereka agar mengira keburukan-keburukan diri mereka dan jamin mereka bahawa amalan baik mereka tidak akan merugi (sindiran)]?
Kemudian beliau pun berjalan ke masjid bersama kami sehinggalah beliau berhadapan dengan salah satu dari kumpulan-kumpulan itu, memberhentikan mereka seraya berkata: [Apa yang aku lihat kalian sedang lakukan?] Jawab mereka: [Wahai Aba ‘Abdir Rahman, kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih dengan benda ini.]
Maka kata Ibn Mas‘ud: [Hitunglah keburukan-keburukan kamu kerana aku penjamin kalian bahawa amalan baik kalian tidak akan merugi (sindiran)! Tercelanya kalian wahai ummat Muhammad! Betapa cepatnya kalian binasa! Mereka, para Sahabat Nabi kamu, masih ramai lagi di sekeliling kamu, baju peninggalan Nabi belum pun lusuh, wadahnya belum pecah (kiasan kepada ajaran Nabi yang masih baru) dan demi Yang nyawa ku di TanganNya, kamu telah berada di atas suatu agama yang lebih baik dari agama Muhammad ataupun kamu hanya membuka pintu kesesatan?!] 
Jawab mereka: [Demi Allah wahai Aba ‘Abdir Rahman, kami hanya mahukan kebaikan.]
Tambah Ibn Mas‘ud: [Berapa ramai orang yang inginkan kebaikan, tetapi tidak mendapatkannya (kerana salah caranya). Sesungguhnya Rasulullah telah memberitakan kepada kami:
Suatu kaum membaca al-Quran, sedang bacaan mereka tidak sampai ke kerongkongan mereka (rajin baca tetapi tidak memperdalami pemahaman isinya), mereka meluncur keluar dari Islam selaju anak panah meluncur keluar dari busurnya
Demi Allah, aku tidak pasti, mungkin kebanyakan kamu ini adalah dari golongan itu] Lalu beliau pun beredar.
Sungguh aku lihat kebanyakan daripada mereka (ahli kumpulan bulatan Zikir itu) memerangi kami di dalam Peperangan Nahrawan bersama al-Khawarij.”
[Diriwayatkan oleh ad-Darimi (1/68-69), Bah-syal di dalam Tariekh Wasit (hlm.198) dengan dua jalan periwayatan daripada ‘Amru bin Yahya bin ‘Amru bin Salamah al-Hamdani, dengan isnad yang sahih.
Diriwayatkan juga Ibn Abi Hatim di dalam (al-Jarh wa at-Ta‘diel: 3/1/269) dan para perawinya yang beliau sebutkan ialah para perawi terjamin antaranya Ibn ‘Uyainah dan Ibn Ma‘ien (guru Imam al-Bukhariy) menyatakan hadis ini baik.
Demikianlah yang dijelaskan oleh Ibn Ma‘ien mengenai para perawi bapanya ‘Amru yakni Yahya (4/2/176): Yahya bin ‘Amru bin Salamah al-Hamdaniy, dan digelarkan juga al-Kindiy. Beliau telah menerima periwayatan dari bapanya sendiri (yakni ‘Amru bin Salamah) dan ramai yang   telah   menerima   periwayatan daripada beliau (Yahya) iaitu Syu‘bah, ats-Tsauriy, al-Mas ‘udiy, Qais bin ar-Rabie‘ dan anaknya sendiri ‘Amru bin Yahya.

Hadis ini (satu kaum membaca al-Qur’an… - bukan kisahnya) juga ada jalan periwayatannya yang lain di dalam al-Musnad (1/404) dan isnadnya jayid (baik). Begitu juga ia diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada beberapa orang Sahabat (3/109-117).
Riwayat ini mengandungi pengajaran yang mendalam bagi kita semua. Apatah lagi, jika ada di kalangan masyarakat kita yang melakukan sepertimana yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan yang ditegur Ibn Mas‘ud itu, yang melakukan Zikir yang bercanggah dengan as-Sunnah. Adakalanya bila kita nasihatkan dan menegur mereka, mereka akan sebaliknya menuduh kita adalah golongan yang menolak adanya Zikir, benci kepada zikir dan Majlis Zikir atau tidak suka orang berzikir.
Jika ada orang yang menolak adanya dzikir, maka benar ia boleh jatuh kufur - mengharamkan perkara yang diperintahkan oleh Allah. Tentunya tiada seorang muslim tega untuk menghukum begitu. Kalau ada orang tidak suka orang berzikir, itu tanda nifaq – sifat munafik. Tetapi sebenarnya yang kita ingkari, yang ditegah, ialah caranya, ketetapannya dengan bilangan dan hari tertentu, apatah lagi di sisi perkuburan, yang tidak bersesuaian dengan apa yang ada pada zaman Nabi. Kalau bukan kerana itu, maka mengapa, apa gerangannya yang menjadikan Ibn Mas‘ud begitu marah terhadap perbuatan mereka dan mengingkarinya??? Begitu juga Abu Musa al-Asy‘ariy. Bukankah ketua mereka itu, menentukan sesuatu daripada cara, bilangan, waktu tertentu yang tidak ditetapkan oleh Allah dan RasulNya? Seolah-olah ia telah merampas hak Allah menjadi penentu Syari‘at; Firman Allah*:
Ertinya: Apakah mereka ada sekutu-sekutu selain Allah (syirikkanNya) yang menentukan (mensyari’atkan) sesuatu dari urusan agama, apa yang tidak diizinkan oleh Allah…[4]
Tambahan lagi, yang ada di dalam as-Sunnah adalah berzikir dengan menggunakan jari-jemari.
Demikianlah yang telah dijelaskan oleh Ibn Mas‘ud (termasuk Abu Musa) bahawa perkara-perkara seperti ini bukan daripada ajaran Nabi, membawa pelakunya ke kancah kebinasaan. Bersamalah kita waspada, jaga diri dan agama kita sebaik-baiknya dari kancah kebinasaan. Selain itu, perlakuan bid‘ah yang kecil, boleh menjadi pendorong kepada perlakuan bid‘ah yang besar. Misalnya, golongan dalam bulatan zikir tersebut akhirnya memerangi umat Islam. Demikian jugalah, daripada bercanggah dengan as-Sunnah dalam berzikir, boleh akhirnya membawa kepada sikap dan sifat membenci as-Sunnah, bilamana yang jelas dalam as-Sunnah bercanggah dengan amalan dan tingkah laku serta i‘tiqad pegangannya.Wallahu a’lam.[5]

Sabda Rasulullah: (maksudnya) “Ikutilah dua orang yang datang selepas ku, Abu Bakar dan ‘Umar, berpandukanlah kepada pedoman ‘Ammar dan apa sahaja yang diberitakan kepada kamu oleh Ibn Mas‘ud maka terimalah (dalam lafaz lain:) berpeganglah dengan ajaran Ibn Mas‘ud.” [6]

Zikir adalah sesuatu yang dianjurkan Islam, tetapi caranya perlu bersesuaian dengan cara yang disyari‘atkan. Sekiranya kita mengajak sebahagian teman-teman kita bertadarus al-Qur’an atau membaca kitab hadis ataupun membaca kitab fiqh berpandukan hadis-hadis yang sahih, ataupun duduk beberapa orang tetapi masing-masing melakukan zikirnya secara senyap-senyap sendirian, maka tiada salahnya dan itulah Majlis Zikir yang ada dalam as-Sunnah dan amalan para Sahabat serta tafsiran para Imam.

Berbeza dengan berkumpul berzikir dengan suara tinggi, atau secara beramai-ramai dengan ada ketua ataupun secara serentak satu suara, atau berdendangan dengan suara beralunan yang sebahagiannya diiringi paluan alat-alat nyanyian dan lebih buruk lagi alat muzik dan segalanya itu bercanggah dengan suruhan al-Qur’an yang bersifat umum yang difahami dengan cara perlaksanaannya menurut Sunnah Nabi, tidak menepati ajaran para Sahabat dan warisan ilmu yang benar daripada para Imam Ahli Sunnah wal Jama‘ah. Lagipun, Zikir dengan Tasbih, Tahmied dan sebagainya adalah amalan sunnat, yang mana hampir keseluruhan amalan sunnat, seperti solat-solat sunnat adalah utama dilakukan sendirian dan yang menjadikan seseorang itu terselamat daripada riya’ dan sum‘ah serta lebih tenteram jiwanya dengan merasakan ia adalah “urusan” di antara dirinya dengan Allah sahaja.

Sabda Rasulullah (maksudnya): Tujuh golongan yang akan dinaungi Allah di bawah naungan ArasyNya pada hari yang mana tiada naungan selain NaunganNya…seorang yang “ذكر الله خاليا – menyendiri mengingati Allah” sehingga bergenang dan mengalir airmatanya…[7]. Semoga Allah menghimpunkan kita di dalam golongan tersebut. Ia jelas menunjukkan keutamaan Zikir Sendirian daripada berzikir dalam Majlis Zikir, sekalipun yang telah memenuhi syarat ikutan as-Sunnah.

WalLahu a‘lam.
و الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات



[1] Di dalam syarahnya terhadap hadis ini, Imam Nawawi menyatakan berikut: “...حبش يزفنون...: هو بفتح الياء و اسكان الزاي و كسر الفاء و معناه يرقصون و حمله العلماء على التوثب بسلاحهم و لعبهم بحرابهم على قريب من هيئة الراقص، لأن معظم الروايات إنما فيها لعبهم بحرابهم  فيتأول هذه اللفظة على موافقة سائر الروايات.” – ertinya: “…orang-orang Habsyi يزفنون  (yazfinun)…: ia (dieja) dengan huruf Ya’ berbaris fat-hah/atas, dan (huruf) Zaiy bertanda sukun dan huruf Fa’ berbaris kasrah/bawah dan maknanya menari dan ‘ulama mengertikannya sebagai berloncat melompat dengan senjata-senjata mereka dan bermain dengan tombak-tombak mereka yang dekat dengan gayanya seorang yang menari, sebab kebanyakan riwayat-riwayat hanya menyebutkan mereka bermain dengan lembing-lembing mereka, sehingga (riwayat) yang ini dengan lafaz ini, disesuaikan (maknanya) dengan riwayat-riwayat yang lain” – Syarh Sahih Muslim: 6/163; (K) Salat al-‘Eidayn (B) 4 – ar-Rukhsah fie al-La‘ib, alladzie la ma‘siyah fiehi fie Aiyam al-‘Eid, hadis no: (892);17, 18, 19, 20, 21, 22 (893 – Nabi halang ‘Umar daripada melempar batu ke arah mereka). Lagipun “Zafanahu” bererti menolaknya, maka dengan penjelasan ini, tiada petunjuk bahawa tarian, samada dalam zikir atau lainnya, ada dibenarkan oleh Rasulullah, kerana lafaz dalam riwayat ini bukan diertikan oleh ‘ulama sebagai tarian, sekadar meloncat melompat dalam permainan lembing dan senjata, latihan kepada Jihad. Maka pihak yang mendakwa bahawa Imam Nawawi mentafsirkannya sebagai “tarian” telah membuat kebohongan terhadap peribadi mulia imam ini dab telah melakukan jenayah ilmiyah dengan mengambil kata-kata beliau secara terputus, tergantung, bukan keseluruhannya. Ditanyakan kepada pihak seperti ini: “Nah, sekarang bila telah jelas tiada dalil, apakah anda akan berhenti menari dan bergoyang, berhayun ke depan ke belakang dalam zikir? Apakah anda akan tetap membuat dusta menggunakan nama Rasulullah bahawa baginda mengizinkan tarian? Padahal ia perbuatan Syaitan?” Kami hanya menyampaikan dan memperbetulkan fakta yang diselewengkan agar umat kembali kepada ajaran sebenar dan selamat daripada penyelewengan dan dusta terhadap ajaran asal Rasulullah, melalui keterangan dalil dan ulasan ‘ulama’. Semoga mereka bertaubat dan kembali ke jalan asal. Semuanya kerana cinta kami kepada Rasulullah dan ajaran baginda serta para pewaris sebenar ilmu baginda dan usaha menyelamatkan saudara-saudara Islam kami yang wajib kami cintai dengan jalan nasihat dan mengajak kepada kebaikan dan kebenaran. Wallahu a‘lam.  
[2] Kaff ar-Ra‘a‘ ‘an Muharramati al-Lahwi wa as-Sama‘: hlm.74-75
[3] Di antara waktu terbit Fajar sehingga terbit Matahari – Mu‘jam Lughat al-Fuqaha’: hlm.328 – dijelaskan demikian kerana ada sebahagian pihak terjemahkannya “Zohor”.
[4] Al-Qur’an: asy-Syura: 42:21
[5] Silsilat Sahihah: 5/11-12; no: 2005; Bab: Akibat melakukan bid’ah dan sikap melampau di dalam agama - dengan olahan.
[6] Riwayat Abu Ya‘la, at-Tirmidzi, ar-Ruyaniy dan Ibn ‘Adiy daripada Hudzaifah, Ibn Mas‘ud sendiri dan Anas. Kemungkinan itu sebabnya Abu Musa meminta Ibn Mas‘ud yang menegur mereka padahal beliau juga seorang Sahabat Nabi yang utama.
[7] Sahih – Riwayat Malik dan at-Tirmidzi (Abu Hurairah dan Abu Sa‘ied), Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim serta an-Nasa-i (Abu Hurairah), Muslim (Abu Hurairah dan Abu Sa‘ied bersamaan).
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts