Sunday, December 30, 2012

Solat Hajat


Saya ingin bertanya apakah Solat Hajat itu suatu Solat yang ada dalam Islam? Ataukah ia suatu bid'ah sebagaimana yang saya baca daripada apa dikatakan sebahagian pihak?

Sungguh sebenarnya pernah ditanyakan kepada seorang Ustaz, jawabnya "Solat Hajat" ini ada. Tetapi beliau kemukakan hadis tentang Solat lain, Solat Faza', bukan seperti yang difahami masyarakat kita dan diamalkan di masjid-masjid ketika diadakan kegiatan Solat Tahajjud/Qiyamullail.


Bilamana ada pihak menegur bahawa jawapan Ustaz itu mengelirukan bila menyatakan "Solat Hajat" itu suatu Sunnah Nabi, yang mana pihak yang menegur ketahui dari penjelasan pihak lain bahawa "Solat Hajat" yang difahami masyarakat kita bukan Solat Faza' dan "Solat Hajat" amalan masyarakat kita bukan mengikuti Sunnah malah boleh dikatakan Bid'ah, Ustaz itu menjadi marah dan hanya menyatakan, itu permainan penggunaan istilah dan hanya orang yang suka menimbulkan kekecohan sahaja yang persoalkannya serta beliau "pull rank" menyatakan beliau seorang Ustaz yang bertauliah, (tentu lebih tahu dan arif) daripada pihak yang menegur. Namun beliau tidak mendatangkan apa-apa hujjah. (saya bukan pihak yang membuat teguran hanya mengikuti perkembangan perbincangan di FB, Internet dsbgnya)

Saya kemudian secara peribadi telah bertanyakan pihak lain dengan harapan mendapat pencerahan, bilamana ada pihak lain yang bergelar Ustaz juga ada menyebutkan tentang Solah Hajat, dengan ikhlas kerana ingin amalkannya jika benar ada keterangan daripadanya daripada ajaran Nabi yang tercinta, malangnya, pihak tersebut menuduh saya berniat tidak baik, cari-cari isu.

Saya harap dengan penjelasan duduk perkaranya begini, kiranya Ustaz dapat berikan penjelasan pada diri saya yang ingin tahu.

Dari:
Ibnu Haj yang ingin tahu.


Jawapan:

Pertama sekali, sering kita berhadapan dengan sikap sebahagian masyarakat kita, adakalanya keluarga kita yang ingin kita sampaikan suatu kebaikan kepada mereka, dengan maksud cintanya kita pada Rasulullah dan mengajak mereka juga mencintai Rasulullah dengan cara yang diajarkan oleh para Sahabat dan Imam-imam antaranya Imam 4 Madzhab dan umumnya 'Ulama Hadis, iaitu mengembalikan urusan agama kita kepada asal ajaran suci baginda, kerana jerih payah baginda dan pengorbanan baginda yang utama adalah menyampaikan ajaran baginda.

Justeru, ajaran inilah yang mesti dipelihara dengan sifat sucinya yang asal dan diamalkan serta disebarkan peringatan kepada umat agar turut memeliharanya serta ia yang menjadi punca kepada kesatuan umat, yang mengikuti ajaran yang pada dasarnya satu, daripada Nabi yang satu.

Perpecahan berlaku bilamana umat tidak mengikuti ajaran asal yang suci yang satu. Perselisihan yang kembali pada dasar ini tidak akan menjejas kesatuan kerana semua berniat ingin menuruti ajaran Nabi. Sebab itu para Imam kita berselisih tetapi tetap ada kesatuan. Berbeza dengan perselisihan yang terbit kerana tidak menuruti dasar ini.

Para Sahabat dan para Imam zaman yang awal telah berjaya melakukan demikian sehingga "ajaran asal Nabi" menjadi jelas dan terpelihara, kesatuan umat dengan terkumpulnya ajaran Nabi yang asal dalam Kitab-kitab Hadis dan lainnya.

Lumrahnya ada sebahagian mereka yang dapat menyambut baik ajakan kita, namun ramai pula yang tidak dapat melihat tujuan murni kita dan samada menolak atau kurang senang, malah menjadi marah. Adakalanya dengan kesilapan cara kita menyampaikan (saya katakan ini umum, bukan ditujukan pada saudara yang bertanya) dan seringkali juga kerana sikap manusia yang mudah ikut perasaan, berprasangka dan sensitif, meskipun kita berlembut dan adakalanya sekadar mengajak menilai, mereka telah merasakan seolah-olah kita menuduh, menghalang mereka daripada kebaikan dan seumpamanya.

Kedua, apabila kita menjelaskan sesuatu yang telah kita dapatkan ilmunya bahawa sesuatu perkara itu tiada dalam ajaran Sunnah Nabi, mereka yang kita ajak kepada dasar ini biasanya berhujjah dengan berikut: "Ustaz/Ustazah atau Mufti katakan boleh" atau "Ustaz/Ustazah/Mufti sendiri lakukan", "kalau tak boleh takkan mereka lakukan", "takkan mereka tak tahu". Adakalanya kita datangkan ayat, hadis atau penjelasan 'ulama sekalipun, inilah yang mereka katakan dan malah mereka katakan: "Takkan awak lagi tahu?".

Ramai yang mengadu kepada saya, seperti "mati kutu" tidak dapat menjawab bila mereka mengeluarkan hujjah sebegini. Saya dulu dalam berbincang dengan bapa saya, sering juga bapa saya keluarkan hujjah ini, sehingga akhirnya Allah membukakan minda saya, saya tanya bapa saya kembali:
"Pak, Ustaz/Ustazah/Mufti tu, mereka melakukannya kerana mereka tahu atau mereka tidak tahu, pokoknya kita pun tak tahu yang mereka tahu atau tidak tahu, beramal dengan ilmu atau tanpa ilmu atau tersilap? Bukan itu sahaja, kalau sekiranya mereka tahu pun, apakah mereka beramal menurut ilmu mereka ataukah mereka ikutkan orang, melakukan apa yang mencanggahi ilmu mereka?" 
Maka hujjah mereka dengan kata-kata itu semua tadi, bukan atas ilmu, malah "tidak tahu" cuma mereka "beranggapan" Ustaz/Ustazah/Mufti itu tahu. Itu bukan hujjah dan bukan ilmu, padahal Allah telah berpesan, maknanya:
"Jangan engkau mengikuti apa yang engkau tiada ilmu tentangnya..." Surah al-Israa: 36.
Alhamdulillah, bapa saya kini orang yang tidak ikut sembarangan dan telah terima dasar ini. Walhamdulillah.

Saya perjelaskan segalanya ini dahulu sebab saudara menyebutkan tentang Ustaz begitu dan begini dan selaku orang awam, biasanya orang akan ambil kata-kata Ustaz, tanpa mengembalikan kepada dasar ini, walhal Imam Malik (wafat: 179H) rahimahullaah, 'Alim terkemuka zamannya, guru kepada Imam asy-Syafi'ie telah menyatakan:
“Tiada seorang pun selepas Nabi  kecuali semestinya diambil atau tertolak pendapatnya melainkan Nabi .”[*]

Mereka mengikut kata-kata atau kesimpulan hukum seseorang Ustaz/Ustazah tanpa mengembalikannya pada dasar dan mereka lupa untuk menilai sejauh mana kedudukan/taraf/tahap ilmu Ustaz/Ustazah itu, biarpun mungkin Ustaz/Ustazah itu lebih berilmu daripada orang awam, tetapi apakah sama dibandingkan dengan 'ulama terbilang yang para pensyarah/professor menjadi murid-murid mereka? 

Malah 'ulama juga mesti mengikuti dasar ini, seperti yang dipesan oleh Imam Malik. bukan asal sahaja telah diberi "title" oleh sebahagian pihak. Agama kita ada dasar dan dengan dasar juga sesuatu dinilaikan demi mentaati Allah dan menjunjung ajaran Rasulullaah dan mewarisi sikap dan sifat teladan para Sahabat dan para Imam. 

Ketiga: Saya menjawab soalan saudara dengan mengemukakan jawapan pihak yang lebih 'alim. Kemudian dengan tulisan peribadi saya, berupa nota pengajian yang telah saya siapkan beberapa tahun yang lalu. 

Semoga bermanfaat.

1. Jawapan Fatwa al-Lajnah ad-Da-imah:

أما ما يسمى بصلاة الحاجة ؛ فقد جاءت بأحاديث ضعيفة و منكرة ، فيما نعلم ، لا تقوم بها حجة و لا تصلح لبناء العمل عليها
عضو/ عبدالله بن قعود.
عضو/ عبدالله بن غديان.
نائب رئيس اللجنة/ عبدالرزاق عفيفي.
الرئيس/ عبدالعزيز بن عبدالله بن باز.
فتاوى اللجنة الدائمة (8/ 161

Terjemahannya: 
"Adapun apa yang dinamakan (digelarkan) dengan Solat Hajat, maka ia telah disebutkan dalam beberapa hadis yang lemah dan munkar (di antara hadis yang teramat lemah) - sejauh pengetahuan kami, tidak dapat ditegakkan hujjah (untuk beramal) dengannya dan tidak layak untuk menjadikannya sebagai dasar amalan." 
Anggota: 'Abdullah Qu'oud, 'Abdullah bin Ghudaiyaan, Naib Ketua: 'Abdur Razzaaq 'Afifiy dan Ketua: 'Abdul 'Aziez bin Baaz. Fatwa no: 161/8
2. Nota berkenaan Solat Hajat

Solat Hajat samada ia ada dalam as-Sunnah, sehingga layak digelarkan “Solat Sunnat” atau tidak ada dalam as-Sunnah, adalah satu perkara yang dipertikaikan oleh 'ulama. Namun dalam apa jua perselisihan, kita disuruh bersikap terbuka, mendengarkan bagi kedua-dua belah pihak dan mengambil pihak yang mendatangkan kebenaran yang nyata dan sekaligus, meninggalkan pendapat yang nyata kepada kita, sebagai tidak bertepatan, demi sikap kita yang mahu sentiasa mengagungkan Nabi shallallahu 'alayhi wasallam dan mensucikan ajaran baginda shallallahu 'alayhi wasallam daripada apa-apa yang tersilap, hasil kesilapan seseorang 'alim yang masih kita hormati, tetapi kita terpaksa tidak mengikuti 'alim tersebut pada perkara yang beliau tersilap, menurut keterangan ‘ulama yang ramai yang membuat analisa dan kajian yang adil, yang menjelaskan kesilapan tersebut.

Firman Allah:
Maksudnya: Sampaikanlah khabar gembira kepada hamba-hamba Ku. (iaitu mereka) Yang berusaha mendengarkan penyampaian yang sampai kepada mereka lalu mereka memilih dan menuruti yang terbaik daripadanya (pada dasar ilmu dan taqwa). [1]
FirmanNya yang lainnya:
Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.[2]
Berikut penjelasan mengenai perselisihan tersebut:

a. Ada sebahagian kitab yang sebutkan tajuk/bab: "Solat Hajat", manakala sebahagian lainnya tidak menyebutkannya:

i. Tiada:
- Solat Hajat tidak disebutkan sebagai salah satu daripada Solat-solat Sunnat di dalam kitab-kitab berikut: Bada-i' as-Sana-i': 1/430-443 (Madzhab Hanafi), al-Ma'unah: 1/320-338 (Madzhab Maliki), al-Hawi al-Kabier (al-Mawardi asy-Syafi'ie) juga tidak menyenaraikannya. Al-Mughnie: 3/321-350 (Hambali) juga tidak menyebutkannya. Begitu juga kitab Bidayat al-Mujtahid dan sebahagian kitab hadis seperti Sahih al-Bukhariy, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud dan lainnya.

ii. Ada:
- Solat Hajat disebutkan di bawah tajuk Solat-solat Sunnat di dalam al-Majmu' (an-Nawawi) 4/60, Fiqh Sunnah (Sayyid Sabiq) 1/200 (bah.Arab), al-Fiqh al-Islami (Wahbah Zuhaili) 2/77. Kitab hadis Sunan at-Tirmidzi (2/504; Kitab as-Solat, Bab [348]: Ma Ja-a fie Solat al-Hajat, no: 479) juga ada menyebutkannya sebagai satu bab khusus, namun beliau (Imam at-Tirmidzi) menghukumkan hadis tersebut Da‘ief/lemah, yakni disangsikan kebenarannya daripada Nabi.

b. Hasilnya,

i. ada sebahagian pihak mengatakan ada Solat Hajat dan boleh diamalkan/dikerjakan

ii. Ada pihak lain yang menyatakannya: “Usah diamalkan”

iii. Ada pihak lain pula hanya mengemukakan riwayatnya sahaja dengan memberi isyarat.

Sebenarnya, persoalan ada atau tidak kembali kepada "dalil" yang menyokong samada benar ia ada ataupun tidak ada di dalam as-Sunnah.

i. Hadis yang disebutkan Imam Nawawi di dalam al-Majmu‘ (beliau sendiri seperti tidak meyakini hadis tersebut, cuma beliau seperti ingin jelaskan: "ada pihak kata Solat Hajat boleh diamalkan tetapi sayangnya hujjah mereka tidak dapat diterima kerana tiada hadis yang kuat yang dapat dengannya diamalkan "Solat Hajat"). Hadisnya (trj): Daripada Ibn Abi Aufa katanya: Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam bersabda:

"من كانت له حاجة إلى الله تعالى أو أحد من بني آدم فليتوضأ فليحسن الوضوء ثم ليصل ركعتين ثم يثني على الله و ليصل على النبي ثم ليقل: لا إله إلا الله الحليم الكريم، سبحان الله رب العرش العظيم الحمد لله رب العالمين أسألك موجبات رحمتك و عزائم مغفرتك و الغنيمة من كل بر و السلامة من كل إثم لا تدع لي ذنبا إلا غفرته و لا هما إلا فرجته و لا حاجة هي لك رضاء إلا قضيتها يا أرحم الراحمين"
Maknanya: “Barangsiapa yang ada hajat kepada Allah ataupun seseorang di kalangan anak-anak Adam maka hendaklah ia berwudu’ dengan sempurna kemudian ia solat 2 rakaat lalu memanjatkan puji-pujian kepada Allah dan hendaknya ia berselawat ke atas Nabi shallallahu 'alayhi wasallam dan setelah itu ia mengucapkan: لا إله إلا الله الحليم الكريم”…wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah.

Kata al-Imam an-Nawawi membuat ulasan terhadap hadis ini: 
Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan beliau menghukumkannya Da‘ief.[3] Begitu sahaja ulasan al-Imam an-Nawawi dan beliau juga tidak memuatkan “Solat Hajat” di dalam kitab Riyad as-Salihin.
Imam al-Mubarakfuri membuat ulasan berikut: 
Kata Imam al-Mundziri: at-Tirmidzi meriwayatkannya dan begitu juga Ibn Majah, kedua-duanya daripada periwayatan Fa-id bin ‘Abdir Rahman.
Kata al-Hakim setelah menyebutkan riwayat ini: Fa-id seorang yang hadisnya masih dapat diterima. 
Kata al-Mundziri: Fa-id ini seorang perawi Matruk (yang dikecam sebagai seorang yang berbuat dusta dan hadisnya tertolak). 
Ibn ‘Adiy pula mengatakan: Dengan kedudukannya yang lemah/Da‘ief ini, hadisnya masih ditulis/dicatatkan[4]. 
Walaubagaimanapun, al-Albaniy menyebutkan hadis ini dalam Da‘ief Sunan at-Tirmidzi dan menjelaskan bahawa ia sebuah hadis yang Da‘ief, begitu juga riwayat Ibn Majah (hadis no: 1384) yang dihukumkan bersama riwayat at-Tirmidzi ini kerana sanadnya bercantum (sumber yang sama), sebagai “Da‘ief Jiddan” ertinya “teramat sangat lemah dan tertolak”. 
Imam Ahmad juga menghukumkan Fa-id seorang yang “Matruk al-hadiets” (hadisnya tertolak kerana dikenali seorang yang dikecam dengan sifat berdusta).[5]

ii. Sementara di dalam kitab Fiqh Sunnah pula, Ustadz Sayyid Sabiq mengemukakan riwayat berikut:

"من توضأ فأسبغ الوضوء ثم صلى ركعتين يتمهما أعطاه الله ما سأل معجلا أو مؤخرا"
Ertinya: Barangsiapa yang berwudu’ dan ia menyempurnakan wudu’nya sesempurnanya, kemudian ia mendirikan solat 2 rakaat dengan sempurna, Allah akan kurniakan kepadanya apa jua permintaannya samada segera atau tertunda.

Sebelum mengemukakan riwayat ini, beliau menyatakan berikut trj.): 
Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanad yang Sahih daripada Abu ad-Darda’: bahawasanya Nabi bersabda:…(hadis yang disebutkan tadi).
Kata al- ‘Allamah al-Albaniy memperbetulkan kesilapan Sayyid Sabiq: 

“Daripada mana yang beliau (Sayyid Sabiq) dapat katakannya sebagai Sahih, padahal di dalam sanadnya ada seorang perawi Majhul (yang tidak dii‘tiraf sebagai perawi hadis)? Sebab ia ada di dalam al-Musnad (Imam Ahmad): 6/442-443, daripada jalan periwayatan Maimun Abi Muhammad al-Mara-i, at-Tamimi. Kata Imam Ibn Ma‘ien mengenainya: Aku tidak mengenalinya (selaku perawi hadis), kata Imam Ibn ‘Adiy: dengan itu, beliau seorang Majhul (tidak diketahui) dan sebab itulah kata Imam adz-Dzahabi: Tidak dikenali.[6]

iii. Dalam kitab al-Fiqh al-Islami pula, Dr Wahbah az-Zuhaili hanya menyebutkan hadis yang sama seperti (i) dan beliau hanya mengatakan: at-Tirmidzi menyatakannya Gharieb.

Daripada pembentangan itu tadi, menjadi jelas kepada kita bahawa sebenarnya, “Solat Hajat” tiada diriwayatkan di dalam riwayat yang Sahih, meskipun benar, ada sebahagian kitab yang menyebutkannya sebagai Solat Sunnat. Pada hakikatnya, sesuatu itu tidak dapat dan tidak layak dikatakan “Sunnat” kecuali jika ia sabit keberadaannya dalam as-Sunnah sebagaimana yang jelas dalam pengertian “Sunnat” di sisi Ahli Usul Fiqh dan Ahli Fiqh. Oleh itu, bilamana hadis-hadisnya lemah dan tidak dikira daripada Sunnah Nabi shallallahu 'alayhi wasallam yang Tsabitah (yang pasti), maka adalah lebih utama tidak diamalkan Solat ini, tidak pula dilakukan suatu Solat menurut kaifiyat (tatacara) yang disebutkan di dalam riwayat yang lemah tersebut. Apatah lagi yang tiada dalam riwayat langsung seperti yang biasa “dikatakan” orang: Rakaat pertama baca “Qul ya” atau “ayat Kursi” sekian banyak kali dan rakaat keduanya “Qul hu” sekian banyak…dan lainnya.

Selain itu, bilamana ‘ulama membahagikan Solat Sunnat kepada 2 jenis;

i. yang dilakukan berjemaah seperti Kusuf (Gerhana), Istisqa’ (minta Hujan), Qiyam Ramadhan (Terawaih), dan

ii. yang dilakukan sendirian (tidak berjemaah),

jelasnya di sisi mereka yang menyebutkannya sebagai “Solat Sunnat” sekalipun, yang menganggapnya masih boleh diamalkan, maka ia tidak dilakukan berjemaah kerana tiada contohnya daripada baginda shallallahu 'alayhi wasallam. Namun, perlu diamati di sini, al-Imam at-Tirmidzi, tidak menyatakan Solat Hajat sebagai Solat Sunnat, beliau hanya menyebutkan (trj.): Apa yang ada disebutkan berkenaan Solat Hajat dan beliau menyatakan hadisnya lemah dan Imam an-Nawawi juga telah melakukan yang sama, beza dengan Sayyid Sabiq dan az-Zuhaili. Wallahu a‘lam.

Adapun sebagai “alternatif” iaitu jika seseorang ingin menyokong doanya, permintaannya kepada Allah dengan suatu bentuk sokongan, maka memadai baginya melakukan apa jua amalan salih yang ada petunjuknya daripada ajaran Sunnah baginda shallallahu 'alayhi wasallam seperti Tilawah al-Quran, atau apa jua Solat Sunnat yang jelas sabit ada dalam as-Sunnah seperti Solat Sunnat Wudu’, Tahiyatul Masjid, apatah lagi Solat Malam (Qiyamullail atau Tahajjud) pada 1/3 malam terakhir iaitu pada saat doa amat mustajab dan segera diperkenankan oleh Allah asal memenuhi syarat-syaratnya, Insya Allah. Wallahu a‘lam.

Segalanya ini dijelaskan sebagai memenuhi tuntutan baginda shallallahu 'alayhi wasallam agar menyampaikan nasihat sesama muslim dan juga dorongan Allah dalam Surah al-‘Asr, agar berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran. Apatah lagi pada perkara yang membantu menyelamatkan saudara Islam daripada azab api Neraka kerana Rasulullah telah bersabda:

" من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار"

Barangsiapa yang berdusta atas namaku (mempergunakan nama baginda shallallahu 'alayhi wasallam untuk berdusta – apa yang bukan ajaran Nabi didakwakan sebagai ajaran baginda) dengan sengaja maka ia telah menempah tempatnya di Neraka. [7]

Iaitu dalam perbahasan ini, agar umat Islam dan masyarakat Islam tidak mengatakan, mengi‘tiqadkan dan mendakwa sesuatu itu sebagai sunnat padahal tiada daripada keterangan as-Sunnah dan juga sebagai ikutan sikap dan pegangan para Imam terdahulu:

Imam Muslim di dalam Muqaddimah Sahih Muslim telah memberikan judul:
بَاب وُجُوبِ الرِّوَايَةِ عَنِ الثِّقَاتِ وَ تَرْكِ الْكَذَّابِينَ وَ التَّحْذِيرِ مِنَ الْكَذِبِ عَلَى رَسُولِ الله
ertinya: Kewajipan meriwayatkan daripada para perawi yang terjamin periwayatannya dan meninggalkan riwayat pendusta serta berwaspada daripada berdusta dengan memperguna nama Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam.
Kemudian beliau menyambung:

Ketahuilah, semoga Allah Ta‘ala memberi petunjukNya kepada anda, bahawasanya adalah wajib atas setiap peribadi untuk mengetahui perbezaan antara yang benar daripada riwayat dan yang berpenyakit (lemah), antara para perawi yang dipercayai terjamin periwayatannya dan yang tidak dipercayai, serta ia tidak meriwayatkan kecuali apa yang ia telah jelas pasti kesahihannya…[8] 
Kata al-Hafiz as-Sakhawiy di dalam kitab beliau: al-Qaul al-Badie‘ fie Salat ‘ala al-Habieb asy-Syafie‘: halaman 115:
Aku telah mendengar guru kami (al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy) berulang kali beliau nyatakan dan beliau telah menulis kepada ku dengan tulisan tangan beliau sendiri:

“Sesungguhnya syarat-syarat beramal dengan hadis yang lemah ada 3:

1. Disepakati (oleh para Ahli Hadis): semestinya “lemah”nya tidak terlalu lemah. Maka dengannya terkeluarlah (tidak layak beramal dengan hadis yang diriwayatkan dengan) periwayatan tersendiri para pereka hadis, pendusta, yang disyaki/dipercayai sebagai pendusta dan golongan perawi yang kekeliruannya dalam periwayatannya amat buruk.

2. Ia masih terangkum di bawah satu dasar umum, maka terkeluarlah apa yang pada asalnya rekaan yang tidak punya asal – (tiada satu nas al-Quran atau hadis sahih yang menyokongnya – penterjemah)

3. Tidak boleh dii‘tikadkan ketika beramal dengannya bahawa ia sesuatu yang sabit (pasti diperolehi) agar tidak disandarkan kepada Nabi apa yang tidak pernah Nabi ucapkan/lakukan.[9]

Demikian penjelasan al-Hafiz Ibn Hajar, yang mana dengan syarat pertamanya sahaja, begitu ramai golongan bergelar ahli agama, ustaz/ustazah tidak dibenarkan memperkatakan sesuatu sebagai Fada’il al-A‘mal yang layak atau boleh diamalkan, sebab mereka tidak mengetahui Ilmu ar-Rijal, para perawi hadis, untuk dengannya dapat dikesan dan diketahui samada syarat pertama telah dapat dipenuhi atau tidak. Hanya pakar bidang hadis sahaja yang dapat mengetahuinya. Rasanya memadai yang demikian sehingga tidak perlu dikemukakan ulasan lainnya daripada ‘ulama’ terhadap syarat-syarat lainnya. 

WalLahu a‘lam. Hanya orang yang sedar diri, yang tidak sombong dan angkuh, yang akan mengakui kekurangan ilmunya dan mengingati pesanan para Imam terdahulu antaranya al-Imam al-Bukhariy: “Al-‘Ilm qabla al-Qaul wa al-‘Amal” ertinya “Berilmu sebelum berkata/menyampaikan dan beramal”[10].


Wallahu a‘lam.
_________________________

[*] Kata-kata ini dinisbahkan kepada Imam Maalik dan ia masyhur demikian di sisi ulamaa mutakhir (zaman kebelakangan) dan ia telah dijelaskan benar shohih daripada beliau oleh Ibn ‘Abdil Haadi di dalam “Irsyaadus Saalik”: 227/1, Ibn ‘Abdil Barr juga telah meriwayatkannya di dalam Al-Jaami’: 2/91, Ibn Hazm di dalam Usuulul Ahkaam: 6/145, 179 dari kata-kata Al-Hakam bin ‘Utaibah dan Mujaahid serta disebutkan juga oleh Taqiyuddien As-Subki di dalam Al-Fataawaa: 1/148 daripada kata-kata Ibn ‘Abbaas dengan rasa kagum terhadap kandungannya, kemudian beliau berkata: Dan Mujaahid telah mengambil kata-kata ini daripada Ibn ‘Abbaas dan Maalik pula mengambil daripada mereka berdua, semoga Allah meredhai beliau dan menjadi masyhur daripada Maalik.


Kemudian Imam Ahmad mewarisinya daripada mereka semua, sungguh Abu Dawud telah berkata di dalam Masaa-il Al-Imam Ahmad (mks: 276): Aku telah mendengar Ahmad berkata: Tiada seorang pun kecuali pendapatnya diterima atau ditolak selain Nabi.


[1] Al-Qur’ān, az-Zumar: 39:18


[2] Al-Qur’ān, al-Hujurat: 49:1


[3] Al-Majmu‘ syarh al-Muhadzdzab: 4/60


[4] Tuhfat al-Ahwadzi bi Syarh Jami‘ at-Tirmidzi: 2/504


[5] Da‘ief Sunan at-Tirmidzi: 54


[6] Tamam al-Minnah fie at-Ta‘lieq ‘ala Fiqh as-Sunnah: hlm.260


[7] Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam-imam Ahmad, Al-Bukhariy, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa-i, Ibn Majah, al-Hakim, at-Tabaraniy dan selain mereka yang keseluruhannya diriwayatkan daripada 63 orang Sahabat – sebuah hadis mutawaatir yang tiada keraguan lagi padanya.


[8] Sahih Muslim; Muqaddimah Sahih Muslim Bab: 5.


[9] Hukum al-‘Amal bi al-Hadiets ad-Da‘ief fie Fada-il al-A‘mal: hlm.36-37


[10] Kitab Sahih al-Bukhariy, Kitab:3; Kitab al-‘Ilm, Bab: 10; Bab al-‘Ilm qabla al-Qaul wa al-‘Amal. Fath al-Bari: 1/192

   
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts