Thursday, December 13, 2012

Solat Istikharah - Pengertian & Tatacaranya

Soalan:

Bagaimanakah sebenarnya cara perlaksanaan Solat Istikharah dan tujuan perlaksanaannya?

Ridzwan Rahmad


Jawapan:

Bismillah wal hamdulillaah was solaatu was salaamu 'alaa Rasuulillaah wa 'alaa aalihi wa sahaabatihi wa manit taba'ah, wa ba'du.

Suatu penjelasan mengenainya yang telah lama saya siapkan, semoga bermanfaat.

Solat Istikharah

Perlu difahami bahawa sebenarnya ada 2 pentafsiran terhadap maksud Istikharah. Istikharah iaitu melakukan solat 2 raka‘at, yang bukan daripada kategori solat-solat fardu[1] kemudian berdoa meminta kepada Allah dengan doa yang warid (yang diajarkan sendiri oleh Rasulullah) telah ditafsirkan sebagai:
  1. meminta keputusan daripada Allah dengan melakukan solat 2 raka‘at tersebut beserta doanya lalu menanti dan mengharapkan “jawapan/keputusan”nya daripada Allah. Dikatakan bahawa keputusan/jawapan Allah itu, dapat diketahui melalui mimpi atau tanda-tanda serta kecenderungan hati.
  2. bertekad dan berazam ingin melakukan sesuatu, lalu membuat keputusan sendiri untuk meneruskannya setelah melakukan usaha-usaha yang menjamin perlaksanaan dan kejayaannya, tetapi masih berserah kepada Allah dengan melakukan Solat Istikharah, agar Allah sentiasa membimbingnya sehingga jika ia kebaikan dan bermanfaat untuk urusan keduniaan dan akhiratnya, Allah memudahkannya dan menjadikannya berhasil, tetapi seandainya sebaliknya, Allah segera palingkannya daripada perkara tersebut dengan usaha-usaha yang gagal dan perjanjian serta perancangan yang terbatal atau aral yang melintanginya.

Perhatian: Istikharah adalah Sunnat muakkadah hukumnya[2] dan ia disyari‘atkan pada perkara yang mubah/harus dan yang baik dan tidak pula pada perkara yang terlarang. Misalnya melakukan Istikharah untuk bermusafir dengan tujuan berjudi, maka ia tidak boleh melakukan Istikharah sebab perkara itu telah jelas haram dan ia mendatangkan keburukan dunia dan akhirat. Begitu juga perkara yang telah jelas hukum makruhnya, tidak perlu kepada Istikharah. Selain itu, perkara yang telah jelas wajib dan sunnat tuntutannya tidak perlu kepada Istikharah untuk melakukannya. Contohnya, segala syarat kemampuan dan sebagainya telah dipenuhi untuk menunaikan Haji, tetapi ia buat Istikharah, samada hendak pergi atau tidak, padahal telah wajib, maka dalam contoh ini tidak perlu kepada Istikharah.

Sebagaimana penjelasan ramai ‘ulama muhaqqiq, maka tafsiran yang kedua, iaitu beristikharah setelah membuat pilihan sendiri dan meminta agar Allah permudahkan jika baik serta palingkan/gagalkan jika tidak baik, adalah lebih tepat berdasarkan lafaz-lafaz yang terkandung di dalam hadis tersebut. Antara para Imam yang berpendapat demikian dan menjelaskan kurang tepatnya pendapat yang menyatakan sebaliknya adalah al-‘Iraqi[3], al-‘Izz bin ‘Abdis Salam[4] dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani[5] dan di kalangan ‘ulama semasa asy-Syeikh Muhammad bin ‘Umar Bazmoul dengan kata beliau (terjemahan):

"Istikharah itu tidak boleh dilakukan pada saat ragu-ragu, kerana Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam telah bersabda:  
, إذا هَمَّ أَحَدُكُم بالأمر ... -

“Sekiranya seseorang di antara kamu telah berkeinginan sungguh (bertekad) melakukan suatu perkara/urusan”

Justeru jika seseorang muslim masih berasa ragu-ragu dalam satu perkara, maka hendaklah ia memilih satu keputusan dan memohon petunjuk pada perkara pilihannya itu. Setelah beristikharah, ia serahkan segalanya berjalan sesuai dengan pilihan/keputusan tersebut. Jika baik, mudah-mudahan Allah memberikan kemudahan dan keberkahan padanya. Jika sebaliknya, mudah-mudahan Allah memalingkan dirinya daripada perkara tersebut serta memudahkan baginya apa yang lebih baik dengan izin Allah.

Hadis yang menjelaskan Solat Istikharah (Doa yang dibaca adalah yang diwarnakan sahaja):

Daripada Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu'anhu yang meriwayatkan: 

Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam telah mengajarkan Istikharah kepada kami dalam segala urusan sepertimana (caranya) beliau mengajar kami satu surah daripada Al-Quran, sabda baginda: 
 , إذا هَمَّ أَحَدُكُم بالأمر فليركع ركعتين من غير الفريضة، ثم ليقل:





 “Sekiranya seseorang di antara kamu telah bertekad melakukan suatu perkara/urusan, maka hendaklah ia ruku‘ (solat) dua raka‘at selain solat fardu, lalu mengucapkan (berdoa): [Doanya di dalam Bahasa Arab] ertinya:
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk Mu dengan Ilmu Mu, (dan) aku memohon ketetapan Mu dengan Kekuasaan Mu (Menentukan segala sesuatu), (dan) aku menagih dari Kelebihan Mu yang Agung kerana Engkau yang Maha Menentukan (Berkuasa) sedangkan aku tidak mampu menentukan (tidak berkuasa) dan Engkau Maha Mengetahui, sedang aku tidak mengetahui dan Engkau yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.

Ya Allah, sekiranya Engkau Maha Mengetahui bahawa perkara ini baik buat ku pada agama ku, hidup ku dan kesudahan urusan ku (atau ia ucapkan: pada masa depanku yang dekat mahupun yang jauh), maka tentukanlah ia untuk ku dan mudahkanlah ia bagi ku, kemudian berkatilah daku dengannya. Seandainya Engkau Yang Maha Mengetahui bahawa perkara ini buruk buat diri ku pada agama ku, hidup ku dan kesudahannya, maka Engkau palingkanlah ia dari ku dan palingkanlah daku darinya serta tentukanlah yang baik bagi ku dengan apa jua (yang baik) dan jadikanlah aku redha dengannya - lalu disebutkan hajatnya itu.” [7]

Daripada hadis ini, difahami perkara-perkara berikut sebagaimana yang disimpulkan oleh ‘ulama’:

Cara melakukannya

  1. Istikharah dilakukan setelah seseorang bertekad dan membuat pilihan untuk memilih atau melakukan sesuatu dan hukumnya adalah sunnat muakkadah (amat digalakkan). 
  2. Ia dilakukan dengan mendirikan 2 raka‘at Solat Sunnat, tidak kira samada ia adalah Solat Sunnat Rawatib, Qabliyah atau Ba‘diyah, Tahiyatul Masjid, Mutlaq, asalkan bilangannya 2 raka‘at. Kemudian setelah selesai Solat, berdoa dengan doa yang telah Nabi ajarkan.
  3. Zahir keterangan hadis menunjukkan tidak perlu mengulangi Istikharah pada perkara yang sama. 

_____________________________

[1] Menurut keterangan berdasarkan dalil dan hujjah yang lebih kuat, Istikharah itu boleh dilakukan pada apa jua solat sunnat 2 raka‘at misalnya Solat Sunnat Rawatib, Tahiyatul Masjid dan sebagainya. Namun, sebaiknya ia berdoa selepas solat (berbeza dengan pendapat Syeikhul Islam dan sebahagian ‘ulama lainnya) dan tiada salahnya jika hanya setelah solat itu ia teringat dan berniat Istikharah lalu memanjatkan doa Istikharah, sebagaimana penjelasan Imam an-Nawawi, al-‘Iraqi dan ramai lagi - Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari: 11/189 dan Bughyat al-Mutatawwi‘ fi Solat at-Tatawwu‘ (terjemahan): 125-131. Dalam pada itu, al-Hafiz menenkankan betapa pentingnya Istikharah dilakukan oleh seorang muslim, terutama pada perkara yang ada kesan besar pada dirinya dan kehidupannya, malah betapa banyak perkara yang dianggap remeh, ternyata punya kesan yang besar.

[2] Ada perselisihan pendapat ‘ulama mengenainya dan sunnah muakkadah adalah pilihan kebanyakan para imam meskipun hujjah-hujjah kedua belah pihak (sunnat atau wajib) setaraf darjat kekuatannya.

[3] Al-Imam ‘Abdur Rahiem bin al-Husayn bin ‘Abdir Rahman, Abul Fadl al-Hafiz al-Qari’, yang masyhur dengan gelaran al-Hafiz al-‘Iraqi. Antara karangan beliau Dzayl Mizan al-I‘tidal dan Takhriej Ihya’ ‘Ulum ad-Dien. Lahir pada tahun 725H dan beliau wafat pada tahun 806H – Syadzarat adz-Dzahab: 7/55. Penjelasan beliau tersebut ada di dalam Syarh al-Adzkar Ibn ‘Allan: 3/345.

[4] Al-Imam yang bergelar “Sultan al-‘Ulama” ‘Izzud Dien bin ‘Abdis Salam as-Salmi asy-Syafi‘ie. Seorang ahli Hadis, ahli Usul dan ahli Fiqh – lahir tahun 577H wafat pada tahun 660H. - Syadzarat adz-Dzahab: 5/301 – penerangan beliau di dalam Syarh al-Adzkar Ibn ‘Allan: 3/345.

[5] al-Hafiz ahli Hadis terkemuka al-Imam Ahmad bin ‘Aliy bin Muhammad al-‘Asqalani, Abul Fadl , Syihab ad-Dien. Dilahirkan pada tahun 773H dan beliau wafat pada tahun 852H. Penjelasan beliau diterangkan di dalam Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari: 11/187-191.

[6] Boleh dibaca huruf “د” samada dibaca dengan “ـِ” (kasrah) atau “ـُ” (dommah) - al-Fath: 11/187

[7] Hadis riwayat al-Bukhari (Sahih al-Bukhari: ad-Da‘awat: 80 no: 6382 – al-Fath: 11/187)
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts