Friday, December 26, 2014

Memperingati Maulid bukan Adat malah Bid'ah (Bhg.1)

Soalan:

Saya ingin kepastian, apakah benar kenyataan pihak yang mengatakan bahawa Maulid bukan suatu perayaan keagamaan, maka tidak terkena padanya hukum bid'ah dan ia semata-mata suatu Adat Kaum Muslimin. Boleh juga dikatakan bahawa ia dikira "Mubah/Harus/Diperbolehkan" dalam hukum agama kerana Nabi tidak pernah melarang dan tidak pula menganjurkan/menyuruh, maka ia bukan wajib atau sunnat dan tidak pula haram atau makruh. Terima kasih Ustaz atas pencerahannya.

Yang inginkan kepastian.

Yahya Md Sah (Bedok Reservoir)



Jawapan:

Bismillaah


الحمد لله وحدة و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من تبع هداه
أما بعد


Semoga Allah mengurniakan petunjukNya kepada saya dan anda yang bertanya, mahupun setiap insan yang ikhlas mencari kebenaran.

Pihak yang berkata demikian, jika daripada kalangan orang awam, bukan golongan yang berpendidikan Universiti Islam, maka mudah-mudahan mendapat kesedaran bilamana kita berikan kepada mereka keterangan daripada sumber-sumber yang jelas dan kesimpulan 'ulama terdahulu yang terbilang, yang jauh lebih hebat daripada mana Ustaz/Ustazah pun, malah sekalipun ia 'alim dunia sekarang ini. Kita selaku orang awam, yang bukan 'alim dalam bidang agama, tidak dapat menelaah kitab-kitab 'ulama' terdahulu, semestinya mempunyai sikap berhati-hati dan sentiasa menilai apa-apa yang sampai kepada kita daripada kesimpulan berkaitan dengan agama kita, yang akan kita jadikan kepercayaan, pegangan dan amalan kita.

Firman Allah:

ertinya: “Dan janganlah engkau mengikuti/mengatakan apa yang kau tiada ilmu tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan dipertanggungjawabkan” [1]

Adapun jika ia dari kalangan "orang berilmu" bergelar Ustaz/Ustazah atau 'alim, maka samada ia tidak tahu kedudukan sebenar perkara ini dengan kesimpulan 'ulama terbilang, ataupun ia tidak membuat rujukan dulu sebelum berkata malah mungkin juga berkata tanpa ilmu, sehingga kata-katanya bercanggah ajaran asal 'ulama terkemuka daripada zaman kegemilangan ilmu Islam.


Mengatakan Maulid bukan perayaan keagamaan, sehingga tidak disifatkan sebagai suatu bid'ah.

Ini jawapan saya:

a. Sebelum ini, malah sehingga kini, walaupun saya telah usaha menjelaskan kepada beberapa pihak, malah siapa diri saya ini kalau dibanding 'ulama terbilang (saya hanya menukilkan fakta, kesimpulan 'ulama terdahulu), bahawa Maulid itu Bid'ah, ada sahaja pihak yang masih cuba mempertahankannya sebagai "sunnat" malah ada yang katakan "wajib", ataupun "menzahirkan kesyukuran dengan kelahiran dan perutusan Nabi Muhammad adalah wajib".  
Dengan lancang golongan seperti ini telah menyatakan bahawa 'ulama, zaman demi zaman, malah para Sahabat, sebelum kemunculan Perayaan Maulid (mula disambut / diraikan / diperingati) telah meninggalkan perkara yang "wajib" maka telah berdosa atau meninggalkan "Sunnah" Nabi. Tidakkah selayaknya kita berhati-hati dalam kesimpulan kita?  
Walhamdulillah, walhamdulillaah, usaha kami tidak sia-sia, Allah perlihatkan hasilnya sedang kami masih hidup di bumi Allah yang sementara ini, kerana kini, timbul golongan yang telah terima ia bukan wajib, bukan pula sunnat tetapi sayangnya mendakwa bahawa ia bukan pula bid'ah. Antara orang 'alim yang mengatakan demikian adalah Sayyid al-'Alawi al-Maaliki. Setahu saya, setiap orang yang membuat kesimpulan demikian bersandarkan pada kesimpulan beliau sebagaimana yang akan saya perlihatkan buktinya kelak.  
b. Mengatakan perayaan Maulid bukan perayaan keagamaan bagi orang yang memperbolehkannya adalah seumpama orang yang menyatakan: "Saya tidak makan tepung" tetapi ia masih makan roti. Sebab rasanya, siapa pun faham, tiada orang yang makan tepung mentah dan bila orang itu makan roti, tentu kita katakan padanya: "Kata awak tak makan tepung? yakni makanan dibuat daripada tepung".  
Menolak "Maulid" sebagai bukan perayaan adalah seumpama ungkapan sedemikian. Sebab Maulid memang perayaan keagamaan bagi umat Islam. Bilamana ia perayaan umat Islam, ia terangkum dalam "ajaran Islam" atau "yang baru" yang diperkenalkan dalam ajaran Islam. Buktinya, apakah kita meraikan "Chingay" atau "Thaipussam" dan sepertinya selaku umat Islam? Begitu pula sebaliknya, apakah kaum Nasrani atau Yahudi atau Hindu dan lainnya, meraikan "Maulid Nabi Muhammad"??? Bukankah itu bukti nyata keterkaitannya dengan agama, meskipun pihak tersebut cuba "keluarkannya" dari "agama".  
Bukti lainnya, mengapa 'ulama hebat-hebat daripada zaman dahulu, semenjak adanya perayaan Maulid tidak membuat kenyataan bahawa "ia Adat" lalu memasukkannya dalam perbahasan Qawa'id Fiqhiyah Qa'idah Kubronya "al-'Aadah Muhakkamah" tetapi mereka secara sepakat mengatakan Maulid Bid'ah, meskipun ada yang katakan masih ada padanya perkara-perkara Hasanah (kebaikan).  
Apakah 'ulama dahulu seperti al-Hafiz Ibn Hajar atau al-Hafiz as-Suyuti, terlepas pandang? Tiba-tiba muncul 'alim dunia Alawi Maaliki katakannya "Adat" bukan "Bid'ah"? Siapalah Syeikh 'Alawi Maaliki dibanding 'ulama terkemuka itu semua. Bagaimana beliau boleh menyelisihi jalan 'ulama', lalu menempuh jalan baru untuk menafikan "bid'ah"nya Maulid bilamana 'ulama telah menyatakannya Bid'ah??? 'Ulama pewaris Nabi yang sebenar, tidak akan menyelisihi jalan 'ulama terdahulu. Semoga Allah beri petunjuk kepada semua.

Akan kami bentangkan penjelasannya daripada 'ulama terdahulu dengan pernyataan-pernyataan mereka yang kami sebutkan sekali lalu dalam kiriman(posting) selanjutnya, Insyaa Allah.


____________________

[1] Surah al-Israa: 36
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts