Saturday, February 23, 2013

Beberapa Perkara Yang Diharamkan Di Kubur

Dari Abi Mar-tsad al-Ghanawiy radhiyallahu'anhu katanya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam bersabda:

, لا تصلوا إلى القبور ، و لا تجلسوا عليها -
“Jangan kalian solat menghadap kubur dan jangan duduk di atasnya.” [1]




1. Mendirikan solat ke arah kubur, berdasarkan hadis tadi.

Dengan itu, ia mengandungi petunjuk haramnya solat ke arah kubur jika diambil secara zahirnya akan makna larangan di dalam hadis tersebut dan itulah pendapat al-Imam an-Nawawi, sementara al-Imam al-Munawi pula menyatakan di dalam kitab beliau (Fayd al-Qadier) dalam mensyarahkan/menerangkan maksud hadis tersebut:
“Yakni menghadapnya, kerana padanya terdapat perbuatan mengagungkannya pada had yang melampau, sebab dengannya ia telah disamakan dengan martabat Yang disembah (Allah), maka hadis ini dengan maksud keseluruhannya menggandingkan di antara larangan meremehkannya padahal ia perlu dihormati dan larangan mengagungkannya pada had yang melampau.”

Kemudian pada kesempatan yang lain beliau menyebutkan:
“Sebab ia adalah perbuatan yang dibenci/makruh. Jika maksud seseorang insan mendirikan solat di situ (kubur) dengan maksud mendapatkan keberkahan, maka ia telah mengadakan bid‘ah (rekaan baru) di dalam agama apa yang tidak diizinkan Allah. Dan yang dimaksudkan adalah makruh bersifat lebih utama ditinggalkan demi memelihara kesucian agama dan diri. Kata Imam an-Nawawi: Demikianlah pendapat para pendokong mazhab kami dan jika dikatakan ia makruh yang membawa kepada yang haram sekalipun, maka itupun masih hampir kepada kesimpulan yang tepat kerana mengambil maksud zahir hadis tersebut. Dapat disimpulkan juga dari hadis hukum terlarangnya didirikan solat di perkuburan dan ia adalah makruh yang membawa atau mirip kepada yang haram.”

Perlu diketahui dengan jelas bahawa maksud hukum haram yang disebutkan tadi, dimaksudkan bilamana solatnya menghadap ke arah kubur, bukan dengan maksud mengagungkannya, adapun jika dengan dimaksudkan begitu (mengagungkannya), maka ia adalah perbuatan syirik.

Kata asy-Syeikh‘Aliy al-Qari (al-Mirqah: 2/372) ketika mensyarahkan hadis ini:
“Sekiranya perbuatan mengagungkan tersebut pada hakikatnya mengandungi makna pengagungan yang sebenar kepada kubur dan kepada si mati di dalam kubur tersebut, telah jatuh kufurlah orang yang melakukannya dan perbuatan yang menyerupainya pula adalah makruh[2] yang membawa kepada yang haram dan sesuatu yang setaraf dengan hukum ini bahkan lebih darinya[3] ialah jenazah yang diletakkan sebelum dikebumikan, dan inilah yang dihadapi oleh penduduk Mekkah, yang mana mereka meletakkan jenazah di sisi Ka‘bah kemudian mereka menghadapnya.”[4]

2. Mendirikan solat di sisinya, walaupun tidak menghadap ke arahnya (kubur). 

Mengenainya terdapat beberapa hadis:

Pertama: Dari Abi Sa’ied Al-Khudriy radhiyallahu'anhu katanya: Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam telah bersabda:

, الأرض كلها مسجد إلا المقبرة و الحمام -
“Muka bumi seluruhnya adalah masjid (boleh didirikan solat padanya) kecuali perkuburan dan bilik air.” [5]

Kedua: Dari Anas radhiyallahu 'anhu:

"أن النبي نهى عن الصلاة بين القبور على الجنائز "
“Bahawasanya Nabi shallallahu 'alayhi wasallam telah melarang perbuatan mendirikan solat di antara kubur.”

[Riwayat al-Bazzar (441, 442 dan 443) dari beberapa jalan periwayatan dari Anas. Kata al-Haitsamiy dalam al-Majma‘ (2/27): Para perawinya adalah para perawi Sahih. Kata asy-Syeikh: Ibn al- A‘rabiy meriwayatkan juga dalam (Majma‘nya: 235/1) dan at-Tabaraniy (al-Ausat: 1/280) serta ad-Diya’ al-Maqdisi (al-Ahadiets al-Mukhtarah: 79/2) dengan tambahan lafaz: “ke atas jenazah-jenazah – على الجنائز”]

Ketiga: Dari Ibn ‘Umar daripada Nabi yang telah bersabda:

, اجعلوا في بيوتكم من صلاتكم و لا تتخذوها قبورا -
“Lakukanlah sebahagian solat kamu (yang sunnat) di rumah kamu dan jangan jadikannya seperti perkuburan.” [6]

Keempat: Dari Abi Hurairah katanya: Rasulullah telah bersabda:

, لا تجعلوا بيوتكم مقابر ، إن الشيطان ينفر من البيت الذي تقرأ فيه سورة البقرة -
“Janganlah kamu jadikan rumah kamu seperti perkuburan kerana sesungguhnya Syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah” [7]

3. Membina masjid-masjid di atasnya[8]. 

Ada beberapa hadis berkenaan dengannya, saya sebutkan sebahagian darinya:

Pertama: Dari ‘A-isyah dan ‘Abdullah Ibn ‘Abbas kata mereka berdua:
“Sewaktu Rasulullah ditimpa sakit yang menyebabkan kewafatan baginda [9], baginda meletakkan sehelai kain pada wajah baginda dan apabila baginda lega baginda mendedahkan wajah semula[10], lalu baginda bersabda sedang baginda di dalam keadaan demikian: 
, لعنة الله على اليهود و النصارى اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد - 
{Laknat Allah ke atas orang-orang Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur para Nabi sebagai masjid-masjid/tempat-tempat ibadat.}
memberi peringatan agar menjauhi dan berwaspada dari apa yang telah mereka lakukan” [11]

Kata ‘A-isyah di dalam riwayat yang lain:
“فلولا ذاك أُبْرِز قبره غير أنه خُشي أن يُتَّخذ مسجدا” 
“Kalaulah tidak kerana demikian, tentu aku telah membiarkan kubur baginda ditonjolkan tapi kerana ditakuti akan dijadikan masjid/tempat ibadat.”[12]

Kedua: Abu Hurairah meriwayatkan sabda baginda:
, اللهم لا تجعل قبري وثنا ، لعن الله قوما اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد - 
“Ya Allah, janganlah Kau jadikan kubur ku satu sembahan. Allah melaknati kaum yang menjadikan kubur para Nabi sebagai masjid-masjid/tempat-tempat ibadat.” [13]

Ketiga: Dari Jundub katanya: “Aku telah mendengar Nabibersabda lima hari sebelum kewafatan baginda:
, [ قد كان لي فيكم أخوة و أصدقاء ، و ] إني أبرأ إلى الله أن يكون لي منكم خليل ، فإن الله تعالى قد اتخذني خليلا ، كما اتخذ إبراهيم خليلا ، و لو كنت متخذا من أمتي خليلا ، لاتخذت أبا بكر خليلا ،
ألا و إن من كان قبلكم كانوا يتخذون قبور أنبيائهم و صالحيهم مساجد ،
ألا فلا تتخذوا القبور مساجد ، وإني أنهامكم عن ذلك - 
“{[Telah terjalin di antara diriku dan kalian persaudaraan dan persahabatan dan sesungguhnya aku] berlepas diri kepada Allah untuk mempunyai khaliel (teman sejati yang setia) dari kalangan kamu, sebab Allah telah mengambil ku sebagai teman setiaNya, sebagaimana Dia telah mengambil Ibrahiem sebagai teman setiaNya. Sekiranya aku mampu untuk mengambil seorang khaliel, pastinya aku telah menjadikan Abu Bakar sebagai khaliel ku. Ketahuilah juga bahawa mereka yang sebelum kamu menjadikan kubur-kubur para Nabi dan orang-orang salih mereka sebagai masjid. Ingatlah jangan kalian jadikan kubur sebagai masjid/tempat ibadat dan aku sesungguhnya melarang kamu dari perbuatan tersebut}.” [14]

Keempat: Dari ‘Abdillah bin Mas‘ud katanya: “Aku telah mendengar Rasulullah bersabda:
, إن من شرار الناس من تدركه الساعة و هم أحياء ، و من يتخذ القبور مساجد - 
“{Sesungguhnya di antara manusia yang paling buruk ialah mereka yang hidup ketika berlakunya Kiamat dan yang menjadikan kubur-kubur sebagai masjid-masjid}.” [15]

Kelima: Dari ‘A-isyah katanya:
“Sewaktu Nabi sakit, sebahagian dari isteri baginda menyebutkan tentang ingatan mereka akan sebuah gereja di negeri Habasyah digelarkan Maariyah dan Ummu Salamah serta Ummu Habiebah memang pernah ke Habasyah. Mereka pun menyebutkan tentang kecantikan gereja tersebut serta keindahan lukisan dan ukiran yang terdapat di dalamnya. Maka Rasulullah pun bersabda: 
, إن أولئك إذا كان فيهم الرجل الصالح [ فمات ] بنوا على قبره مسجدا ،
ثم صوروا فيه تلك الصور ، أولئك شرار الخلق عند الله [ يوم القيامة ] - 
{Sesungguhnya mereka itu, jika ada di antara mereka seorang lelaki yang salih [lalu ia mati], mereka bina di atas kuburnya sebuah masjid/tempat ibadat, kemudian mereka membuat gambar-gambar dan ukiran serta lukisan tersebut. Mereka itulah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah [pada Hari Kiamat]}.”[16]

Perbuatan menjadikan kuburan sebagai masjid yang disebutkan di dalam hadis-hadis tadi, merangkumi beberapa perkara berikut:
Pertama: Solat menghadap ke arah kubur.
Kedua: Bersujud di atas kubur atau di kubur.
Ketiga: Membina masjid di atasnya

Perkara yang kedua, jelas secara zahir dan nyata dari maksud menjadikan kuburan sebagai masjid atau tempat sujud. Perkara yang pertama dan ketiga pula dirangkumkan ke dalam maksud yang kedua dan telah dinaskan di dalam beberapa hadis tadi. Saya telah menjelaskan perkara ini dengan terperinci dengan mendatangkan pendapat ‘ulama’, yang secara langsung membicarakannya berdasarkan hadis-hadis tersebut di dalam sebuah kitab yang khusus: “Tahdzier As-Sajid min Ittikhadz al-Qubur Masajid” ertinya: “Peringatan kepada yang bersujud dari perbuatan menjadikan kubur sebagai masjid”. Saya sebutkan juga, sejarah bila berlakunya kemasukan kubur Nabi ke dalam bangunan Masjid an-Nabawi asy-Syarief dan betapa banyaknya percanggahan terhadap petunjuk hadis-hadis tadi, yang berlaku dengan terjadinya perkara tersebut. Walaubagaimanapun solat di masjid tersebut secara khususnya, tidak makruh. Maka sesiapa yang inginkan perbahasan yang lebih meluas mengenai segalanya itu, sila rujuk kitab tersebut.

4. Menjadikan kubur sebagai suatu tempat perayaan

Menjadikan kubur sebagai suatu tempat perayaan atau pergi kepadanya, pada waktu-waktu tertentu, musim-musim yang tetap, samada untuk tujuan beribadat di sisinya atau selainnya, berdasarkan hadis Abi Hurairah yang meriwayatkan:
“Rasulullah telah bersabda: 
, لا تتخذوا قبري عيدا ، و لا تجعلوا بيوتكم قبورا ، و حيثما كنتم فصلوا علي ، فإن صلاتكم تبلغني - 
{Janganlah kalian jadikan kuburku suatu ‘Eid[17] dan janganlah pula kalian jadikan rumah-rumah kalian seperti kuburan dan di mana saja kamu berada maka berselawatlah ke atas ku kerana ucapan selawat kamu sampai kepada ku}.”[18]

Daripada kitab asal:
Ada diriwayatkan secara Mursal, dengan sanad yang kuat daripada Suhail katanya:
“al-Hasan bin al-Hasan bin ‘Aliy bin Abi Talib melihatku di sisi kubur (Nabi), maka beliau memanggilku sedang beliau berada di rumah Fatimah dan sedang makan malam, maka katanya: Marilah makan malam.
Jawabku: Saya tidak mahu.
Kata beliau: Kenapa engkau berada di sisi kubur?
Jawabku: Aku memberi salam kepada Nabi.
Maka beliau pun menjelaskan: Jika engkau kebetulan masuk ke masjid, engkau memberi salam. Kemudian beliau menyambung: Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: (lalu beliau sebutkan hadis tadi - penterjemah) diriwayatkan oleh Sa‘ied bin Mansur…

Daripada kitab asal (hlm: 282 – 285):
Kata asy-Syeikh al-Albaniy:
Kemudian kata asy-Syeikh (Syeikhul Islam dalam Iqtida’) hlm. 175-181:  
Lantaran itu, Imam Malik dan lainnya dari kalangan Ahli Ilmu, membenci bagi penduduk Madinah, untuk mendatangi kubur Nabi dan kedua Sahabat baginda, lalu memberi salam kepada baginda dan kedua-duanya, setiap kali mereka masuk masjid.  
Kata beliau: Itu hanyalah untuk orang yang baru tiba daripada perjalanan bermusafir…Sebahagian mereka pula memberi keringanan untuk seseorang memberi salam kepada baginda apabila masuk ke masjid untuk solat dan sebagainya. 
Adapun jika tujuannya, tetap dan sentiasa untuk berselawat dan ucapkan salam kepada baginda (di sisi kubur baginda, ketika masuk masjid), maka setahu saya, tidak ada seorang pun (dari ‘ulama’) yang memberi kelonggaran dalam hal itu….Dalam ingatan saya, tiada daripada seorang Sahabat pun, tidak pula Tabi‘ie (murid Sahabat - penterjemah) dan tidak pula seorang Imam yang terkenal yang menyatakan bahawa digalakkan mendatangi mana-mana kubur untuk berdoa di sisinya, tiada seorang pun meriwayatkan perkara itu, tidak daripada Nabi ataupun para Sahabat baginda dan tidak pula seorang pun daripada para imam yang dikenali. 
Begitu ramai yang telah mengarang berkenaan Doa, tempat-tempatnya dan waktu-waktunya (yang mustajab diperkenankan dan digalakkan – penterjemah) dan mereka telah mengemukakan riwayat-riwayatnya, namun tiada seorang pun menyebutkan kelebihan Doa di sisi kubur, walau satu huruf pun, sejauh pengetahuan saya, maka bagaimana mungkin boleh jadi untuk menyimpulkan bahawa doa di sisi kuburan adalah lebih afdal dan diperkenankan, sedangkan as-Salaf mengingkarinya, tidak megetahuinya (kerana tiada riwayat – penterjemah) menegahnya dan tidak menyuruh agar dilakukan…

Maka kesimpulannya, diharuskan untuk menziarahi kubur Nabi, walaupun ketika telah berada di kota Madinah, cuma yang terlarang adalah sengaja memperbanyak dan berulang-ulang menziarahinya, sebab itulah intipati larangan baginda dan pada masa yang sama, diperbolehkan beberapa kali tanpa maksud memperbanyak kerana adanya perbuatan Ibn ‘Umar menziarahinya beberapa kali. Maka sepertimana yang Syeikhul Islam katakan: Sebahagian mereka pula memberi keringanan untuk seseorang memberi salam kepada baginda apabila masuk ke masjid untuk solat dan sebagainya…(dengan ringkasan penterjemah)]

5. Bermusafir dengan maksud menziarahi kubur. 

Terdapat beberapa hadis mengenainya:

Pertama: Dari Abi Hurairah dari Nabi yang telah bersabda:

, لا تُشَدُّ الرحال إلا ( و في رواية : إنما يسافر) إلى ثلاثة مساجد : المسجد الحرام (مسجد الكعبة)،
و مسجد الرسول (و مسجدي)، و مسجد الأقصى (إيلياء) - 
“Tiada bersusah-payah dalam mengadakan persiapan perjalanan bermusafir kecuali (di dalam riwayat lain: hanyasanya bermusafir itu untuk) ke tiga masjid; al-Masjid al-Haram, Masjid ar-Rasul dan Masjid al-Aqsa.”[19]

Kedua: Dari Abi Sa‘ied al-Khudriy katanya:

“Saya telah mendengar Rasulullah bersabda:

, لا تُشَدُّ ( و في لفظ : تَشُدوا ) الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد : مسجدي هذا ،
و المسجد الحرام ، و مسجد الأقصى - 
{Tiada bersusah-payah (di dalam lafaz lain: Jangan kalian bersusah-payah) untuk mengadakan persiapan perjalanan bermusafir kecuali ke tiga masjid; Masjid ku ini, al-Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa.}” [20]

Ketiga: Dari Abi Basrah al-Ghifariy bahawasanya beliau menemui Abu Hurairah sedang beliau (Abu Hurairah) baru pulang dari perjalanan bermusafir, maka beliau pun bertanya kepadanya:
“Dari mana anda datang?
Jawabnya: {Saya baru tiba dari at-Tur dan saya telah solat di sana}. Kalaulah saya sempat bertemu dengan mu sebelum keberangkatan mu ke sana, pastinya anda tidak jadi pergi ke sana. Sesungguhnya saya telah mendengar Rasulullah bersabda: 
, لا تُشَدُّ الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد : المسجد الحرام ، و مسجدي هذا ، و مسجد الأقصى - 
{Tiada bersusah-payah untuk mengadakan persiapan perjalanan bermusafir kecuali ke tiga masjid al-Masjid al-Haram, Masjid ku ini dan Masjid al-Aqsa.}” [21]

Keempat: Dari Qaz‘ah yang meriwayatkan:
“Aku telah bermaksud untuk bermusafir ke at-Tur, maka aku tanyakan perkara itu kepada Ibn ‘Umar. Maka jawab beliau: Tidakkah anda tahu bahawa Nabi telah bersabda: 
, لا تُشَدُّ الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد : المسجد الحرام ، و مسجد النبي ، و مسجد الأقصى - 
{Tiada bersusah-payah untuk mengadakan persiapan belayar kecuali ke tiga masjid; al-Masjid al-Haram, Masjid Nabi dan Masjid al-Aqsa.} Tinggalkanlah keinginan mu untuk ke at-Tur dan usah pergi ke sana.” [22]
_____________________________________________

[1] Riwayat Muslim (3/64) dan lainnya.
[2] yakni jika orang melakukan begitu tanpa maksud pengagungan yang sama, sekadar menyerupai sahaja, misalnya tidak mengetahui adanya kubur ataupun tiada tempat lain untuk solat - penterjemah.
[3] Yakni lebih mirip kepada haram.
[4] Wallahu a’lam. Mungkin asy-Syeikh ‘Aliy al-Qari menyatakan demikian sebagai teguran terhadap penduduk Mekkah yang meletakkan jenazah sebelum disolatkan jenazahnya di sisi Ka‘bah dan sewaktu itu ada orang yang solat menghadap Ka‘bah sedang jenazah melintang di hadapannya, antara tempat ia berdiri solat dan Ka‘bah. Maka jika solat di kuburan demikian hukumnya sebagaimana yang telah beliau jelaskan, hukum solat menghadap jenazah dengan adanya ruku’ dan sujud selain solat jenazah adalah lebih berat lagi, sebab permasalahannya adalah “orang mati diagungkan”, yang tidak kelihatan, di dalam kubur terlarang, inikan pula yang susuk tubuhnya nyata dilihat. Jika bukan “pengagungan orang mati” yang menjadi sebahagian punca larangan, lalu mengapa pula Solat Jenazah tiada ruku‘ dan sujud padanya? Namun ini adalah apa yang dapat difahami daripada penjelasan dan kesimpulan beliau – penterjemah.
[5] Riwayat keempat-empat Imam As-hab as-Sunan kecuali an-Nasa-i dan selain mereka juga meriwatkannya dengan sanad yang Sahih.
[6] Riwayat al-Bukhariy (1/420) dan Muslim (2/187) serta Ahmad (no: 4511, 4653 dan 6045).
[7] Riwayat Muslim dan al-Bukhariy telah memberikan penerangan judul bab bagi hadis ketiga tadi dengan kata-katanya: Bab Dibencinya Perbuatan mendirikan Solat di Perkuburan – باب كراهية الصلاة في المقابر.
Mungkin maksud Asy-Syeikh al-Albaniy ialah; difahami juga dari hadis ini, surah al-Baqarah yang dibaca ketika solat sunnat seperti ketika Solat Tahajjud ataupun beliau mengingatkan kita tentang larangan bacaan al-Quran di perkuburan setelah mendatangkan beberapa hadis yang melarang solat di perkuburan untuk menekankan lagi betapa tiada bezanya di antara hukum kedua-dua perkara kerana seirasnya lafaz hadis-hadis tersebut.
Di dalam kitab asal, asy-Syeikh ada mendatangkan hujjah sebahagian ‘ulama’ yang mentafsirkan (i)yang terlarang ialah solat di dalam kubur bukan di kawasan perkuburan – al-Isma‘ieli (ii) ia bererti penghuni rumah digalakkan solat di rumah, kerana penghuni kubur orang mati, tidak solat di kediaman mereka (kubur), sebab orang mati tidak solat- Ibnut Tien. Namun segala tafsiran ini kurang tepat sebab ada lafaz hadis yang jelas bukan di dalam kubur, tapi di kawasan perkuburan. Begitu juga beberapa hadis sahih menerangkan para Nabi solat di kubur mereka di alam barzakh. Maka yang lebih tepat ialah pendapat para ‘ulama’ yang ramai yang mentafsirkan hadis-hadis tersebut sebagai larangan solat di kawasan perkuburan.
[8] Di tapak kawasan perkuburan atau di mana terdapat kubur secara umumnya.
[9] Demikian yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim (5/12) dalam menerangkan maksud perkataan “ نُزِلَ ” (penterjemah).
[10] Di dalam riwayat lain disebutkan kain basah untuk meredakan demam baginda yang amat panas.
[11] Riwayat al-Bukhariy (1/422, 6/386, 8/116) dan Muslim (2/67) dan lainnya.
[12]Riwayat al-Bukhariy (3/156, 198, 8/114) dan lainnya. Perlu diketahui bahawa ‘ulama’ telah menjelaskan (antaranya Imam an-Nawawi) bahawa kubur Nabi jadi “termasuk” ke dalam Masjid Nabawi setelah dilakukan perluasan masjid beberapa kali. Namun tetap digalakkan agar dielakkan dari solat di kawasan yang menghadap ke arah kubur baginda dan 2 Sahabat utama, biarpun telah didirikan tembok pemisah.
[13] Riwayat Imam Ahmad (2/246), Ibn Sa‘ad (at-Tabaqat: 2/362) dan lainnyadengan sanad Sahih.
[14] Riwayat Imam Muslim (2/67-68) dan lainnya.
[15] Riwayat Imam Ahmad (no: 3844, 4143, 4144 dan 4342) dengan 2 isnad yang Hasan dan diriwayatkan juga oleh beberapa Ahli Hadis lainnya.
[16] Riwayat al-Bukhariy (1/416, 422) dan Muslim (2/66,67) dan lainnya.
[17] Asy-Syeikh al-Albaniy di dalam kitab asal, ada mendatangkan riwayat dari al-Hasan bin al-Hasan bin ‘Aliy bin Abi Talib yang menerangkan maksud hadis ini. Begitu juga beliau membuat beberapa tukilan dari Syeikhul Islam dari al-Iqtida’ (hlm:155-156 dan 175-181). Ringkasnya, maksud ‘Eid adalah perayaan atau sesuatu yang berulang-ulang samada pada tempat, masa atau musim tertentu.
[18] Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud: (1/319), Ahmad (2/367) dengan sanad yang hasan dan ia memenuhi syarat periwayatan Imam Muslim serta ia Sahih dengan adanya banyak Syawahid dan jalan periwayatan lainnya.
[19] Riwayat al-Bukhariy dengan lafaz pertama dan Muslim dengan lafaz kedua.
[20] Riwayat al-Bukhariy dan Muslim dan selain mereka berdua.
[21] Riwayat at-Tayalisi (1348) dan Ahmad (6/6) dan Isnadnya Sahih serta diriwayatkan juga oleh beberapa Ahli Hadis yang lain.
[22] Riwayat al-Azraqiy (Akhbar Makkah: hlm. 304) dengan Isnad yang Sahih.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts