Saturday, December 27, 2014

Memperingati Maulid bukan Adat malah Bid'ah (Bhg.2)

sambungan daripada Bahagian 1

Berikut kami paparkan kesimpulan yang dibuat oleh Syeikh al-'Alawi al-Maaliki:



"Maksud Perhimpunan (untuk meraikan sesuatu) 
Telah berlanjutan menurut adat kita untuk kita berhimpun berkumpul untuk menghidupkan/memperingati yang bersempenakan beberapa peristiwa bersejarah seperti Maulid Nabi, memperingati Isra' dan Mi'raj, Nisfu Sya'ban, Hijrah Nabi, Nuzul Qur'an, peristiwa Peperangan Badar, yang pada penilaian kami, perkara ini adalah suatu Adat kebiasaan, tiada hubung-kaitnya dengan agama maka dengan itu tidak disifatkan sebagai "masyru'" (disyari'atkan - dari ajaran Islam) atau Sunnat, sebagaimana ia juga tidak bertentangan dengan satu-satu dasar daripada Usuluddien (dasar-dasar utama agama Islam), sebab yang merbahaya adalah bilamana di'itikadkan sesuatu itu masyru' (disyari'atkan dalam agama Islam) padahal ia tidak disyari'atkan dan pada penilaian saya, perkara-perkara seperti ini adalah Adat menurut 'Urf (kebiasaan masyarakat) yang paling tidak dikatakan tentangnya samada ia disukai oleh asy-Syari' (Allah) ataupun ia dibenci (olehNya)."[1]

Bandingkan dengan pernyataan para Imam berikut yang tidak menilainya sebagai Adat malah Bid'ah. Apalah yang ada pada kesimpulan Syeikh 'Alawi Maaliki, bila dibandingkan dengan para Imam ini dari sudut keluasan ilmu. Maksud saya, jika dalam urusan keduniaan, kita akan cari pakar dan yang paling ahli, lalu mengapa dalam urusan agama kita rasa cukup dengan "yang tidak cukup keahlian lagi telah diketahui beberapa kali membuat jenayah ilmiyah", sila perhatikan:

i. Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalaniy[2]

أصل عمل المولد بدعة لم تنقل عن أحد من السلف الصالح في القرون الثلاثة  و لكنها مع ذلك قد اشتملت على محاسن و ضدها، فمن تحرى في عملها المحاسن و تجتنب ضدها كان بدعة حسنة ، و إلا فلا...

“Asalnya perbuatan menyambut Maulid (Rasul) merupakan satu bid'ah yang tidak pernah dinukilkan (diriwayatkan) daripada seorang pun daripada golongan Salafussoleh pada 3 kurun (300 tahun pertama selepas Hijrah) tersebut. Walau bagaimanapun, ia menghimpunkan berbagai perkara kebaikan dan juga sebaliknya (perkara-perkara keburukan). Maka barangsiapa dalam melakukannya memilih dengan teliti perkara-perkara kebaikan dan menghindari yang sebaliknya, jadilah ia satu bid‘ah hasanah, jika tidak, maka tidak…”[3]

ii. Syeikhul Islam Ibn Taimiyah[4] yang telah mengarang kitab beliau Iqtidho as-Siraat al-Mustaqiem dengan panjang lebar untuk menjelaskan keburukan sambutan Maulid. Beliau menyatakannya sebagai bid‘ah munkarah:

Kata beliau:

"و من المنكرات في هذا الباب: سائر الأعياد و المواسم المبتدعة، فإنها من المنكرات المكروهات، سواء بلغت الكراهة التحريم أو لم تبلغه ، و ذلك أن أعياد أهل الكتاب و الأعاجم نهي عنها لسببين:
أحدهما: أن فيها مشابهة للكفار

و الثاني: أنها من البدع ، فما أحدث من المواسم و الأعياد فهو منكر، و إن لم يكن فيه مشابهة لأهل الكتاب لوجهين:
أحدهما أن ذلك داخل في مسمى البدع و المحدثات، فيدخل فيما رواه مسلم في صحيحه، عن جابر....(ذكر الأدلة حديث خير الهدي، حديث عائشة ، حديث العرباض)...هذه قاعدة قد دلت عليها السنة و الإجماع (ثم ذكر قوله تعالى: أم لهم شركاؤا شرعوا لهم من الدين ما لم يأذن به الله – الشورى: 21 ...سورة التوبة: 31 ....ذكر تفصيل ذلك مطولا ثم...و إنما يفعل مثل هذا النصارى...و كذلك ما يحدثه بعض الناس – إما مضاهاة للنصارى في ميلاد عيسى عليه السلام ، و إما محبة للنبي صلى الله عليه و سلم و تعظيما  و الله قد يثيبهم على هذه المحبة و الإجتهاد ، لا على البدع – من اتخاذ مولد النبي صلى الله عليه و سلم عيدا مع اختلاف الناس في مولده ، فإن هذا لم يفعله السلف مع قيام المقتضى له و عدم المانع، و لو كان هذا خيرا محضا أو راجحا لكان السلف رضي الله عنهم أحق به منا فإنهم كانوا أشد محبة لرسول الله صلى الله عليه و سلم و تعظيما له منا و هم على الخير أحرص. وإنما كمال محبته و تعظيمه في متابعته و طاعته و اتباع أمره و إحياء سنته باطنا و ظاهرا، و نشر ما بعث به و الجهاد على ذلك بالقلب و اليد و اللسان ، فإن هذه هي طريقة السابقين الأولين من المهاجرين و الأنصار ، و الذيبن اتبعهم بإحسان، و أكثر هؤلاء الذين تجدونهم حرصاء على أمثال هذه البدع، مع ما لهم فيها من حسن القصد و الإجتهاد الذي يرجى لهم به المثوبة تجدونهم فاترين في أمر الرسول ....  


Maknanya: 

Daripada kemungkaran dalam bab ini: musim-musim dan perayaan lainnya yang berupa bid‘ah. Sebab segalanya itu daripada bid‘ah yang dibenci, samada sampai pada tahap haram ataupun tidak sampai haram. Yang demikian sebabnya adalah, perayaan Ahli Kitab dan kaum selain Islam terlarang kerana 2 sebab: 
Pertama: penyerupaan dengan orang-orang Kafir 
Kedua: kerana ia daripada perkara-perkara bid‘ah. Maka apa sahaja perayaan atau musiman yang diada-adakan maka ia adalah suatu kemungkaran, walaupun tiada padanya penyerupaan dengan Ahli Kitab kerana 2 sudut: 
Pertama: Ia termasuk dalam perkara yang bergelar bid‘ah dan rekaan baru dalam urusan agama dan ia termasuk daripada apa yang dinyatakan dalam Sahih Muslim daripada Jabir – (ertinya) “Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Firman Allah dan sebaik-baik panduan adalah panduan Muhammad manakala seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan dalam urusan agama dan setiap yang direka-reka dalam hal agama adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah kesesatan” dan dalam riwayat an-Nasa –i “setiap yang sesat tempatnya di Neraka…” dan Hadis ‘A-isyah: “Barangsiapa yang mengadakan sesuatu yang baru dalam urusan agama kami ini apa yang bukan daripada ajarannya maka ia tertolak” dan Hadis al-‘Irbadh:  “Sesungguhnya, sesiapa di antara kalian yang masih hidup selepas kewafatan ku pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka kewajipan kalian berpegang kuat dengan Sunnah ku dan Sunnah Khualafa Rasyidien yang diberi petunjuk dan Waspadalah daripada segala rekaan baru kerana setiap rekaan baru adalah bid‘ah.” 
Kaedah ini telah sedia ada petunjuknya daripada as-Sunnah dan juga al-Ijma‘ begitu juga ayat-ayat al-Quran menjelaskannya (kemudian beliau utarakan sebahagian ayat-ayat tersebut: (ertinya) “Apakah mereka ada sekutu-sekutu (tuhan) selain Allah yang menetapkan bagi mereka sesuatu dalam Syari‘at (urusan agama Islam) apa yang tidak diizinkan oleh Allah” – (asy-Syura: 21) dan “Mereka mengambil pendita-pendita paderi-paderi dan rahib-rahin mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah” (at-Taubah:31)… 
(Kemudian menjelaskan dengan panjang lebar kemudian kata beliau lagi): Yang melakukan perkara-perkara ini (mengambil sempena tertentu menjadi perayaan dan musiman tanpa ada keterangan daripada amalan Nabi dan Salaf) adalah sikap/perbuatan Nasrani…demikian juga apa yang direka-reka oleh sebahagian pihak: samada sebagai suatu penentangan (menandingi) terhadap Nasrani yang menyambut Hari kelahiran ‘Isa (salam Allah ke atasnya) ataupun sebagai rasa cinta kepada Nabi صلى الله عليه و سلم dan mengagungkan baginda, yang mana kemungkinan Allah memberi ganjaran kepada mereka atas rasa cinta mereka dan kesungguhan mereka ini, dan tentunya bukan (menerima ganjaran atas perbuatan) bid‘ah-bid‘ah itu, iaitu mereka menjadikan sambutan waktu kelahiran Nabi (Maulid) sebagai suatu perayaan walaupun dalam pada itu terdapat perselisihan tentang (tarikh) kelahiran baginda. 
Sebab (perayaan/sambutan) ini tidak pernah dilakukan oleh Salaf sedangkan tiada apa yang menghalang mereka daripada melakukannya dan selayaknya mereka telah melakukannya (jika ia daripada ajaran Syari‘at Islam) dan seandainya (perayaan) ini suatu kebaikan yang nyata dan tiada keburukannya, pastinya Salaf, semoga Allah meredhai mereka, telah melakukannya terlebih dahulu dan utama daripada kita kerana mereka adalah orang yang paling mencintai Rasulullah dan paling mengagungkan baginda dengan pengagungan yang hakiki dibandingkan dengan kita (yang datang selepas zaman Salaf) serta mereka adalah golongan yang paling menitikberatkan soal mencari kebaikan. 
Kecintaan dan pengagungan yang sesempurnanya kepada baginda sebenarnya adalah (dibuktikan dengan dan ada pada) ikutan tehadap baginda, ketaatan kepada baginda dan kepatuhan dan ikutan kepada ajaran baginda, menghidupkan Sunnah baginda secara batin mahupun zahir, penyebaran risalah utusan/ajaran baginda memperjuangkannya dengan hati lidah dan tangan, kerana yang demikian itu cara dan petunjuk golongan yang awal generasi pertama Islam, daripada golongan Muhajirin dan Ansar dan mereka yang megikuti golongan ini dengan sebaik-baik ikutan.  
Seringkali kamu tentunya dapati bahawa kebanyakan daripada mereka yang mengambil berat terhadap bid‘ah-bid‘ah seperti ini, meskipun mereka mempunyai maksud yang baik dan kesungguhan, yang dengannya diharapkan mereka ada mendapat ganjarannya, kamu akan dapati mereka ini bersikap sambil lewa terhadap ajaran Nabi…. (panjang lagi yang beliau sebutkan)

Begitu juga jelas, tentunya segala periwayatan mengenai Nabi atau Sahabat menggalakkan “Sambutan Maulid dan perayaannya” yang dikemukakan oleh sebahagian pihak di weblognya, (contohnya seorang bergelar Ustaz, tetapi kita tidak pasti apa kelulusan beliau, yang telah menghukumkan "Penganut Agama Hindu adalah Ahli Kitab juga" dengan kajiannya), semuanya itu adalah riwayat yang palsu dan suatu pendustaan dengan menggunakan nama Nabi dan selayaknya orang yang mendatangkan atau mereka-reka riwayat-riwayat palsu tersebut atau sekadar “forwardkannya” sekalipun…segera bertaubat kepada Allah kerana dikhuatiri dengan itu telah menempah tempat di Neraka kerana….

KEDUA-DUA IMAM BESAR AL-HAFIZ ZAMAN MEREKA IAITU IBN HAJAR DAN IBN TAIMIYAH TELAH MENJELASKAN: Bukan daripada amalan dan ajaran Salaf – generasi awal Islam, maka bagaimana mungkin ada riwayat-riwayat sedemikian dan kedua-dua imam ini tidak mengetahuinya??? Tak sebutkan langsung “ada riwayat” sekian samada sahih atau do‘ief atau tiada asal langsung. Bererti riwayat-riwayat dusta tersebut ditimbulkan baru-baru ini atau seawal-awalnya selepas zaman mereka. Wallahu a‘lam.

Antaranya riwayat-riwayat PALSU berikut:

قال أبو بكر الصدیق رضى الله عنھ : من أنفق درھما على قراءة مولد النبى صلى
الله علیھ وسلم كان رفیقي في الجنة.

‘Telah berkata Saiyidina Abu Bakar As-Sidiq R.A: Barangsiapa menaja satu dirham bagi menggalakkan bacaan Maulid Nabi saw , adalah si penaja itu menjadi temanku di syurga.

‘Telah berkata Saiyidina Umar R.A: Barangsiapa mengagungkan ( sambut ) maulid Nabi SAW maka sesungguhnya dia telah menghidupkan Islam

‘Telah berkata Saiyidina Usman R.A : Barangsiapa menaja satu dirham bagi menggalakkan bacaan Maulid Nabi saw maka seolah-olah dia telah berjuang dalam peperangan Badr dan Hunain.’

‘Telah berkata Saiyidina Ali R.A & K.W : Barangsiapa mengagungkan (sambut maulid Nabi SAW) dan menjadi sebab bagi bacaannya, tidak akan keluar dari dunia melainkan dalam keimanan dan akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.

Kata al-Hasan al-Basri: ‘Aku bercita-cita jika aku mempunyai harta emas sebesar bukit Uhud akan aku nafkahkan untuk membaca Maulidur Rasul.’

Kembali kepada 'ulama yang telah menghukumkannya Bid'ah, selain mereka adalah al-Imam asy-Syatibi[5] ketika mengutuk bid'ah di dalam kitab beliau al-I'tisam: hlm 46, dan beliau sebutkan perayaan Maulid sebagai salah satu contoh:



Begitu juga Abu ‘Abdillah bin al-Haaj di dalam kitab beliau “al-Madkhal”, ‘Umar bin ‘Aliy al-Lakhmiy as-Skandariy yang masyhur dengan gelaran al-Faakihaaniy dalam kitab beliau “al-Maurid fie al-Kalaam ‘alaa ‘amal al-Maulid”. Daripada kalangan yang terdekat dengan zaman kita; Syeikh Rasyied Redha sebagaimana yang beliau nyatakan di dalam kitab tafsir beliau “al-Manaar”: 17/111 dan di dalam “Kumpulan Fatwa” beliau: hlm. 1242 dan 1243. Kenyataan beliau lainnya yang mengingkari Maulid al-Manaar: 29/664-668 dan al-Fatawa 5/2112-2115. Syeikh Rasyied Redha – ‘ulama Universiti al-Azhar yang terkemuka pada zaman beliau yang dianggap pewaris utama dan murid setia kepada Syeikh Muhammad ‘Abduh dan ramai lagi.

Semoga Allah mengurniakan PetunjukNya.

Itupun setelah penjelasan sebegini, ada orang boleh berhujjah mengatakan: Ini perkara Ijtihad. Orang yang bukan ahli Usul Fiqh, menyebutkan perkataan dalam bidang Usul Fiqh tetapi tidak faham erti perkataan tersebut. Umpama bidang kedoktoran, semua ahli perubatan sepakat, pembuluh darah sekian tidak boleh dipotong, jika dipotong pesakit akan mati. Tiba-tiba seorang yang bukan ahli perubatan menyimpulkan: Boleh dipotong untuk selamatkan nyawa si pesakit. Jadilah ia pembunuh yang kejam, yang kononnya ingin jadi penyelamat. Jadilah ia seorang penjenayah. Begitu juga dalam bidang agama, apa yang bukan daripada perkara ijtihad, tidak boleh dianggap ijtihad. Apakah boleh guna ijtihad dalam bidang aqiedah? Apakah boleh guna ijtihad dalam persoalan asal ibadah? Sebaiknya orang sedemikian mengamalkan pesanan baginda: "barangsiapa yang beriman pada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah ia berkata yang baik atau diam.

Buktikan dulu segala selok-belok ijtihad dan syarat-syaratnya, barulah boleh anda simpulkan "ini masalah ijtihaad".


____________________________________

[1]Mafahiem Yajibu an Tusahhah: hlm. 306.

[2] Al-Imam Al-Hāfiz Ibn Hajar Al-'Asqalānī yang dilahirkan pada tahun 773H. Adapun nama penuh dan gelaran beliau adalah Shihābuddīn Ahmad bin Ali bin Hajar Al-Asqalānī Al-Shāfi'ī. Beliau wafat pada tahun 852H, selepas meninggalkan lautan ilmu untuk diambil faedahnya oleh umat Islam yang sezaman dengan beliau dan yang menyusuli mereka. Di antara karangan beliau yang termasyhur adalah Fathul Bārī Sharh Sahīh Al-Bukhārī, Lisān al-Mīzān, Al-Isābah fī Tamyīz Al- Sahābah, Taqrīb Al- Al-Tahdhīb dan lain-lain.

[3] nukilan oleh Imam as-Suyuti di dalam “Husnul Maqsid fie ‘amal al-Maulid” – al-Haawie lil Fataawie Juz 1 hlm 196

[4] Syaikh al-Islām Ibn Taymiyah, Taqiyuddin Ahmad bin ‘Abdul Halim al-Harrānī ad-Dimasyqī (w.728H), Mahaguru yang mendidik dan melahirkan bagi ummat ini, ‘ulama terbilang zamannya seperti Ibn Qayyim, al-Hafiz Adz-Dzahabi, al-Hafiz Ibn Katsier dan ramai lagi. Ahli berbagai bidang ilmu Syari‘ah dan selainnya dan karangannya yang terlalu banyak untuk disebutkan, namun antara yang termasyhur adalah Majmu‘ Fatawa. Kata al-Hafiz adz-Dzahabi, aku tidak pernah lihat seorang ‘alim seperti beliau dan aku percaya beliau juga tidak pernah bertemu dengan seorang seperti diri beliau (dalam kehebatan ilmu dan ketajaman akal serta kekuatan hafalan)

[5] Abu Is-haaq Ibraahiem bin Musa bin Muhammad Al-Lakhmiy Al-Gharnaathi Asy-Syaathibi Al-Maaliki seorang Imam besar ahli ijtihaad, Al-Haafizh yang mulia, di antara segelintir golongan ulamaa muhaqqiq yang menguasai berbagai bidang ilmu. Di antara karangan beliau “Al-Muwaafaqaat fie Ushuul Asy-Syarie’ah” dan “Al-I’tishoam”. Beliau wafat pada tahun 790H
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts