Wednesday, March 27, 2013

Ajaran Salaffussolih melarang menggelar seseorang syahid...

إن الحمد لله ، نحمده و نستعينه و نستغفره ، و نعوذ بالله من شرور أنفسنا ، و سيئات أعمالنا ، من يهده الله فلا مضل له ، و من يضلل فلا هادي له ، و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، و أشهد أن محمدا عبده و رسوله

أما بعد  


            Sesungguhnya, segala pujian adalah untuk Allah, kita memujiNya, meminta pertolonganNya dan memohon ampunanNya. Kita berlindung dengan Allah daripada keburukan diri kita dan daripada kejelekan amalan-amalan kita. Barangsiapa yang telah dikurniakan petunjuk oleh Allah, maka tiada sesiapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang disesatkanNya, maka tiada seorang pun pemberi petunjuk kepadanya. Dan aku bersaksi tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, yang Esa tiada sekutu bagiNya dan aku juga bersaksi bahawasanya Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya.

            Adapun selanjutnya, sidang pembaca yang dimuliakan Allah dengan iman dan Islam, sungguh daripada ajaran Salaful Ummah, Ahlus Sunnah wal Jamaa'ah, tidak di-i'tiqadkan dengan pasti, kematian seseorang yang mati dalam medan pertempuran atau dianggap sebagai seorang pejuang pada jalan Allah, bahawa ia mati syahid atau digelarkan syahid, kecuali yang telah ada pernyataan dengan pasti di dalam al-Qur'an dan as-Sunnah. Samada seseorang itu benar-benar mati syahid atau tidak adalah daripada urusan yang ghaib. Urusan seperti ini, di sisi Ahlis Sunnah, dikembalikan kepada keterangan wahyu semata-mata. Lagipun dengan pasti memberikan gelaran syahid, seolah-olah ia suatu penentuan dengan pasti, orang tersebut Ahli Syurga. 

Yang diperbolehkan adalah ucapan "Ustusy-hida" yakni "diharapkan ia mati syahid", selama mana zahirnya daripada keadaannya dan keperibadiannya yang diketahui, demikian dapat diharapkan baginya. Ini bergantung pada peribadi, setiap orang perseorangan.


Di antara tanda Husnul Khaatimah (kematian yang baik) adalah:

Terbunuh (al-Istisyhad[1]) di medan pertempuran, Firman Allah 'Azza wa Jalla:



“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dan mereka diberi rezki.” [2]


Begitu pula sabda Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam:

,    للشهيد عند الله ستُّ خِصال: يُغفر له أول دُفعة مِن دمه، و يرى مقعده من الجنة، و يُجار من عذاب القبر و يأمن الفزع الأكبر و يُحلَّى حِلية الإيمان و يُزوَّج من الحور العين و يُشفَّع في سبعين إنسانا من أقاربه  - 

“Bagi setiap orang yang mati syahid ada enam keberuntungan: Ia diampunkan dari sejak tumpahan darahnya yang pertama, ia melihat tempat duduknya di dalam syurga, diselamatkan daripada azab kubur dan diberikan ketenangan pada ketika kegoncangan yang hebat (Hari Kiamat), dihiaskan pada dirinya perhiasan keimanan, dikahwinkan dengan bidadari dan diizinkan untuk memberi syafa‘at kepada 70 orang daripada kerabatnya.” [3]

Disebutkan dengan “diharapkan mati syahid” sebab hanya Syuhada’ daripada kalangan para Sahabat sahaja yang diketahui dengan pasti kematian mereka sebagai syahid yang hakiki kerana status/kedudukan syahid mereka diketahui melalui wahyu selama Rasulullah sallalLaahu 'alaihi wa sallam masih hidup ataupun yang telah dinyatakan oleh Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam sendiri. Adapun sesiapa selain itu, selepas terputusnya wahyu, tidak dapat dipastikan kematiannya sebagai syahid adalah sebenar-benarnya syahid hakiki yang diterima di sisi Allah kerana status tersebut adalah daripada perkara yang ghaib. 

Maka sikap Ahli Sunnah wal Jamaah yang tulen adalah mereka tidak menentukan seseorang sebagai ahli syurga atau ahli neraka dengan pasti melainkan dengan keterangan wahyu. Demikian yang akan diketemukan oleh setiap yang menelaah kitab para Imam Ahli Sunnah, antaranya yang nyata ada dalam Sahih al-Bukhariy yang mana Imam al-Bukhariy telah memberikan judul satu bab dengan “La Yaqul Fulanun Syahiedun” – (Kitab al-Jihad wa as-Siyar Bab 77: Fath al-Bari: 6/105). 

Oleh itu, hendaknya dihentikan gelaran asy-Syahied Hasan al-Banna, asy-Syahied Sayyid Qutb, asy-Syahied ‘Abdullah ‘Azzam, atau Said Ramadhan al-Bouti, walaupun diharapkan bagi orang yang zahirnya mati pada jalan Allah, kedudukan yang demikian itu, selama mana zahir pada peribadinya dapat diharapkan demikian. Adapun jika ucapan dan tingkah lakunya, sepanjang hayatnya, menzahirkan sebaliknya, maka lebih utama lagi untuk tidak digelarkan dengan gelaran-gelaran seperti itu. Wallahu a'lam.



[1] diharapkan mati syahid
[2] Surah Al-‘Imran: 3:169.
[3] Riwayat at-Tirmidzi (3/17) yang menghukumkannya Sahih, Ibn Majah (2/182), Ahmad (4/131) dan isnadnya Sahih serta (4/200) daripada ‘Ubadah bin as-Samit dan kedua-dua isnadnya Sahih.  
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts