Monday, January 6, 2014

Tafsiran Menyeleweng "Allah berselawat" merbahaya


إن الحمد لله نحمده و  نستعينه و نستغفره ، و نعوذ بالله من شرور أنفسنا ، و من سيئات أعمالنا ، من يهده الله فلا مضل له ، و من يضلل فلا هادي له
و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له.
و أشهد أن محمدا عبده و رسوله.
أما بعد:

Sesungguhnya segala pujian adalah untuk Allah, kita memujiNya, meminta pertolonganNya dan memohon ampunanNya dan kita berlindung dengan Allah daripada keburukan diri kita dan kejelekan amalan-amalan kita. Barangsiapa yang dikurnia petunjuk oleh Allah, maka tiada sesiapa yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkanNya maka tiada yang mampu memberi petunjuk kepadanya.

Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya dan aku juga bersaksi bahawasanya Muhammadr adalah hambaNya dan utusanNya.

Adapun selanjutnya:
Sidang pembaca yang dimuliakan, semoga Allah sentiasa merahmati anda atas usaha sentiasa mencari kebenaran berdasarkan panduan-panduan yang Allah redhai, al-Qur'an, as-Sunnah dan ajaran Sahabat yang telah diwarisi dengan amanah oleh 'ulama zaman demi zaman. 

Kebelakangan ini, semenjak ada seorang "Shaikh" atau guru dari US (Amerika) diundang ke sini untuk meraikan atau menjayakan majlis-majlis tertentu, menyampaikan "tafsiran menyeleweng" beliau terhadap ayat mulia dan suci, ayat al-Qur'an, ramai yang terpengaruh dengannya dan melakukan tafsiran yang sama, tanpa menilai dan merujukkan tafsiran tersebut kepada tafsiran 'ulama terdahulu, lalu mereka terpengaruh dengannya. Yang saya maksudkan adalah tafsiran menyeleweng terhadap ayat ni (terjemahannya):

Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman, selawatlah dan salamlah ke atasnya” (Surah al-Ahzaab 33: 56) 

Beliau kemudian berhujjah: “Bila Allah suruh kita solat, Allah tidak solat dulu memulakan solat, bila Allah perintahkan kita berpuasa, Allah tidak mulakan dengan diri Allah sendiri berpuasa. Tetapi, kerana tingginya kedudukan selawat, Allah perintahkan kita dan Allah sendiri memulakan selawat atas Nabi” yakni tafsiran atau erti ayat itu jadinya: Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi adalah Allah mengucapkan selawat atas Nabi – iaitu Allah mengucapkan: Allahumma solli ‘ala….

Bukankah hujjah sedemikian menyeleweng? 



Betapa tidak, jika Allah, Tuhan Maha Agung solat, kepada siapa solat itu? Allah berpuasa? Allah beribadat? Bukankah Allah yang layak menerima ibadat dan tiada dalam ajaran Islam yang mengajarkan: Allah beribadat kepada DiriNya sendiri. Tafsiran menyelewengnya mengandung makna Allah melakukan ibadat. 

Bila dirujukkan kepada tafsiran yang betul, maksud “Allah berselawat atas Nabir” dalam ayat itu, bukannya Allah mengucapkan atau berselawat atas Nabi shallallahu 'alayhi wasallam, bahkan ertinya: Allah memuji Nabi Muhammad shallallahu 'alayhi wasallam dan mengurniakan rahmat tambahan, kurniaan dan kasih sayang yang berganda-ganda kepada Nabi Muhammad.


Demikian yang ada di dalam Kitab Tafsier Ibn Katsier. Selepas menyebutkan ayat tersebut al-Hafiz Ibn Katsier menukilkan: 
Kata al-Bukhaariy (Sahih al-Bukhaariy dengan Syarahnya al-Fath: 8/532): kata Abu al-'Aaliyah: Selawat Allah adalah pujianNya di sisi para Malaikat dan Selawat Malaikat adalah Doa mereka (untuk Nabi). Kata Ibn 'Abbaas: Selawat para Malaikat adalah permintaan keberkahan, demikian al-Bukhaariy riwayatkannya secara Mu 'allaq (tergantung; tiada sanad antara Abul 'Aaliyah dan Nabi) daripada mereka berdua (Abul 'Aaliyah dan Ibn 'Abbaas). 

Abu Ja'far ar-Raazi sungguh telah meriwayatkannya, daripada ar-Rabie' bin Anas, daripada Abie al-'Aaliyah yang demikian itu. Dan beliau juga telah meriwayat yang semisal dengannya juga daripada ar-Rabie' sementara 'Aliy bin Abie Talhah meriwayatkan daripada Ibn 'Abbaas sebagaimana yang diungkapkannya itu, sama sahaja. Kedua-duanya telah diriwayatkan oleh Ibn Abie Haatim. 

Kata Abu 'Isa at-Tirmidzi: dan diriwayatkan daripada Sufyaan ats-Tsauri dan beberapa orang 'ulama' bahawa mereka telah menyatakan: Selawat ar-Rabb (Allah) adalah Kurniaan Rahmat dan Selawat Malaikat adalah permintaan ampunan (untuk baginda).
[Tafsier Ibn Katsier pada ayat 56 Surah al-Ahzaab]   

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَ عَلَى أَزْوَاجِهِ وَ ذُرِّيَّتِهِ ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ ، وَ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَ عَلَى أَزْوَاجِهِ وَ ذُرِّيَّتِهِ ، كَما بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ 

 “Ya Allah, selawat[1] ke atas Muhammad, dan ke atas Ahli Bait baginda, dan ke atas isteri-isteri baginda serta zuriat baginda, sebagaimana Engkau telah berselawat  ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia. (Dan) Berkatilah [2] ke atas Muhammad, dan ke atas Ahli Bait baginda, dan ke atas isteri-isteri baginda serta zuriat baginda, sebagaimana Engkau telah berkati ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia”

Inilah yang baginda sendiri baca [3]

Selawat yang lainnya:

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَ عَلَى آلِ مُحَمَّدٍ ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى [ إبراهيم ، و على ] آلِ إِبْرَاهِيْمَ ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ ، اللَّهُمَّ  بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَ عَلَى آلِ مُحَمَّدٍ ، كَما بَارَكْتَ عَلَى [إِبْرَاهِيْمَ وَ عَلَى] آلِ إِبْرَاهِيْمَ ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ 

“Ya Allah, selawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga[4] Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas [Ibraahim dan ke atas] keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia. (Dan) Berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berkati ke atas [Ibraahim dan ke atas] keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia” [5]

Dengan ini, mudah-mudahan dapat dihentikan "tafsiran menyeleweng" tersebut terhadap maksud Allah berselawat atas Nabi dan dengan pencerahan ini, kita sama-sama dapat memelihara diri kita daripada penyelewengan dan kesesatan, atas sebab ingin menonjolkan keutamaan berselawat ke atas Nabi.

Wallahu a'lam.




[1]     Sebaik-baik makna selawat yang dijelaskan oleh para ulama ialah kata-kata Abi ‘Aaliyah: Selawatnya Allah ke atas nabiNya ialah pujian Allah  buat baginda dan penempatan yang agung bagi baginda. Selawatnya Malaikat dan selainnya, ke atas baginda pula ialah minta kepada Allah agar baginda dikurniakan yang demikian itu. Yang dimaksudkan ialah permintaan penambahan bukan permintaan diberikan daripada tiada pada asalnya. Demikian juga yang disebutkan Al-Haafizh (Al-Fath) dan beliau menolak tafsiran yang mengertikan selawat sebagai rahmat Allah ke atas baginda. Ibnul Qayyim juga telah menjelaskannya dengan terperinci di dalam (Jalaa-ul Afhaam) yang rasanya tidak perlu ditambah lagi, maka rujuklah.   
[2]     Dari perkataan Barakah: ertinya penambahan dan pertumbuhan yang tetap, berdoa untuk itu. Maka doa ini mengandungi erti kurniaan segala yang baik untuk bagindar apa yang telah dikurniakan kepada keluarga Ibraahim, yang berterusan dan tetap berlipat ganda dan bertambah-tambah.   
[3]     Riwayat Imam-imam Ahmad dan Ath-Thohaawiy dengan sanad  yang sahih, serta kedua-dua Syeikh (Al-Bukhaariy dan  Muslim) tanpa lafaz “Ahli Bait baginda” .

[4]     Aali (آل) : erti asalnya ialah kembali kepada, dan lebih masyhur ialah ahli keluarga. Namun, ramai juga ulama yang menerangkan bahawa ia merangkumi ahli keluarga dan para pengikut Nabi Muhammad. Maka ia merangkumi ummat baginda (yang mengikuti baginda) sekaligus. Mu’jam Lughatul Fuqahaa': 36
[5]     Riwayat Imam-imam Al-Bukhaariy, Muslim, An-Nasaa-i (‘Amalul yaumi wal lailah :162/54) Al-Humaidi  (138/1) Ibn Mandah (68/2) dan kata beliau : “Hadits ini, ketulenenannya (shohih) disepakati.”


 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts