Sunday, April 14, 2013

Zakat CPF

Soalan: 

Bismillah

Kepada Ustaz

Saya musykil tentang samada zakat mesti dikeluarkan atas simpanan CPF atau tidak. Ini kerana saya ada terbaca di islamq&a bahwa wang simpanan yang mana kita tak ada hak dalam pengendaliannya dan ia bukan dalam pengurusan kita, maka zakat tak perlu dikeluarkan.

Memandangkan wang CPF juga berkeadaan demikian walaupun ia boleh digunakan jika bersesuaian dgn syarat yg tertakluk seperti retirement fund yg hanya boleh digunakan semasa tua, medisave hanya dikhaskan utk pengubatan, special a/c yg tidak boleh digunakan langsung dan ord a/c utk perumahan.

Bagaimana pandangan ustaz mengenai hal ini. Adakah zakat wajib dikeluarkan dan jika wajib maka bagaimana caranya iaitu adakah di keluarkan zakat pada semua cabang a/c seperti retirement, special, medisave etc.

Syukran. JazakAllahu khairan.

- Rohani bte Hussin



Jawapan:

Wa 'alaikumussalaam wa rahmatullaah,

Bismillaah walhamdulillaah was solaatu was salaamu 'alaa Rasuulillaah wa 'alaa aalihi wa sohaabatihi wa manittaba'ahum bi ihsaan ilaa qiyaamis saa'ah, wa ba'd

Wang milik kita yang berada pada pihak lain, misalnya orang berhutang dengan kita, yang mana jumlahnya melebihi nisab dan dipinjam lebih dari satu haul, maka 'ulama menjelaskan beberapa keadaan yang berbeza, dalam menjelaskan kewajipan zakat pada harta tersebut.

Wang CPF, Medisave dan yang lainnya mirip dan dapat diqiyaskan dan diperlakukan sama seperti penjelasan berikut:

Pendapat Ibn Hazm: Tiada Zakat dalam berhutang; Tidak ke atas si peminjam dan tak pula yang meminjamkan – Beliau tegaskan sebagai pendapat ‘A-isyah, ‘Ata’ dan ‘Ikrimah

Pendapat Jumhur: Hutang ada 2 macam.

a. Hutang yang ada jangkaan akan dilunaskan oleh peminjam iaitu si peminjam mengakui ada berhutang dan berkemampuan untuk melunaskan– maka yang meminjamkan Wajib keluarkan bahagian Zakatnya – pendapat ‘Umar, Ibn ‘Umar, ‘Utsman dan Jabir - Rajih

b.Tiada harapan akan dilunaskan; misal; peminjam kesempitan secara berterusan atau tiada bukti untuk ia perakui adanya hutang; Ada 3 pendapat:
i. Menzakatkan daripada bahagian hutangnya tahun demi tahun, sampai ia mendapatkannya semula daripada peminjam walaupun bertahun-tahun lamanya – pendapat ‘Aliy dan Ibn ‘Abbas 
ii. Selama belum dipulangkan, ia Tidak Wajib menzakatkannya. Bila ia mendapatkannya, ia mula kira haulnya. Bila genap setahun, ia keluarkan bahagian zakatnya (Abu Hanifah) 
iii. Menzakatkan ikut kiraan zakat 1 tahun (seperti cukup haul), sebaik sahaja ia menerimanya. Bukan kira bertahun-tahun. Pendapat al-Hasan, ‘Umar b. Abdul Aziz & Imam Malik (Rajih)

Maka keadaan kita dengan wang pencaruman pekerja (CPF) adalah seperti keadaan “Hutang yang ada jangkaan akan dilunaskan” – wajib keluarkan bahagian Zakatnya setiap tahun.

Walaubagaimanapun, masih boleh juga diambil kira hal “Tiada Harapan” sebab simpanan tersebut tidak dapat dikeluarkan kecuali pada “hujung hayat” seseorang sedang Rasulullah shallallahu 'alayhi wassalam telah memberitakan:

“أعمار أمتي ما بين ستسن إلى سبعين و أقلهم من يجوز ذلك” 
“Umur umatku di antara 60 hingga 70 tahun dan sedikit sekali yang melebihi umur itu” – Hadis Sahih riwayat at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah dan Abu Ya‘la daripada Anas - Sahih al-Jami‘ as-Saghier: 1/243 (1073).

Maka jika diambil kira hal “Tiada Harapan” maka yang kuat adalah pendapat yang mewajibkan zakat sebaik sahaja wang itu dikembalikan dan dikira sekali kira kiraan setahun, bukan kira tahun demi tahun selama wang itu tiada dalam pegangannya. Misalnya ia terima $60,000 maka ia kira 2.5% daripada jumlah itu. Wallahu a‘lam. 

Adapun yang tiada harapan mendapatkannya semula seperti medisave, maka tiada zakat padanya.
Wallahu a'lam
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts