Wednesday, August 21, 2013

Bentuk Tafsiran Menyeleweng Pada Zaman Ini (Bhg.1)

Bab 1 - Pengenalan (oleh penterjemah)


1.1         Tafsiran Menyeleweng dengan slogan “Islam Progresif” agar umat Islam maju bukan slogan baru

Pada zaman ini, kita seringkali mendengar ada sahaja pihak yang menegaskan bahawa “untuk kita menjadi umat Islam yang progresif, yang mampu bersaing dan menyesuaikan diri dengan kecanggihan serta kemodenan hidup dalam era globalisasi, kita perlu menilai kembali pemahaman kita terhadap al-Qur’an, mentafsirkannya dengan pentafsiran yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan keperluan hidup masa kini dan bukannya berpegang dengan TAFSIRAN KUNO, JUMUD dan tidak bersesuaian dengan konteks keadaan umat Islam hari ini” yang antara lain matlamatnya adalah agar “umat Islam tidak lagi ketinggalan dan tidak dipandang serong serta dapat menyesuaikan diri, hidup di dalam masyarakatnya yang berbilang agama”.



Sebenarnya “cogan kata” seperti ini, telah lama diungkapkan dan digembar-gemburkan sejak zaman 40-an lagi. Telah ada usaha untuk mentafsirkan al-Qur’an seumpama cogan kata tersebut oleh beberapa peribadi yang nama mereka adalah nama-nama yang mencerminkan diri mereka kaum muslimin, “yang prihatin” terhadap keadaan umat Islam pada masa tersebut. Maka tidak hairanlah jika usaha tersebut masih berterusan dan lebih berleluasa dengan bertambah majunya sistem perhubungan dan cepatnya perkembangan era globalisasi.


1.2           Hakikatnya Tamadun dan Kemajuan yang dikecapi Barat diraih asasnya daripada Tamadun Islam

Namun, apabila kita membuat penilaian berdasarkan sejarah, kemajuan dan tamadun yang manusia kecapi hari ini, sehingga berlakunya perkembangan pesat dalam bidang sains dan teknologi, seluruh masyarakat dunia, dengan rela atau terpaksa, berpandukan bukti fakta-fakta sejarah akur bahawa Renaissance Barat atau Era Kebangkitan Barat/Eropah[1] yang dengannya mereka mampu menjelajahi dunia dan menjajahi sebahagian besar rantau ini, menemukan asas-asas kebangkitan mereka daripada Tamadun Islam. Malah, sebagai misal yang terdekat, buku-buku sejarah mencatatkan bahawa Vasco de Gama, Alfonso de Albuquerque dan penjelajah Eropah lainnya, telah mendapatkan khidmat kaum muslimin berbangsa India dan Arab sebagai penunjuk jalan untuk sampai ke “East Indies”.

Apabila kita mendalamkan lagi pengamatan kita terhadap Tamadun Islam yang telah menjana Tamadun Barat, kita akan menyedari bahawa Dunia Islam ketika itu, mendapatkan berbagai ilmu daripada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, baik ilmu ukhrawi mahupun duniawi. Lebih daripada itu, teori-teori yang diasaskan oleh para ahli falsafah zaman Greek Purbakala, ada yang telah dibatalkan oleh cendekiawan-cendekiawan Islam, yang telah mengkaji dan menilai semula teori-teori tersebut dalam berbagai bidang; sosiologi, biologi, kimia, fisik dan sebagainya.

Ada baiknya disebutkan di sini kata-kata Dr.Maurice Bucaille:
Setiap kali saya menjelaskan perincian yang didatangkan di dalam al-Qur’an yang berkaitan dengan beberapa kajian Astronomi kepada dunia Barat, adalah tidak pelik jika seseorang menjawab: “tiada apa-apa yang istimewa pada kenyataan tersebut, dengan mengambil kira bahawa bangsa Arab telah berjaya menemukan banyak penemuan penting di dalam bidang ini (Astronomi) lama sebelum kaum Eropah”. Ini sebenarnya adalah suatu pemahaman yang silap kerana kejahilan tentang sejarah. Pertama sekali, asalnya Ilmu Sains diperkembangkan oleh Bangsa Arab pada suatu ketika yang boleh dikatakan sejurus selepas zaman penurunan wahyu al-Qur’an. Kedua, pada saatnya Ilmu Sains begitu menonjol ketika Tamadun Islam mencapai mercunya, namun yang nyata, seseorang manusia pada ketika itu, tidak mampu untuk mengemukakan kenyataan-kenyataan yang serupa yang boleh dibandingkan dengan kenyataan al-Qur’an …[2]

1.3    Musuh-musuh Islam tidak senang dengan kenyataan tersebut & menggunakan berbagai strategi licik agar umat Islam “kehilangan punca”

Kesimpulannya, jelas secara zahirnya, tidak timbul pertentangan di antara ilmu  keduniaan dan ilmu ukhrawi. Tiada pula perubahan pada hukum-hukum Allah yang telah ditetapkan di dalam al-Qur’an dan as-Sunnah. Bahkan, ramai di antara mereka yang bergelar ulamaa (ukhrawi), menguasai bidang-bidang astronomi, biologi dan sebagainya yang adakalanya digelar “ilmu sekular”. Kedua-dua bidang tersebut mampu dicapai oleh umat Islam ketika itu, sehingga disegani, dihormati dan digeruni. Walaubagaimanapun, umumya ketika itu, segala penemuan sains[3] ditentukan kemungkinan benar salahnya berpandukan al-Qur’an dan As-Sunnah bukan sebaliknya. Inilah yang tidak disukai oleh musuh-musuh Islam.

Justeru itu, dengan licik mereka menghendaki dan berusaha agar umat Islam kehilangan “punca utamanya” yang menjayakan mereka, iaitu wahyu Ilahi; Al-Kitab (al-Qur’an) dan as-Sunnah. Namun bilamana mereka sedar ia adalah suatu perkara yang hampir mustahil, mereka menjadikan umat Islam berpegang hanya dengan slogan “kami umat Islam berpegang dengan al-Qur’an dan as-Sunnah” padahal pada hakikatnya tidak demikian iaitu dengan menjadikan mereka “salah tafsirkan al-Qur’an” samada tanpa berpandukan as-Sunnah lagi, seperti terjebaknya sebahagian umat Islam ke dalam fahaman “Ingkar Sunnah” (Anti Hadis) atau dengan Tafsiran yang Menyimpang, memahami al-Qur’an tidak seperti yang seharusnya difahami menurut penjelasan Rasul dan mereka yang menyaksikan penurunan wahyu (para Sahabat).  Bukan sekadar itu, sekiranya yang mengajak kepada fahaman tersebut adalah golongan bukan Islam, mereka kurang produktif, maka caranya yang paling berkesan adalah dengan suara “anak Islam” sendiri[4].

Selain itu, sebagai langkah pertahanan untuk memajukan lagi agenda mereka agar tidak terganggu, golongan yang mengajak kepada ajaran asal Islam dimomok-momokkan sebagai golongan merbahaya yang menghambat kemajuan umat, yang sukakan perpecahan bahkan pengganasan. Mulalah dakwaan dilontarkan ke atas mereka sebagai orang-orang yang salah-tafsirkan agama Islam, salah mengerti maksud utama al-Qur’an dan as-Sunnah serta Syari’at Islam.  Golongan yang menjadikan umat Islam tidak dapat hidup harmoni di dalam masyarakat berbilang agama.

Di samping itu, usaha sedemikian (mempergunakan anak-anak Islam sendiri) membantu “memperlagakan” di antara umat Islam yang telah sedia berpecah-belah kerana tidak berpegang dengan asal ajaran Islam seperti yang dipelihara dan diamalkan oleh kurun-kurun atau generasi-genarasi yang dijamin oleh Rasulullah. Islam yang suci yang belum dicampuradukkan dengan fahaman Majusi, unsur-unsur Greek dan segala macam falsafah luar yang bukan berasal daripada Islam, dengan usaha para Sahabat dan Golongan termulia at-Tabi‘un serta Atba‘ at-Tabi‘ien mempertahankannya dan mengekalkan kesuciannya. Perbalahan yang wujud diburukkan lagi dengan keadaan kebanyakan umat Islam yang telah terlalu jauh jarak zaman mereka dengan zaman penurunan wahyu, yang menjadi keliru dan kebingungan, biarpun mereka sedar mereka tidak akan sesat selama berpegang dengan dua dasar utama Islam; al-Qur’an dan as-Sunnah, tetapi tafsiran yang mana satukah yang seharusnya mereka berpegang dengannya. Apatah lagi, dengan kemunculan dakwaan pembaharuan di dalam tafsiran, dengan tekanan sekitaran yang dijanakan oleh golongan bukan Islam yang mengkhuatiri kebangkitan umat Islam yang sedar untuk kembali ke pangkal jalan, kebingungan mereka menjadi semakin kusut.

Padahal, sebenarnya mereka tidak akan kebingungan seandainya mereka mengetahui bahawa tafsiran yang terjamin tepat berlandaskan penjelasan baginda dan mereka yang mendapat didikan langsung daripada baginda, dengan segala jaminan Allah dan Rasulullah terhadap kehebatan ketaqwaan dan iman serta sifat amanah mereka, dipelihara oleh Allah sehingga hari ini dan itulah yang dikenali dengan at-Tafsier bil Ma’tsur, yang dijadikan perbahasan pertama di dalam kitab Prof. adz-Dzahabi ini. Dengan merujuk tafsiran al-Ma’tsur, seseorang akan mampu menilai penyelewengan-penyelewengan yang dikemukakan oleh “golongan pembaharuan” tersebut. 

Selanjutnya kita ikuti apa yang telah dibentangkan oleh Prof. adz-Dzahabi. Semoga Allah membalas beliau dengan kebaikan dan merahmati beliau dengan segala kebaikan beliau serta mengampunkan segala kesilapan beliau. Begitu juga diharapkan buat setiap yang mengambil manfaat daripada tulisan beliau ini.    




[1] Pada ketika itu Amerika belum dikenali di mata dunia bahkan seolah-olah belum diketemukan. 

[2] Sila rujuk antara lain, kesimpulan yang dibuat oleh Dr. Maurice Bucaille, The Qur’an and Modern Science, hlm. 8-9

[3] Teori-teori di dalam pengkajian sains seringkali berubah-ubah ada sahaja penemuan dan teori baru yang membatalkan teori sebelumnya. 

[4] Seperti yang akan kita lihat kelak fakta yang didatangkan oleh Prof. adz-Dzahabi. 

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts