Saturday, August 24, 2013

Bentuk Tafsiran Menyeleweng Pada Zaman Ini (Bhg.2)

Penyelewengan dalam Pentafsiran al-Qur’an

2.1         Pendahuluan

Semenjak kemunculannya lagi, Islam telah berhadapan dengan golongan manusia yang membencinya dan membuat perencanaan buruk terhadapnya, yang sentiasa berusaha gigih untuk menghancurkannya dengan segala macam perantaraan dan perencanaan jahat serta cara-cara penghapusan. Maka di antara pintu utama yang mereka ketuk untuk sampai kepada niat mereka yang jahat adalah mentakwilkan (mentafsirkan) al-Qur’an dengan bentuk tafsiran yang tidak benar, bercanggah dengan apa yang terkandung di dalam al-Qur’an daripada petunjuk, menyalahi apa yang ada padanya daripada jalan yang putih suci, dengan bermatlamatkan apa yang bersesuaian dengan fahaman-fahaman yang menyimpang dan ikutan hawa nafsu!!


            Islam telah menghadapi gejala-gejala ini pada zaman kemunculannya dan pada zaman ini pun, ia masih menghadapi ancaman yang seumpamanya. Maka muncullah pada zaman ini beberapa peribadi atau individu yang mentakwilkan al-Qur’an bukan dengan takwilan yang selayaknya, membentuknya (takwilan) menurut apa yang sejajar dengan syahwat mereka, mencapaikan segala hajat yang ada pada jiwa mereka, maka mereka memasukkan di dalam bidang Tafsir al-Qur’an pandangan-pandangan yang kurang cerdas, dakwaan-dakwaan yang tertolak, yang diterima oleh sebahagian orang yang tertipu daripada kalangan orang-orang awam dan yang serupa dengan orang awam[1], sedang segala penyelewengan tersebut ditolak dengan sepenuh penolakan oleh golongan yang dipelihara agama dan akal mereka oleh Allah.

2.2         Punca dan pendorong kepada kemunculan bentuk tafsir ini

Golongan yang mentakwilkan al-Qur’an menurut fahaman-fahaman yang menyeleweng ini telah didorong oleh berbagai dorongan yang berbeza. Ada di antara mereka yang menyangka bahawa pembaharuan, biarpun dengan merubah kandungan al-Qur’an, mampu menonjolkan dan memasyhurkan diri mereka, dengan jalan mengkritik dan meremehkan para Ahli Tafsir (ulamaa) terdahulu, menuduh mereka dengan berbagai tuduhan seperti kuno, kecetekan ilmu dan kelalaian yang kemudiannya dikemukakan pentafsiran baru atau pembaharuan terhadap Kitab Allah…yang baru yang tidak selaras dengan Bahasa al-Qur’an lagi tidak bersandarkan kepada satu dasar pun daripada dasar-dasar ad-Dien.

            Segolongan yang lain pula, adalah golongan yang telah mempelajari ilmu agama dengan kadar yang amat sedikit, bahagian yang amat kecil daripada Ilmu Agama Islam yang luas, yang dengan ilmu yang sedikit itu tidak mampu mencapai sifat dan gelaran “ulamaa”, akan tetapi berbangga dengan apa yang dimiliki, lalu menyangka bahawa mereka telah mencapai taraf “ar-Rasikhun” (golongan yang mendalam pengamatannya, yang mahir dan teliti) di dalam ilmu dan menjadi lupa bahawa mereka tidak punya ilmu Bahasa Arab kecuali sedikit serta amat ringan pula timbangan ilmu Syari’ahnya. Lantas, dengan ilmu sekadar itu, mereka melihat kandungan Kitab Allah dengan pandangan bebas, yang tidak terikat dengan apa-apa dasar daripada Dasar-dasar Ilmu Tafsir, mengeluarkan pemahaman-pemahaman yang fasid, bercanggah dengan apa yang telah ditetapkan oleh para Imam bidang Lughah (Tatabahasa Arab) dan para Imam dalam urusan agama Islam, yang jika secara sepintas lalu sahaja sekalipun, akan menjadi jelas kepada orang yang menelaahnya, bahawa tafsiran-tafsiran tersebut tidak bernas dan tidak berdasarkan hujjah serta tidak pula bersandarkan dalil.

            Manakala ada pula golongan yang lain, yang tidak menggolongkan dirinya di dalam rumpun keagamaan, tidak pula dikenali sebagai seorang yang berpegang dengan fahaman atau aqidah tertentu, akan tetapi mereka bermain-main (menggunakan) dengan akal mereka yang sesat, yang mana hati, akal dan pemikirannya telah dikuasai berbagai pandangan daripada bermacam fahaman-fahaman yang berbeza, mula menelaah al-Qur’an sedang mereka mendokong fahaman-fahaman yang bercampur-baur ini di dalam hati dan otak mereka, mentakwil menurut segala fahaman itu dengan takwilan-takwilan yang tidak dapat diterima akal lagi tidak diredhai ad-Dien.

            Kesemua mereka itu, menceburi pentafsiran al-Qur’an dengan membuta-tuli, maka mereka tidak mengambil kira qanun-qanun (prinsip-prinsip) Balaghah (Kefasihan Bahasa Arab), memasuki bidang Tafsir bukan melalui pintu as-Sunnah as-Sahiehah (Hadis-hadis yang sahih), namun mereka telah rasa berpuashati, menyangka bahawa mereka telah berlaku adil di dalam kajian yang bersifat terbuka, telus dan merdeka serta berpandangan bebas.

            Seandainya Allah tidak membangkitkan bagi agama ini, golongan yang mengkaji dengan pemerhatian yang tajam, yang didorong keimanan dan keikhlasan, yang melindungi dan menjauhkan daripadanya (agama ini) kekejian-kekejian ini yang dimaksudkan agar bertempel terus pada agama Islam…seandainya demikian, kaum muslimin pasti telah ditimpakan oleh golongan yang menyeleweng tersebut, suatu keburukan yang terselindung dan tentunya pemikiran-pemikiran dan hawa nafsu mereka telah menimbulkan suatu fitnah yang besar serta keburukan yang nyata di atas muka bumi ini.

            Di dalam saya mengemukakan bentuk tafsiran yang menyeleweng ini, saya tidak mahu menyebutkan nama atau gelaran seseorang pun daripada peribadi-peribadi tersebut, kerana kemungkinan ini akan menimbulkan fitnah, menerbitkan permusuhan, mentelah lagi kebanyakan mereka ini masih hidup mendapat rezki Ilahi[2], memadailah saya meletakkan bahan rujukannya yang menjelaskan sumber petikan tafsiran-tafsiran golongan tersebut, yang mana bahan-bahan rujukan tersebut mudah diperolehi oleh setiap yang berminat untuk menelaahnya sendiri.[3] 




[1] Orang awam ertinya bukan ‘ulama’ atau cendekiawan Islam dan “yang serupa dengan orang awam” – wallahu a’lam – menurut pemahaman penterjemah adalah golongan yang dianggap ‘ulama’/cendekiawan Islam oleh orang kebanyakan tetapi masih tertipu, sehingga mereka tidak selayaknya digelar ‘ulama’ pada hakikatnya, tapi kerana memegang jawatan tertentu dianggap ‘ulama’ oleh masyarakat. Apatah lagi jika perlantikan mereka memegang jawatan bukannya dilantik oleh ‘ulama’ masyarakat Islam atau orang awam beragama Islam.

[2] Yakni pada zaman lingkungan tahun 1946.

[3] Bahan rujukan tersebut dalam Bahasa Arab. Pada perenggan selanjutnya di dalam tulisan asal, Prof Adz-Dzahabi membawakan contoh salah seorang di antara mereka yang telah menulis suatu artikel yang panjang bertajuk “al-Qur’an wal Mufassirun” (al-Qur’an & Para Ahli Tafsir) pada tahun 1354H-1935M, yang mengkritik bahkan mengutuk para Ahli Tafsir dan kitab-kitab Tafsir terdahulu, tanpa mengecualikan seorang pun daripada para Imam Ahli Tafsir terdahulu. Kononnya mereka terpengaruh dengan akidah ikutan mereka, mentafsir ayat menurut fahaman mereka, banyak mengaitkan tafsiran dengan riwayat Israi-liyat, dengan mendatangkan satu misal iaitu tafsiran ayat 41-44 Surah Sad mengenai Nabi Aiyub yang menurut beliau telah disalahtafsirkan. Lalu beliau mentafsirkan dengan tafsiran metaphorical dan allegorical (dengan makna kiasan) yang bercanggah dengan pemahaman para Ahli Tafsir (termasuk mereka yang tidak berpandukan riwayat Isra-iliyat dalam tafsiran mereka sekalipun), bahkan bercanggah dengan pentafsiran Sahabat. Namun penterjemah tidak menterjemahkan bahagian ini demi meringkaskannya dan kerana yang selanjutnya lebih berkenaan dengan konteks hari ini.   
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts